22 Mac 2014

Sellofie kini trend baharu di AS

GAMBAR menunjukkan seorang lelaki yang melilit pita pelekat pada wajahnya.

NEW YORK - Mendapat ilham daripada satu babak dalam filem Yes Man lakonan bintang filem popular, Jim Carrey, kini ramai penduduk di Amerika Syarikat (AS) merakam gambar potret sendiri atau selfie dengan wajah mereka bertampal pita pelekat.

Malah, aksi tersebut yang kian menjadi ikutan di AS mendapat jolokan tersendiri iaitu Sellofie.
Banyak gambar aksi Sellofie yang yang telah dimuat naik di laman sosial Facebook berjaya menarik perhatian orang ramai.
Ia ekoran pelbagai ekspresi wajah melucukan dan mencuit hati yang dirakam oleh peminat-peminat Carrey . 
- Agensi


MH370: Perangkap pusaran

Kuala Lumpur: “Pasukan mencari sekarang bekerja di kawasan laut yang ada pusaran amat besar serta mampu memerangkap apa saja objek yang jatuh di dalamnya.”
Itu kata Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah mengenai keadaan di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke arah barat daya Perth, Australia yang menjadi tumpuan dunia sekarang.
JURUTERBANG pesawat P-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia melihat kapal kargo Norway ketika membuat tinjauan.
Kawasan dianggap antara lokasi terpencil dunia itu menjadi perhatian selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott kelmarin mengumumkan satelit mengesan dua objek besar yang berkemungkinan ada kaitan dengan MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu.
PESAWAT P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Barat Australia untuk menyertai operasi SAR.

Dr Azizan berkata, saiz pusaran besar dinamakan gyre di Lautan Hindi itu amat luas dan merangkumi Sumatera, Indonesia hingga ke perairan Madagascar.
“Gyre adalah pusaran besar di permukaan laut. Semua serpihan yang terperangkap dalam gyre ini akan berpusing dan diapung oleh arus.
myMetro

21 Mac 2014

MH370 : Seorang Rakyat M'sia Baru Pulang Umrah Dakwa Nampak Bangkai Pesawat Atas Laut Andaman

Raja Dalelah menujukkan tiket penerbangannya yang berlepas dari Jeddah menuju ke KLIA.

MELAKA: Seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang dari menunaikan Umrah di tanah suci Mekah mendakwa yang dia telah melihat bangkai sebuah pesawat yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman ketika pesawat yang dinaikinya melintasi kawasan berkenaan pada pagi 8 Mac lalu.

Wanita berkenaan Raja Dalelah Raja Latife, 53, berkata ketika dia menyaksikan objek besar yang sebahagian daripada badan yang didakwa sebagai pesawat itu tenggelam dan sebahagian lagi timbul, dia telah memaklumkan kepada ramai pihak di dalam penerbangan berkenaan tetapi telah dipandang ringan.

Dalelah berkata dia menaiki pesawat Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu Malaysia) dan ketika pesawat itu melintasi bandar Chennai di India dan memasuki ruang udara Laut Andaman, dia melihat menerusi tingkap pesawatnya satu objek besar menyerupai pesawat terdampar di atas laut.

“Saya nampak macam kapalterbang.Sepanjang perjalanan pulang saya sentiasa melihat ke luar kerana saya tidak dapat tidur langsung dan ketika lawatan saya ke Beijing dua tahun lalu juga dia tidak dapat tidur di dalam pesawat dan sentiasa berjaga," kata ibu kepada 10 orang anak ini.
Raja Dalelah, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menambah, sewaktu dia terlihat objek besar berwarna perak yang seakan-akan sebuah pesawat di atas lautan itu, skrin tv di hadapannya menunjukkan yang mereka sedang melintasi Laut Andaman.
“Sebelum itu saya nampak beberapa buah kapal dan kemudian pulau-pulau kecil dan selepas itulah saya ternampak objek berwarna perak di atas air. Saya mengejutkan rakan saya di sebelah untuk melihat apa yang saya saksikan tetapi malangnya mereka mentertawakan saya," ujarnya lagi.
Raja Dalelah, bagaimanapun yakin apa yang disaksikannya itu adalah bangkai sebuah pesawat yang besar.
"Buat apa saya nak bercakap bohong saya baru sahaja balik dari umrah," katanya lagi.

Salinan laporan polis yang dibuat oleh Raja Dalelah sebaik sahaja tiba di Malaysia dari umrah. 
Hanya pada 14 Mac lalu dia telah membuat laporan polis akan apa yang didakwa telah disaksikannya itu dengan harapan akan ada pihak yang mengambil apa yang dikatakannya itu secara serius.
Malah Raja Dalelah masih boleh menjelaskan apa yang disaksikannya itu secara terperinci.
Katanya, pesawat yang dilihatnya itu separuh terapung dan sebahagian besar lagi badan pesawat itu berada di dalam air dengan keadaannya yang senget sebelah.
“Saya melihat jam pada waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia),” kata beliau.
Raja Dalelah berkata, bila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang dia telah menceritakan apa yang disaksikannya itu kepada anaknya.
“Pada waktu itulah mereka memberitahu saya yang pesawat MAS MH370 hilang dan sedang dicari.Menantu saya seorang pegawai polis yakin yang saya telah menyaksikan sebuah pesawat yang terhempas dan meminta saya supaya membuat laporan polis," katanya sambil menambah "anak-anak saya yang lain khuatir yang saya mungkin akan ditahan kerana membuat laporan palsu kerana pada awalnya semua orang berkata yang pesawat itu kali terakhir dilihat di Laut China Selatan."
Tetapi katanya, sekarang sesiapa yang mendengar ceritanya sudah mula percaya selepas pesawat itu disahkan telah berpatah balik dan hilang di sebelah barat dan bukannya Laut China Selatan.
Bagaimanapun seorang juruterbang berkata, dalam penerbangan jarak jauh seperti dari Jeddah dan Kuala Lumpur, paras ketinggian sesebuah pesawat adalah pada 35,000 kaki."Ini bermakna kedudukan pesawat dari permukaan bumi adalah pada jarak lebih kurang tujuh batu. Pada jarak sejauh ini tidak ada siapa pun dapat melihat dengan jelas apa-apa objek di permukaan bumi atau pun di atas air," kata juruterbang itu yang enggan namanya disiarkan.
mStar Online

MH370 tidak menjunam ke laut


NEW YORK - Seorang pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak terhempas dengan kuat di Lautan Hindi.
Pakar tersebut, David Gallo berkata, rumusan itu dibuat selepas sebuah satelit berjaya mengesan beberapa objek bersaiz besar di satu lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,500 dari barat daya Perth, Australia semalam.
Gallo merupakan ketua penyiasat AS yang membantu mencari sebuah pesawat Air France yang hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.
Katanya, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh para pegawai Australia, terdapat dua objek besar dengan sebuah objek berkenaan berukuran lebih 20 meter panjang dan dikelilingi beberapa objek kecil terapung di Lautan Hindi. Objek tersebut dipercayai serpihan kapal terbang.
Ujarnya, beberapa pakar marin yang mengkaji angin dan ombak memberitahu bahawa keadaan lautan di lokasi objek itu dikesan adalah tenang sejak beberapa hari lalu.
"Biasanya serpihan akan bertaburan di lautan tetapi sekiranya keadaan laut adalah tenang kemungkinan serpihan ini berada dekat antara satu sama lain," katanya.
Berdasarkan saiz yang digambarkan oleh pegawai Australia, Gallo meramalkan objek itu kemungkinan sayap atau badan pesawat.
"Daripada serpihan yang besar ini kemungkinan pesawat ini mendarat dengan agak perlahan ketika di laut.
"Kapal terbang ini tidak terhempas secara menjunam ke permukaan laut," jelasnya.
Menurutnya, ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas.
Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut.
Dalam tragedi tersebut, seramai 228 penumpang dan anak kapal pesawat itu maut manakala kotak hitam kapal terbang itu hanya dijumpai selepas dua tahun tragedi berlaku.
"Lautan adalah tempat yang misteri dan sukar untuk kita meramalkan sama ada penumpang pesawat MH370 ini terselamat atau sebaliknya.
"Kita hanya akan mengetahui semua itu selepas pesawat ini djumpai," jelasnya. 
- Agensi(KOSMO!)

20 Mac 2014

MH370: Keluarga buat kecoh, siasatan dijalankan

Salah seorang ahli keluarga penumpang MH370 dari China ditemui media selepas dihalang memasuki kawasan sidang media di lobi Hotel Sama Sama, Sepang, semalam. – Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung tindakan lima saudara mara penumpang MH370 warga China yang cuba menceroboh pusat media di Hotel Sama-Sama, semalam.

"Kami kesal kejadian yang berlaku di sidang akhbar itu membabitkan beberapa saudara mara penumpang MH370. Kita hanya boleh membayangkan kesedihan yang terpaksa mereka alami," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, sejurus sebelum sidang akhbar yang dijadual bermula pada 5.30 petang, lima saudara mara penumpang pesawat berkenaan membuat kecoh apabila dua kali mereka cuba menceroboh pusat media.

Kali pertama mereka cuba memasuki pusat media ialah pada 4.45 petang dan menimbulkan kekecohan dengan tangisan serta jeritan selain turut membawa sepanduk bertulisan Mandarin. Taklimat media belum bermula ketika itu.
   
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut menegaskan, Malaysia sudah melakukan apa yang terdaya untuk mencari pesawat yang hilang itu.

Sinar Harian

19 Mac 2014

Datuk Bandar wanita pecat pegawai berpoligami tanpa izin

Tri Rismaharini

SURABAYA 18 Mac - Seramai 30 pegawai kerajaan lelaki di Surabaya dipecat oleh Walikota (Datuk Bandar) wilayah itu, Tri Rismaharini kerana berpoligami tanpa izin.

Ketegasan Tri memecat kesemua pegawai berkenaan sepanjang tahun lalu bukan hanya kerana mereka bernikah tanpa izin, bahkan tindakan itu juga disifatkan beliau sebagai melanggar peraturan perkhidmatan.

"Sebahagian besar berkahwin lagi tanpa izin sedangkan sudah diingatkan (jangan berbuat demikian) tetapi tindakan itu dikesan. Akhirnya mereka dipecat," kata Walikota wanita yang pertama memimpin Surabaya itu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis angkat sumpah pegawai-pegawai kerajaan baharu.

Berhubung kes pegawai-pegawai kerajaan yang dibawa ke muka pengadilan kerana terlibat dalam kesalahan lain pula, Risma berkata, kes-kes berkenaan diserahkan kepada pihak berwajib.

"Kerana itu saya meminta, agar pegawai-pegawai kerajaan mentaati peraturan yang ada dan menepati sumpah perkhidmatan kerana itu akan dijawab di hadapan Tuhan nantinya," ujarnya.

Dalam ucapannya juga, Tri mengingatkan semua pegawai kerajaan agar memelihara kerjaya yang disandang kerana mereka yang berjaya mendapat pekerjaan itu merupakan orang yang istimewa.

"Daripada sekitar 10,000 yang mendaftar pada 2013, tidak sampai 400 permohonan diterima," kata beliau lagi.

Tri terkenal sebagai seorang pemimpin wanita yang sangat tegas dan tidak akan berkompromi terhadap hal-hal yang remeh.

Bahkan beliau juga tanpa rasa gentar akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan.

 - UTUSAN

Penjual buah sorok dadah dalam dubur


GEORGETOWN - Seorang penjual buah didapati bersalah selepas didakwa atas kesalahan menyimpan dadah di dalam dubur.

Tertuduh, Faizul Amirul Ahmad Fareez, 37, didapati melakukan kesalahan tersebut pada 9 Mac 2014 kira-kira jam 12 tengah hari di Flat Taman Manggis Jalan Zainal Abidin.

Mengikut fakta kes, rumah tertuduh diserbu anggota polis melalui hasil maklumat yang diberikan.

Dalam serbuan berkenaan, polis menjumpai straw serbuk ketulan disyaki heroin yang disorokkan dalam dubur tertuduh.

Mengikut fakta pertuduhan pertama, dia dituduh pada 9 Mac 2014 dengan memiliki dadah heroin seberat 2.5 gram.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.

Akibatnya dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Faizul Amirul yang diwakili peguamnya merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai gaji kurang daripada RM500 sebulan.

Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan melalui pertuduhan pertama dan penjara selama lima bulan untuk pertuduhan kedua.

Tertuduh juga dikehendaki menjalani pengawasan selama dua tahun.


Sinar Harian

18 Mac 2014

MH370: Penjawat awam diingat jangan sebar maklumat tidak tepat


KLUANG 18 Mac - Penjawat awam di negara ini diingatkan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370.

"Banyak pihak terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi ’api dalam sekam’ atau ’gunting dalam lipatan’," katanya.

Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan di sini hari ini.

 - BERNAMA


Gadis urut tak sempat loloskan diri

Salah seorang gadis urut yang ditemui cuba bersembunyi di bawah katil.

JOHOR BAHRU - Seramai 16 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di sebuah premis refleksologi di Taman Nusa Bestari, di sini, kelmarin.

Serbuan Ops Bersepadu sekitar jam 8 malam yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Anuar Zainal disertai 10 pegawai itu turut menahan tiga individu warga tempatan.

Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, semua yang ditahan termasuk warga tempatan dipercayai majikan dan penjaga premis itu berusia antara 19 hingga 58 tahun.

“Hasil aduan awam, serbuan dan pemeriksaan dilakukan terhadap 16 warga asing ini dan tangkapan dibuat ke atas mereka bersama tiga lelaki tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Ketika pemeriksaan, salah seorang lelaki tempatan dipercayai majikan mereka tidak memberi kerjasama, namun dia kemudiannya ditahan. Hasil pemeriksaan badan, terdapat kad yang juga akses menuju ke tingkat atas,” katanya, di sini, semalam.

Masri berkata, penemuan kad berkenaan membawa kepada serbuan di tingkat atas yang membawa kepada penahanan tiga wanita warga asing.

Jelasnya, pada mulanya, wanita terbabit cuba meloloskan diri dengan lari ke atas bumbung bersama penjaga premis iaitu lelaki tempatan, bagaimanapun, mereka berjaya ditahan atas tindakan pantas pegawai bertugas.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati empat wanita asing bersembunyi di bawah katil dan almari di tingkat dua. Lokasi serbuan dipercayai dijadikan tempat persundalan di mana menawarkan pakej urutan batin,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing dan lelaki tempatan terbabit ditahan serta dibawa ke pejabat imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, mereka ditahan mengikut Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 56(1)(d) akta yang sama.


Sinar Harian

Bayi Melecur Akibat Alahan Ubat Meninggal Dunia

Muhammad Nasrullah, lapan bulan, yang melecur selepas mengalami alahan terhadap ubat yang diberi oleh sebuah klinik swasta di Alor Setar, Kedah, meninggal dunia pagi Isnin. - foto BERNAMA

ALOR SETAR: Bayi berusia sembilan bulan yang melecur seluruh badan dipercayai akibat alahan ubat yang diberi oleh sebuah klinik swasta pada 16 Feb lalu meninggal dunia pada Isnin.

Muhammad Nasrullah Khairul Nizam meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi Isnin selepas 10 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak dimasukkan ke HSB pada 5 Mac lalu.
Bapanya, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, berkata anaknya itu disahkan meninggal dunia akibat 'Sepsis Secondary To Infected Severe Atopic Eczema' (jangkitan kuman dalam darah) atau penyakit radang seluruh badan yang membawa maut disebabkan oleh jangkitan yang teruk.

"Selepas mendapatkan rawatan di HSB pada 25 Feb lalu, keadaan dia semakin pulih dan pada 5 Mac lalu, Ketua Puteri Umno Kulim-Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd Noor telah membantu kami membawa dia ke Kedah Medical Centre (KMC) bagi mendengar pandangan daripada doktor pakar kulit di situ.

"Selepas diperiksa, doktor di KMC menyuruh kami membawa dia ke HSB semula kerana sudah mempunyai rekod pemeriksaan di sana. Apabila dibawa ke HSB semula, dia ditahan di dalam ICU selama 10 hari sebelum meninggal dunia pagi Isnin," katanya kepada pemberita di kampung Kuala Bangka, Kota Sarang Semut di sini.

Khairul Nizam berkata pada Sabtu lalu doktor telah memberitahunya dan isteri bahawa peluang untuk bayi mereka hidup hanya 50/50.

"Pada pukul 11 malam Ahad, keadaan dia semakin lemah dan sekitar pukul 12 pagi, doktor memberitahu bahawa jantung anak saya terhenti sementara sebelum mereka berjaya memberikan bantuan oksigen tetapi sejam kemudian keadaan semakin kritikal dan akhirnya disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Khairul Nizam berkata dia akan berbincang dengan anggota keluarganya sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap klinik swasta yang telah menyebabkan kematian anaknya.

Isterinya Nur Shazira Mohd Salleh, 23, berkata sebelum Muhammad Nasrullah meninggal dunia, dia berasa tidak sedap hati ditambah pula melihat berat badan anaknya turun mendadak daripada 9.6 kilogram kepada 6. 3 kilogram dalam tempoh 10 hari.

"Tiga hari kebelakangan ini hati saya tidak sedap kerana saya lihat perubahan dia semakin letih dan tidak mahu minum susu seperti sebelum ini. Tapi dia tidak menangis kesakitan dan hanya merenung wajah saya.

"Saya tidak dapat bersama dengan dia sepanjang dia berada di dalam ICU. Saya hanya dapat memegang semasa menyusukan dia dan kali terakhir saya melihat dia pada pukul 1 pagi sebelum dia meninggal dunia 25 minit kemudian," katanya.

Jenazah Muhammad Nasrullah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Permatang Buluh di sini pada pukul 9 pagi Isnin.

Pada 16 Feb lalu, badan bayi itu didapati mula melecur dan bertukar menjadi kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat makan dan sapu yang diberi sebuah klinik swasta di sini ketika mendapatkan rawatan akibat ruam sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut.


mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !