Memaparkan catatan dengan label Aktor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktor. Papar semua catatan

28 Oktober 2014

'Saya sedia dipanggil sotong' - Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz Ahmad

PELAKON kacak, Sharnaaz Ahmad, meminta agar peminat melupakan 'Jebat' seketika untuk memberi peluang kepada Farish menerusi drama terbaharunya, Suamiku Encik Sotong yang mula bersiaran sejak semalam.

Mengakui bukan mudah membawa watak lelaki lembut, Sharnaaz menganggap ia adalah pengorbanan dalam karier lakonan demi tuntutan watak.

"Ini adalah kali pertama saya mencabar diri untuk membawa watak seumpama ini. Malah saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk menerima tawaran ini memandangkan watak ini jauh berbeza dengan diri saya. Namun, jalan cerita sangat menarik!

"Menerusi drama ini, saya turut mengorbankan imej dengan membiarkan perut sedikit buncit walaupun mempunyai pusat gimnasium sendiri. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada penonton sekiranya lakonan kali ini tidak menjadi.

"Sehingga kini, saya tidak berani  menonton 'playback' takut timbul rasa tidak puas hati. Sejujurnya saya sudah mencuba sebaik mungkin. Kalau dulu orang panggil saya Jebat, sekarang saya bersedia dipanggil 'sotong'," katanya sambil ketawa.

Jelas Sharnaaz, drama ini bukanlah bertujuan mengeksploitasi golongan lelaki lembut, namun lebih kepada situasi di mana golongan ini sering dipergunakan orang lain.

"Dalam drama ini, saya sering menjadi mangsa Erica lakonan Amyra Rosli yang juga isteri saya sendiri. Namun, saya berkawan baik dengan Dhia (Hanis Zalikha) namun saya merahsiakan status saya daripadanya.

"Untuk mendalami watak ini, saya banyak melihat golongan ini bercakap termasuk kawan-kawan mekap artis dan memerhatikan cara berbual serta sikap mereka. Walaupun ia drama komedi, namun saya tetap memastikan hasil kerja saya terbaik dan buat betul-betul," katanya yang turut tampil bersama Nelydia menerusi drama, Setitis Kasih Darmia di TV9.

Drama arahan Eoon Shuhaini ini disiarkan setiap Isnin, 10 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.

Selain kerjaya, Sharnaaz turut diheret dalam kancah kontroversi apabila dia menempelak wartawan akhbar (bukan Sinar Harian) berhubung artikel yang dikaitkan dengan kemalangan ngeri motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan dua penunggang maut.

Tegas Sharnaaz, dia menyifatkan  penulis itu tidak menghormati keluarga si mati dan tidak berfikir panjang sebelum menulis.

"Arwah Zali (Hazalli Khalid, 32,) adalah sahabat saya dan saya juga dari golongan 'rider'. Jangan sesekali menulis tanpa asas yang kukuh sekiranya anda bukan dari golongan ini kerana anda tidak akan faham.

"Cuba anda berada di tempat itu, bagaimana rasanya? Jangan sesekali cuba guna bahasa 'double standard' yang boleh membawa kepada pemahaman negatif!," katanya lagi.


Sinar Harian

10 Mei 2014

Isu Persenda Hudud, Harith Iskander Mohon Maaf

Harith Iskander tidak bermaksud menghina Hudud.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harith Iskander memohon maaf apabila status yang dimuat naik di Twitter miliknya mengenai hukum Hudud bertujuan untuk berjenaka mendapat kritikan ramai.

Harith, 43, berkata, dia tidak berniat mahu mempertikaikan peraturan  dalam agama Islam itu tetapi ia telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

"Saya ingin memohon maaf sekiranya status di Twitter itu mengundang rasa tidak senang hati mana-mana pihak.

"Jujurnya saya tidak berniat mahu mempermainkan agama sendiri. Kalau boleh saya tidak ingin membesarkan isu ini kerana ia hanya perkara kecil yang telah disalah ertikan.
harith iskander twit
Inilah status mengenai Hudud pada Twitter Harith yang mengundang kemarahan orang ramai.
"Mungkin ada pihak yang mempunyai masa mahu membesarkan sesuatu (isu Hudud) itu," katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini pada Jumaat.

Pada Khamis lalu, Harith dalam satu status Twitter miliknya telah berjenaka mengenai hukum Hudud.

Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan beberapa pengikut laman Twitter  itu menegurnya kerana perbuatan itu dilihat seperti mempersendakan agama Islam.

Hudud merupakan satu bentuk hukuman terhadap umat Islam yang melanggar tuntutan agama dan ia ditetapkan Allah sebagaimana tertulis dalam Al-Quran dan hadis.

Dalam pada itu, Harith berkata, perkara itu juga membuatkan ada beberapa peminatnya bertindak tidak mengikut akaun Twitter miliknya lagi.

"Dalam dunia media sosial ini kita diberi pilihan. Ada beberapa follower saya yang mengumumkan mereka nak unfollow  dan saya hormat keputusan itu sebab ia pilihan mereka.

"Bagi saya kalau ada seseorang yang bercakap sesuatu yang saya tak suka, saya juga akan melakukan perkara sama (unfollow)," ujarnya.

mStar Online

27 Mac 2014

Datuk Ali Mamak meninggal dunia

Ali Mamak

PELAWAK terkenal era 80an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah portal hiburan, Allahyarham yang dikenali melalui sitkom ‘Santan Berlada’ meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Perkara ini juga disahkan oleh anak lelakinya, Shahrul Nizam melalui akaun Facebook (FB) peribadinya.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Batu 14, Hulu Langat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat, Selangor untuk dikebumikan sebelum Zohor.


Al-Fatihah.

05 Mac 2014

Kad Kahwin Syamsul dan Syafiq Yusof Menyusul Dua Minggu Lagi

PETALING JAYA: Persiapan majlis resepsi anak kepada pengarah filem Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq yang akan dilakukan secara serentak pada 18 April depan berjalan lancar dan hampir selesai.
Ibu kepada kedua-dua selebriti tersebut, Datin Patimah Ismail berkata, kad undangan akan mula diedarkan dalam tempoh dua minggu lagi.
"Alhamdulillah semuanya persiapan berjalan dengan lancar, tinggal beberapa perkara sahaja termasuk kad undangan yang masih belum siap lagi.
"Kad jemputan ditempah di Jakarta, Indonesia dan belum lagi sampai, Insya-Allah lagi dua minggu kita akan edarkan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Syamsul dan Puteri Sarah bakal disatukan pada 8 Mac ini.
Tambah Fatimah, majlis menyambut tetamu akan diadakan secara sederhana di Dewan Perdana Felda dengan bertemakan putih dan merah jambu dengan busana rekaan Alia Bustamam.
Sementara itu majlis resepsi Puteri Sarah Liyana akan diadakan pada sebelah selepas akad nikah pada 8 Mac ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bertemakan Islamic Arabian Night.
"Semasa hari pernikahan dan majlis resepsi pengantin perempuan nanti Syamsul hanya pakai jubah kerana dia yang minta untuk pakai pakaian itu.
"Manakala majlis menyambut menantu pula bertemakan warna putih dan merah jambu," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang penaja, kata Patimah, mereka tidak mengambil mana-mana penaja untuk majlis resepsi tersebut.
Manakala Syafiq dan Aiesyah akan bernikah pada 5 April 2014.
Perkara tersebut juga atas permintaan Syamsul yang mahu majlis berjalan dalam keadaan yang sederhana.
"Memang ada pihak yang mahu menaja majlis ini, namun Syamsul sudah beritahu awal-awal bahawa dia mahu majlis tersebut dilakukan oleh keluarga tanpa sebarang tajaan," katanya.
Syamsul bakal diijabkabulkan dengan aktres Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac ini di Masjid Sri Damansara kira-kira pada pukul 10 pagi.
Manakala, majlis pernikahan Syafiq dengan tunangnya, Aiesyah Zainal pula akan diadakan pada 5 April depan iaitu kira-kira sebulan selepas pernikahan Syamsul.
mStar Online

04 Mac 2014

Syamsul Yusof Masuk Wad Suspek Demam Denggi

Syamsul Yusof
PETALING JAYA: Pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30 kini ditahan di Pusat Perubatan Gleneagles, dekat sini, selepas disyaki menghidap demam denggi.
Ibunya, Datin Patimah Ismail berkata, dia membawa Syamsul ke hospital pagi Selasa selepas mengadu sakit kepala dan demam teruk sejak dua hari lalu.
"Saya bawa Syamsul ke hospital pagi tadi lepas dia mengadu sakit kepala dan suhu badan dia sangat panas.
"Pada mulanya saya ingat hanya demam biasa sahaja, tapi bila sudah dua hari demamnya semakin teruk, saya terus bawa dia ke hospital dan doktor syak ia mungkin demam denggi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Tambah Patimah, buat masa ini doktor masih lagi membuat pemeriksaan lanjut selepas mengambil contoh darah anak lelakinya itu untuk mengetahui penyakit sebenar.
Sementara itu, Patimah memberitahu, Syamsul sempat berjenaka akan bernikah di hospital jika keadaannya masih belum sihat pada hari pernikahannya yang bakal berlangsung 8 Mac ini.
"Setakat ini doktor masih belum buat pengesahan rasmi tentang penyakit ini dan baru sahaja ambil darah untuk pemeriksaan lanjut.
"Syamsul juga ada berseloroh untuk bernikah di hospital jika keadaan belum sihat menjelang hari pernikahannya nanti," ujarnya.
Patimah turut meminta peminat turut mendoakan agar kesihatan anaknya kembali pulih secepat mungkin.
Syamsul Yusof dan tunangnya, Puteri Sarah Liyana dirancang akan bernikah pada 8 Mac ini di masjid Sri Damansara di sini pada pukul 10 pagi.
mStar Online

26 Februari 2014

Fauzi Nawawi Enggan Minta Maaf Pada Sharnaaz

Fauzi Nawawi
PETALING JAYA: Pelakon Fauzi Nawawi tidak akan tunduk dengan permintaan Sharnaaz Ahmad yang mendesaknya memohon maaf atas dakwaan telah dicaci oleh Fauzi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Fauzi berkata, dia juga terkejut apabila diminta membuat permohonan maaf kepada ibu Sharnaaz dan menyifatkan permintaan pelakon itu adalah mengarut. Malah Fauzi juga bersedia jika Sharnaaz mahu membawa kes berkenaan ke muka pengadilan.
"Buat apa saya nak minta maaf? Dalam SMS, perkataan 'ibu' saya gunakan, apa perasaan dia jika saya menengking ibunya? Itu sahaja.
"Kenapa dia nak putar belitkan SMS saya yang sudah jelas ingin bertanya pada dia sebab-sebab dia menengking Lisda?" soalnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada tengah hari Rabu.
Dakwaan itu timbul selepas Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, menghantar SMS bertanyakan sebab Sharnaaz menengking dan menyerang isterinya, aktres, Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Sharnaaz Ahmad
Sebuah akhbar pada Isnin lalu melaporkan Sharnaaz, 29, telah menyerang Lisdawati, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Peristiwa itu menjadi tegang apabila Fauzi dikatakan menerima SMS daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.
Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.
Sementara itu, Fauzi menyifatkan Sharnaaz mungkin menyimpan strategi sebelum membuat kenyataan kepada media.
Dalam pada itu, Fauzi turut beranggapan kelakuan Sharnaaz yang garang berpunca daripada penghayatan watak dalam drama tersebut sebagai Jebat sehingga karakter itu meresap ke dalam dirinya.
"Rasanya, lebih baik Sharnaaz pergi menjalani rawatan doktor kerana watak Jebat yang bersikap garang dan kasar mungkin sudah meresap ke dalam dirinya, memandangkan sudah empat bulan tanpa henti dia terlibat dengan penggambaran drama itu.
"Selain itu, baru saya faham kenapa tidak ramai wanita yang 'melekat' dengan dia dalam sesebuah perhubungan cinta memandangkan dia tidak pernah menghormati wanita. Sedangkan wanita bersifat lembut yang ingin dikasihi dan dibelai," ujarnya.
mStar Online

03 Februari 2014

Isu aibkan Luna Maya,Nabil Kesal Dengan Sikap Peminat

Ternyata bukan mudah menjadi anak seni, lebih-lebih lagi apabila bergelar seorang pelawak yang bertanggungjawab menghiburkan hati penonton. Perkara yang sepatutnya hanya menjadi modal bahan lawak telah diperbesarkan tanpa menggunakan alasan yang relevan.
Baru-baru ini, Nabil telah dikecam hebat oleh peminat apabila menjadikan Luna Maya sebagai salah satu ‘punchline’ dalam lawaknya. Lawak ‘double meaning’ yang dilakukan oleh Nabil pada masa itu mengundang kontroversi dan dia didakwa telah memburukkan nama aktres Indonesia itu.
Tindakan Nabil menggunakan Luna Maya sebagai ‘punchline‘ telah mendapat kritikan ramai
“Saya tak tahu dan sangat pelik kenapa peminat nak marah sangat. Sepatutnya mereka bersikap lebih terbuka dan saya tiada cakap sebarang perkara yang mengaibkan Luna Maya. Saya cuma cakap, saya Google nama Luna Maya, saya jumpa gambar.
Saya bukan nak hina dia sebab saya tahu itu masa silam dia. Saya pun pernah buat benda itu dan saya dah pernah kena dan sudah berubah pun. Tapi bila orang masih bercakap hal itu, saya tak kisah pun. Jadi, kenapa orang Malaysia ini nak kutuk saya semata-mata nak bela orang Indonesia yang mereka tak kenal pun siapa.”
Nabil turut memberitahu bahawa pihaknya tiada sebarang masalah dengan Luna Maya dan tidak akan membuat permohonan maaf kerana baginya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap pelakon tersebut.
“Saya dan Luna Maya tidak pernah bercakap langsung. Saya hanya jumpa dia semasa dalam pertandingan, dia bagi komen saya dengar. Peminat mereka ini yang lebih sudu dari kuah sebenarnya.
Orang yang membenci ini memang selalu ada. Saya tak peduli lah pasal hal ini sebab saya yakin yang undi saya bukan dari kalangan mereka, peminat saya yang undi. Haters will still hate, lovers will still love.”
Dalam perkembangan lain, Nabil turut memaklumkan bahawa cawangan pusat gimnasium kesihatannya yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam akan mula beroperasi pada bulan Jun hadapan.
Kredit : ohbulan.com

30 Januari 2014

AC Mizal kembali dalam Gerak Khas


SELEPAS meninggalkan drama bersiri Gerak Khas pada 2009, Datuk AC Mizal atau nama sebenar Mizal Zaini dikhabarkan akan kembali dalam siri drama polis tersebut.

AC Mizal yang juga yang terkenal dengan bidang pengacaraan seperti program Akademi Fantasia dan juga Maharaja Lawak Mega akan mewarnai siri baru drama itu.

Penerbit dan Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam berkata, berbincang dengan AC Mizal dan memberi tawaran kepadanya untuk berlakon dalam Gerak Khas.

“Saya ada berjumpa dan berbincang dengan dia mengenai perkara ini. Dia telah bersetuju untuk berlakon bersama saya.

“Saya akui dia sememangnya seorang yang begitu sibuk dengan kerjayanya tetapi saya berbesar hati bila dia mahu kembali dalam Gerak Khas,” katanya.

Ditanya adakah AC Mizal akan menjadi pelakon tetap untuk drama itu, Yusof Haslam menyatakan beliau akan menjadi artis undangan atau penampilan istimewa kali ini.

“Kalau dia boleh menjadi pelakon tetap dalam siri kali ini memang saya alu-alukan tetapi seperti yang sedia maklum AC Mizal mempunyai banyak komitmen lain.

“Untuk watak dia saya belum putuskan lagi adakah akan memegang watak polis atau pun watak-watak lain.

“AC Mizal yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Abby Abadi dalam drama bersiri Gerak Khas merupakan seorang pelakon yang berjaya memberikan impak besar kepada penonton,” katanya.

Selepas 12 tahun bersiaran di stesen Radio Televisyen Malaysia kini drama ini akan kembali bagi siri baru untuk 2014.

Drama yang berjaya menarik seramai 1.2 juta penonton ini juga bakal menampilkan muka-muka baharu dan lama untuk digandingkan.

“Pelakon baharu yang saya ambil ini merupakan pelakon-pelakon muda yang mempunyai potensi untuk memegang watak yang diberikan,” katanya.

Yusof Haslam berkata, selepas begitu lama bersiaran, drama ini berehat ini dihentikan buat sementara tetapi bagi 2014 Gerak Khas akan menemui peminatnya.

“Selepas dua tahun berehat, drama ini akan telah kembali dan akan bersiaran bermula 14 Februari nanti dengan lebih mantap dan menarik.

“Bagi musim baru ini, sebanyak 13 episod akan menemui penonton dan menjangkakan sokongan terhadap drama ini masih tinggi,” katanya.

Kredit : sinarharian

25 Januari 2014

Anugerah Bintang Popular 2013,Zizan tetap jadi pilihan

Zizan Razak

HASIL undian orang ramai telah menyenaraikan nama pelawak dan pengacara, Zizan Razak menerima pencalonan terbanyak menerusi program berprestij, Anugerah Bintang Popular 2013.

Pengacara program Melodi itu tersenarai dalam lima kategori yang dipertandingkan iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular.

Selain itu bagi kategori dalam talian, Zizan tersenarai dalam dua kategori iaitu Gandingan Di Layar Serasi bersama Siti Saleha dan Artis Berpengaruh Di Laman Media.

Kelmarin bertempat di Hotel Royal Chulan, pengumuman lima finalis bagi 22 kategori termasuk dalam talian telah dijalankan.

Selain menampilkan nama-nama besar, kali ini anugerah berprestij ini turut memperlihatkan bakat-bakat baharu yang terpilih dalam lima pencalonan terbaik antaranya Nomad (Artis Baru Lelaki Popular), Chacha Maembong (Artis Baru Wanita Popular), Raja Ilya (Pelakon TV Wanita Popular), Pekin Ibrahim (Pelakon Filem Lelaki Popular), Jihan Musa (Artis Komedi Wanita Popular) dan Nik Michael Imran (Pengacara TV Lelaki Popular).

Lebih menarik, sebanyak dua kategori baru dalam talian telah diperkenalkan iaitu Chef Selebriti Paling Popular dan Aksi Di Youtube Paling Popular menggantikan kategori Artis Asia Paling Popular dan Watak Animasi Tempatan Popular.

Mengetengahkan tema ’Magis Alam’, majlis pengiktirafan ini akan berlangsung pada 6 April 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands dan akan bersiaran menerusi TV3 dan Hot FM.

Peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka bermula 23 Januari hingga 11 Mac depan untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori sekali gus memilih Bintang Paling Popular 2013.


Kredit : Sinar

22 Januari 2014

Tumpang bermanja, Lisa Surihani idam zuriat sendiri


TINGGALKAN mengenai kisah cahaya mata, buat pertama kalinya, Lisa menyumbangkan suara berduet bersama suaminya menerusi lagu Kekasih Abadi ciptaan Edry.

Bakat yang bukan sahaja dihidu oleh suaminya, malah seluruh keluarganya turut sama menyokongnya.

Bagaimanapun, menurut Lisa, ia merupakan satu tanggungjawab besar dan dia tidak mampu untuk ke bidang nyanyian secara serius.

Menurut Lisa, walaupun ada beberapa peminat mengatakan dia mempunyai suara yang ada kemerduannya tersendiri dan mampu pergi jauh jika vokalnya diasah, dia bagaimanapun mempunyai pandangan sebaliknya.

“Saya rasa pelik bila dengar balik nyanyian tu. Sebenarnya lagu itu saya rakamkan demi suami saya kerana selepas berbulan memujuk saya merakamkan lagu itu, akhirnya saya lakukannya demi Yusri,” katanya yang kurang meminati dunia nyanyian kerana merasa tidak mempunyai bakat dalam bidang itu.

Pernah menjadi penyanyi latar untuk lagu Anuar Zain di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2004 dan melalui konsert Hazami menerusi lagu Sonata Musim Salju, akui Lisa, itu tidak bererti dia boleh menyanyi.

“Dulu saya pernah menyanyi sebagai backup singer, tapi hanya sekadar hobi dan tak terfikir untuk menjadi penyanyi sekali gus menceburi bidang ini,” katanya.

Namun menurutnya, dia telah cuba buat sehabis mungkin dan hanya mahu menjadikan lagu dia dan Yusri sebagai momen indah mereka berdua.

Hampir tertekan

Berkongsi pengalamannya yang bakal kembali menerusi filem bergenre seram berjudul Dendam Orang Mati, menurut Lisa, dia hampir menghadapi tekanan menjiwai watak tersebut.

“Alhamdulillah, Yusri sangat memahami. Saya akui semasa saya menjalani penggambaran filem itu, saya merasakan watak ini terlalu berat dan saya sedikit tertekan. Namun, segalanya di bawah kawalan apabila saya dapat terapeutik setelah meminta Yusri bawa budak-budak untuk saya bermain dengan mereka.

“Watak ini terlalu berat bagi saya. Namun, memandangkan saya diberikan inspirasi daripada Yusri untuk melakonkan watak tersebut, saya terima tawaran filem itu.

Saya tak pernah lagi pegang watak sebegini. Karakter saya juga tak sama. Walaupun susah sikit nak menjiwai watak Lena ini. Namun, saya berjaya menyahutnya,” katanya yang mendapat bimbingan lakonan dengan pelakon air mata, Fauziah Nawi.

Lisa yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Cicakman 3 mengakui amat teruja kerana bersama Yusri.

“Walaupun saya tak melakukan apa-apa, namun saya akan bersama Yusri, ikut penggambaran dan melakukan kerja-kerja belakang tabir di lokasi. Tadi saya baru habis di lokasi jam 6 pagi,” katanya.

Mengakui berada di dalam lapangan yang sama adalah satu kelebihan, Lisa berkata, memandangkan mereka bergelar anak seni, jadi mereka amat memahami kerjaya dan tugas masing-masing.

“Paling penting kami sentiasa sokong antara satu sama lain. Apa yang penting kami sukses dalam kerjaya masing- masing,” katanya yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Yusry dalam filem Ular, arahan Jason Chong.

Ratu laman sosial

Dilabel sebagai ratu media sosial, Lisa berkata, dia juga terkejut apabila pengikut Twitternya hampir mencecah dua juta pengikut.

Menurut Lisa, sejak remaja lagi dia suka berinteraksi dan memuat naik status di laman sosial. Jelasnya, mungkin kerana itu dia mudah meraih ramai kenalan dan juga peminat.

“Setiap kali saya update status saya pasti akan terima respons yang banyak daripada peminat. Untuk menghargai mereka, saya akan membalasnya. Mungkin sebab itu mereka sering mengikuti saya di laman sosial,” katanya.


Menurut Lisa, media sosial memainkan peranan penting dan menjadi gaya terkini bagi seseorang artis untuk berkongsi berita dan gambar terbaru mereka bersama peminat.

Pun begitu, Lisa mengakui media sosial mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri terhadap seseorang selebriti.

“Kebanyakan peminat kini sudah mahu berinteraksi secara terus kepada artis yang diminati melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Keek mahupun Facebook.

“Saya rasa ia adalah satu cara bagaimana peminat boleh berhubung secara langsung dan sangat dekat dengan artis kesayangan mereka.

"Bagaimanapun, apa yang buruknya apabila seseorang pengikut itu masing-masing secara sewenangnya melepaskan perasaan mereka secara terus, tanpa menimbangkan pemikiran dan perasaan orang lain. Itu yang menyebabkan ia berlaku pergaduhan,” katanya.

Kredit : hiburan Sinar

Al Fatehah, Komposer Kassim Masdor meninggal dunia

Kassim Masdor

KUALA LUMPUR: Komposer veteran, Kassim Masdor meninggal dunia akibat pneumonia, di Hospital Besar, Singapura, kira-kira 10 malam tadi. 

Berita kematiannya disampaikan seniwati Datuk Rosnani Jamil, yang mendapat perkhabaran itu daripada anak saudaranya juga pelakon, Herdawati di Singapura. 
Harian Metro yang menghubungi Herdawati juga rakan baik kepada seorang anak Allahyarham, dimaklumkan jenazah Kassim masih lagi di hospital itu dan dijangka dibawa pulang ke kediaman seorang anaknya di Blok 512 Choa Chu Kang di Singapura.
Foto
P. RAMLEE bersama tiga orang penggubah lagu yang terkenal (dari kiri) Osman Ahmad, Yusuh B dan Kassim Masdor.
“Saya diberitahu kematian `uncle' Kassim oleh seorang daripada anak saudaranya. Saya cuba menghubungi anaknya juga rakan baik saya tetapi tidak berjaya.
Lalu saya telefon Hashimah Yon untuk kepastian dan seniwati itu mengesahkan Kassim Masdor sudah meninggal dunia,” katanya. 

Serba ringkas, Allahyarham mula berkhidmat dengan Malay Film Productions (MFP) sebagai kerani pada 1952. 

Beliau bertekad mengasah bakat dalam bidang muzik dan azam ini semakin menebal apabila bertemu dengan Tan Sri P Ramlee seterusnya menganggotai Pancha Sitara. 

Allahyarham yang begitu berbakat ini pandai bermain gitar, piano dan zilofon. Sebaik Shaw Brothers membuat keputusan menutup Studio Jalan Ampas pada 1968, 
Kassim dipanggil EMI Singapura untuk menjadi penerbit, komposer dan penyusun muzik di situ. 

Sepanjang lima tahun bersama EMI, Kassim menerbitkan lebih 60 buah album. Pada 1977 Kassim Masdor berundur dari EMI apabila menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Senada Record. 

Antara penyanyi yang popular menyanyikan lagu-lagu ciptaan beliau, di antaranya Ahmad Jais, Sanisah Huri, Kartina Dahari, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Ahmad Daud dan juga Allahyarham Datuk Sudirman. 

Kehidupan peribadi Allahyarham agak misteri kerana selepas berpisah dengan isteri, tidak diketahui apakah Allahyarham berkahwin lagi atau tidak. 

Cuma hubungan mesra Allahyarham dengan Sanisah Huri, hingga pihak media dan artis menyangkakan mereka berdua pasangan suami isteri.
Kredit : myMetro

21 Januari 2014

Zizan Razak dan Emma Maembong bercumbu? Sila tunjuk bukti!

Zizan Razak dan Emma Maembong 

“MANA buktinya? Saya minta hentikanlah dakwaan dan fitnah tersebut, saya betul-betul terkilan dengan dakwaan itu,” tegas Marina Juki, yang juga pengurus kepada Zizan Razak dan Emma Maembong berkaitan gosip yang menimpa kedua-dua artisnya.

Marina yang juga Pengarah Urusan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd berkata, gosip yang mendakwa Zizan bercumbuan dengan aktres Emma di dalam kapal terbang ketika dalam perjalanan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini adalah tidak berasas.

“Tak mungkin dia berbuat demikian, kerana saya berada di tengah antara Zizan dan Emma. Kami pergi bersama krew produksi syarikat seramai lapan orang.

“Mana boleh dia buat begitu sebab ia di depan khalayak dan di sekeliling kami?” katanya yang sangat terkejut sekali gus menyangkal dakwaan itu.

Pihaknya juga menyifatkan tuduhan itu sebagai perbuatan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruah artis di bawah naungan syarikat itu.

“Saya tak tahu apa tujuan mereka berbuat begitu. Tapi apa yang pasti, perkara itu tidak betul,” tegasnya berkali-kali.

Marina berkata, pihaknya akan memantau gosip liar dan dakwaan yang tidak berasas pada masa akan datang yang melibatkan artis yang berada di bawah naungan produksi itu.

“Kita akan pastikan semua gosip mengarut dan tak sihat ini tidak disensasikan. Ia bukanlah sesuatu yang sihat bahkan menjejaskan reputasi artis serta pandangan masyarakat yang ingin menjadikan seseorang artis sebagai ikon mereka.

“Jadi kami kena ubah strategi agar perkara ini tidak disensasikan sewenang-wenangnya dan menjadi buah mulut orang,” katanya.


Zizan Razak dan Emma Maembong 

Dalam pada itu, Zizan bagaimanapun tidak dapat dihubungi dan difahamkan sedang menjalani penggambaran filem Cicakman 3 bersama Lisa Surihani dan Yusri KRU.

Selain Zizan, produksi itu mempunyai enam artis di bawah naungan mereka, antaranya Johan As’ari, Emma Maembong dan Kaka.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan Ahad melaporkan Zizan dan Emma tanpa segan silu bercumbuan di atas kapal terbang tanpa menghiraukan penumpang lain yang melihat aksi mereka.

Kedua-dua pasangan itu pernah dikaitkan bercinta tetapi menafikan perkara itu.

Kredit : Sinarharian

Shahrizal Jaszle Gagal Gugurkan Kes Khalwat

Shahrizal Jaszle
PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya di sini pada Selasa menolak permohonan representasi pelakon Shahrizal Jaszle untuk menggugurkan kes khalwatnya pada 16 Mei tahun lalu.
Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah menolak rayuan yang dikemukakan tertuduh menerusi Peguam Syarie, Ashraf Ranee pada 19 Disember 2013 kepada Ketua Pendakwa Syarie mahkamah tersebut.
Pendakwa Syarie, Hasrul Hafidzi Ahmad Kamal turut memohon kepada mahkamah supaya kes tersebut dibicarakan selepas menjawab secara bertulis bagi menolak permohonan tertuduh pada 9 Januari lalu.
Hasrul Hafidzi turut memberitahu mahkamah pihaknya akan mengemukakan seramai sembilan orang saksi pada kes itu.
Mahkamah menetapkan kes khalwat pelakon itu diteruskan pada 8 April 2014 dan mengarahkan supaya kesemua saksi disepina sehingga tarikh perbicaraan.
Shahrizal mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkhalwat ketika hadir pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu.
Dalam kejadian 16 Mei 2013, Shahrizal dan pasangan khalwatnya Farah Nurizzati Salleh, 22, telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri, 26, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha lalu.
Pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu, wanita berkenaan telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.
Farah mengaku bersalah terhadap tuduhan itu dan telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 oleh mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan Shahrizal membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat dengan pegawai bank itu.
Sementara itu, Shahrizal atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 26, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu walaupun keputusan tidak memihak kepadanya namun dia bersedia untuk membersihkan namanya pada perbicaraan itu nanti.
Bagaimanapun, Shahrizal berkata, dia masih belum membuat sebarang perancangan bagi menghadapi perbicaraan itu nanti ekoran pihak Pendakwa Syarie akan mengemukakan sembilan orang saksi.
"Saya tidak tahu mengenai saksi yang dikemukakan dan perlu berbincang dengan peguam saya terlebih dahulu. "Bagaimanapun saya tidak gentar kerana tidak bersalah dalam hal ini," katanya.
Kredit : mstar Online

20 Januari 2014

Zizan Razak Enggan Ulas Isu Bercumbu Dengan Emma Maembong

Zizan enggan mengulas mengenai gosip yang mendakwa dia bercumbu dengan Emma Maembong.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak enggan mengulas mengenai gosip yang mendakwa dia bercumbuan dengan aktres Emma Maembong di dalam kapal terbang ketika dalam perjalanan bercuti ke Los Angeles, Amerika Syarikat.
Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 30, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia masih belum membaca laporan mengenai perkara itu dan akan mengulas selepas mengetahui cerita sebenar.
"Maaf, saya baharu sampai pukul enam pagi tadi dan tidak tahu cerita sebenar dan tidak boleh komen buat masa ini.
Emma Maembong.
"Apabila sudah mengetahui situasi sebenar nanti saya akan komen," katanya.
Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Zizan dan Emma tanpa segan silu bercumbuan di atas kapal terbang tanpa menghiraukan penumpang lain yang melihat aksi mereka.
Bagaimanapun sebelum ini, kedua-dua pasangan itu yang pernah dikaitkan bercinta tetapi menafikan perkara itu.
Kredit : mStar Online

Faizal Hussein Tolak Watak Bapa Tua Kerana Ingin Lama Jadi Hero

Faizal Hussein
PETALING JAYA: Pelakon Faizal Hussein menganggap keengganannya membawa watak seorang bapa yang mempunyai anak dewasa sebagai strategi untuk bertahan lama sebagai hero dalam sesebuah drama atau filem.
Faizal, 46, berkata, sebagai pelakon, dia akan memilih watak paling muda dan bersesuaian yang mampu dilakonkannya mengikut kepercayaan yang diberikan oleh pengarah.
"Jika saya ambil watak 'bapa tua' iaitu yang mempunyai anak-anak yang sudah dewasa ia seperti memendekkan jangka hayat saya sebagai seorang hero.
"Sebagai pelakon sudah tentu kita ada strategi kita untuk bertahan lama dalam industri, kalau boleh saya akan pilih watak yang muda daripada usia atau seiring dengan usia sebenar," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanpun, kata Faizal, ia turut bergantung kepada sesebuah skrip yang akan dilakonkan.
Faizal berkata, bagi drama Jiwa watak sebagai bapa kepada pelakon Remy Ishak dan Kamal Adli berbeza kerana ia berkisarkan tentang perkembangan watak.
"Drama Jiwa berbeza kerana watak bapa kepada Remy dan Kamal ialah sejak mereka kecil sehingga mereka membesar. Drama tersebut tentang perjalanan kehidupan daripada saya muda hingga anak-anak membesar.
"Saya tidak mahu watak saya awal-awal sudah menjadi bapa kepada anak-anak yang sudah dewasa," katanya.
Dalam pada itu, Faizal berkata, sejak kembali aktif berlakon, dia lebih banyak menerima watak aksi berbading zaman kegemilangannya dahulu yang dikenali dengan watak romantik.
Kata Faizal, dia selesa menerima watak-watak aksi tersebut biarpun terpaksa membuat persediaan lengkap dan menjaga stamina.
"Sekarang lebih banyak menerima watak aksi berbanding belasan tahun dahulu, saya sentiasa menjaga kesihatan dan stamina agar tidak mengecewakan pengarah.
"Selain itu juga, saya ada persedian dan kelengkapan khas untuk berlakon babak-babak aksi agar tidak cedera," katanya.
Faizal bakal bergandingan dengan Remy Ishak dan Kamal Adli dalam drama Jiwa untuk slot Aksi pada setiap Rabu pukul 9 malam bermula 5 Februari depan di TV3.
Kredit : mStar Online

16 Januari 2014

Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Elak 'Dikejar' Media

Syamsul dan Puteri Sarah
PETALING JAYA: Pengarah filem Syamsul Yusof, 30, mengelak untuk mengulas mengenai majlis risik di antara dia dengan pelakon Puteri Sarah Liyana, 28, apabila enggan menjawab panggilan telefon dan juga membalas mesej daripada pihak media.
mStar Online difahamkan, Syamsul sebelum ini yang mahu merahsiakan majlis berkenaan agak terkejut apabila berita tersebut disebarkan menerusi Internet termasuklah beberapa keping gambar yang turut kelihatan ibu dan bapanya iaitu Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam bersama Puteri Sarah.
Dalam majlis merisik yang diadakan di rumah keluarga perempuan pada Ahad lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan pada Februari atau Mac depan atas permintaan Syamsul.
Antara mesej Syamsul menerusi Twitter miliknya.
Hubungan pasangan tersebut telah tersebar sejak beberapa lama tetapi kedua-dua mereka tidak mengesahkan status berkenaan.
Terdahulu dalam akaun Twitter miliknya Syamsul memuatkan pedoman hidup mengenai tuntutan Rasulullah agar seseorang yang berkemampuan supaya berkahwin.
Ia dimuat naik pada Isnin lalu iaitu sehari selepas majlis merisik berkenaan diadakan.
Dalam pada itu Puteri Sarah juga dilihat cuba mengambil pendekatan serupa apabila enggan memberi sebarang komen mengenai majlis berkenaan dan juga persediaan bagi menempuh alam rumah tangga dengan pengarah muda itu.
Wanita itu juga tidak menjawab panggilan telefon serta tidak memberi respons terhadap mesej yang dikirimkan.
Kredit : mStar Online

15 Januari 2014

Sofi Jikan Terkilan Dicaci Kerana Kenyataan Berhenti Berlakon

Sofi Jikan
PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengakui terkilan apabila kenyataannya untuk berhenti daripada bidang lakonan menerima kecaman dan cacian daripada pengguna internet.
Sofi berkata, pandangan negatif sehingga melanggar tatasusila kemanusiaan yang ditulis di blog-blog itu bukan sahaja mengguris hati, malah mampu membunuh kerjaya dan semangatnya untuk berkarya.
"Saya takut untuk membaca blog selepas menerima cacian berbaur hinaan di internet terhadap kenyataan berhenti berlakon baru-baru ini.
"Kalau mereka benci sekalipun tidak perlulah untuk mencaci saya sehingga melanggar tatasusila kemanusiaan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang," katanya kepadamStar Online.
Tambah Sofi, dia berharap pihak pengurusan blog itu sendiri perlu sedar tentang bahaya perkara ini dan mengawal mesej yang ditinggalkan di blog mereka.
Katanya, sebagai individu yang menjadi mangsa kecaman tersebut, dia berhak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ianya melampau batas.
"Kebanyakan mereka tidak membaca secara keseluruhan sesebuah artikel dan salah faham dengan kenyataan tersebut.
"Saya pelik kenapa mereka terlalu marah dengan kenyataan tersebut sedangkan sebelum ini ada sahaja artis yang berbuat demikian, namun masih ada lagi dalam industri," katanya.
Kata Sofi, dia tidak menolak kemungkinan kebencian masyarakat timbul berikutan watak antagonis yang sering dilakonkannya.
Dalam pada itu, Sofi yang turut ditanya tentang keputusan berhenti berlakon berkata, dia hanya akan berlakon watak yang dapat membersihkan namanya daripada pandangan negatif masyarakat.
Dia yang juga bakal mengarahkan filem pertama berjudul Gangsterock ini percaya karya tersebut mampu merubah persepsi masyarakat terhadapnya.
"Saya harap diberi peluang sekali lagi dalam memberi sumbangan kepada industri seni tanah air.
"Kali ini saya yakin filem Gansterock tidak mengecewakan dan mengembalikan kepercayaan penonton terhadap file-filem tempatan," katanya.
Dalam perkembangan lain pula, Sofi juga bakal keluar dengan album rock pertamanya berjudul Kasi Sengat pada 3 Mac depan.
Kredit : mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !