Memaparkan catatan dengan label Informasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Informasi. Papar semua catatan

23 Januari 2014

Nurul Wahab buka rahsia turun 14 kg dalam masa 3 bulan

Nurul Wahab

BUKAN senang untuk kekal langsing selepas bersalin, malah ada di kalangan wanita gagal mendapatkan bentuk badan asal biarpun selepas habis berpantang.

Namun buat penyanyi, Nurul Wahab yang baru melahirkan anak kedua hasil perkahwinan bersama jejaka Perancis, Eric Depp ini, ia bukanlah mustahil.

Selepas tiga bulan bersalin, dia berjaya menurunkan 14 kilogram berat badannya.

Pasti ramai wanita di luar sana mahu berkongsi tip langsing daripada penyanyi ini.

Jom kita tinjau rahsianya.

Anda tidak mengambil masa yang lama untuk kekal langsing selepas bersalin, apakah rahsianya?

Alhamdulillah, selepas tiga bulan melahirkan anak, berat badan sudah berkurang sebanyak 14 kilogram. Sekarang saya target untuk turunkan lagi 4 kilogram untuk mendapatkan berat badan ideal saya.

Sebenarnya tidak ada rahsia cuma saya amat menjaga pemakanan sepanjang waktu berpantang. Kebanyakan makanan mengandungi banyak karbohidrat, jadi saya kurangkan makanan seperti itu dan lebihkan pengambilan protein untuk kurangkan berat badan dengan cepat. Pada masa yang sama, saya juga ada amalkan makanan kesihatan berbentuk minuman setiap pagi.

Selain itu, saya lakukan aktiviti bersenam untuk kembalikan bentuk badan asal sebelum mengandung.

Selain kembali langsing, anda juga sentiasa kelihatan ceria, apa rahsianya?

Hidup ini kena selalu ceria sebab bila kita sentiasa gembira, tenaga yang baik juga akan datang. Memang masalah akan selalu berlaku tapi kita perlu hadapinya dengan ceria.

Satu lagi, bila hidup sudah lengkap, memang kita akan selalu gembira begitu juga dengan saya.

Apakah yang anda lakukan sebagai terapi diri untuk membuatkan anda rasa lebih tenang?

Setiap minggu memang saya akan lakukan aktiviti menunggang kuda. Biasanya saya lakukannya dua kali seminggu.  Walaupun agak mencabar, bagi saya aktiviti ini berkesan sebagai terapi diri untuk hilangkan tekanan.

Selain itu, apa yang anda lakukan pada waktu lapang?

Saya juga akan habiskan masa di gimnasium tiga kali seminggu. Di sana saya turut lakukan yoga. Bila lakukan aktiviti ini, bukan sahaja saya dapat kekalkan stamina, tetapi juga ketenangan.

Penjagaan kulit muka yang anda amalkan?

Sebagai duta produk kecantikan Skinz Infinite memang saya mementingkan penjagaan kulit. Untuk pengetahuan, memang saya gunakan produk tersebut setiap hari.

Penjagaan kulit memang penting kerana kulit saya sentiasa terdedah dengan solekan.

Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Saya memang ada ambil vitamin C dan D dan itu juga penting tambahan pula dengan usia saya yang sudah mencecah 36 tahun ini, memang perlu pengambilan suplemen ini.

Perkembangan karier nyanyian?

Terbaharu, saya sedang membuat perjanjian dengan syarikat rakaman dan berbincang untuk single terbaru saya. Sekarang ini kami sedang menunggu single itu siap sepenuhnya dari penyanyi Shila Amzah sebagai pencipta lagu tersebut.

Kembali aktif dalam bidang nyanyian, bagaimana anda bahagikan masa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu?

Walaupun sebelum ini saya tidak tampil dengan lagu baru, saya masih aktif menyanyi di majlis-majlis tertentu. Biarpun sekarang sudah ada baby baru, semuanya masih sama cuma saya perlu bijak bahagi masa.

Kredit : Hiburan Sinar

19 Januari 2014

Rakyat Buang 30,000 Tan Sampah Setiap Hari

imej google
KUALA LUMPUR: Penduduk di negara ini dianggar membuang sehingga 33,000 tan metrik sampah setiap hari, menjurus kepada RM1.2 bilion dibelanjakan untuk kerja pengutipan sampah tahun lepas.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, DatukHalimah Mohd Sadique berkata, angka itu pada asalnya menjadi jangkaan bagi 2020,namun ia berlaku tujuh tahun lebih awal.
Katanya, di bandar besar seperti Kuala Lumpur, purata jumlah sampah yang dibuang seorang individu ialah 1.25 kilogram (kg) sehari tahun lepas.
Bagi purata keseluruhan penduduk pula, 0.8kg sampah dihasilkan seorang individu sehari.
"Sekarang ini memang kritikal sebab setiap individu secara purata hanya boleh membuang sekitar 0.8kg sampah sahaja, tidak boleh lebih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 'Anti-Litter' Kenderaan di sini, Ahad.
Halimah berkata, jumlah sampah yang semakin meningkat akan memberi kesan kepada kos menguruskan sisa pepejal berikutan kawasan pelupusan sampah yang semakin terhad sedangkan sisa bahan buangan semakin banyak.
Beliau menarik perhatian bahawa amalan pengurusan sampah oleh penduduk juga rendah apabila hanya 10 peratus sampah dikitar semula.
"Pada 2020, kita menjangkakan sampah kitar semula akan meningkat kepada 22 peratus," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang mengenakan sebarang denda atau penguatkuasaan lebih ketat seperti negara lain kepada individu yang membuang sampah merata-rata.
"Memberi kesedaran terhadap amalan betul dalam menguruskan sampah dan gaya hidup harian yang mengutamakan kebersihan adalah lebih penting," katanya.
Kempen kebersihan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam itu diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya tidak membuang sampah merata-rata dari kenderaan mereka.
Program secara berterusan itu akan diperluaskan ke negeri  lain dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. 
- BERNAMA

Port Mak Ngah Skodeng !