07 Julai 2014

Info,Gigitan manusia mampu beri kesan buruk


PEMAIN bola sepak Uruguay, Luis Suarez  menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan Piala Dunia di Brazil, baru-baru ini. Kesan gigitan manusia mampu menyebabkan kecederaan serius akibat jangkitan bakteria dalam mulut. - AGENSI


LONDON 6 Julai - Kontroversi pemain bola sepak Uruguay, Luis Suarez menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan Piala Dunia di Brazil, baru-baru ini, mendapat perhatian dunia.

Namun hakikatnya, gigitan manusia bukan sahaja menyakitkan, malah boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan, lapor laman web, Mail Online.

Menurut Profesor Stanislav Dusko Ehrlich dari Kolej Institusi Diraja Pergigian London, gigitan manusia boleh menyebabkan luka yang berbahaya.

"Terdapat lebih 700 jenis bakteria dalam mulut dan selalunya manusia sihat mempunyai antara 100 hingga 200 jenis bakteria dalam satu masa.

"Sekiranya gigitan itu menembusi kulit, bakteria berkenaan boleh memasuki badan mangsa menerusi luka dan berpotensi memberi ancaman serius," katanya.

Hal itu dikuatkan lagi dengan kejadian yang menimpa seorang warga tua, Wendy Thomas, 67, apabila dia hampir kehilangan jarinya selepas digigit oleh cucu yang berusia dua tahun ketika dia sedang memandikan kanak-kanak itu.

"Kesan gigitan itu dilihat seperti dicucuk jarum, jadi saya menyangka tiada masalah ketika itu," katanya.
Jelas Thomas, bagaimanapun, jarinya mengeras beberapa hari kemudian.

"Saya terjaga dari tidur pada satu malam kerana saya berasa amat sakit. Saya mula berasa pening, muntah-muntah dan pengsan," katanya.

Pakar pembedahan plastik, Philip Geary dari Hospital Salisburi berkata, 40 peratus daripada laporan gigitan yang diterimanya adalah daripada manusia, melebihi gigitan haiwan.

"Manusia menyangka mulut mereka lebih bersih daripada haiwan, tetapi sebenarnya mereka salah," katanya.

UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !