GAMBAR yang dimuat naik dalam FB.
Kuala Lumpur: Seorang pembantu rumah bertindak biadab apabila sengaja memuat naik gambar barang kemas milik majikannya yang dirompak melalui laman sosial Facebook (FB).
Mangsa, Nur Hanani Ismail, 33, yang tinggal di Shah Alam, Selangor, mendakwa terkejut dengan tindakan berani pembantu rumahnya dikenali sebagai, Ani, 24, berasal dari Jambi, Indonesia.
Menurutnya, wanita itu bertindak mencuri pelbagai barang kemas miliknya sebelum melarikan diri dari rumah, September lalu.
“Ini adalah pembantu rumah saya yang keempat. Saya mula mengambilnya bekerja melalui ejen di sana pada tahun 2012 dengan bayaran hampir RM5,000.
“Sepanjang dua tahun berkhidmat, saya perhatikan dia seorang yang tidak bersungguh membuat kerja dan kerap buat perangai,” katanya.
Mangsa yang juga seorang cikgu berkata, dia tidak berani menegur wanita itu kerana bimbangkan keselamatan anaknya ketika dia keluar bekerja.
“Bukan itu sahaja, segala kehendaknya saya penuhi termasuk memberi cuti setiap hujung minggu bagi membolehkan dia bertemu rakannya.
“Malah, dia mendakwa sudah berkahwin dan sentiasa memberi alasan untuk bertemu suaminya yang bekerja di kawasan pembinaan di ibu kota,” katanya.
Katanya, Ani bagaimanapun menghilangkan diri selepas mencuri pelbagai barangan miliknya dan adik membabitkan nilai keseluruhan hampir RM10,000.
“Ini termasuk wang tunai, beg jenama mewah, barang kemas seperti gelang jade dan cincin. Bukan itu sahaja, tudung dan kerongsang saya juga turut dicuri.
“Saya mengetahui perkara itu selepas melihat beberapa gambar yang dimuat naik Ani di dalam akaun FB miliknya sambil menunjukkan barangan curi milik saya,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan tindakan wanita terbabit, dia ke pejabat imigresen untuk membatalkan permit sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan