Liyana Jasmy
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay mengakui semakin berdebar dan takut untuk melalui hari kelahiran cahaya mata pertama yang dijadualkan Mei depan.
Liyana, 26, berkata, dia sering melakukan senaman yoga dan menonton video yang dapat membantu memudahkan proses melahirkan bayi.
"Perasaan semakin berdebar dan semakin takut kerana kalau boleh saya ingin melahirkan bayi ini dengan cara normal.
"Pada usia kandungan yang sudah mencapai tujuh bulan ini, saya sering buat senaman yoga bagi mendapatkan pernafasan yang betul dan ada juga menonton YouTube tentang cara-cara orang bersalin," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single nyanyiannya bersama Shaheizy di Talent Lounge, Damansara Perdana, di sini, Rabu.
Single berjudul Bangun itu dihasilkan untuk kempen Nescafe On Sam.
Dalam pada itu, Liyana bersyukur proses kandungannya berjalan lancar dan tidak menerima sebarang alahan yang teruk.
Tambahnya, segala persiapan untuk menyambut kelahiran bayi tersebut sudah dilakukan.
"Barang-barang bayi semua sudah ada, malah mungkin terlebih dari cukup sebab saya sering membeli secara online.
"Baju dan barang-barang bayi sama mahalnya dengan barang orang dewasa tapi sekarang saya sudah tidak fikir belanja untuk diri sendiri sebaliknya banyak untuk anak yang bakal lahir ini," katanya yang enggan berkongsi jantina bayi tersebut.
Tambah Liyana, dia akan mengadakan kenduri doa selamat sebelum bersalin.
Sementara itu, bercakap tentang kerjaya, Liyana berkata, dia akan kembali aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian selepas bersalin kelak.
"Selepas bersalin saya akan kembali berlakon dan sibuk dengan promosi dua filem yang akan keluar iaitu Sindiket dan Isyarat Cinta, yang mana masa untuk menghabiskan kerja yang tertangguh sepanjang mengandung ini.
"Selepas semuanya selesai barulah saya berehat untuk seketika bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada bayi untuk membolehkan dia membesar dahulu," katanya.
Liyana berkata, suaminya, Fathuddin Mazlan tidak pernah menghalang apa juga keputusannya terhadap kerjayanya.
mStar Online