18 Mac 2014

Gadis urut tak sempat loloskan diri

Salah seorang gadis urut yang ditemui cuba bersembunyi di bawah katil.

JOHOR BAHRU - Seramai 16 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di sebuah premis refleksologi di Taman Nusa Bestari, di sini, kelmarin.

Serbuan Ops Bersepadu sekitar jam 8 malam yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Anuar Zainal disertai 10 pegawai itu turut menahan tiga individu warga tempatan.

Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, semua yang ditahan termasuk warga tempatan dipercayai majikan dan penjaga premis itu berusia antara 19 hingga 58 tahun.

“Hasil aduan awam, serbuan dan pemeriksaan dilakukan terhadap 16 warga asing ini dan tangkapan dibuat ke atas mereka bersama tiga lelaki tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Ketika pemeriksaan, salah seorang lelaki tempatan dipercayai majikan mereka tidak memberi kerjasama, namun dia kemudiannya ditahan. Hasil pemeriksaan badan, terdapat kad yang juga akses menuju ke tingkat atas,” katanya, di sini, semalam.

Masri berkata, penemuan kad berkenaan membawa kepada serbuan di tingkat atas yang membawa kepada penahanan tiga wanita warga asing.

Jelasnya, pada mulanya, wanita terbabit cuba meloloskan diri dengan lari ke atas bumbung bersama penjaga premis iaitu lelaki tempatan, bagaimanapun, mereka berjaya ditahan atas tindakan pantas pegawai bertugas.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati empat wanita asing bersembunyi di bawah katil dan almari di tingkat dua. Lokasi serbuan dipercayai dijadikan tempat persundalan di mana menawarkan pakej urutan batin,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing dan lelaki tempatan terbabit ditahan serta dibawa ke pejabat imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, mereka ditahan mengikut Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 56(1)(d) akta yang sama.


Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !