11 April 2014

Pelajar bawa peluru meriam dalam pesawat

GAMBAR menunjukkan dua peluru meriam yang cuba diseludup oleh dua pelajar sebelum ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare di Chicago.

CHICAGO - Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare di sini gempar selepas dua pelajar sekolah menyeludup dua peluru meriam ketika dalam penerbangan dari London, Britain ke Chicago, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Pelajar sekolah menengah tersebut yang baru pulang dari lawatan sekolah di Eropah dikatakan membawa pulang dua peluru meriam era Perang Dunia Pertama itu sebagai cenderahati.
Peluru meriam itu dikesan dalam satu bagasi milik dua pelajar berusia 16 dan 17 tahun selepas pesawat United Airlines yang dinaiki mereka dari London mendarat di Chicago pada Isnin lalu.
Pihak keselamatan lapangan terbang yang mengesan peluru itu kemudiannya menghubungi unit pemusnah bom dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, siasatan pakar mendapati peluru tersebut sudah dimatikan dan tidak berbahaya.
Pelajar itu memberitahu pihak berkuasa, peluru itu dijumpai di satu lokasi berhampiran sebuah muzium di Perancis sebelum dibawa pulang sebagai cenderahati.
Selepas soal-siasat dua pelajar berkenaan dibebaskan tetapi peluru berkenaan dirampas.
Kejadian itu juga mencetuskan persoalan berhubung tahap kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London. 
- Agensi(KOSMO!)


RESTORAN JAMBAN IDEA PELIK

Restoran berkonsepkan tandas yang beroperasi di pasar raya Johor Bahru City Mall, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU - Entah di mana silapnya apabila sebuah restoran berkonsepkan tandas yang mengundang rasa jijik dalam kalangan masyarakat tempatan dibenarkan beroperasi di tingkat enam pasar raya Johor Bahru City Mall di sini.
Masakan tidak, pengunjung pastinya berasa geli apabila disajikan hidangan menggunakan bekas makanan menyerupai peralatan tandas seperti jamban dan tindakan pihak restoran itu dianggap suatu budaya kotor.
Pun begitu, pihak Restoran T Bowl yang memperkenalkan restoran berkonsepkan tandas itu menafikan mereka mempromosi- kan budaya pelik dan kotor dalam kalangan masyarakat tempatan.
Pengurusnya, John Chai Wen Joan,menegaskan, restoran itu tetap menghormati budaya dan kebersihan di negara ini dan pihaknya sekadar mengetengah suatu konsep idea baharu.
"Memang benar konsep ini seperti kamu lihat di Jepun atau Taiwan, namun suasana di restoran kami tidak sama.
KOSMO!


10 April 2014

EKSKLUSIF: Pelatih PLKN Seludup Rokok Dalam Roti



KUALA LUMPUR: Kelicikan seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menyeludup 15 batang rokok dengan menyembunyinya di dalam tiga biji roti sosej di Sungkai, Perak tidak kesampaian apabila helahnya terlebih dahulu dihidu oleh pihak pengurusan kem.
Tindakan remaja berusia 17 tahun itu  dikesan ketika jurulatih kem tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pelatih Kumpulan 2, Siri 11 yang melapor diri pada Rabu.
Difahamkan, ketika melapor diri kepada pihak kem, remaja berkenaan mendakwa roti tersebut merupakan bekalan makanannya jika terasa lapar semasa menjalani latihan.
Bagaimanapun, prosedur setiap kem PLKN yang menuntut pemeriksaan terperinci dilakukan berjaya mengesan helah remaja terbabit.
Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap remaja itu, dia kelihatan tenang dan enggan menyerahkan roti tersebut.
Bagaimanapun, seorang daripada jurulatih yang memeriksa roti tersebut menemui lima batang rokok yang dibungkus kemas dengan plastik di dalam setiap biji roti.
Kesemua rokok itu kemudiannya dirampas dan pelatih berkemungkinan akan dikenakan hukuman kerana kesalahan menyeludup rokok.
Difahamkan, cubaan menyeludup rokok oleh pelatih bukanlah perkara baharu tetapi ia sentiasa dibendung oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan objektif mendisiplinkan remaja tercapai.  
mStar Online

Murid tahun satu dakwa dicabul guru sukan

imej google
TUMPAT - Seorang murid perempuan Tahun Satu sebuah sekolah rendah dekat sini mengalami trauma untuk ke sekolah setelah mendakwa dicabul oleh seorang guru lelaki sekolah berkenaan, Isnin lalu.
Dalam kejadian sebelah pagi itu, murid berkenaan mendakwa telah dicabul guru sukan itu ketika berada di stor sukan.
Difahamkan, kejadian itu terbongkar pada sebelah petang hari yang sama apabila murid tersebut memberitahu ibunya bahawa dia enggan lagi pergi ke sekolah kerana trauma atas perbuatan keji guru terbabit.
Bapa mangsa kemudian melaporkan kejadian berkenaan di Balai Polis Wakaf Bharu dekat sini kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan.
"Suspek juga sudah dikenalpasti dan usaha mengesannya kini sedang dilakukan," katanya.
KOSMO!

09 April 2014

Cinta Wanita Afrika,rupanya JANTAN

AZHAR menceritakan pengalamannya kepada wartawan.
Kuala Lumpur: “Saya tidak tahu nak kata apa apabila tahu wanita yang saya jatuh hati itu sebenarnya lelaki Afrika,” kata seorang lelaki yang kerugian lebih RM100,000 akibat terperangkap dalam sindiket cinta Internet atau ‘love scam’ didalangi warga Afrika.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, 28, berkata, dia kini hanya mampu menangis selain menyesali kebodohan diri gara-gara kemaruk cinta terhadap wanita bernama Alina yang dikenali menerusi kiriman e-mel pada Julai tahun lalu.
“Dalam e-mel dikirimnya, Alina memberitahu, dia tinggal di United Kingdom (UK). Bapanya rakyat Malaysia manakala ibunya warga Eropah dan sekarang dia mahu datang ke negara ini untuk mencari keluarga bapanya.

“Dia turut memberi satu alamat yang kononnya alamat terakhir keluarga bapanya. Saya membuat pemeriksaan di Internet dan mendapati alamat itu wujud menyebabkan saya menyambut salam persahabatannya,” katanya, semalam.
Pada mulanya, Azhar yang juga seorang kakitangan awam sekadar mahu berkawan sebelum jatuh hati dengan cara wanita itu berkomunikasi dengannya selepas sebulan berkenalan.
myMetro

Hanez Suraya dibaling selipar?

Hanez Suraya

SEHINGGA kini, aktres Hanez Suraya, masih dikecam teruk oleh masyarakat dek kontroversinya menjalinkan hubungan dengan suami orang yang dikenali sebagai Mr R (Romie).

Bukan saja digelar 'perampas', pelakon Autumn di Hatiku juga tidak putus-putus menerima cacian dan cemuhan dari pelbagai pihak menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook miliknya.

Mengakui berasa sedih dan tertekan dengan segala kritikan negatif tersebut, Hanez berkata, kecaman itu turut dirasai sehingga di luar sehingga membuatkan dia berasa kurang selamat.

"Selepas saya buat sidang media tu memang saya rasa sangat sedih. Sebab pandangan orang terhadap saya. Namun saya akui ia tidaklah sampai mendapat ancaman di luar.

“Ada sekali tu saya terserempak dengan orang yang membenci saya. Dia kata nak saja baling selipar pada saya. Tapi dia tak buatlah. Cuma dia cakap sajalah. Alhamdulillah, itu menandakan keadaan masih dapat dikawal lagilah.

“Selepas kejadian itu, atas nasihat keluarga, saya ada mengupah pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan saya. Tetapi untuk acara-acara tertentu sahaja. Kalau ikutkan saya tak selesa bila ada orang sentiasa menjaga pergerakan saya. Tapi itu permintaan keluarga demi keselamatan saya,” katanya.

Enggan terlalu memikirkan situasi tersebut, Hanez berkata, dia akan kembali berusaha untuk mendapat kepercayaan peminat-peminatnya semula. Sebab itu juga, dia tidak jadi menarik diri dari membintangi teater Projek Kahwin, pada 12 hingga 14 Jun, di Istana Budaya.

“Memang takut saya untuk menerima semula tawaran berlakon teater ini, kerana bimbang penjualan tiket berkurangan dan akan mendatangkan kesan terhadap pihak pengurusan.

“Tetapi memandangkan saya mahu beraksi dan membuktikan kemampuan saya dalam bidang lakonan teater saya menyahut cabaran ini. Saya harap peminat akan menilai persembahan saya bukannya kisah peribadi saya,” katanya.

Teater terbitan Mask Team Productions arahan Muhammad Azri Ali turut diterajui, Kilafairy, Izzue Islam, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz Fazleena Hishamuddin dan Kaka Azraff.

Sinar Harian

Niat berpesta liar tersekat

INILAH poster utama yang tersebar di internet berkaitan parti separuh bogel di Ampang, Kuala Lumpur Jumaat ini.
KUALA LUMPUR – Hasrat sebuah premis iaitu The Pool untuk menganjurkan parti separuh bogel pada 11 April ini tidak kesampaian apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan premis tersebut ditutup tujuh hari mulai semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan media di sini semalam.
KOSMO!


08 April 2014

Pakaian dalam Madonna dicuri

Madonna

SAAT menjalani sesi fotografi bersama majalah, L’uomo Vogue di New York, barangan peribadi bintang terkenal, Madonna telah dicuri.

Menurut pereka fesyen, Deborah Marquit, dia menyimpan bra dan seluar dalam yang dipakai Madonna dalam sebuah beg di bawah kerusi.

Namun, barang-barang tersebut didapati telah hilang dalam tempoh yang singkat.

Jelas Marquit, walaupun ianya hanyalah pakaian dalam, namun harganya melebihi RM20,000.

"Saya berharap agar barang-barang tersebut dapat ditemui semula. Saya yakin, tiada orang dalam yang terlibat dalam kejadian ini kerana ianya belum pernah terjadi," katanya.

Pun begitu, hingga saat ini, Madonna sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Sumber

 

Peniaga Didakwa Curi Pokok Bongsai Jiran

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin terhadap pertuduhan mencuri dua pokok bonsai bernilai RM1,500 milik jirannya.

Choong Sze Ian, 26, didakwa mencuri dua pokok bonsai dalam pasu di A3 Bangsar Indah Kondominium, 247 Lorong Maarof, di sini pada 1.15 pagi, 2 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Adnan Ismail yang mewakili Choong memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah atas alasan tertuduh perlu menjaga adik beradiknya yang masih kecil. 

Majistret Siti Shakirah Mokhtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan kes.

Sumber

Video : Bekas Pemain Bolasepak Arsenal Sertai Jihad Di Syria

Lelaki yang dikatakan bekas pemain Arsenal
Seorang pemberontak di Syria mendakwa dia merupakan bekas pemain Arsenal yang membesar bersama bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
Lelaki yang mendakwa telah meninggalkan kehidupan mewah di Eropah itu dikesan mengeluarkan pengakuan tersebut menerusi dua rakaman video yang dimuat naik di laman web ekstremis.
Laman web tersebut antara lain turut menggesa penduduk di Ukraine menyertai Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
Bekas anak didik Arsene Wenger itu dikesan menutup mukanya dengan kain hitam sambil memegang senjata api jenis, AK-47 dan bercakap dengan penonton dalam Bahasa Inggeris yang baik.
Dalam rakaman tersebut, lelaki itu mendakwa, "Saya telah membesar dengan Ronaldo, bermain untuk Arsenal dan meninggalkan bola sepak, wang dan cara hidup mewah Eropah untuk mengikut jalan Allah."
"Saya juga dari Portugal dan menyertai kumpulan ini sejak dua tahun lalu.
"Nasihat saya kepada awak adalah kami memerlukan apa sahaja sokongan kepada mereka yang dapat membantu kami berlawan dengan musuh," katanya.
Lelaki itu juga berkata, "Selamat datang  dan mari menyertai kami, kepada mereka yang berfikir tidak boleh bertempur mungkin kamu dapat membantu dengan cara lain.
"Sebagai contoh memberi bantuan perubatan, kewangan, nasihat dan apa-apa lagi yang ada pada kamu. Kami akan menerima apa sahaja sumbangan kamu yang ingin berjihad bersama," jelasnya.
Sementara itu, jurucakap Arsenal memberitahu, pihaknya tidak mengenali lelaki terbabit dan bersedia menyiasat dakwaan berkenaan kerana tidak mahu kelab yang sedang bersaing untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris itu diboikot gara-gara dikaitkan dengan pengganas.
Sumber

Port Mak Ngah Skodeng !