18 Januari 2014

Aidil Zafuan akui tak bayar duit sewa rumah

Aidil Zafuan dan Rita Rudaini

PETALING JAYA - Pemain bola sepak Kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, 27, mengaku di mahkamah rendah syariah di sini hari ini bahawa dia tidak menjelaskan bayaran rumah sewa RM3,000 sejak keluar dari rumah kelaminnya bersama pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 38, pada Januari, dua tahun lalu.

Menurutnya, bayaran rumah sewa di Kota Damansara tersebut yang diduduki Rita Rudaini bersama dua anaknya dijelaskan oleh isterinya ketika itu selama 18 bulan sehingga mereka sah bercerai pada 4 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan keterangan itu, Aidil Zafuan menarik balik keterangannya sebelum ini bahawa dia tidak pernah culas membayar nafkah untuk Rita Rudaini dan anak-anaknya.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh peguam Rita Rudaini, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam sesi soal balas terhadap pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu.

“Sepanjang tempoh anak-anak tinggal dengan plaintif (Rita Rudaini), saya memang tidak pernah gagal memberikan nafkah kepada mereka, tetapi, cuma tak bayar sewa rumah.

“Saya tidak berbohong kepada mahkamah, cuma keterangan pada 4 Disember 2013 itu tidak tepat,” katanya.

Aidil Zafuan berkata, beliau ada memaklumkan dan mengajak plaintif tinggal bersamanya di rumah yang disediakan oleh majikannya di USJ 1, Subang Jaya, namun mendakwa Rita Rudaini enggan.

“Plaintif memberi alasan bahawa rumah itu bukan rumah kelamin kami,”katanya.

Aidil Zafuan berkata, berkenaan dengan peruntukan perbelanjaan anak-anaknya, dia tidak pernah menetapkan jumlahnya namun menganggarkan sekitar RM700 sebulan mengikut keperluan.

“Biasanya, saya hanya beli satu pek lampin pakai buang anak jika habis. Begitu juga dengan susu,”katanya yang juga memperuntukkan RM500 untuk pakaian anak-anaknya.

Ketika ditanya Mohd Zaidi mengenai perbelanjaan lain selain keperluan anak-anaknya, Aidil Zafuan berkata:

“Saya membayar RM2,000 untuk ansuran bulanan kereta BMW 3 Series dan RM1,000 bagi motosikal berkuasa tinggi berjenama Ducati Monster,”katanya.

Berkenaan dengan gaji yang diperoleh, Aidil Zafuan menyatakan dia menerima pendapatan bersih RM12,000 ketika berkhidmat bersama pasukannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012.

“Ketika berkhidmat dengan pasukan Negeri Sembilan pada 2011, saya menerima pendapatan RM8,000 sahaja,”katanya.

Beliau berkata, sebagai pemain bola sepak, dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Adakalanya lebih daripada itu kerana bonus akan diberikan jika memenangi perlawanan,” katanya.

Prosiding tersebut dijalankan di hadapan Hakim, Abd Halim Abu Samah dan ditangguhkan sehingga 31 Mac depan.

Rita Rudaini, 38, menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Aidil Zafuan hadir bersama keluarganya manakala Rita Rudaini ditemani rakan-rakannya.


Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !