PETALING JAYA: Sebahagian isi kandungan perjanjian penyelesaian perceraian dipercayai di antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Raja Salim tersebar luas di laman media sosial, Facebook pada Jumaat.
Isi kandungan perjanjian itu yang dimuatnaik oleh seorang pengguna di laman tersebut menunjukkan ia menyerupai draf surat oleh pejabat peguam.
Antara yang terkandung dalam perjanjian tersebut adalah mengenai persetujuan kedua-dua belah menyelesaikan isu perceraian, tuntutan selepas perceraian dan hadhanah anak-anak mereka secara damai.
Menurut surat perjanjian itu, mereka juga bersetuju kes tersebut diselesaikan tanpa membabitkan sebarang perbicaraan di mahkamah.
Dalam pada itu, pasangan tersebut juga didakwa telah membuat satu perjanjian mengenai beberapa perkara lain di mana ia akan berkuatkuasa dari tarikh perjanjian penyelesaian itu ditandatangani.
Bagaimanapun, kesahihan mengenai surat perjanjian itu tidak dapat dipastikan.
Pada Khamis, Nurul Izzah disahkan memfail penceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Pemeriksaan rekod mahkamah oleh The Star Online mendapati kes perceraian antara Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan suaminya itu wujud.
Nurul Izzah, 33, membuat tuntutan fasakh bagi membatalkan perkahwinannya dengan Raja Ahmad Shahrir , 35, pada akhir Disember tahun lalu.
Dalam kenyataan media bersama pada Khamis, Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Raja Salim meminta supaya mereka diberikan ruang peribadi untuk menyelesaikan isu itu.
"Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.
"Keluarga kami menjadi keutamaan," kata mereka pada Khamis.
Kredit : mStar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan