Sharnaaz Ahmad
Mengakui bukan mudah membawa watak lelaki lembut, Sharnaaz menganggap ia adalah pengorbanan dalam karier lakonan demi tuntutan watak.
"Ini adalah kali pertama saya mencabar diri untuk membawa watak seumpama ini. Malah saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk menerima tawaran ini memandangkan watak ini jauh berbeza dengan diri saya. Namun, jalan cerita sangat menarik!
"Menerusi drama ini, saya turut mengorbankan imej dengan membiarkan perut sedikit buncit walaupun mempunyai pusat gimnasium sendiri. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada penonton sekiranya lakonan kali ini tidak menjadi.
"Sehingga kini, saya tidak berani menonton 'playback' takut timbul rasa tidak puas hati. Sejujurnya saya sudah mencuba sebaik mungkin. Kalau dulu orang panggil saya Jebat, sekarang saya bersedia dipanggil 'sotong'," katanya sambil ketawa.
Jelas Sharnaaz, drama ini bukanlah bertujuan mengeksploitasi golongan lelaki lembut, namun lebih kepada situasi di mana golongan ini sering dipergunakan orang lain.
"Dalam drama ini, saya sering menjadi mangsa Erica lakonan Amyra Rosli yang juga isteri saya sendiri. Namun, saya berkawan baik dengan Dhia (Hanis Zalikha) namun saya merahsiakan status saya daripadanya.
"Untuk mendalami watak ini, saya banyak melihat golongan ini bercakap termasuk kawan-kawan mekap artis dan memerhatikan cara berbual serta sikap mereka. Walaupun ia drama komedi, namun saya tetap memastikan hasil kerja saya terbaik dan buat betul-betul," katanya yang turut tampil bersama Nelydia menerusi drama, Setitis Kasih Darmia di TV9.
Drama arahan Eoon Shuhaini ini disiarkan setiap Isnin, 10 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.
Selain kerjaya, Sharnaaz turut diheret dalam kancah kontroversi apabila dia menempelak wartawan akhbar (bukan Sinar Harian) berhubung artikel yang dikaitkan dengan kemalangan ngeri motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan dua penunggang maut.
Tegas Sharnaaz, dia menyifatkan penulis itu tidak menghormati keluarga si mati dan tidak berfikir panjang sebelum menulis.
"Arwah Zali (Hazalli Khalid, 32,) adalah sahabat saya dan saya juga dari golongan 'rider'. Jangan sesekali menulis tanpa asas yang kukuh sekiranya anda bukan dari golongan ini kerana anda tidak akan faham.
"Cuba anda berada di tempat itu, bagaimana rasanya? Jangan sesekali cuba guna bahasa 'double standard' yang boleh membawa kepada pemahaman negatif!," katanya lagi.
Sinar Harian
bes ye
BalasPadam