07 Oktober 2014

Fenomena Ombak Gergasi Melanda Pulau Pinang

Ombak gergasi menghempas tembok di Esplanade, Padang Kota Lama di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Angin kencang barat daya menyebabkan laut bergelora dengan ombak gergasi sehingga menghempas tembok di Esplanade di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
Ombak gergasi itu mencecah lebih tinggi daripada tiang lampu, mengakibatkan air laut melimpah di jalan raya, sehingga menyebabkan banjir di sepanjang Jalan Tun Syed Syeh Barakhbah di sini pada Isnin.
Pejalan kaki dilihat merakamkan fenomena yang jarang berlaku itu manakala kenderaan yang melalui jalan iberkenaan secara perlahan apabila ombak besar menghempas tembok.
Air laut melimpah sehingga ke jalan raya.
Menurut laman web Jabatan Meteorologi, angin kencang barat daya selaju 40kmj hingga 50kmj itu menyebabkan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Miri, Sabah dan Labuan.
Fenomena itu dijangka berterusan sehingga Ahad depan.
mStar Online

06 Oktober 2014

Kanak-Kanak 7 Tahun Dipercayai Didera Bapa Dan Teman Wanita

HANISAH memegang cucu angkatnya yang cedera didera.
MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki berkenaan di sebuah rumah di Paya Rumput di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai kerap menjadi mangsa dera pasangan berkenaan berdasarkan kesan kecederaan lama dan baharu di seluruh belakang badan mangsa.
Beliau berkata, laporan berhubung kes dera kanak-kanak itu dibuat nenek angkat kanak-kanak tersebut yang juga tuan rumah yang diduduki keluarga mangsa, di balai Tanjung Minyak kira-kira 6.05 petang pada Selasa (30 September).
"Wanita itu mendakwa pasangan berkenaan kerap mendera kanak-kanak tersebut menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang selain ditumbuk serta dihentak kepala ke dinding," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata sehubungan itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 31 tahun, ditahan bagi membantu siasatan ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 2.30 petang Rabu (1 Oktober).
Raja Shahrom berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang biskut di Batu Berendam di sini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis manakala teman wanitanya dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama kerana menyusu anaknya berusia dua tahun.
Katanya, kanak-kanak perempuan mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, nenek angkat kanak-kanak itu berkata, teman wanita kepada bapa kanak-kanak itu merupakan anak angkatnya yang menumpang di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu.
"Tangan kanak-kanak itu berbalut simen ketika hari pertama tiba di rumah saya dan apabila ditanya mangsa dikatakan patah tangan akibat terjatuh tangga di rumah sewa mereka di Masai, Johor," kata tukang cuci di sebuah sekolah di Paya Rumput itu.
Dia mendakwa sering melihat kanak-kanak itu dipukul bapa dan anak angkatnya itu walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga mengakibatkan kecederaan di seluruh anggota badan.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani berkata, pasangan itu ditahan di rumah berkenaan kira-kira 12 tengah malam pada 29 September lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan Seksyen 54 enakmen sama kerana melahirkan anak luar nikah.
mStar Online

04 Oktober 2014

Lembu ganggu sesi fotografi pengantin

Brian dan pasangannya terkejut apabila tiba-tiba dihampiri oleh seekor lembu yang cuba menyerang mereka

Satu pasangan pengantin cemas selepas seekor lembu tiba-tiba cuba menyerang mereka ketika satu sesi fotografi di sebuah kawasan ladang di sini baru-baru ini lapor New York Daily News kelmarin.

Pasangan berkenaan, Brian dan Rebecca Pepper yang baru berkahwin pada 21 September lalu mengupah seorang jurugambar, Rachel Deane untuk merakamkan detik bahagia mereka.
Ketika pasangan berkenaan sedang merakamkan gambar di satu kawasan padang rumput tiba-tiba mereka dihampiri seekor lembu jantan.
Lembu jantan itu dilihat cuba menyerang Rebecca tetapi Brian yang menyedari perkara itu segera mempertahankan isterinya sebelum menghalau lembu tersebut.
Deane yang turut terkejut sempat merakamkan aksi Brian menghalau haiwan berkenaan dan gambar tersebut menarik perhatian pengguna internet selepas dia memuat naik gambar di laman Facebook miliknya.
“Lihatlah lembu ini yang cuba mencabar Brian untuk mendapatkan cinta Rebecca,” kata Deane. 
– Agensi(kosmo!)


03 Oktober 2014

Terpedaya Janji Manis Punca Berlaku Ganggguan Seksual


KUALA LUMPUR: Sikap mudah percaya pada pujian dan janji manis antara faktor utama berlakunya kes rogol dan cabul di tempat kerja yang membabitkan majikan dan rakan sekerja.

Perlakuan yang disifatkan gangguan seksual ini boleh berlaku sama ada secara lisan dan bukan lisan, visual atau fizikal.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual yang merangkumi cabul dan rogol bagi 2012 dan tahun lalu keseluruhannya mencatatkan 75 kes membabitkan majikan, manakala kes melibatkan rakan sekerja pula sekali ganda iaitu 156 kes.

Daripada jumlah itu, kes rogol membabitkan majikan sebanyak 27, manakala 48 kes untuk cabul dicatatkan, manakala kes gangguan seksual melibatkan rakan sekerja pula menunjukkan 42 kes rogol dicatatkan, manakala cabul sebanyak 114 kes.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus, kes seumpama ini kerap berlaku kerana mangsa terlalu mudah percaya selepas suspek menabur janji manis serta pujian.

"Apabila mangsa mudah diperdaya, suspek pastinya akan mengambil peluang atau kesempatan, selain sikap suspek yang ingin menunjuk kehebatan diri.

"Lebih penting, pihak terbabit kurang pengetahuan undang-undang dan penghayatan agama, sekaligus tidak menghormati hak dan kehormatan mangsa," jelasnya kepadamStar Online.

Asisten Komisioner Hamidah Yunus

Tambah Hamidah lagi, antara gangguan seksual yang sering dilaporkan termasuk secara lisan seperti komen, gurauan, usikan, bunyi atau soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

"Ada juga secara bukan lisan seperti pandangan, kerlingan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau tingkah laku mengurat.

"Jenis gangguan secara visual pula berlaku apabila mangsa ditunjukkan dengan bahan lucah, melukis gambar lucah dan pujuk rayu yang berterusan.

"Dan gangguan secara fizikal pula melibatakan sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk dan mencium serta serangan seksual," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Hamidah, ada kejadian gangguan seksual yang berpunca daripada mangsa sendiri, selain sikap ibu bapa.

"Mereka (ibu bapa) tiada masa untuk berkomunikasi dalam keluarga serta tidak mamantau aktiviti anak-anak. Paling jelas kerapuhan institusi kekeluargaan menyumbang kepada pelbagai anasir negatif.

"Selain itu, kes ini juga berlaku disebabkan pengaruh filem lucah yang boleh ditonton menerusi internet atau VCD," jelasnya.

Katanya lagi, mangsa yang mengalami gangguan seksual ini perlu berani tampil membuat laporan bagi mencegah kes cabul atau rogol terus berlaku di kalangan majikan dan rakan sekerja.


mStar Online

01 Oktober 2014

Kalau hati sudah suka,Sanggup buat apa saja

LELAKI tidak dikenali memeluk erat kaki kekasihnya tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Seorang pengguna Internet memuat naik gambar pemuda tidak dikenali menunjukkan kasih sayang kepada pasangannya apabila melutut sambil memeluk erat paha wanita itu.
Kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai di luar kilang komputer Quanta di Shanghai.
Gambar berkenaan terus mendapat sambutan hangat pengguna Internet.
Ada antaranya yang mempertikaikan sama ada berbaloi lelaki terbabit mengetepikan maruahnya di khalayak ramai semata-mata mahu memujuk wanita berkenaan.
Malah lelaki itu turut menyerahkan sejambak bunga kepada kekasihnya tetapi dibuang wanita terbabit.
Pada satu ketika, dia memeluk wanita itu dengan begitu erat sehingga hampir menyebabkannya terjatuh. - Agensi

29 September 2014

Merajuk lantas,Terlelap di pucuk kelapa

WARGA emas yang enggan turun dari pokok kelapa di Kampung Sinarut Lama, semalam.
Ranau: Merajuk kerana tidak diberikan sebotol arak, seorang warga emas mengambil keputusan memanjat pokok kelapa dan enggan turun selama lebih lima jam sehingga memaksa orang ramai menghubungi pasukan penyelamat bagi membantu menurunkan mangsa.
Dalam kejadian jam 7 pagi di Kampung Sinarut Lama, di sini, semalam, warga emas berusia 70 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas dikatakan merajuk dengan rakan yang enggan memberi arak kepadanya.
Lelaki terbabit memanjat pokok kelapa setinggi lebih enam meter untuk mengambil nira, tetapi enggan turun. 

Menurut saksi, orang ramai memujuknya turun, tetapi lelaki itu berkeras mahu berada di atas pokok.
Difahamkan, warga emas itu dipercayai tertidur beberapa kali sehingga penduduk menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta bantuan.
myMetro

28 September 2014

Pesakit kanser ditanam hidup-hidup?

- Foto: metro.co.uk

THESSALONIKI - GREECE. Seorang penjaga kubur terkejut sebaik terdengar satu jeritan menakutkan datang dari sebuah kubur yang baharu sahaja ditanam pada hari tersebut.
 
Memetik laporan Metro.co.uk hari ini, pekerja tersebut yang ketakutan terus menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut.
 
Dia kemudiannya menggali semula kubur tersebut dan memecahkan keranda yang menempatkan seorang wanita yang telah meninggal dunia sebelum itu.
 
Namun difahamkan, mereka sudah terlambat dan wanita tersebut benar-benar mati kali ini.
 
Menurut laporan, wanita tersebut merupakan seorang pesakit kanser berusia 49 tahun dan dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit yang dihadapinya.
 
Pihak berkuasa hari ini turut mengesahkan kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Peraia.

Manakala doktor yang mengesahkan kematian wanita terbabit, Chrissi Matsikoudi memberitahu pemberita, wanita tersebut sudah lama meninggal dunia dan mustahil untuk dikebumikan secara hidup-hidup.

“Kami telah menjalankan pelbagai ujian ke atasnya termasuk ujian kegagalan hati ke atas wanita tersebut,” jelasnya lagi.

Polis setakat ini masih belum mendedahkan nama mangsa.

Dalam pada itu pihak keluarga wanita terbabit telah membuat laporan susulan daripada tindakan doktor yang mengesahkan kematian mangsa.


Sumber

27 September 2014

Pengantin cipta rekod dunia pakai gaun terpanjang

  • Gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang memerlukan 40 pengapit untuk mengangkatnya. - Foto: Metro.co.uk

Kira-kira 40 pengapit diperlukan bagi mengangkat gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang dipakai oleh seorang pengantin perempuan yang melangsungkan hari bahagianya baru-baru ini.

Menurut laporan Metro.co.uk gaun pengantin yang seberat 50 kilogram yang dipakai oleh Jeng Mei yang berasal dari Chengdu, China.

Difahamkan, dia dan suaminya berhasrat memecahkan rekod dunia dengan memakai gaun pengantin terpanjang.

“Kami akan menghubungi World Guinness Record untuk mendapatkan pengikitirafan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu menurut suaminya, Yuan pula, baju pengantin tersebut dianggarkan bernilai £4000 (RM21, 277).


Sumber

26 September 2014

Lelaki jadi kaku apabila terkejut

Andrew Latham

Seorang lelaki terpaksa menanggung risiko mengalami kemalangan pada bila-bila masa, selepas dia menghidap penyakit saraf yang menyebabkan otaknya berhenti berfungsi setiap kali terkejut.

Mail Online melaporkan, Andrew Latham, 38, mengidap penyakit yang dikenali sebagai hyperekplexia sejak kecil lagi dan setiap kali dia terkejut badannya akan kaku susulan sistem otaknya gagal berfungsi.

"Setiap kali mendengar bunyi anjing menyalak, orang batuk, bunga api atau apa-apa sahaja bunyi yang boleh mengejutkan saya, badan saya akan kaku tidak bergerak untuk beberapa minit.

"Perkara ini membimbangkan saya untuk memandu di jalan raya, risau terkejut dengan bunyi hon kenderaan," jelasnya.

Sementara itu, ibu kepada Latham iaitu Janice berkata, dia dan suaminya sudah dapat mengagak anak mereka bakal mengalami masalah kesihatan selepas dilahirkan.

"Ketika usia kandungan saya berusia tujuh bulan saya dapat rasa yang anak saya tidak bergerak aktif dan selepas dilahirkan, anak saya sering terkejut setiap kali diletakkan di dalam inkubator," ujarnya, sambil menambah penyakit tersebut mula dikesan ketika Latham berusia 21 tahun.

Seorang pakar saraf dari Hospital Universiti London, Professor Kailash Bhatia berkata, masalah kesihatan yang dialami oleh Latham disebabkan oleh ketiadaan bahan kimia yang diperlukan untuk mengerakkan sistem tekanan di dalam badannya.

"Apabila bahan kimia berkenaan tidak wujud, otak tidak dapat memberi tindak balas yang sewajarnya. Oleh sebab itu, otak pesakit berhenti berfungsi sehingga mengganggu sistem sarafnya," katanya lagi.

Sumber

Majlis kahwin rosak angkara mak andam


SEREMBAN – Impian sepasang pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia mereka minggu lalu, bertukar pengalaman ngeri apabila mereka ditipu mak andam.

Lebih teruk, pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 42, dan Nina, 32, terpaksa membeli persalinan lain sebagai ganti disebabkan mak andam dinantikan hanya tiba 15 minit sebelum majlis persandingan bermula.

Menceritakan kejadian itu, Zack berkata, dia dan isteri membuat keputusan memilih mak andam berkenaan yang ditemui di pameran pengantin di pusat membeli-belah Terminal 2, Februari lalu selepas tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan.

“Pakej ditawarkan meliputi pelamin, jurugambar, solekan dan lapan persalinan baju dengan hanya RM1,500. Selepas berbincang dengan isteri, kami telah pergi ke kedai mak andam itu di Seremban Jaya beberapa hari kemudian untuk membuat tempahan,” katanya.

Menurutnya, dia membayar deposit sebanyak RM450 pada 10 Februari lalu selepas membuat pilihan pelamin dan pakaian pengantin serta membuat bayaran tambahan RM700 pada 26 Mac lalu.

Namun, kata Zack, dia dan isteri mula berasa tidak sedap hati kerana sukar berurusan dengan wanita terbabit bagi membincangkan persediaan majlis perkahwinan mereka.

“Bila kita telefon mahu tengok baju dan buat fitting, dia beri alasan sibuk dan selalunya gagal untuk dihubungi. Tapi disebabkan kami telah membuat bayaran dan majlis perkahwinan pun tidak lama lagi, saya bersangka baik mungkin dia betul-betul sibuk," katanya.



Bagaimanapun, katanya, perasaannya bertambah tertekan kerana sebaik saja hari dinantikan, pelamin dan pakaian diberikan tidak seperti dipesan.

“Saya pilih pelamin lain, tapi yang dia pasang pada majlis di rumah isteri saya macam pelamin budak tadika buat. Baju pula dia beri bukan yang kami pilih," katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila pada majlis bertandang di rumahnya pula, dia dan isteri terpaksa memakai pakaian sendiri kerana wanita terbabit gagal dihubungi.

Zack berkata, suami kepada mak andam itu hanya tiba kira-kira 15 minit sebelum majlis bermula dan memberi alasan isterinya tidak dapat datang kerana terjatuh di dalam tandas.

“Bayangkan, tertekannya kami ketika itu. Tapi mahu buat macam mana, majlis perlu diteruskan kerana tetamu sudah dijemput.

“Mereka berjanji mahu memulangkan semula wang yang dibayar sebanyak RM1,150. Tapi tak tahulah macamana," katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini
.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !