23 September 2014

Akibat abaikan anak


SEPASANG suami isteri, Idle Gillian Hendry dan Craig Dick, masing-masing berusia 34 tahun hilang hak penjagaan anak selepas dituduh mengabaikan dua anak mereka di Teesdale Terrace, Britain.

Dalam kertas pertuduhan di bacakan di Mahkamah Crown, pasangan itu dikatakan mengabaikan dua anak mereka berusia 12 tahun dan dua tahun dengan meninggalkan mereka di dalam bilik kotor dan busuk.

Menurut Dailymail, lebih menyedihkan, seorang daripada anaknya dilaporkan buta mata kiri kerana  pasangan itu gagal membawa anak mereka untuk temu janji di hospital.

Tindakan pengabaian kanak-kanak itu terbongkar selepas sekumpulan pekerja sosial dari hospital berkenaan pergi ke rumah pasangan itu untuk mengetahui alasan mengapa mereka gagal menemui doktor bagi melakukan pembedahan mata berkenaan.

Ketika memasuki rumah terbabit, terdapat puluhan plastik sampah di ruang tamu dengan pakaian tidak berbasuh dan tandas kotor yang dipenuhi najis serta tilam berkulat.

Hakim Mahkamah Crown berkata, tindakan pasangan itu amat kejam kerana membiarkan anak-anak mereka hidup dalam keadaan mengerikan dan sangat kotor.

Bagaimanapun, peguam pasangan itu Peter Wishlade berkata, ibu kanak-kanak itu mengalami kemurungan hingga gagal melayan anak-anaknya manakala bapa mereka seorang yang pengotor.

"Dia adalah seorang lelaki yang tidak tahu menjaga kebersihan diri dan tertekan dengan masalah isterinya," katanya.

Keputusan penghakiman diakhiri dengan hakim memutuskan, kedua-dua pasangan itu hilang hak penjagaan terhadap anak-anak mereka dan pasangan itu ditahan di bawah penjagaan pakar sakit jiwa di hospital tempatan.


Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !