Mail Online melaporkan, keadaan itu berlaku gara-gara tersebarnya gambar suspek, Daniela Poggiali bergambar dengan mayat mangsa yang dibunuhnya baru-baru ini.

Jururawat yang berusia 42 tahun itu berasal dari Lugo di wilayah Emilia-Romagna di tengah Itali, ditangkap selepas pihak polis menyiasat misteri kematian seorang daripada 38 pesakit yang dibunuhnya.

Poggiali yang kini menunggu perbicaraan, ditempatkan di sebuah lokap di Forli, tengah Itali dan sejak ditangkap dia menerima banyak surat daripada peminat lelaki yang tertarik dengan rupa parasnya yang menawan.

“Sejak ditahan, tertuduh banyak menerima surat dari peminat lelaki. Kebanyakannya memuji rupanya yang cantik dan sebahagian daripada mereka mahu melamarnya,” jelas seorang pagawai polis yang enggan dikenali.

Ketua Pendakwa Raya, Alessandro Mancini berkata, pihaknya percaya Poggiali mengalami gangguan mental berdasarkan penyebaran gambar seorang daripada mangsanya yang dibunuh kejam.

Sebelum ini, jururawat itu disyaki menyuntik mangsanya Rosa Calderoni, 78, dengan menggunakan bahan kimia, kalium klorida hanya kerana sikap pesakit atau keluarga pesakit tersebut menyakitkan hatinya.

Dia ditangkap di Lugo selepas kematian mengejut Calderoni yang dimasukkan ke hospital kerana demam biasa.

Berikutan kejadian itu, po­lis Itali memperluaskan skop siasatan membabitkan kematian 38 pesakit lain kerana disyaki dibunuh jururawat itu.

UTUSAN