18 Mac 2014

Bayi Melecur Akibat Alahan Ubat Meninggal Dunia

Muhammad Nasrullah, lapan bulan, yang melecur selepas mengalami alahan terhadap ubat yang diberi oleh sebuah klinik swasta di Alor Setar, Kedah, meninggal dunia pagi Isnin. - foto BERNAMA

ALOR SETAR: Bayi berusia sembilan bulan yang melecur seluruh badan dipercayai akibat alahan ubat yang diberi oleh sebuah klinik swasta pada 16 Feb lalu meninggal dunia pada Isnin.

Muhammad Nasrullah Khairul Nizam meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi Isnin selepas 10 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak dimasukkan ke HSB pada 5 Mac lalu.
Bapanya, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, berkata anaknya itu disahkan meninggal dunia akibat 'Sepsis Secondary To Infected Severe Atopic Eczema' (jangkitan kuman dalam darah) atau penyakit radang seluruh badan yang membawa maut disebabkan oleh jangkitan yang teruk.

"Selepas mendapatkan rawatan di HSB pada 25 Feb lalu, keadaan dia semakin pulih dan pada 5 Mac lalu, Ketua Puteri Umno Kulim-Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd Noor telah membantu kami membawa dia ke Kedah Medical Centre (KMC) bagi mendengar pandangan daripada doktor pakar kulit di situ.

"Selepas diperiksa, doktor di KMC menyuruh kami membawa dia ke HSB semula kerana sudah mempunyai rekod pemeriksaan di sana. Apabila dibawa ke HSB semula, dia ditahan di dalam ICU selama 10 hari sebelum meninggal dunia pagi Isnin," katanya kepada pemberita di kampung Kuala Bangka, Kota Sarang Semut di sini.

Khairul Nizam berkata pada Sabtu lalu doktor telah memberitahunya dan isteri bahawa peluang untuk bayi mereka hidup hanya 50/50.

"Pada pukul 11 malam Ahad, keadaan dia semakin lemah dan sekitar pukul 12 pagi, doktor memberitahu bahawa jantung anak saya terhenti sementara sebelum mereka berjaya memberikan bantuan oksigen tetapi sejam kemudian keadaan semakin kritikal dan akhirnya disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Khairul Nizam berkata dia akan berbincang dengan anggota keluarganya sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap klinik swasta yang telah menyebabkan kematian anaknya.

Isterinya Nur Shazira Mohd Salleh, 23, berkata sebelum Muhammad Nasrullah meninggal dunia, dia berasa tidak sedap hati ditambah pula melihat berat badan anaknya turun mendadak daripada 9.6 kilogram kepada 6. 3 kilogram dalam tempoh 10 hari.

"Tiga hari kebelakangan ini hati saya tidak sedap kerana saya lihat perubahan dia semakin letih dan tidak mahu minum susu seperti sebelum ini. Tapi dia tidak menangis kesakitan dan hanya merenung wajah saya.

"Saya tidak dapat bersama dengan dia sepanjang dia berada di dalam ICU. Saya hanya dapat memegang semasa menyusukan dia dan kali terakhir saya melihat dia pada pukul 1 pagi sebelum dia meninggal dunia 25 minit kemudian," katanya.

Jenazah Muhammad Nasrullah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Permatang Buluh di sini pada pukul 9 pagi Isnin.

Pada 16 Feb lalu, badan bayi itu didapati mula melecur dan bertukar menjadi kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat makan dan sapu yang diberi sebuah klinik swasta di sini ketika mendapatkan rawatan akibat ruam sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut.


mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !