HANEZ mengakui mula berkenalan dengan bakal suaminya sejak hujung tahun lalu.
BERITA pelakon jelita, Hanez Suraya, 29, bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini bersama seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini agak mengejutkan banyak pihak.
Tiada angin, tiada ribut, bekas kekasih penyanyi Awi Rafael itu tiba-tiba sahaja mahu berkahwin. Hanez yang dihubungi Kosmo! tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya bakal bergelar isteri.
Bagaimanapun, Hanez masih lagi merahsiakan identiti bakal suami, tarikh dan lokasi pernikahan kerana semuanya masih dalam peringkat perancangan.
Tegas Hanez, dia ada sebab untuk terus berkahwin dan tidak bertunang seperti orang lain. Ikuti temu bual Kosmo! selanjut bersama Hanez.
Kosmo!: Kenapakah tiba-tiba sahaja terbuka hati Hanez untuk berkahwin?
HANEZ: Sebelum ini, apabila sudah kecewa bercinta saya tidak fikir soal perkahwinan. Apabila kenal seseorang yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya, buat apa tunggu. Jika saya tolak, bila lagi saya akan berkahwin. Jika saya minta dia tunggu, sampai bila dia sanggup tunggu. Mungkin sudah sampai jodoh.
Apakah keistimewaan bakal suami sehingga Hanez menerima lamarannya?
Kami kenal sejak hujung tahun lalu, tidaklah terlalu lama. Saya tidak kisah andai bakal suami saya orang yang sederhana kerana saya juga bukan datang daripada keluarga kaya raya. Terus-terang saya katakan sebelum mengenali bakal suami, saya memang mencari lelaki untuk dijadikan suami, bukannya kekasih untuk mengisi kesunyian. Bakal suami saya juga begitu. Dia kata, dia sudah ada semua benda kecuali isteri. Melihat keserasian dan kesungguhan nya itu membuatkan saya setuju.
Adakah Hanez sengaja memilih orang di luar industri seni untuk dijadikan suami selepas kecewa bercinta dengan artis?
Saya akui pengalaman lalu banyak mengajar saya. Bukan mahu memburukkan orang lain tetapi jika bekerja dalam industri yang sama, masa untuk berjumpa sangat terhad. Lebih baik saya cari orang di luar industri, andai bakal suami suruh saya berhenti berlakon saya akan ikut tetapi semuanya boleh dibincang dengan baik.
|
Mengapakah Hanez merahsiakan identiti bakal suami dan tarikh pernikahan?
Bakal suami bukan orang dalam industri seni, jadi tidak perlu untuk saya kenalkan sehingga dia sah menjadi suami saya. Begitu juga dengan tarikh nikah. Bukan apa, saya bimbang jika dihebahkan terlalu awal majlis tidak menjadi seperti dirancang. Majlis risik dan bertunang jika berlaku, hanya untuk keluarga, tetapi majlis nikah saya akan beritahu dan jemput semua orang termasuk pihak media. Bagi saya, perkara baik buat apa saya sorok. Apa yang pasti, saya akan berkahwin pada tahun ini juga.
Adakah Hanez ingin berkahwin dalam tahun ini juga kerana mengejar sasaran untuk berkahwin sebelum ini 30 tahun?
Sejujurnya, saya pernah letak sasaran untuk kahwin sebelum 30 tahun tetapi selepas putus cinta saya tidak fikirkan perkara itu. Saya serahkan semuanya kepada takdir. Saya percaya apabila terlalu mengharap dan mencari, cinta itu tidak akan akan datang. Namun apabila saya tidak cari, cinta itu datang dengan sendirinya tanpa saya sangka.
Mengapakah Hanez enggan mengadakan majlis pertunangan?
Bagi saya, bertunang itu sekadar adat, lainlah kalau saya tidak kenal siapa bakal suami. Kalau boleh saya mahu adakan satu majlis sahaja. Jimat masa dan kos. Idea saya memang ringkas, tetapi sebagai anak sulung, pastinya keluarga ingin lihat saya bertunang. Jika bertunang, mungkin sekadar cukup syarat sahaja dan diadakan sekali gus dengan majlis merisik.
Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?
Sepatutnya sudah mula cari apa yang patut terutama lokasi pernikahan dan resepsi. Masalahnya, kami berdua sangat sibuk, jadi saya baru sahaja mula buat apa yang patut.
Saya harap peminat dan masyarakat doakan majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar.
KOSMO!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan