15 Mei 2014

Kimia dalam ubat gigi, sabun punca mandul


Copenhagen: Bahan kimia di dalam ubat gigi, sabun dan cermin gelap dipercayai ada kaitan dengan peningkatan kemandulan lelaki, lapor satu kajian terbaharu.

Kajian itu mendapati satu daripada tiga bahan kimia isi rumah itu ditemui ada kesan langsung terhadap kesuburan sperma menyebabkan sel benih itu melepaskan enzim pra-matang ketika mensenyawakan telur. 


adalah penyelidikan kali pertama menemui hubungan langsung bahan kimia buatan dan kesuburan lelaki. Ia sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kimia tersembunyi barangan harian. 

Kajian itu yang diterbitkan majalah Independent adalah sebahagian daripada kajian terperinci bahan kimia gangguan pembiakan yang berkait dengan kesuburan lelaki. Ia berharap penemuan akan membolehkan badan kawal selia Eropah memperkenalkan sekatan penggunaan bahan kimia tertentu.

Profesor Niels Skkakkebaek dari Hospital Universiti Copenhagen di Denmark memberitahu dalam kajian itu bahawa: Untuk kali pertama kami berjaya menunjukkan kaitan terus antara pendedahan terhadap kimia yang menjejaskan sistem pembiakan daripada produk industri dan kesan buruk terhadap fungsi sperma lelaki. 

Penemuan kami jelas satu kebimbangan ketika sebilangan kimia yang mengganggu sistem pembiakan mungkin lebih berbahaya daripada sangkaan. Persoalan mengenai kajian pada masa depan sama ada kajian kami boleh menjelaskan pengurangan kesuburan yang berlaku dalam kalangan pasangan moden.

Kajian itu sudah diterbitkan dalam Jurnal EMBO dan dilaporkan bersama Timo Strunker dari Pusat Penyelidikan Canggih Eropah di Bonn, Jerman.


- AGENSI

Kemalangan Ngeri ! Kepala tertinggal di Lokasi Nahas

TEMAN lelaki mangsa menangis sambil memeluk mayat mangsa di lokasi kejadian.
Kota Samarahan: Pasukan petugas Hospital Umum Sarawak (HUS) terkejut apabila mayat seorang wanita mangsa kemalangan dihantar ke situ tanpa kepala sebelum dimaklumkan ia tertinggal di lokasi kemalangan di Kampung Meranek, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa, Ninie Asmida Hasbi, 20, maut di tempat kejadian dengan kepalanya terputus dipercayai dilanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan. 
Menurut sumber, mangsa membonceng motosikal ditunggang teman lelaki bersama seorang lagi rakan menaiki motosikal berasingan dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Mang. 

Katanya, motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta menyebabkan kedua-duanya terjatuh dengan wanita terbabit tercampak ke laluan bertentangan.
Bagaimanapun, mangsa tidak bernasib baik apabila sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah bertentangan merempuhnya.
Harian Metro

14 Mei 2014

Guna perut untuk cari makan

XIE (kanan) bersedia untuk menerima pukulan penduduk tempatan.
Beijing: Seorang lelaki, Xie Shuiping, menggunakan cara pelik untuk meraih pendapatan bagi menyara keluarganya apabila menerima bayaran supaya dipukul sesiapa yang tertekan dan mahu “melepaskan geram.”
Xie, 48, tidak pernah kekurangan pelanggan untuk tujuan itu.
Baru-baru ini kehadirannya di Wuhan di wilayah Hubei menarik perhatian ramai apabila dia menawarkan perutnya menjadi tempat melepaskan amarah penduduk tempatan.

Xie mendakwa mampu meraih sekurang-kurangnya 20,000 yuan (RM10,400) sebulan hasil pukulan pelanggannya dari seluruh China.
“Saya tidak takut dipukul.
“Apa yang saya bimbangkan ialah jika tidak menerima bayaran,” katanya.

Menurut Xie, rahsia “kegagahannya” itu disebabkan amalan qigong - seni mempertahankan diri tradisional - yang memfokuskan terhadap kawalan pernafasan yang dipelajari sejak berusia 10 tahun.

Dia mengakui isterinya tidak bersetuju keputusannya mencari pendapatan dengan cara itu, namun Xie tidak menghiraukannya.

“Pada saya tidak salah kalau saya dipukul demi mencari rezeki untuk keluarga saya.

“Itulah yang paling penting bagi saya - menyara keluarga saya,” katanya. 
- Agensi

Nadiya Nisaa 'lega' tiada lagi isu suami bertatu

Nadiya Nisaa

SELEPAS popular dengan drama bersiri Adam & Hawa, nama aktres Nadiya Nisaa dihimpit pula dengan kontroversi apabila suaminya, Saiful Razman Mohd Kassim, didakwa bertatu di kedua-dua lengan tangannya.

Begitu pun, bintang filem Cun ini enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan demi mahu menjaga hati banyak pihak terutama keluarganya.

Bukan itu saja, pemilik nama Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin ini turut meminta semua peminat dan media agar lebih memberi perhatian terhadap perjalanan kariernya berbanding isu peribadi dan keluarga.

"Isu itu kini semakin kurang diperkatakan.

"Saya lihat mereka begitu menghormati permintaan saya.

"Saya pun menghormati mereka kerana tidak pernah bertanya secara peribadi kepada saya akan hal ini," katanya kepada media ketika di temui selepas pelancaran sitkom popular Oh My English (OME), baru-baru ini.

Malah, ibu beranak satu itu juga kini semakin lega dan senang akan situasi berkenaan yang kini semakin kurang diperkatakan.

Jadi diri sendiri

Dalam pada itu, penerima Anugerah Pelakon Harapan Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-24 ini akan muncul dalam sitkom popular OME yang akan bersiaran secara serentak di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro MAYA HD (saluran 135) mulai 18 Mei ini, jam 9 malam.

Dia akan memegang watak sebagai Jojie, iaitu seorang pelajar tomboi yang aktif dalam bidang sukan.

Berkongsi pengalamannya, katanya, biarpun dia adalah pelakon yang paling tua dan memegang watak pelajar sekolah menengah, namun itu tidak menghalangnya untuk membawakan karakter tersebut.

"Watak Jojie boleh diibaratkan seperti saya dulu iaitu seorang yang ceria, nakal, lasak dan aktif bersukan.

"Semua pelakon bersikap mesra di antara satu sama lain. Mereka kelakar dan bersikap gila-gila.

"Saya tiada masalah berlakon dengan mereka semua," kongsinya.

Selain Nadia, artis lain yang memegang watak baharu dalam OME adalah seperti Fauziah Ahmad Daud, Sherry Al-Hadad, Carmen Soo dan Amyra Rosly.


Sinar Harian

13 Mei 2014

Bunuh diri kerana diarah tutup akaun FB

New Delhi: Seorang remaja perempuan dipercayai menggantung diri sehingga mati selepas diarah ibunya menutup akaun Facebook (FB).
Aditi Gupta, 13, dilapor dimarahi ibunya Mohana Gupta, 36, kerana terlalu banyak menghabiskan masa melayan laman sesawang media sosial popular itu. 
Media semalam melaporkan, ibu Mohana memaksa Aditi menutup akuan berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari luar. 

“Pastikan akaun itu ditutup sebelum ibu tiba di rumah,” kata Mohana dalam panggilan telefon kepada anaknya sejurus sebelum kejadian.
Beberapa jam kemudian - selepas Mohana pulang - dia mendapati anaknya sudah tergantung tidak bernyawa.
Dia terus menelefon polis. Ketika disoal Mohana berkata dia tidak menyangka anaknya sanggup membunuh diri akibat perkara yang begitu remeh. 
- Agensi

Lelaki mengamuk kerana dituduh ganggu isteri orang

Kinabatangan: Gara-gara tidak puas hati selepas dituduh mengganggu isteri orang, seorang lelaki bertindak menikam rakan sekerjanya sehingga mati dalam kejadian di rumah pekerja di ladang sawit Paris 3, Jalan Kinabatangan, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa warga Indonesia, Kahar Patta, 33, parah di bahagian perut dan kaki selepas ditikam menggunakan benda tajam kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Lahad Datu, dekat sini. 
Bagaimanapun, pihak Hospital Besar Lahad Datu mengesahkan mangsa meninggal dunia jam 9.30 malam hari sama. 

Ketua Polis Daerah Superintendan A Sahak Rahmat berkata, siasatan awal mendapati pada jam 5.45 petang polis menerima laporan mengatakan dua pekerja ladang bergaduh di rumah pekerja di Paris 3, Jalan Kinabatangan, dekat sini.
“Pemeriksaan mendapati berikutan pergaduhan itu seorang pekerja ladang berkenaan dipercayai cedera di perut dan kaki kanan akibat ditikam menggunakan benda tajam.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Lahad Datu, dekat sini oleh beberapa pekerja di ladang berkenaan untuk rawatan lanjut. 

“Bagaimanapun, selepas menerima rawatan hampir lima jam, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya. 
Sumber myMetro

12 Mei 2014

Si kembar lahir berpegang tangan

Kelahiran sepasang bayi kembar perempuan yang berpegang tangan semalam menyentuh hati doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran mereka.

OHIO – AMERIKA SYARIKAT. Kelahiran sepasang bayi kembar perempuan yang berpegang tangan semalam menyentuh hati doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran mereka.

Lebih ajaib, bayi tersebut mampu bernafas dengan sendirinya tanpa memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ibu pasangan kembar itu, Sarah Thistlethwaite berkata, kelahiran ini lebih istimewa kerana mereka lahir pada Hari Ibu, lapor AFP.

"Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata perasaan ini apabila mendapat tahu bahawa bayi saya berada dalam keadaan baik, " katanya.  

Bayi kembar tersebut  berkongsi kantung amnion dan plasenta.  Kelahiran sedemikian itu dipanggil monoamniotik  atau " mono mono " dan doktor mengatakan ia berlaku dalam kira-kira satu daripada setiap 10,000 kehamilan.

Mereka dilahirkan  pada Jumaat di Pusat Perubatan Besar Akron, dekat sini.


Sinar Harian

Gambar,Pencuri Lembu dibelasah

Suspek terbaring lemah di tepi jalan

PADANG SERAI - Gara-gara mencuri lembu, seorang lelaki ditahan orang ramai di Bukit Selarung kira-kira jam 1.30 pagi.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Chng Seng Ang berkata, orang awam yang ternampak kenderaan dipandu suspek melaporkan kejadian itu kepada PPKM sebelum semua ahli bertugas menjalankan rondaan mencegah jenayah sampai ke tempat kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian itu tiga lelaki berusia 30-an dipercayai mencuri lembu dan diletakkan di bahagian kerusi belakang kereta jenis Proton Wira.

Suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta dipandu mereka ke arah Lebuh raya Kulim -Baling bagaimanapun hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, dua suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran manakala seorang lagi suspek berjaya ditahan.

Kerana tidak berpuas hati dengan sikap dan perlakuan suspek, orang ramai telah membelasah suspek selain menghiris telinga sebelah kirinya.

“Ketika Ahli PPKM sampai di tempat kejadian, kami dapati suspek terlibat hampir pengsan dan terbaring di atas rumput di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.

Kami kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis dan meminta bantuan ambulans.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim dengan ambulans Hospital Kulim dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, bagaimanapun orang yang bertanggungjawab mencederakan suspek masih gagal menyerahkan diri kepada polis,” katanya.


Sinar Harian

11 Mei 2014

Kematian penumpang AirAsia X akibat serangan jantung, bukan MERS-CoV


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kematian seorang jemaah umrah dalam pesawat D7 171 AirAsia X semasa dalam perjalanan dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada Jumaat malam bukan disebabkan jangkitan 'Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil pemeriksaan bedah siasat dijalankan terhadap mayat lelaki warganegara Indonesia berumur 64 tahun itu mendapati punca kematian akibat serangan jantung. 


"Jenazah kes kematian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sampel telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk menentukan penyebab kematian. 

"Memandangkan kes baru pulang daripada mengerjakan umrah, sampel juga telah diambil untuk ujian saringan bagi jangkitan MERS-CoV dan didapati negatif untuk MERS-CoV," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, hasil maklumat diperolehi mendapati lelaki warga emas berkenaan sebelum itu mengalami gejala demam, batuk, sukar bernafas dan kurang selera makan selama beberapa hari semasa berada di Tanah Suci dan pernah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sana. 

"Semasa dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, beliau telah mengalami kesukaran untuk bernafas dan kemudiannya meninggal dunia," katanya. 

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan MERS-CoV mengikut pelan tindakan yang ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga. 
Antaranya mendapatkan maklumat lengkap tentang kesemua kontak rapat kepada kes dan menjalankan disinfeksi pesawat mengikut prosedur operasi standard ditetapkan. 

Selain itu, kementerian turut menjalankan saringan demam terhadap kesemua 244 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat sama serta mengedarkan 'Home Assessment Tool' dan 'Health Alert Card' kepada penumpang bergejala dan kontak rapat kepada kes. 

- BERNAMA

10 Mei 2014

Isu Persenda Hudud, Harith Iskander Mohon Maaf

Harith Iskander tidak bermaksud menghina Hudud.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harith Iskander memohon maaf apabila status yang dimuat naik di Twitter miliknya mengenai hukum Hudud bertujuan untuk berjenaka mendapat kritikan ramai.

Harith, 43, berkata, dia tidak berniat mahu mempertikaikan peraturan  dalam agama Islam itu tetapi ia telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

"Saya ingin memohon maaf sekiranya status di Twitter itu mengundang rasa tidak senang hati mana-mana pihak.

"Jujurnya saya tidak berniat mahu mempermainkan agama sendiri. Kalau boleh saya tidak ingin membesarkan isu ini kerana ia hanya perkara kecil yang telah disalah ertikan.
harith iskander twit
Inilah status mengenai Hudud pada Twitter Harith yang mengundang kemarahan orang ramai.
"Mungkin ada pihak yang mempunyai masa mahu membesarkan sesuatu (isu Hudud) itu," katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini pada Jumaat.

Pada Khamis lalu, Harith dalam satu status Twitter miliknya telah berjenaka mengenai hukum Hudud.

Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan beberapa pengikut laman Twitter  itu menegurnya kerana perbuatan itu dilihat seperti mempersendakan agama Islam.

Hudud merupakan satu bentuk hukuman terhadap umat Islam yang melanggar tuntutan agama dan ia ditetapkan Allah sebagaimana tertulis dalam Al-Quran dan hadis.

Dalam pada itu, Harith berkata, perkara itu juga membuatkan ada beberapa peminatnya bertindak tidak mengikut akaun Twitter miliknya lagi.

"Dalam dunia media sosial ini kita diberi pilihan. Ada beberapa follower saya yang mengumumkan mereka nak unfollow  dan saya hormat keputusan itu sebab ia pilihan mereka.

"Bagi saya kalau ada seseorang yang bercakap sesuatu yang saya tak suka, saya juga akan melakukan perkara sama (unfollow)," ujarnya.

mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !