04 Februari 2014

Sharifah Sakinah anggap Seksi biasa buatnya

KATA Sakinah, dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri.

JIKA dunia glamor dipilih untuk dijadikan kerjaya, setiap individu itu perlu bersedia untuk diperhatikan oleh orang awam, khususnya para peminat yang tidak pernah lekang dengan seribu satu soalan dan bermacam kritikan. Lebih-lebih lagi apabila kritikan itu mudah disalurkan secara terus melalui laman media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.

Tidak terlepas daripada situasi ini, pelakon Sharifah Sakinah, 25, dikatakan sengaja mengundang kontroversi apabila beberapa keping gambarnya berpakaian baju renang dimuat naik menerusi akaun peribadi Instagram miliknya.
Tidak kurang juga sekeping gambar yang diambil oleh jurulatih peribadinya yang menampakkan Sakinah mengenakan pakaian renang jenis two-piece sewaktu bercuti di Dubai beberapa bulan lalu. Selain itu, pelakon yang pernah membintangi telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini sering mempamerkan bentuk tubuh baharunya selepas bergiat aktif dalam bidang kesihatan.
Sewaktu berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N’dah Catering, Shah Alam, Selangor, pelakon yang lebih mesra disapa Sakinah itu mengaku bahawa dia masih ingat hukum hakam agama dan bukan sengaja memuat naik gambar tersebut untuk meraih sebarang publisiti. Ikuti temu bual selanjutnya bersama adik kepada pelakon Sharifah Shahirah itu.
Kosmo!: Gambar anda mengenakan pakaian renang jenis two-piece dimuat naik oleh jurulatih anda di akaun peribadi miliknya ketika berada di Dubai. Adakah anda tidak sensitif dengan agama?
SAKINAH: Sebagai seorang Islam, saya masih tahu tentang hukum agama. Saya turut sedar mengenai larangan mendedahkan aurat. Tetapi, saya hanya menjadi diri saya. Saya tidak memuat naik gambar-gambar tersebut kerana mahukan publisiti. Saya langsung tidak meletakkan sebarang kapsyen provokasi pada setiap gambar.
Adakah anda sedar bahawa anda sering diperhatikan, terutamanya oleh para peminat yang sering mengikuti perkembangan anda?
Seperti yang saya katakan tadi, saya hanya menjadi diri saya sendiri. Saya berlakon kerana minat dan saya bergiat aktif dalam bidang kesihatan juga kerana minat. Bagi saya, jika setiap benda yang dilakukan itu dipandang positif, maka tiada sebarang tanggapan buruk yang akan dikeluarkan.
SEDAR dirinya seksi, Sharifah Sakinah memberitahu dia cuba memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.

Pernah berasa menyesal kerana kehidupan peribadi sering dijadikan bahan bualan sejak anda bergelar selebriti?

Kontroversi telah melanda saya sejak sebelum saya bergelar seorang pelakon lagi. Ketika itu, saya dikenali sebagai adik kepada Sharifah Shahirah. Bayangkan, sebelum saya dikenali ramai, gambar-gambar saya bersosial bersama rakan-rakan telah tersebar di internet dan orang telah mula bercakap mengenai saya. Jadi, apabila benda-benda seperti itu berlaku sekarang, saya hanya berdiam diri.
Apakah tindakan anda seterusnya?
Saya akan meneruskan apa yang saya lakukan sekarang dan cuba menjadi diri sendiri. Sejujurnya, saya akan memperbaiki diri saya berperingkat dan lebih berhati-hati dengan apa yang saya kongsikan.
Bercakap mengenai kesihatan, bagaimana anda boleh terjebak dengan mengadakan kelas bersenam di KLCC bersama para peminat?
(Sambil tertawa) Oh, ia bermula secara kebetulan. Ketika itu, saya hanya mengajak peminat secara suka-suka untuk mengikuti saya bersenam di KLCC. Lama-kelamaan, banyak permintaan yang diterima setiap hari. Bilangan pengikut di akaun Instagram @fitnessakinah turut naik dengan mendadak. Alhamdulillah, hobi yang dahulu saya lakukan sendirian dapat dikongsi bersama orang lain.
Adakah anda cuba untuk menjadi Kevin Zahri versi wanita?
Tidak sama sekali. Kevin Zahri merupakan seorang yang profesional dalam bidangnya. Saya hanyalah seorang individu biasa yang cuba berkongsi cara saya menjaga kesihatan dengan para peminat. Pendekatan saya adalah lebih santai dengan menggunakan cara bersenam yang boleh dilakukan di rumah.
Pelakon dan pelawak Didie Alias pernah menyebut nama anda sebagai penggantinya. Boleh komen sedikit mengenai kenyataan tersebut?
Saya tidaklah menganggap diri saya sebagai pengganti tetapi lebih kepada pelapis. Kak Didie dahulu turut menjadi pelapis kepada pelakon-pelakon komedi veteran yang lain dan saya turut tidak terkecuali. Pelakon-pelakon seangkatan dengan saya seperti Neelofa, Izzara Aisyah dan Anzalna kesemuanya bukan ke arah komedi. Jadi, mungkin senang bagi peminat untuk mengingati saya.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya baru tamat penggambaran telemovie berjudul Tesis Terakhir dan akan menyertai sebuah sitkom bertajuk Yan Merempit. Saya sengaja memilih sitkom kerana ia lebih santai, berbentuk komedi dan saya dapat mengimbangi jadual untuk meneruskan kelas kesihatan bersama peminat dengan lebih mudah.
KOSMO!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !