17 Mac 2014

Lelaki Dakwa Memaku Kepala Sendiri

Imbasan x menunjukkan kedudukan paku yang tertanam di kepala lelaki terbabit.
FUJIAN, CHINA: Seorang lelaki berusia 69 dianggap bertuah kerana masih mampu hidup selepas memaku kepalanya dengan tiga batang paku sepanjang 10 sentimeter setiap satu.
Dalam kejadian yang berlaku tiga bulan lalu itu, lelaki malang yang tidak didedahkan identiti dirinya mengakui memaku kepalanya sendiri walaupun pasukan perubatan percaya perbuatan itu dilakukan oleh individu lain.
Hasil imbasan x juga mendapati paku tersebut tertanam kemas di kepala mangsa bagaimanapun tidak memberikan sebarang kecederaan serius kerana kedudukannya di kawasan selamat.
mstar
Warga emas itu telah menjalani pemulihan sejak tiga bulan lalu di sebuah hospital di Haifeng di sini sebelum dibenarkan keluar dalam keadaan sihat apabila paku berkenaan berjaya dibuang.
Siasatan polis yang dibuat setakat ini juga tidak membawa kepada penahanan warga emas terbabit termasuk individu lain yang dipercayai mencederakan mangsa.
Kecederaan lelaki terbabit menjadi antara pesakit pelik yang pernah dirawat di hospital berkenaan setakat ini.
Sumber

Mayat bayi atas pam tandas

Mayat bayi perempuan yang ditemui

SEREMBAN – Seorang tukang cuci terkejut apabila mendapati beg dalam tandas wanita yang disangka barang orang tertinggal, rupanya berisi mayat seorang bayi.

Kejadian berlaku di hentian bas dan teksi Terminal One di sini, kira-kira 7 petang semalam, apabila Kyaw Mioo, 32, yang merupakan warga Myanmar mendapati mayat seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam beg yang ditinggalkan di atas penutup pam tandas berkenaan.

Menurutnya, ketika itu dia masuk ke dalam tandas berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan.

“Apabila saya membuka pintu tandas ketiga, saya nampak ada beg berwarna oren di atas pam tandas. Saya sangka mungkin ada orang tertinggal.

“Saya cuba melihatnya, tapi  mula terhidu bau busuk sebelum ternampak ada kepala bayi,” katanya yang bekerja di situ sejak tujuh bulan lalu.

Kyaw Mioo berkata, dia yang terkejut membawa beg berkenaan keluar dan memberitahu majikannya.

Menurutnya, setelah diperiksa, mereka mendapati terdapat mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat.

Sementara itu, pengurus pembersihan tandas di perhentian bas berkenaan, Roslan Mohd Nor, 47, berkata, walaupun mereka duduk di bahagian kaunter bayaran tandas, dia bersama pekerja lain tidak terhidu sebarang bau busuk.

"Kami memang tidak bau apa-apa sebab di sini disediakan pewangi Dettol. Saya pun tidak perasan siapa yang terakhir masuk ke dalam tandas sebelum mayat bayi itu dijumpai.

“Tapi apabila beg plastik itu dibawa keluar, baunya sangat busuk menyebabkan saya sendiri pun takut mahu melihatnya,”katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.

Beliau berkata,  siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan ibu kepada bayi berkenaan.


Sinar Harian

15 Mac 2014

Penduduk gempar objek berkilauan di langit

Pemandu kereta sewa menunjukkan tempat mereka melihat objek seperti kertas dan berkilauan, petang kelmarin.

KUALA KRAI - Pemandu kereta sewa daerah ini dan orang ramai yang melalui jalan berhampiran Pasar Besar Kuala Krai gempar apabila mendakwa melihat objek seperti kertas bersaiz A4 yang berkilauan di langit kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.

Mereka mendakwa, objek berkenaan kelihatan seolah-olah seperti kertas dalam jumlah yang banyak dibuang dari jarak tinggi dan tersusun jatuh.

Dakwa mereka lagi, objek berkenaan dapat dilihat dalam masa kurang satu jam dan ramai pengguna yang memberhentikan kenderaan masing- masing untuk melihatnya.

Ramai yang kagum melihatnya dan beranggapan kesemua itu berlaku atas kehendak ALLAH SWT kerana manusia tidak dapat mencampak apa-apa  barangan daripada ketinggian seperti itu.

Salah seorang yang menyaksikan kejadian tersebut ialah Zalahuddin Ismail, 53.
Pemandu kereta sewa itu menyaksikan sendiri kejadian itu berhampiran stesen kereta sewa selepas dimaklumkan dua wanita yang dipercayai mula-mula melihatnya.

Menurutnya, pemandu kereta sewa yang berada di stesen berkenaan sempat melihat kejadian dianggap pelik itu kemudian diikuti pengguna jalan yang memberhentikan kenderaan setelah dimaklumkan tentang perkara itu.

“Objek seperti ini tidak pernah dilihat sebelum ini dan gambar objek tersebut sukar dirakam kerana kedudukan terlalu jauh.

“Objek ini sesekali kelihatan terlindung di sebalik awan, jatuh sebelum hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui pagi semalam.

Zalahuddin berkata, walaupun hanya seketika dapat melihat objek tersebut, dia yakin ia berlaku atas kekuasaan ALLAH SWT.

Rakannya, Hasan Husin, 56, dari Bukit Sireh berkata, dia tidak pernah melihat kejadian seumpamanya sebelum ini.

Dia yakin kejadian berlaku atas kehendak ALLAH  SWT yang mahu manusia sedar semua boleh berlaku dengan keizinan-Nya.

Menurutnya, jalan berhampiran stesen kereta sewa sesak seketika memandangkan orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing untuk turut melihat kejadian luar biasa itu.

Bagi Pengerusi Persatuan Kereta Zewa Kuala Krai, Mohd Yusoff atau lebih dikenali sebagai Abang Pa berkata, seumur hidupnya ini adalah kali pertama dia melihat objek seperti kertas berada di sekitar awan kemudian jatuh.

Menurutnya, objek berkenaan dapat dilihat dengan jelas dan adakalanya terlindung di sebalik awan dan jatuh sehingga jumlahnya berkurangan dan hilang dari pandangan kurang dari satu jam.

Sinar Harian

Bayi perempuan lahir dengan dua kepala

JURURAWAT sedang membetulkan kepala bayi perempuan kembar siam di hospital di Sonipat, India. FOTO Sanjeev Ghangas/Cover Asia Press
SONIPAT (India): “YA, laporan ini adalah benar iaitu kami menyambut kelahiran bayi perempuan yang mempunyai dua kepala," kata Ketua Pegawai Eksekutif Cygnus JK Hindu Hospital, Dr Ashish Sehgal.
Beliau memberitahu ABCNews.com menerusi emel: “Bayi perempuan itu hidup dan sihat.”
Sehgal berkata, mereka menyambut kelahiran bayi perempuan yang mempunyai berat 5.3 paun atau 2.40 kilogram menggunakan kaedah pembedahan Caesarean, di hospital berkenaan, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Delhi, Rabu lalu.

The New York Daily News pula melaporkan ibu kepada bayi berkenaan, Urmila Sharma, tidak mampu untuk melakukan ujian ultrasound dan tidak tahu dia akan melahirkan anak kembar siam.
Dr Shikha Malik iaitu pakar perubatan yang menyambut kelahiran bayi berkenaan berkata: "Kami hanya tahu mengenai kandungan Urmila dua minggu lalu. Tapi, ketika itu kami tidak dapat berbuat apa-apa."
Sementara itu, mengikut Daily Mail, kembar siam itu mempunyai `dua kepala, dua leher dan dua tulang belakang' tetapi berkongsi satu badan. 
myMetro

13 Mac 2014

MH370: Kaedah Bomoh Bercanggah Dengan Islam - Jakim

Jakim memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

PETALING JAYA: Kaedah bomoh yang digunakan untuk mencari penerbangan MH370 yang hilang jelas bercanggah dengan amalan Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam satu kenyataan Rabu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Haji Othman Mustapha berkata walaupun hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

"Rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

"Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.

"Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat," katanya.

Katanya, dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004, Jakim telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam.



Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim www.islam.gov.my.

Othman mengingatkan semua masyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan, atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.

"Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah SWT," katanya.

Beliau turut memuji pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan bantuan asing yang menggunakan pendekatan sains, kepakaran teknikal dan teknologi canggih dalam usaha untuk mencari pesawat yang hilang.

"Walaupun tidak ada petunjuk tentang di mana pesawatberada, kita tidak boleh berputus asa. Saya yakin kita akan mendapat petunjuk mengenai misteri pesawat yang hilang dengan izin Allah," katanya.

mStar Online

12 Mac 2014

MAS Terkejut Dakwaan Terhadap Pembantu Juruterbang MH370

Fariq Ab Hamid

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) melahirkan rasa terkejutnya berkaitan dakwaan yang dilempar terhadap pembantu juruterbang MH370, Fariq Ab Hamid.

Menurut satu kenyataan pada Selasa, syarikat penerbangan negara itu berkata MAS memandang serius terhadap dakwaan itu.

"Kami tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar dan video berkenaan. Seperti yang anda sedia maklum, kami sedang mengalami krisis dan tidak mahu tumpuan kami dialih," katanya.

MAS turut menggesa media dan orang awam agar menghormati privasi keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal penerbangan MH370 kerana mereka berdepan masa yang sukar ketika ini.

"Kebajikan keluarga anak kapal dan penumpang kekal menjadi fokus kami. Pada masa yang sama, keselamatan penumpang adalah perkara paling penting bagi kami," kata MAS ketika mengulas dakwaan yang dimuat naik Channel 9 News dari rangkaian Televisyen Australia dalam laman sesawangnya bertajuk 'Woman remembers cockpit fun with missing pilot' pada Selasa.

Fariq merupakan antara 12 anak kapal penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.


mStar Online

11 Mac 2014

Misteri kehilangan Pesawat MH370,Penumpang 'hantu' bukan pengganas

Suspek warga Iran, Poria Nour Mohamad Mehrdad
Sepang: Polis sudah mengenal pasti seorang daripada dua individu yang menggunakan passport palsu untuk menaiki pesawat MH370.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, individu itu dikenali sebagai Pouria Nur Mohamad Mehdrad, 19, dipercayai warga Iran yang ingin bermigrasi ke German.
Lelaki itu menggunakan pasport warga Austria yang dilapor hilang di Thailand oleh pemilik sebenar, sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dilakukan terhadap individu terbabit mendapati lelaki berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
"Kami sedang mengenal pasti seorang lagi individu yang turut menggunakan passport palsu.
"Buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat daripada polis negara lain," katanya.
Harian Metro

'Raja Bomoh' turut bantu cari Pesawat MH370


SEPANG - Kehilangan pesawat MH370 sejak Sabtu lepas turut mendapat perhatian "Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP" Ibrahim Mat Zin.

Beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, mendakwa dijemput oleh seorang pegawai tertinggi negara bagi menggunakan kaedah ilmu tradisional dan solat hajat.

"Kami menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta, berdoa supaya melepaskan mangsa-mangsa yang terlibat agar dapat dijumpai secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang melakukan solat sunat hajat di kawasan pintu ketibaan KLIA turut mendapat perhatian orang ramai yang tidak berputus asa mendoakan pesawat yang hilang ditemui selamat.

"Walaubagaimanapun, saya akan kembali ke KLIA dalam masa dua hari selepas melakukan doa dengan membawa sesuatu ke sini," katanya.

Pada masa sama, Ibrahim juga meminta orang ramai meneruskan upacara keagamaan masing-masing mendoakan supaya kesemua penumpang dan anak kapal selamat kembali ke tanah air.

Raja Bomoh berpengalaman selama 50 tahun itu menjadi popular apabila memberi perkhidmatannya dalam beberapa kes bencana negara termasuk kejadian Highland Tower runtuh, kes pencarian mayat semasa banjir di Kuala Dipang, Kampar Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.

 - Bernama

10 Mac 2014

Surat berusia 101 tahun ditemui

Fischer (kiri) menemui mesej dalam botol yang dihantar sebelum Perang Dunia Pertama

KIEL - JERMAN. Sekumpulan nelayan dari Heikendorf di utara Jerman menemui surat dalam botol berusia 101 tahun.

Menurut Konrad Fischer, antara isi poskad dari Denmark yang dihantar menggunakan dua keping setem Jerman itu meminta mereka yang menemui botol terbabit untuk menghantar ia semula ke alamat di Berlin.

"Saya berasa sangat teruja apabila melihat tarikh yang terdapat pada poskad itu,"katanya menurut laporan DailyMail.

Difahamkan, pengirim botol itu, Richard Platz menulis nota tersebut pada 17 Mei 1913, setahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Mesej dalam botol paling lama yang pernah ditemui adalah berusia 97 tahun dan ia turut disenaraikan dalam Rekod Dunia Guiness.


Sinar Harian

ROZITA CHE WAN SAH MENGANDUNG

Foto alat ujian kehamilan yang dimuanaik dalam Instagram milik Rozita Che Wan.
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan pada petang Isnin mengesahkan sedang hamil anak pertamanya bersama aktor Zain Saidin menerusi laman Instagram miliknya.
Rozita, 41, dalam satu entri di laman tersebut memberitahu dia mengetahui sedang mengandung selepas melakukan sendiri ujian kehamilan selain turut gembira kerana dapat memberikan seorang anak buat suaminya.
"Alhamdulillah, ...syukur dengan nikmat mu ya Allah," katanya pada kapsyen gambar alat ujian kehamilan yang dimuat naik di Instagram milik Rozita.
Bagaimanapun Rozita tidak memberikan butiran lanjut mengenai kandungannya itu.
Sebelum ini menerusi laporan mStar Online pada 3 Mac lalu, Zain, 30, pernah meluahkan perasaan gembiranya bahawa Rozita berkemungkinan besar sudah mengandung.
Bagaimanapun ketika itu, Rozita belum membuat pemeriksaan doktor lagi dan Zain menyifatkan ia sebagai sebuah hadiah hari lahir (pada 23 Februari lalu) yang terbesar pernah diterimanya jika Rozita benar-benar mengandung.
Zain dan Rozita telah berkahwin pada 12 Disember tahun lalu di Setia City Convention Centre, Shah Alam.
Rozita juga mempunyai dua cahaya mata anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.
mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !