23 September 2014

Akibat abaikan anak


SEPASANG suami isteri, Idle Gillian Hendry dan Craig Dick, masing-masing berusia 34 tahun hilang hak penjagaan anak selepas dituduh mengabaikan dua anak mereka di Teesdale Terrace, Britain.

Dalam kertas pertuduhan di bacakan di Mahkamah Crown, pasangan itu dikatakan mengabaikan dua anak mereka berusia 12 tahun dan dua tahun dengan meninggalkan mereka di dalam bilik kotor dan busuk.

Menurut Dailymail, lebih menyedihkan, seorang daripada anaknya dilaporkan buta mata kiri kerana  pasangan itu gagal membawa anak mereka untuk temu janji di hospital.

Tindakan pengabaian kanak-kanak itu terbongkar selepas sekumpulan pekerja sosial dari hospital berkenaan pergi ke rumah pasangan itu untuk mengetahui alasan mengapa mereka gagal menemui doktor bagi melakukan pembedahan mata berkenaan.

Ketika memasuki rumah terbabit, terdapat puluhan plastik sampah di ruang tamu dengan pakaian tidak berbasuh dan tandas kotor yang dipenuhi najis serta tilam berkulat.

Hakim Mahkamah Crown berkata, tindakan pasangan itu amat kejam kerana membiarkan anak-anak mereka hidup dalam keadaan mengerikan dan sangat kotor.

Bagaimanapun, peguam pasangan itu Peter Wishlade berkata, ibu kanak-kanak itu mengalami kemurungan hingga gagal melayan anak-anaknya manakala bapa mereka seorang yang pengotor.

"Dia adalah seorang lelaki yang tidak tahu menjaga kebersihan diri dan tertekan dengan masalah isterinya," katanya.

Keputusan penghakiman diakhiri dengan hakim memutuskan, kedua-dua pasangan itu hilang hak penjagaan terhadap anak-anak mereka dan pasangan itu ditahan di bawah penjagaan pakar sakit jiwa di hospital tempatan.


Sinar Harian

22 September 2014

Seluruh pasukan Bolasepak Cameroon peluk Islam

  • Benoit Assou-Ekotto (depan, kanan) antara pemain beragama Islam dalam skuad kebangsaan Cameroon.

MENURUT laporan Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan Dubai (IACAD), Emiriyah Arab Bersatu, kesemua anggota pasukan bola sepak pelapis kebangsaan Cameroon termasuk jurulatih dan paderi mereka telah memeluk agama Islam.

Anggota pasukan Cameroon yang rata-rata dalam lingkungan 20-an mengucap dua kalimah syahadah beramai-ramai setelah menghadiri satu kem latihan yang dianjurkan jabatan tersebut di Dubai, baru-baru ini.

Menurut IACAD, keputusan itu diambil kerana mereka tertarik dengan layanan baik dari warga tempatan serta keamanan dan ketenangan yang dapat dirasakan di dalam Islam.

Pasukan Cameroon berasal dari akademi bola sepak yang ditubuhkan khas untuk anak-anak yatim, orang gelandangan dan orang miskin.

Ketua Pengarah IACAD, Dr Hamad Al Shaibani berkata, jabatan tersebut telah menyaksikan ramai penduduk dan pelancong dari pelbagai kewarganegaraan memeluk Islam.

“Kebanyakan mereka memeluk agama Islam kerana tertarik dengan nilai-nilai toleransi berperikemanusiaan dan prinsip Islam serta kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri,” katanya.


Sinar Harian

21 September 2014

Pelajar IPTA BEROMEN dalam bas ditahan

KUANTAN - Polis menahan sepasang kekasih yang berkelakuan tidak senonoh di dalam sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Terengganu menuju Kuala Lumpur pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada pemandu bas berkenaan kira-kira 2.01 pagi.

"Dia mendapati pasangan itu yang berumur 20 tahun sedang melakukan perkara tidak senonoh di tempat duduk penumpang ketika di Chendor dekat sini.

"Berikutan itu pasangan tersebut yang merupakan pelajar jurusan Diploma Perakaunan sebuah insitusi pengajian tinggi awam di Terengganu ditahan untuk diambil keterangan," katanya.

Pasangan berkenaan yang sedang bercuti untuk mengulang kaji pelajaran, mengaku melakukan perbuatan itu. - Bernama

20 September 2014

Ibu terkejut anak bersalin dalam tandas


BERA - Sepasang suami isteri amat terkejut apabila anak perempuan mereka yang baru berusia 16 tahun melahirkan anak lelaki di dalam tandas rumah mereka di Felda Bandar 32 dekat sini awal pagi tadi.

Wanita tersebut mendapati anaknya itu berlumuran darah, ketika dia hendak bersolat Subuh kira-kira 5.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata bapa pelajar berkenaan kemudiannya membawa anaknya ke klinik kesihatan, sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 7.10 pagi.

Pelajar berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Remaja itu dikatakan sudah mengandung sembilan bulan, tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda dia mengandung. - Bernama

19 September 2014

Anak lembu berwajah manusia?

MUKA anak lembu yang dikatakan seperti manusia.
Penduduk yang kehairanan bertumpu ke rumah keluarga Sebenzile di Afrika Selatan baru-baru ini untuk melihat sendiri anak lembu yang didakwa separuh manusia.
Ramai percaya lembu diberi nama Nyamazane itu ‘dirogol’ selepas ia melahirkan anak dengan wajah manusia dan dua organ seks berbeza. Sebenzile Mlangeni, 60, dari Kampung Emazizini, memberitahu akhbar tempatan, Daily Sun, lembu itu melahirkan anaknya Ahad lalu.
“Kira-kira jam 12 tengah hari, saya melihat kaki lembu keluar dari Nyamazane. Lembu itu mengalami kesakitan yang teruk. Proses melahirkan itu mengambil masa lebih lama berbanding biasa,” kata Sebenzile.
“Saya memanggil anak saya untuk membantu. Selepas menarik anak lembu yang sudah mati itu keluar, kami terkejut melihat mukanya seperti manusia.

“Beberapa penduduk berkata, lembu itu mungkin dicabul di padang ragut oleh orang yang tidak dikenali. “Kami tidak pasti bagaimana untuk mengebumikannya, sama ada seperti manusia atau menghantarnya kepada doktor untuk memeriksanya,” kata Sebenzile.
Berita mengenai kelahiran ganjil itu turut mengejutkan Datuk Bandar Ukhahlamba, Thulani Sibeko.
“Saya terkejut melihat gambar anak lembu itu. Saya menyangka gambar itu diubah suai,” kata Sibeko.
Seorang pegawai tempatan, Induna Malinga berkata, sepanjang hidupnya, ini kali pertama dia mendengar cerita lembu melahirkan manusia.
Keluarga Sebenzile berkata, mereka kini takut untuk menyembelih Nyamazane.
“Kami melihatnya seperti manusia kerana dia melahirkan seorang manusia. Mana boleh dagingnya kami makan,” kata Sebenzile. - Agensi

18 September 2014

Buat Perangai Pelik Gara gara Cinta Terlarang


IPOH - Akibat cinta tidak direstui, seorang lelaki sanggup menghalang kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga untuk melarikan kekasihnya.
 
Malah, lelaki terbabit turut merayu kepada kekasihnya itu supaya jangan meninggalkannya dan mengajaknya berkahwin.
 
Lebih melucukan apabila lelaki berkenaan turut membuat upacara perkahwinan di dalam kereta dengan mengenakan tali di leher kekasihnya sebagai simbol mereka sudah berkahwin.
 
Dalam kejadian Isnin lalu jam 11 malam, semasa mangsa bersama ibu, abang dan kakak iparnya berada dalam kereta Perodua Viva melalui jalan di Desa Pinji, Lahat tiba-tiba muncul sebuah kereta Proton Persona warna hitam melanggar hadapan kereta yang dinaiki keluarga tersebut.
 
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, selepas pelanggaran itu berlaku, tiga lelaki keluar dari kereta tersebut dan seorang daripada mereka adalah teman lelaki mangsa berusia 25 tahun.
 
“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, bertindak memecahkan cermin kereta dan memukul abang mangsa sebelum menarik keluar mangsa dari kereta serta melarikannya menaiki keretanya.
 
“Abang mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan dan kereta mereka rosak di bampar, bonet depan dan cermin kereta pecah dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Menurutnya, susulan kejadian itu, abang mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai operator kilang membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai, kelmarin.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pembantu tadbir berusia 22 tahun itu telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak empat tahun lalu.
 
“Bagaimanapun, keluarga mangsa menghalang hubungan mereka apabila mengetahui suspek terbabit dalam kegiatan dadah,” ujarnya.
 
Katanya, polis berjaya mengesan suspek bersama mangsa dalam keadaan selamat di Taiping dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.
 
“Lima rakan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, semakan kami mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan,” katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 363, 427, 323 dan 448 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

17 September 2014

Warga Emas Tumbuk Perompak, Gagalkan Cubaan Ragut


CUBAAN seorang lelaki untuk merompak wanita berusia 80 tahun gagal apabila wanita warga emas itu menumbuk mulut suspek untuk mempertahankan dirinya.

Wanita itu diserang ketika sedang berjalan-jalan bersama dengan anjingnya di antara Bellevue Road dan Invicta Road di Whitstable, Kent kira-kira pukul 7.20 pagi waktu tempatan.

Perompak terbabit yang berpakaian serba hitam dan memakai penutup kepala cuba meragut beg tangan wanita tersebut.

Namun, sebaliknya berlaku apabila wanita warga emas itu bertindak menumbuk mulut perompak itu.

Akibatnya, perompak tersebut bergegas melarikan diri.

Ketua Polis Kent, Inspektor Paul Fotheringham berkata, suspek tersilap dalam memilih mangsa yang masih kuat untuk mempertahankan dirinya.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung serangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.
mStar Online

15 September 2014

Pasangan Dapat Kebenaran Namakan Bayi Leonwl Messi

Lionel Messi

BUENOS AIRES: Seorang bapa yang begitu meminati Lionel Messi berusaha mengemukakan permohonan pengecualian undang-udang hanya untuk memenuhi impian menamakan anaknya sempena pemain bola sepak terkemuka Argentina itu.

Walaupun terpaksa naik turun pejabat untuk mengemukakan permohonan di bandar General Roca, ia memberi kepuasan buat Daniel Valera apabila mendapat kelulusan pengecualian.

Pegawai meluluskan permohonan berkenaan dan mengeluarkan sijil kelahiran untuk Messi Daniel Varela.

Mengikut undang-undang era diktator 1969 negara itu, ibu bapa dihalang menamakan anak mereka menggunakan nama bapa sebagai nama pertama.

Daniel Varela menanam impian untuk menamakan anaknya dengan nama Lionel Messi sejak pertama kali melihat penyerang Barcelona itu bermain untuk pasukan remaja kebangsaan Argentina.

“Saya melihat Messi bermain dengan pasukan di bawah 17 tahun. Dia sungguh hebat dan sejak itu saya berhasrat menamakan anak saya sempena namanya.

Selepas dikurniakan dua anak perempuan dan menunggu lapan tahun, Varela tidak mahu melepaskan peluang apabila isterinya melahirkan anak lelaki baru-baru ini.

"Dan kini saatnya sudah tiba dan saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” kata Varela.

mStar Online

12 September 2014

Ketagih makan lilin


SESETENGAH orang mempunyai tabiat menggigit kuku yang dianggap tidak sihat kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Tetapi, kembar berumur 50 tahun dari Bradford, England ini mempunyai ketagihan pelik akibat masalah gangguan makanan atau Pica yang menyebabkan mereka cenderung memakan bahan tertentu.

Adele mendakwa dia gemar memakan lilin sejak berumur lapan tahun dan ia langsung tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatannya.

Kembarnya, Anita memberitahu dia mengalami Pica ketika hamil kira-kira 24 tahun lalu.

"Saya mula mengidam objek yang berbau seperti tiket bas lama dan akhirnya menemui bau sama pada buku terpakai. Rasanya juga lebih enak seperti memakan bar coklat," katanya.

Ahli psikologi, Marcia Karp memaklumkan terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang ketagih untuk mengambil 'makanan' pelik sepanjang hidup mereka.

"Sebagai contoh, Pica mungkin dialami sesetengah wanita hamil dan kadang-kadang disebabkan oleh defisit mineral," jelasnya kepada DailyMail.


Sinar Harian

11 September 2014

Khalwat dengan dua wanita

  • Seorang lelaki dan dua wanita yang dicekup berkhalwat oleh penguatkuasa Jaipk dalam sebuah premis rumah kedai di Parit Buntar.

PARIT BUNTAR - Alasan menumpang tidur di rumah rakan sekerja digunakan seorang pemandu bas untuk mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) Cawangan Parit Buntar tidak berhasil apabila dia ditahan setelah disyaki berkhalwat dengan dua wanita di sebuah premis rumah kedai, Jalan Syahbandar, Pusat Bandar Parit Buntar di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40-an yang berstatus suami orang itu disyaki berkhalwat bersama dua kerani kaunter sebuah syarikat bas ekspress berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Jurucakap Jaipk Cawangan Parit Buntar berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam itu melibatkan  lima anggota penguatkuasa Jaipk Cawangan Parit Buntar.

Menurutnya,  dalam kejadian jam 11.45 malam itu, penguatkuasa Jaipk terpaksa menunggu kira-kira 15 minit di pintu premis yang dibuka seorang wanita berusia 20 tahun.

"Apabila penguatkuasa memasuki premis itu, mereka mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tidur di bilik berasingan, manakala gadis yang membuka pintu itu mendakwa tidur bersama rakan wanitanya.

“Ketika disiasat, ketiga-tiga individu itu mengaku tiada sebarang ikatan sah, manakala lelaki terbabit beri alasan terpaksa menumpang tidur di rumah rakan wanita memandangkan dia perlu memandu bas ke Kuala Lumpur pada awal pagi,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah soal siasat dilakukan ke atas dua wanita ditahan, pemandu bas itu menukar keterangan dengan mendakwa menyewa sebuah bilik di dalam premis itu sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, kenyataan kesemua individu itu meragukan memandangkan anggota penguatkuasa menemui beberapa bukti di dalam sebuah bilik di premis tersebut.

“Lelaki terbabit difahamkan sudah berkahwin dan tinggal di Butterworth, Pulau Pinang, manakala dua wanita itu pula berasal dari Bandar Baharu dan Langkawi, Kedah.

“Berikutan itu, ketiga-tiga mereka diberikan notis menghadiri sesi kaunseling di Pejabat Majlis Agama Islam Daerah Kerian di Parit Buntar pada hari Isnin (hari ini)," katanya.

Jurucakap Jaipk berkata, lelaki terbabit juga diarahkan segera meninggalkan premis berkenaan dan akan dikenakan tindakan tegas jika ditangkap berkhalwat sekali lagi.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !