Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

27 Julai 2015

Nenek 99 tahun terkejut diberitahu mengandung

Doris Ayling yakin hospital berkenaan telah melakukan kesilapan memandangkan dia sudah berusia 99 tahun

eorang nenek dari  Bognor Regis, England menerima surat dari sebuah hospital, memaklumkan dia sedang hamil.

Bagaimanapun, Doris Ayling yakin hospital berkenaan telah melakukan kesilapan memandangkan dia sudah berusia 99 tahun.

Doris berkata, dia terkejut membaca surat berkenaan yang isi kandungannya antara lain meminta dia membawa sampel air kencing untuk menjalani pemeriksaan lanjut mengenai kehamilannya.

Lebih mengejutkan, tarikh lahir yang tercatat dalam surat berkenaan tepat dengan tarikh lahirnya.

Tiga anaknya, yang semuanya sudah bersara juga terperanjat apabila ditunjukkan surat berkenaan.

Seperti Doris, mereka juga tidak yakin akan memperoleh adik baru dan merasakan ia amat melucukan.

Apabila dimaklumkan mengenai surat berkenaan, pihak pengurusan Hospital Portsmouth memohon maaf kepada Doris dan keluarganya dan berkata, ia berpunca daripada 'kesilapan pengurusan'.

Sumber

16 Mei 2015

Kajian,Pemandu wanita lebih baik?


Persoalan berhubung jantina mana memandu lebih baik terjawab apabila satu kajian oleh sebuah syarikat insurans, Privilege Insurance mendapati golongan perempuan merupakan pemandu lebih baik.

Portal Mail Online melaporkan, dalam kajian tersebut, pemandu wanita mengalahkan lelaki dalam beberapa ujian pemanduan yang dijalani 50 lelaki dan wanita.

Mereka diuji dalam 14 aspek pemanduan berbeza termasuk kelajuan, kemahiran pemerhatian, tindak balas terhadap pengguna jalan raya lain, dan pematuhan lampu isyarat.

Wanita secara keseluruhan memperoleh 23.6 daripada 30 mata yang diberikan, manakala lelaki hanya mendapat 19.8 mata.

Kaum hawa juga didapati lebih baik ketika memandu di persimpangan jalan raya paling sibuk di London iaitu Hyde Park Connor.

Kajian itu juga membuktikan kesahihan persepsi stereotaip yang sering dikaitkan dengan cara pemanduan kedua-dua golongan tersebut antaranya lelaki lebih suka mengambil risiko, memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan, memotong barisan, melanggar lampu isyarat atau berbual di telefon, dan menghantar teks ketika memandu.

Wanita pula lebih bersopan-santun dan bertimbang rasa selain lebih berhati-hati ketika menghadapi keadaan lebih berbahaya, menggunakan cermin sisi dengan betul, dan berhenti di lampu isyarat.

Sumber

02 Mei 2015

Wanita hamil ketagih makan batu

  • Silva (kanan) mempunyai keinginan pelik iaitu makan batu.


Kebanyakan wanita hamil biasanya berkeinginan untuk makan coklat, ais krim atau makanan yang lain, tetapi berbeza pula dengan seorang wanita di sini kerana mempunyai keinginan pelik iaitu makan batu.

Keinginan pelik wanita yang dikenali sebagai Silva, 21 itu di siarkan dalam sebuah program My Extraordinary Pregnancy yang dimuatnaik di laman YouTube.

Dalam rakaman itu, Silvia berkata, keinginannya itu akan menyebabkan dia berdepan risiko penyakit dan masalah perut.

"Saya berada sangat sedih, malu tetapi saya terpaksa melakukannya, sesetengah orang mengidam jeruk atau sushi tetapi saya sukakan batu," katanya yang
tinggal bersama dua anaknya.

Rakaman menunjukkan Silvia berjalan-jalan di sekitar kawasan rumahnya untuk mencari batu yang sesuai untuk dimakan bagi memuaskan keinginannya.

"Apabila saya melihat batu-batu, saya rasa terliur. Ia seperti melihat sesuatu yang anda benar-benar mahu makan." tambahnya dipetik Mirror.uk.

11 Mac 2015

Perempuan bertudung pegang anjing jadi viral


GEORGETOWN - Gambar seorang wanita bertudung putih mendukung seekor anjing menjadi perbualan hangat penduduk di negeri ini.

Dipercayai gambar berkenaan pada awalnya dikongsi sendiri pengendali laman sosial sebuah pusat beli- belah lokasi penganjuran pameran anjing berkenaan.

Kini, gambar terbabit turut dikongsi pengendali laman sosial Penang Kini.

Sumber berkata, dipercayai wanita itu memegang anjing berkenaan ketika program pengambilan haiwan liar untuk tujuan peliharaan.

“Ia dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini dan kami tidak tahu sama ada program itu membenarkan orang Islam untuk memegang anjing atau sebagainya.

“Bagaimanapun, daripada reaksi orang ramai, sepatutnya perkara ini tidak terjadi setelah isu ‘I Want To Touch A Dog’ di ibu negara pada tahun lalu menjadi kes besar dan mendapat perhatian ramai,” katanya.

Difahamkan, gambar berkenaan turut dikongsi ratusan pemilik laman sosial yang memberikan pelbagai pandangan tersendiri.

Sinar

04 Mac 2015

Bayi Paling Gemuk Ketagih makan Nasi Kari dan Capati


SEPASANG suami isteri di India terkejut dengan perkembangan anak mereka yang kini seberat 18 kilogram walaupun baru berusia 10 bulan.
Bayi bernama Aliya itu dilahirkan seberat 4 kilogram sebelum membesar dengan pantas sehingga menyebabkan ibu bapanya perlu membeli pakaian baharu setiap dua minggu.
Bapa bayi itu, Mohammad Saleem berkata, berat anaknya semakin bertambah apabila Aliya ketagih menjamah kari bersama nasi.
Jelasnya, anak perempuan mereka itu kini perlu menjamah sepinggan nasi serta dua keping capati yang sama seperti hidangan orang dewasa untuk menahan lapar.
Ibu Aliya, Shabana Parveen, 25, memberitahu, dia bimbang bayinya menghadapi penyakit yang menjadikanya sering lapar.
Menurutnya, Aliya kini hanya mampu diangkat oleh bapanya kerana berat bayi itu menyamai kanak-kanak berusia 6-7 tahun.
mStar Online

01 Mac 2015

Gadis Rayu 'Ditidurkan' Selamanya kerana Penyakit Fibrosis sistik

Valentina sempat berselfie bersama Bachelet di hospital.
Presiden Chile bergegas ke hospital pada Sabtu untuk melawat remaja perempuan berusia 14 tahun yang merayu kepada pemimpin negara itu supaya membenarkan doktor 'menidurkannya' kerana terlalu bosan dengan penyakit fibrosis sistik yang dihidapinya.
Rakaman rayuannya itu dimuat naik ke YouTube pada Khamis.
Susulan itu, kerajaan negara itu bertindak segera mengatakan "tidak"  sebaik mesej yang disampaikan remaja itu mula tersebar dengan meluasnya.
Presiden, Michelle Bachelet menerusi kenyataan rasminya berkata, beliau bertemu Valentina Maureira dan bapanya lebih sejam di Hospital University Catholic di ibu negara itu.
Bagaimanapun, pihak berwajib tidak memaklumkan butiran perbincangan antara mereka, kecuali menyediakan gambar lawatan pemimpin negara itu termasuk selfie yang dirakamkan Valentina bersama Bachelet yang juga seorang pakar kanak-kanak.
Valentina menarik perhatian ramai apabila dia memuat baik video yang dirakamkan di katil hospital berkenaan.
"Saya memohon untuk segera bercakap dengan presiden kerana semakin penat kerana terpaksa hidup dengan penyakit yang dihidapi. Saya mahukan kebenarannya untuk mendapat suntikan bagi membolehkan saya tidur selama-lamanya," katanya.
Valentina mempunyai abang yang menghidap penyakit sama, bagaimanapun meninggal dunia pada usia enam tahun.
Fibrosis sistik boleh mengakibatkan organ dalaman rosak terutama paru-paru sekali gus menyebabkan jangkitan yang boleh merosakkan tisu.
Kata Valentina, dia kesal kerana kurangnya pilihan untuk mengubati penyakit itu dan kini ia memudaratkan dirinya hingga mengganggu kehidupan hariannya.
Pada Khamis, jurucakap presiden, Alvaro Elizalde bersimpati dengan rayuan Valentina dan menegaskan bahawa undang-undang di Chile tidak membenarkan eutanasia atau mempercepatkan kematian seseorang.
"Adalah mustahil untuk tidak tersentuh dengan kata-kata gadis itu dan pada masa sama adalah sesuatu yang mustahil untuk memenuhi hasratnya itu," katanya.
Menerusi temubual bersama AP pada Khamis, bapa remaja itu, Fredy Maureira berkata, beliau menyokong permintaan anaknya walaupun sedih apabila pertama kali mendengar rayuan itu.
"Ia sesuatu yang sukar tetapi saya perlu menghormati keputusannya kerana dia yang menanggung kesakitan itu selama ini," katanya.
mStar Online

11 Februari 2015

Pelajar Perempuan Jepun Habiskan 7 Jam Sehari Main Telefon

TOKYO: Pelajar perempuan sekolah menengah di Jepun menghabiskan sekurang-kurangnya tujuh jam sehari bermain-main dengan telefon bimbit mereka, demikian menurut kajian baru yang dikeluarkan pada Selasa.
Hasil kajian itu juga mendapati, hampir 10 peratus daripada mereka menghabiskan masa sehingga 15 jam sehari dengan telefon bimbit.
Sedangkan pelajar menengah lelaki hanya menghabiskan masa empat jam bersama telefon bimbit mereka.
Tinjauan itu yang dijalankan oleh firma sekuriti, Digital Arts, turut menyatakan para remaja menggunakan sebahagian masa mereka melayari media sosial menggunakan telefon bimbit.
Mereka juga menghabiskan banyak masa bermain permainan dalam aplikasi telefon pintar, malah melakukan rakaman video.
Hampir 96 peratus pelajar sekolah menengah Jepun memiliki telefon bimbit manakala 60 peratus pelajar sekolah rendah turut memiliki telefon bimbit sendiri.
Tinjauan itu juga mendapati, empat dari setiap 10 murid sekolah rendah yang berusia 10 tahun ke atas menggunakan telefon peribadi.
Sejumlah 618 pelajar sekolah terlibat dengan tinjauan tersebut.
mStar Online

27 Januari 2015

Zoo tawar khidmat URUTAN ULAR


SEBUAH zoo menawarkan perkhidmatan 'mengurut' bagi mereka yang sudi menghulurkan derma kepada organisasi itu bagi menanggung kos operasi.
Jika anda berasa tertekan, anda boleh melegakannya dengan mengambil khidmat mengurut otot secara mendalam, yang dilakukan oleh ular besar yang boleh membawa maut.
Para pengunjung di Zoo Cebu City di Filipina boleh menikmati urutan altenatif itu, yang dilakukan oleh empat ekor ular sawa yang akan melingkari badan anda.
Layanan itu akan ditawarkan kepada mereka yang sudi memberikan sumbangan derma yang akan digunakan sebagai perbelanjaan kos operasi zoo.
Khidmat mengurut itu merupakan antara perniagaan di zoo itu, membabitkan beberapa ular sawa sepanjang lima meter, dengan gabungan berat kesemuanya 250 kilogram.
Khidmat 'urutan' ular ini telah ditawarkan di zoo berkenaan sebelum ini, dan ia kembali diperkenalkan di atas permintaan ramai.
Pengurus zoo berkenaan, Giovanni Romarate berkata: "Pada mulanya, para pengunjung berasa takut tetapi kebanyakan mereka yang mencuba urutan ular itu mengatakan mereka menyukainya." - mirror.co.uk

22 Januari 2015

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput

Andressa Urach

Bekas ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa dan menanggung derita sepanjang hayat hanya kerana untuk kelihatan cantik.

Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku telah mengubah hidupnya, sekaligus memberikan pengajaran paling pahit untuk dikenang sepanjang masa.

“Saya ketagihan pembedahan plastik.

Pada masa itu, saya hanya mahu orang lain memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” katanya seperti yang dipetik menerusi Mail.Online.

Menurut Urach, keinginan yang begitu tinggi untuk mencantikkan lagi pehanya membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjalankan rawatan kaedah menyuntik pehanya dengan (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA).

Namun bentuk peha yang diidamkan tidak kesampaian apabila doktor mengesahkan bahan kimia yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. “Rawatan kecantikan yang dijalankan mula mereput dan memakan tisu peha saya.


SH

23 Disember 2014

Wabak Sindrom Sleeping Beauty

Menderita sindrom Sleeping Beauty akan menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

'WABAK'  misteri yang melanda sebuah perkampungan di utara Kazakhstan menyebabkan penduduk tertidur selama beberapa hari.

Sehingga kini, doktor masih gagal untuk mengenal pasti punca yang menyerang penduduk di kawasan terpencil Kalachi sejak empat tahun lalu.

Menurut penduduk tempatan, hampir 14 peratus daripada 600 penduduk kini menderita sindrom Sleeping Beauty tersebut yang turut menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

Kebanyakan penduduk percaya sindrom misteri tersebut mungkin berpunca daripada bekas lombong uranium tinggalan era-Soviet yang terletak berhampiran dengan kampung mereka.

Bacaan radiasi di kawasan tersebut didakwa 16 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal, namun gejala yang dialami mereka dikatakan tidak sama dengan simptom keracunan radiasi.

Lyubov Belkova menjadi penduduk pertama diserang sindrom Sleeping Beauty tersebut pada April 2010 dan ia dikatakan berpunca daripada strok iskemik yang berlaku apabila terdapat darah beku di dalam saluran darah hingga menyebabkan otak tersumbat.


 - Daily Mail (SH)

13 Disember 2014

Kaki dimasuki Cacing sepanjang satu meter


MELBOURNE – Seorang warga Sudan di sini terkejut selepas mengetahui terdapat dua ekor cacing guinea sepanjang satu meter di dalam kakinya sejak empat tahun yang lalu, lapor MailOnline semalam.
Lelaki berusia 38 tahun yang enggan dikenali itu hanya menyedari kejadian berkenaan selepas kakinya mula membengkak dengan teruk kira-kira setahun yang lalu.
Selepas menjalani ujian X-ray, doktor mendapati terdapat dua ekor cacing guinea yang telah mati di sekitar pergelangan kakinya.
Doktor itu, Dr. Jonathan Darby berkata, kedua-dua cacing yang telah mati itu mula mereput di dalam kaki lelaki berkenaan sehingga menyebabkan kakinya bengkak dengan teruk.
“Lazimnya, cacing hidup di dalam usus selepas larvanya memasuki ke dalam badan menerusi minuman yang tercemar. Haiwan itu akan menembusi ke dalam kulit manusia dan kemudian akan keluar melalui kesan lepuh pada kulit.
“Namun, proses itu akan mengambil masa selama bertahun-tahun. Cacing itu boleh hidup atau mati di dalam badan manusia sehingga mendatangkan kesakitan di bahagian jangkitan,” katanya.
Warga Sudan itu kini bagaimanapun semakin sembuh selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan dua ekor cacing itu.
Cacing guinea yang menyebabkan penyakit dracunculiasis ditemui di Selatan Sudan, Ethiopia, Ghana dan Chad. – AGENSI
KOSMO!

08 Disember 2014

WAJAH wanita ini menghidap penyakit kecelaruan kulit.

WAJAH Hu berubah kerana menghidap penyakit kecelaruan kulit.
Seorang wanita berusia 28 tahun yang berasal dari Zhengzhou, Henan, tiba di bandar raya ini minggu lalu untuk mendapatkan khidmat pembedahan kosmetik selepas dia disahkan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia kelihatan jauh lebih tua.
Selepas melahirkan anak pertama 11 tahun lalu, wajah Hu Juan berubah, melihatnya dia tua lebih cepat dari sepatutnya.
Walaupun baru berusia 28 tahun, mukanya seperti wanita yang berumur 60 atau mungkin 70 tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Hu disahkan menghidap kecelaruan kulit dinamakan Cutis laza.
Penyakit itu menyebabkan kulitnya menjadi longgar, merebeh dan berkedut. Ia hanya berlaku pada muka dan leher Hu.
Kurang dari 10 orang disahkan menghidap penyakit itu di dunia dan Hu satu-satunya orang di China yang berdepan penyakit itu, lapor Xinhua.
Setakat ini, tidak ada rawatan berkesan, tetapi pembedahan plastik boleh membantu.
Sepanjang 11 tahun lalu, suaminya sentiasa bersamanya dan tidak pernah merungut melihat wajah isterinya berubah menjadi nenek.
Hu pula mengelak daripada keluar rumah atau melihat cermin. Dan sejak kebelakangan ini, dia menyedari anaknya mula menjauhkan diri serta malu memberitahu rakannya bahawa dia adalah ibunya.
Sebuah klinik di Shanghai bersedia membantu, tetapi doktor setakat ini kurang yakin dengan hasil yang akan dicapai. 
- Agensi

16 November 2014

Doktor saran makan tahi hidung masin boleh jaga kesihatan ?


VIENNA: Mengorek hidung dan memakan sisanya ialah salah satu cara terbaik menjaga kesihatan tubuh badan, dakwa seorang doktor terkenal Austria. Pakar paru-paru yang beribu pejabat di Innsbruck, Prof Dr Friedrich Bischinger, berkata golongan yang mengorek hidung dengan jari mereka lebih sihat, lebih gembira dan mungkin lebih sensitif kepada perubahan tubuh mereka. Dia berkata, masyarakat perlu menerima pendekatan baru untuk mengorek hidung dan menggalakkan kanak-kanak mengguna pakai kaedah itu.

"Dengan menggunakan jari, anda dapat sampai ke tempat yang selama tidak dapat dicapai dengan sapu tangan, ia menjadikan hidung anda lebih bersih. Memakan sisanya pula ialah cara hebat untuk mengukuhkan sistem imunisasi tubuh. Secara perubatan, ia memang baik dan perkara semula jadi sempurna untuk dilakukan" katanya.

Dalam kes sistem imunisasi, hidung ialah penapis yang memerangkap bakteria dan apabila gabungan ini sampai ke usus, ia boleh menjadi seperti ubat, katanya. "Perubatan moden cuba melakukan perkara yang sama melalui kaedah lebih rumit, sesiapa yang mengorek hidung dan memakanya dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh secara semula jadi dengan percuma, " katanya. Dia memberi contoh kanak-kanak gembira mengorek hidung mereka tetapi menghentikan perbuatan itu apabila dewasa disebabkan tekanan masyarakat yang menganggap ia menjijikan dan anti sosial.

"Saya suka mencadangkan pendekaran baru dengan kanak-kanak digalakkan mengorek hidung mereka. ia tidak balas secara semula jadi sepenuhnya dan secara perubatan, ia idea yang baik" katanya. Prof Bischinger juga menyatakan, jika seseorang bimbang mengenai anggapan jiran, mereka masih boleh mengorek hidung di tempat sulit. 

-Agensi

07 November 2014

Wanita lahir bayi beruban

BAYI yang didakwa beruban sejurus selepas dilahirkan.

Kelahiran seorang bayi dengan rambut beruban di kem pelarian Syria di Lubnan menjadi viral di negara itu. Ramai pengguna laman sosial menyifatkannya sebagai lambang kepada krisis yang berlaku di Syria.

Akhbar di Lubnan melaporkan, bayi lelaki itu dilahirkan oleh seorang pelarian Syria di Lubnan tetap tidak menyebut di mana.

Gambar bayi berkenaan dimuat naik di beberapa laman sosial negara itu.

Ada yang berkata, ia berpunca daripada penyakit sementara yang lain mendakwa, ia petanda hari kiamat sudah hampir.

“Keadaan bayi itu menggambarkan keadaan di Syria. Semoga Allah membantu ibu dan keluarganya. Ibunya melahirkannya selepas dia mengharungi tragedi. Semoga Allah membantu rakyat Syria,” komen seorang pembaca. 

- Agensi


30 Oktober 2014

FAKTA ATAU AUTA,Pelekat peti sejuk punca kanser?

  • Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan dakwaan magnet pelekat peti ais boleh menyebabkan kanser seperti yang disebarkan di media sosial.
  • Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan dakwaan magnet pelekat peti ais boleh menyebabkan kanser seperti yang disebarkan di media sosial.

AUTA

Satu kajian daripada Universiti Princeton mendakwa pihaknya menemui kesan menakutkan apabila pelekat magnet peti sejuk boleh menyebabkan penyakit kanser.

Laporan itu dikongsikan beberapa blogger  serta fanpage terkenal yang mempunyai jutaan pengikut.

Walaupun sudah lima bulan kajian itu dibuat namun sehingga semalam masih ada pemilik akaun Facebook berkongsikan perihal penemuan kajian tersebut. Sehingga kini lebih 6,000 pengikut laman  Fanpage itu berkongsi laporan mengenai bahayanya pelekat magnet peti sejuk itu.

Laporan itu mendakwa makanan seperti ayam, daging, ikan dan sayuran yang disimpan di dalam peti sejuk itu akan dicemari oleh pancaran sinaran elektromagnet hasil daripada pelekat magnet yang diletakkan di pintu peti sejuk itu.

Malah, orang yang memakan makanan daripada peti sejuk itu berpeluang menghidap penyakit kanser apabila sel aktif hasil elektromagnet itu akan merebak secara senyap.


FAKTA

Menurut Pakar Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Aminah Abdullah, fakta yang dikemukakan itu adalah palsu.

Beliau berkata, tidak mungkin pelekat magnet itu mampu menembusi pintu sesebuah peti ais dan mempengaruhi keadaan makanan di dalamnya.

“Pelekat hiasan yang hanya diletakkan di luar pintu peti ais, tidak mungkin boleh masuk dalam makanan.

“Apatah lagi keadaan suhunya yang sejuk menyukarkan makanan itu bertindak balas dengan faktor yang lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mendengar penemuan seumpama itu dilakukan mana-mana universiti setakat ini.

“Saya harap orang ramai tidak mudah percaya dan menyebarkan perkara yang tidak sahih,” katanya.


SH

29 Oktober 2014

Jururawat bunuh 38 pesakit diminati ramai

Daniela Poggiali yang digari, hadir ke sebutan kes selepas ditangkap kerana dituduh membunuh 38 orang pesakit, di Lugo, Itali, baru-baru ini. – AGENSI

Seorang jururawat wanita di sebuah hospital Itali yang kini ditahan di lokap selepas terbabit dengan misteri pembunuhan 38 pesakit baru-baru ini, dihujani dengan surat peminat rahsia lelaki dan lamaran perkahwinan sejak beberapa hari lalu.

Mail Online melaporkan, keadaan itu berlaku gara-gara tersebarnya gambar suspek, Daniela Poggiali bergambar dengan mayat mangsa yang dibunuhnya baru-baru ini.

Jururawat yang berusia 42 tahun itu berasal dari Lugo di wilayah Emilia-Romagna di tengah Itali, ditangkap selepas pihak polis menyiasat misteri kematian seorang daripada 38 pesakit yang dibunuhnya.

Poggiali yang kini menunggu perbicaraan, ditempatkan di sebuah lokap di Forli, tengah Itali dan sejak ditangkap dia menerima banyak surat daripada peminat lelaki yang tertarik dengan rupa parasnya yang menawan.

“Sejak ditahan, tertuduh banyak menerima surat dari peminat lelaki. Kebanyakannya memuji rupanya yang cantik dan sebahagian daripada mereka mahu melamarnya,” jelas seorang pagawai polis yang enggan dikenali.

Ketua Pendakwa Raya, Alessandro Mancini berkata, pihaknya percaya Poggiali mengalami gangguan mental berdasarkan penyebaran gambar seorang daripada mangsanya yang dibunuh kejam.

Sebelum ini, jururawat itu disyaki menyuntik mangsanya Rosa Calderoni, 78, dengan menggunakan bahan kimia, kalium klorida hanya kerana sikap pesakit atau keluarga pesakit tersebut menyakitkan hatinya.

Dia ditangkap di Lugo selepas kematian mengejut Calderoni yang dimasukkan ke hospital kerana demam biasa.

Berikutan kejadian itu, po­lis Itali memperluaskan skop siasatan membabitkan kematian 38 pesakit lain kerana disyaki dibunuh jururawat itu.

UTUSAN

26 Oktober 2014

KECEWA KERANA PUNYA 'ANU' KECIL

ILAC dibawa ke hospital selepas memotong kemaluannya. 

Seorang lelaki memotong kemaluannya dan mencampakkannya ke dalam tong sampah selepas dia ditinggalkan kekasihnya kerana gagal memuaskan nafsu seks wanita itu.

Oliver Ilac, 22, berkata, dia mengambil keputusan memotong kemaluannya kerana ia terlalu kecil.
Ilac bertindak demikian mengunakan pisau cukur.

Bagaimanapun, selepas tidak berjaya menghentikan pendarahan, dia menelefon perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Dia dibawa ke hospital di Kocani, Macedonia, dan memberitahu petugas perubatan dia memotong kemaluannya itu kerana ia 'tidak berguna.'

Menurutnya, teman wanitanya memutuskan hubungan mereka selepas mencemuhnya kerana 'tidak hebat' di ranjang.

Polis menyelongkar rumahnya dan menemui alat sulit Ilac dalam tong sampah bersama-sama pisau cukur yang digunakannya.

Doktor tempatan gagal menyambung semula organ itu dan Ilac dihantar ke hospital lain di Skopje, tempat pakar bedah berjaya melakukan penyambungan semula itu dalam pembedahan selama lima jam.
Bagaimanapun, terlalu awal untuk menyatakan sama ada kemaluan Ilac itu boleh berfungsi seperti biasa.
Seorang lelaki Macedonia baru-baru ini juga memotong kemaluannya.

Bagaimanapun, tidak seperti Ilac, lelaki berkenaan membuangnya ke dalam tandas bagi memastikan ia tidak akan disambung semula.

Sumber

22 Oktober 2014

Peminta sedekah potong kaki unta untuk raih simpati

SEEKOR unta yang kudung keempat-empat kakinya dibawa dua orang lelaki ketika sedang meminta sedekah di bandar Fuzhou di wilayah Fujian, China baru-baru ini.

Sekumpulan peminta sedekah di China didakwa sanggup memotong kaki seekor unta untuk menggunakan haiwan tersebut meraih simpati orang ramai, lapor MailOnline semalam.


Seorang aktivis hak asasi haiwan di China, Xiong Kung mendakwa, mereka mengesan dua lelaki membawa seekor unta yang kudung keempat-empat kaki untuk meminta sedekah di bandar Fuzhou, dalam wilayah Fujian.
“Kami mendapat maklumat mereka memperoleh banyak wang daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib haiwan ini.
“Peminta-peminta sedekah itu mendakwa, unta berkenaan cacat selepas dilanggar sebuah kereta api dan mereka meminta dana daripada orang ramai untuk menjaga haiwan berkenaan.
“Polis mengesahkan haiwan itu sengaja dicacatkan sebagai salah satu cara untuk meraih simpati orang ramai,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa terhadap individu berkenaan kerana di China tiada undang-undang berhubung penganiayaan terhadap haiwan,” katanya. 
– Agensi(KOSMO!)


21 Oktober 2014

Kempen sentuh anjing, Mufti suruh taubat


KOTA BHARU - Penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh haiwan itu di majlis tersebut kelmarin wajib bertaubat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana mereka secara jelas mempersendakan hukum ALLAH.   

Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis mughalazoh (berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum ALLAH dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri mengulas tentang program berkaitan sentuh anjing di taman rekreasi di Damansara, Selangor yang menunjukkan umat Islam membelai anjing.


SH

17 Oktober 2014

Muzik jazz redakan kesakitan selepas bedah ?


Muzik jazz membantu mengurang kadar denyutan jantung sekaligus mengurangkan rasa berdebar berdasarkan kajian yang dibentangkan dalam perjumpaan tahunan Anestesiologi 2014 baru-baru ini.

Pakar Anestesiologi Pusat Perubatan Penn State S. Hershey, Dr. Flower Austin berkata, kebimbangan pesakit untuk menghadapi pembedahan, ditambah dengan rasa takut terhadap anestesia mewujudkan tekanan emosi dan keresahan kepada kebanyakan pesakit.

Tambahnya, pakar bius akan menyediakan ubat bius kepada pesakit. Namun, terdapat sesetengah ubat bius boleh memberi kesan sampingan yang ketara kepada pesakit.

Austin berkata, kajian ini bertujuan mengetahui kaedah baru yang lebih efektif dari segi kos untuk diguna pakai bagi merawat pesakit.

Austin dan pasukannya telah membuat pemerhatian terhadap 56 pesakit yang menjalani prosedur histerektomi elektif dengan membahagikan seramai 28 pesakit untuk mendengar muzik jazz, dan selebihnya memakai fon kepala penebat bunyi  selepas pembedahan.

Bacaan pertama kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tahap kesakitan dan keresahan selepas pembedahan dijadikan garis pengukur sebelum mengambil rekod bacaan selama 30 minit.

Bacaan rekod menunjukkan kadar denyutan jantung pesakit bagi kedua-dua kumpulan menurun dengan ketara. Bagi pesakit yang mendengar muzik jazz, kadar denyutan jantung mereka menurun selepas 20 minit berbanding pesakit yang menggunakan fon kepala. Namun, mereka mencatatkan tahap kesakitan yang lebih rendah selepas 10 minit.


SH

Port Mak Ngah Skodeng !