28 Februari 2014
BUDAK 3 TAHUN MELECUR AKIBAT JAG PEMANAS AIR TERTUMPAH
KEMAMAN – “Saya dan suami bersyukur sebab air panas yang tumpah tak kena muka anak,” kata Siti Fauziah Amir yang merupakan ibu kepada Siti Noraina Ahmad Nesfu, 3 yang melecur bahagian belakang badan selepas jag pemanas air elektrik jatuh ke atas badannya.
Siti Fauziah dari Kampung Gong Pauh, Chukai, dekat sini, berkata, air panas tumpah ke atas badan anak ketiganya itu, Sabtu lalu ketika dia bersama dua anaknya yang lain berada di sebuah rumah tumpangan di Kuala Terengganu.
Menurutnya yang juga Setiausaha Pertubuhan Silat Tapan Tiga Malaysia, ketika kejadian dia dan anak-anak berada di Kuala Terengganu kerana menemani suaminya yang terlibat dalam Pertandingan
Karnival Pencak Silat Remaja Tunas Harapan 15 hingga 17 Tahun untuk Pemilihan Remaja Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Siti Noraina yang sedang bermain dan berlari tiba-tiba terlanggar jag yang berada di atas meja.
“Jag yang mengandungi air panas itu jatuh di atas badannya menyebabkan dia menangis.
“Saya kemudian hubungi suami yang ketika itu berada di stadium sebelum Siti Noraina segera dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Dia ditahan dalam wad kerana kecederaan yang dialami agak teruk,” katanya.
Kata Siti Fauziah, badan Siti Noraina melecur 10 peratus menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan menampal kulit paha pada bahagian belakang badan anaknya itu yang melecur teruk.
“Luluh hati saya melihat keadaan anak yang terpaksa menahan sakit. Hampir seminggu dia terpaksa menahan rasa pedih.
“Tapi Alhamdulillah, hari ini (semalam) pembedahan berjaya dilakukan dan anak kelihatan lebih ceria.
"Musibah ini memberi pengajaran kepada saya sekeluarga agar lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan