Edson Cholbi do Nascimento
ANAK lagenda bola sepak dunia, Pele yang berusia 44 tahun ditahan di Brazil selepas kalah dalam rayuan terhadap kes pengubahan wang haram melibatkan kartel dadah.
Edson Cholbi do Nascimento (gambar) yang dikenali sebagai Edinho telah dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun pada awal tahun ini. Bagaimanapun dia dibenarkan menangguhkan hukuman sementara rayuan dibuat.
Bekas penjaga gol itu kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum hakim, Suzana Pereira menjatuhkan hukuman bahawa Edinho perlu dipenjarakan.
Kumpulan peguam Edinho kemudian memberitahu media bahawa pihaknya terkejut dengan keputusan tersebut dan akan meminta anak guam mereka dibebaskan secepat mungkin.
Pele dalam satu sidang media bagaimanapun enggan mengulas mengenai hukuman terhadap anaknya.
Lagenda bola sepak dunia berusia 74 tahun yang membantu Brazil menjuarai Piala Dunia pada 1958,62 dan 70 itu bercakap kepada pemberita selepas keluar dari hospital kerana menjalani pembedahan membuang batu karang.
mStar Online