Azrina Yakob
Itulah reaksi yang diberikan Akil Raif, 9, ketika ditanya pemberita mengenai ibunya.
Difahamkan suami Azrina, Mohd. Raflis Mohd. Tahir, 43, telah menceritakan kejadian yang menimpa isterinya itu kepada dua orang anaknya.
Azrina, 41, merupakan salah seorang daripada 298 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine malam tadi.
Selain Akil Raif, hasil perkongsian hidup dengan Mohd. Raflis, Azrina turut dikurniakan seorang lagi anak, Arissa Raisha yang berusia tiga tahun.
Kakaknya, Azlin Yakob, 43, berkata kali terakhir beliau berhubung dengan adiknya itu menerusi aplikasi sosial WhatsApp yang menghimpunkan ahli keluarga terdekat.
Beliau berkata, setengah jam sebelum menaiki penerbangan, Azrina menghantar mesej memaklumkan dia sedang bersahur dengan makanan yang disediakan oleh pihak hotel tempatnya menginap.
Bagaimanapun waktu itu kami sekeluarga tidak memberikan respon terhadap kiriman mesej dan gambar yang dihantar oleh Azrina kerana sibuk menjalankan urusan seharian, selain menganggap itu adalah kiriman mesej biasa kerana dia memang suka bercerita pengalamannya di negara orang.
Sebelum ini juga Azrina ada bercerita mengenai persiapan raya kepada saya di mana dia mahukan adik bongsu kami menemaninya ketika pulang ke kampung halaman di Kedah kerana suaminya tidak bercuti panjang pada Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui pemberita di rumah adiknya itu di Sungai Pelek, di sini hari ini.
Selain itu, Azrina turut menyatakan hasrat untuk menukar duit raya, namun semua itu tidak kesampaian.
Azlin berkata, beliau tidak menyangka insiden itu akan menimpa mereka sekeluarga tambahan pula hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kami sekeluarga pernah diselubungi kebimbangan selepas pesawat MH370 hilang kerana menyangka Azrina berada dalam penerbangan itu.
Bagaimanapun kerisauan itu tidak lama selepas dia memaklumkan kepada kami dia selamat dan tidak terbabit dalam penerbangan itu, insiden menimpa MH370 tidak pernah mematahkan semangat Azrina untuk terus bekerja sebagai pramugari, tambahan pula sudah 20 tahun dia bekerja dalam bidang tersebut dan kami menganggap dia betul-betul mencintai kerjayanya itu.
Namun, tidak sangka pula kali ini kejadian seumpama itu betul-betul menimpa adik saya dan mengejutkan kami semua terutamanya emak," katanya.
Beliau mengetahui perkhabaran duka yang menimpa adiknya itu selepas dimaklumkan oleh Mohd. Raflis tengah malam tadi.
Kami sekeluarga reda dengan ketentuan takdir, malah ibu juga cuba menyibukkan diri dengan membuat kerja rumah bagi menghilangkan kesedihan dialaminya walaupun sudah lewat malam," katanya.
Dalam pada itu, di Alor Setar, Kedah suasana pilu menyelubungi rumah ibu bapa Azrina di Kampung Kelompang, Alor Mengkudu ketika mereka bersiap sedia untuk bertolak ke Kuala Lumpur pagi ini.
Biarpun tampak redha dengan kejadian itu, ibunya, Habibah Ismail, 65, dilihat mengalirkan air mata apabila berpelukan dengan ahli keluarganya sejurus sebelum memulakan perjalanan.
Saya dan suami, Yakob Silam Sudin, 73, diberitahu mengenai kejadian ini oleh seorang anak saudara yang juga bertugas dengan MAS kira-kira 12 tengah malam semalam.
Jiran-jiran yang mendapat berita, turut menemani kami sehingga kira-kira 2 pagi bagi mendapatkan maklumat lanjut, kali terakhir kami berhubung melalui telefon minggu lepas," katanya.
UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan