19 Ogos 2014
AWAS ! Bakteria Dalam Minuman Anda
PETALING JAYA: Air yang anda beli dari mesin layan diri mungkin tidak sebersih yang anda fikirkan.
Sebanyak 29 sampel air telah diambil dari mesin tersebut di seluruh Lembah Klang dan hampir semuanya telah dicemari.
Terdapat beberapa jenis bakteria berbahaya seperti E. coli, Koliform dan bakteria bertoksin Clostridium perfringens - jenis bakteria yang sama terdapat di dalam air kumbahan yang tidak dirawat.
Koliform dan Clostridium perfringens juga merupakan bakteria yang sama terdapat dalam najis manusia dan haiwan.
Bakteria ini boleh menyebabkan kekejangan, cirit-birit dan masalah pencernaan yang lain.
The Star menjalankan beberapa ujian bersama dengan Forum Air Malaysia, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
Forum Air Malaysia membuat ujian terhadap 14 sampel pada April manakala The Starmenjalankan ujian terhadap 15 sampel.
Sampel-sampel air diambil dari mesin layan diri di sini dan di Subang Jaya, Cheras, Klang dan Kuala Lumpur.
Di bawah Akta Air Minum Selamat Malaysia, sepatutnya tidak ada sebarang kesan Koliform atau E. coli dalam air minuman.
Eksekutif Dasar dan Penyelidikan Forum Air Jesslyn Pek berkata adalah membimbangkan apabila kebanyakan sampel tidak menunjukkan kesan klorin atau fluorida bebas, yang merupakan bahan kimia yang diperlukan untuk membunuh bakteria di dalam air.
"Daripada ujian ke atas 14 sampel air, enam daripadanya didapati mempunyai sama ada Koliform atau E. coli dan tidak mengandungi klorin atau klorida bebas," katanya.
"Klorin bebas mesti ada, kerana ia adalah pembasmi kuman," kata Pek.
"Terdapat piawaian untuk menentukan berapa banyak klorin bebas diperlukan untuk digunakan dalam air terawat, tetapi kerana ia tidak dapat dikesan di dalam semua sampel ini, ia menunjukkan bahawa jumlah yang tidak mencukupi telah digunakan."
Dalam ujian yang dijalankan oleh The Star dengan makmal bertauliah, semua 15 sampel didapati positif Koliform dan Clostridium perfringens.
Mesin menjual air banyak terdapat di bangunan pejabat, kediaman dan universiti atau kolej.
Orang ramai lebih suka membeli air ini kerana kosnya hanya kira-kira 20 sen seliter berbanding air botol, yang kosnya boleh mencecah lebih dari RM2 untuk jumlah yang sama.
Menurut sumber industri, pada tahun lepas Kementerian Kesihatan memulakan usaha di seluruh negara untuk memberikan lesen kepada pemilik mesin menjual air.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, banyak yang tidak memberi respons.
Untuk mendapatkan lesen, pengendali perlu mengeluarkan sejumlah RM450 untuk setiap mesin dan menghantar air dari mesin untuk ujian kualiti di Jabatan Kimia.
Mereka juga perlu membayar yuran pemprosesan lesen RM130.
Kos lesen selama dua tahun adalah RM150.
mStar Online
17 Ogos 2014
Wanita Rugi Lebih RM300,000 Ditipu Rakan Facebook
MIRI: Seorang kerani pentadbiran mendakwa kerugian RM348,050 akibat diperdaya seorang rakan lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak Januari 2014.
Wanita berumur 52 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 4.08 petang semalam mendakwa telah membuat 13 transaksi di pelbagai bank secara beransur-ansur, kata Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee.
Beliau berkata polis akan mendapatkan penyata bank milik mangsa dan meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk menyiasat kes itu.
"Jangan mudah percaya kenalan melalui Facebook, lebih-lebih lagi yang menjanjikan memberi pulangan keuntungan tinggi serta lumayan, ini modus operandi menipu," katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Gan berkata, wanita itu berkata rakan lelaki yang mendakwa warga Britain memaklumkan akan menghantar 120,000 pound (RM632,400) yang diwarisi daripada bapanya, secara pos ke Malaysia dan wang itu kononnya untuk menjalani kehidupan bersama-sama dengan mangsa.
Katanya pada 10 Julai lepas seorang wanita yang mendakwa warga Britain menghubungi mangsa dan memberitahu wang itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Gan berkata, wanita tersebut meminta mangsa membayar yuran pos sebanyak RM6,450 dan mangsa telah mendeposit wang tersebut dalam akaun bank yang diberikan wanita itu.
Beliau berkata, mangsa sekali lagi dihubungi wanita berkenaan untuk menambah bayaran dengan mendakwa untuk tujuan bayaran yuran peguam bagi mendapatkan sijil untuk membolehkan mendapatkan wang berjumlah RM632,400 itu.
"Mangsa dihubungi lelaki tersebut pada 18 Julai lepas dan mendakwa telah tiba di Kuala Lumpur serta meminta mangsa membuat pembayaran cukai (bagi mendapatkan wang itu)," katanya.
Wanita itu membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu, katanya.
Gan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
mStar Online
15 Ogos 2014
Sos cili PERISA cicak, lipas
MAWAR menunjukkan cicak (bulatan atas) dan lipas (bulatan bawah) di dalam plastik selepas mendakwa menjumpai bangkai serangga dan reptilia itu di dalam botol sos cili di Seremban semalam.
SEREMBAN - Seorang ibu dari Taman Jasmin Indah, Senawang dekat sini terkejut apabila sos cili jenama terkenal yang dibelinya baru-baru ini di sebuah kedai runcit di sini rupa-rupanya bercampur bangkai cicak dan lipas.
Bangkai cicak dan lipas dalam sos cili yang mempunyai tanda sijil halal itu disedarinya ketika ingin memasak ayam paprik sekitar pukul 6.30 petang Selasa lalu.
Mawar Malinda Zakaria, 33, mendakwa bangkai cicak sepanjang dua sentimeter dan lipas itu keluar selepas menuang sos itu ke dalam sebuah bekas.
"Saya terkejut apabila mendapati ada cicak dan lipas berbau busuk keluar dari botol sos," dakwanya lagi ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
KOSMO!14 Ogos 2014
Neelofa segan angkara gosip panas
- Neelofa berbual dengan Nik Abdul Aziz ketika mengadakan kunjungan di kediaman pemimpin itu di Pulau Melaka baru-baru ini.
Apatah lagi apabila pengacara sensasi itu sendiri enggan memberikan sebarang komen berkaitan gosip panas itu dan memohon maaf supaya tidak diganggu media.
Bagaimanapun sumber terdekat artis cantik dari Pasir Mas, itu juga memberitahu cerita hangat di media sosial itu tidak betul.
Berikutan berita yang belum sahih itu, sumber berkenaan berkata, Neelofa mula berasa tidak selesa dan agak malu dengan gosip tersebut.
“Saya mendapat tahu sejak berita tersebut tersebar, dia (Neelofa) rasa janggal dan malu dengan gosip yang mengatakan akan menamatkan zaman bujangnya dengan kerabat Diraja.
“Siapa yang kata dia akan kahwin dengan kerabat Diraja sedangkan dia sendiri tidak pernah jumpa dengan kerabat tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Dalam masa sama, sumber terbabit menafikan pertemuan bekas Dewi Remaja bersama bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini menjadi punca kepada khabar angin berkenaan.
“Lagipun pertemuan bersama pemimpin itu adalah untuk dapatkan nasihat daripada beliau bukannya berbincang pasal jodoh,” katanya.
Sinar Harian
MH17: Pembantu juruterbang antara 16 mayat dikenal pasti
KUALA LUMPUR: Jenazah pembantu juruterbang Muhammad Firdaus Abdul Rahim adalah antara 16 mayat warga Malaysia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang telah dikenal pasti dan akan dibawa pulang seawal-awalnya minggu depan.
Bapa saudara Muhammad Firdaus, Azman Ibrahim berkata pihak MAS memaklumkan perkembangan itu kepada ibu dan kakak mangsa yang menetap di Shah Alam semalam, namun masih belum diberikan tarikh sebenar jenazah akan tiba di Malaysia.
"Kami diberitahu jenazah mangsa dikenal pasti menerusi padanan DNA. Kami juga diberitahu keluarga akan dibawa ke Amsterdam untuk mengiringi jenazah balik ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Rabu.
Tambahnya walaupun keluarga masih bersedih dan tidak tahu keadaan jenazah mangsa, mereka lega kerana sekurang-kurangnya dapat menyempurnakan jenazah selain menunaikan hasratnya untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ayahnya di Teluk Intan, Perak.
Sebaliknya keluarga enam beranak Tambi Jiee tetap redha walaupun tidak mendapat sebarang perkhabaran daripada MAS berhubung nasib Tambi, isterinya Ariza Gazalee serta empat anak pasangan itu.
Sepupu Ariza, Zurusdi Mohamad Hol berkata keluarga masih menyimpan harapan untuk membawa pulang keenam-enam jenazah ke Semariang, Sarawak.
Turut sama menyimpan hasrat itu isteri pramugara Shaikh Mohd Noor Mahmood, Madiani Mahdi.
Madiani berkata pihak MAS menyuruh beliau bersedia namun masih belum menerima sebarang maklumat jika jenazah suaminya antara 16 yang akan dibawa pulang.
Tambahnya, pihak keluarga telah sepakat untuk mengebumikan arwah di kampungnya, di Klang jika jenazah mangsa berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat Boeing 777-200 itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Astro Awani
13 Ogos 2014
Pelanggan Restoran Pizza Diusir Keluar, Tukar Lampin Anak Di Meja Makan
SEORANG ibu diusir keluar dari sebuah restoran pizza kerana menukar lampin kotor anak perempuannya di meja makan.
Miranda Sowers dan tiga anaknya diusir keluar dari Brother's Pizza Express di Spring, Texas, selepas dia bertindak menukar lampin anak perempuannya yang berusia empat bulan di meja makan.
Ketika kejadian, Sowers sedang menjamu selera bersama anak-anaknya di restoran berkenaan.
Bercakap kepada stesen berita Texas, KHOU, dia pada awalnya membawa anaknya ke tandas di restoran berkenaan tetapi mendapati ia tiada ruang penukaran lampin.
"Saya mempunyai pelapik saya sendiri, dia (anak) kecil, muat di atas kerusi. Jadi, saya cepat baringkan dia dan menukarkan lampin secara diam-diam," katanya.
Pengurus restoran, Donny Lala berkata, pekerjanya membuat keputusan tepat mengusir wanita itu.
"Sebaik sahaja anda membuka lampin itu, pelanggan-pelanggan mula mengadu mengenai bau busuk. Pelanggan muntah (kerana bau busuk) adalah perkara terakhir yang saya mahu dengar," katanya kepada Sowers.
Sowers bagaimanapun tidak membiarkan insiden diusir dari restoran tersebut begitu sahaja, sebaliknya dia memfailkan aduan dengan Biro Perniagaan Lebih Baik. - mirror.co.uk
12 Ogos 2014
Gadis hilang selepas keluar raya keempat
Gambar berkaitan kehilangan Nuratikah (kiri) dalam media sosial.
Nuratikah Ishak dari Kampung Cherok Damar, Sik dipercayai keluar ke Sungai Petani pada hari raya keempat dan tidak pulang ke rumahnya selepas itu.
Bimbang keadaan dan keselamatannya, keluarga gadis itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik keesokan harinya.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim, mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa mengenai kehilangan Nuratikah.
“Kita ada menerima laporan daripada ibu bapa mangsa mengenai kehilangan anak perempuan mereka. Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat yang disebarkan dalam media sosial terutama Facebook yang mengatakan gadis itu dirogol 30 mat rempit dan dijual kepada tokan dadah tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Kemungkinan penyebaran maklumat itu adalah palsu. Ia mungkin berpunca dari perasaan dendam atau tidak puas hati rakan gadis yang menolak cintanya atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Penyebaran maklumat melalui media sosial yang luas tersebar, Nuratikah dikatakan tidak pulang ke rumah dan didakwa dirogol oleh sekumpulan mat rempit sebelum dijual kepada tokan dadah.
Berita itu juga dikatakan disebarkan oleh abang mangsa, Shukri Ishak yang turut meminta kerjasama semua pihak menghubunginya jika menemui Nuratikah.
Sinar Harian
11 Ogos 2014
Pemuda Terkejut, Gigi Tumbuh Dalam Hidung
MISTERI pendarahan hidung yang dialami seorang pemuda Arab Saudi sejak tiga tahun lalu berakhir dengan penemuan mengejutkan dirinya, pasukan perubatan dan ahli sains perubatan.
Mana tidaknya, apabila pemeriksaan dilakukan terhadap hidung lelaki berusia 22 tahun itu, doktor menemui sebatang gigi yang tumbuh dengan sempurna.
Menurut laporan Live Science, pemuda terbabit mengalami pendarahan hidung sejak tiga tahun lalu, namun tidak melakukan pemeriksaan kerana menganggap ia perkara biasa.
Imbsan x berhubung kedudukan gigi pemuda terbabit.
Bagaimanapun apabila bosan dengan pendarahan tanpa kesakitan itu, dia telah membuat pemeriksaan di Kompleks Perubatan Tentera Raja Fadh di Dhahran.
Doktor yang memeriksanya terkejut dengan penemuan itu dan menjadikannya sebagai satu penemuan baharu dalam sains perubatan.
Bagaimanapun hasil usaha kumpulan doktor pakar, gigi berkenaan berjaya dicabut bagi memberikan keselesaan kepada pemuda terbabit.
mStar Online
10 Ogos 2014
INFO KESIHATAN,Bantal perlu diganti setiap 2 tahun
Hampir 70 peratus bersetuju bantal yang selesa amat penting untuk tidur malam yang lena tetapi ramai antara kita melakukan kesilapan apabila memilih bantal kegemaran masing-masing. Kita akan menggunakannya terlalu lama.
Pengarah Institut Tidur untuk Hidup, Robert Oexman berkata, sebenarnya, bantal patut ditukar setiap enam bulan dan perlu diganti selewat-lewatnya setiap dua tahun.
“Ramai bercerita mengenai tilam yang semakin tidak selesa tetapi bantal sering dilupakan,” kata Oexman yang dipetik Huffington Post.
Anda tidak boleh lihat mereka tetapi mereka bertumpu di objek yang sering digunakan manusia seperti tilam dan permaidani” Mark R Neustrom. Persatuan Alahan dan Asma Bandaraya Kansas
Rumah kutu dan habuk
Tanpa disedari, bantal lama menjadi rumah kutu dan habuk boleh ditemui di tempat kita meletakkan muka setiap malam.
Habuk, minyak dan sel kulit mati terperangkap di bantal boleh membawa masalah jerawat. Hama yang tergolong dalam keluarga labah-labah juga suka berada di bantal.
“Anda tidak boleh lihat mereka tetapi mereka bertumpu di objek yang sering digunakan manusia seperti tilam dan permaidani,” kata Mark R Neustrom dari Persatuan Alahan dan Asma Bandaraya Kansas.
Pembalut kedap udara tilam dan bantal pasti akan membantu selain membasuh tilam dan bantal selalu. Tempoh 30 minit dalam pengering juga membantu membersihkan kotoran dari bantal anda, kata Oexman.
Pilih bantal sesuai
Apabila tiba masa untuk membeli bantal baharu, pastikan matlamat adalah memilih bantal yang memenuhi ruang antara kepala dan bahu apabila anda baring.
“Bantal sempurna meletakkan kedudukan kepala lurus ketika anda bergerak dalam keadaan tidur yang digemari, katanya.
Mereka yang tidur atas perut atau belakang memerlukan bantal lebih nipis berbanding mereka yang tidur di sisi, kata Oexman.
Pemilihan bahan bantal span, kekabu atau gel tidak menjadi masalah. Apabila membeli tilam, anda juga perlu membeli bantal baharu berikutan perubahan jarak kepala dan bahu akibat perubahan keanjalan tilam.
- AGENSI
09 Ogos 2014
Anak Hilang Dihanyut Tsunami 10 Tahun Lalu Ditemui Semula
Jamaliah (kiri) sedia untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan bahawa Raudhatul (kanan) sememangnya adalah anak perempuannya. Foto AFP
SEORANG budak perempuan yang hilang dalam tragedi tsunami pada 2004 ketika berusia empat tahun dipertemukan semula dengan keluarganya selepas 10 tahun terpisah.
Raudhatul Jannah, 4, dan abang lelakinya terpisah dari ibu bapa mereka apabila bencana tsnami di Lautan Hindi melanda kampung halaman mereka pada 26 Disember 2004.
Ibu bapa Raudhatul mencari anak-anak mereka berbulan-bulan, tetapi takut tidak dapat menemuinya.
Beberapa tahun selepas itu, bapa saudara Raudhatul berkunjung ke sebuah pulau lain di mana menemui seorang budak perempuan yang difikirkannya adalah anak saudaranya.
Bapa saudaranya kemudian memberitahu Ibu Raudhatul yang masih berduka dengan kehilangan kedua-dua anaknya segera menyedari budak perempuan itu adalah anaknya, yang kini berusia 14 tahun.
Dikatakan bahawa Raudhatul terselamat dalam tragedi itu dengan memaut pada sebatang kayu dihanyutkan sehingga kepulauan terpencil di barat daya kampung halamannya, di mana dia dibesar selama 10 tahun oleh ibu kepada seorang nelayan yang menemuinya..
Ibu Raudhatul, Jamaliah memberitahu DPA: "Saya dan suami amat gembira kerana kami telah berjumpanya. Ini adalah keajaiban Tuhan.
"Jantung saya berdegup kencang apabila bertemu dengannya. Saya peluk dia dan dia peluk saya kembali, dan dia begitu selesa berada di pangkuan saya," tambahnya.
Raubhatul yang mempunyai masalah pembelajaran ekoran trauma yang dialaminya akibat tsunami, kini tinggal bersama keluarganya di Meulaboh.
Jamaliah berkata, dia sanggup untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan bahawa Raudhatul semenangnya adalah anak perempuannya.
Keluarga itu berharap agar abang Raudhatul yang turut hilang dalam insiden tsunami itu ketika berusia tujuh tahun, dapat ditemui semula.
- metro.co.uk (mStar Online)
Langgan:
Catatan (Atom)