27 Mei 2014

Mak nyah didakwa menyamar anak yatim

Mohd Suyadi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam

KUALA TERENGGANU - Seorang mak nyah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menyamar sebagai anak yatim dan memperdayakan seorang peguam demi  mendapatkan wang pampasan insurans.

Tertuduh, Mohd Suyadi Othman, 28, yang beralamat di Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohd Hanaphi.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan dia diikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan tarikh 16 Jun depan bagi sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 Disember 2008, jam 10.25 malam hingga jam 1.24 petang pada 2 Januari 2009, dia didakwa perdaya pengadu, Ahmad Hilmi Abdul Majid di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini.

Mohd Suyadi memperdaya Ahmad Hilmi dengan mengaku sebagai Nurul Ali, seorang anak yatim piatu yang dalam keadaan memerlukan bantuan kewangan dan berjanji akan membayar balik wang kepada Ahmad Hilmi setelah mendapat wang pampasan insurans kedua ibu bapanya.

Akibat terpedaya dengan helah Mohd Suyadi, Ahmad Hilmi memutuskan untuk menyerahkan wang bernilai RM17,650 dengan memasukkan duit ke akaun BSN atas pemilik nama Ahmad Amir Aswadi Ahmad Ghani, 28.

Tertuduh ditahan oleh sepasukan polis dan dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan selain denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna.

Sinar Harian

26 Mei 2014

Kanak-kanak tersepit celah dinding

SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun tersepit di celah dinding di antara dua buah bangunan di bandar Bijie dalam wilayah Guizhou, China.

GUIZHOU, China - Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap di antara celahan dinding dua buah bangunan selepas terjatuh dari kediamannya ketika bermain di bandar Bijie baru-baru ini, lapor akhbar New York Daily kelmarin.

Ahli keluarga kanak-kanak yang berusia lima tahun itu terpaksa meminta pertolongan daripada anggota bomba ekoran gagal mencapainya melalui sebuah lubang.
Aksi kejadian terbabit telah dirakam oleh seorang penduduk setempat menggunakan telefon bimbit dan kemudiannya memuat naik rakaman terbabit ke laman perkongsian video YouTube.
Berdasarkan rakaman video, beberapa anggota bomba terpaksa menebuk dinding bilik air rumah seorang jiran bagi membentuk satu lubang untuk mencapai kanak-kanak terbabit.
Pasukan bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk menyelamatkan kanak-kanak itu daripada terus tersekat pada celahan dinding seluas 20 sentimeter itu.
 - Agensi(KOSMO!)


25 Mei 2014

OKU jadi jutawan sekelip mata

VINOD bersama bintang terkenal Bollywood, Salman Khan dalam program India’s Got Talent, musim kedua pada 2010.

New Delhi: Vinod Thakur, jejaka kelainan upaya (OKU) yang masyhur dan menjadi jutawan sekelip mata selepas menyertai program realiti televisyen India, berkata tarian membantunya bertemu cinta, kekayaan dan kebahagiaan. 

Pertama kali kelibatnya di pentas, dia dilihat duduk bersilang kaki di atas lantai, beberapa saat kemudian, dengan menggunakan dua lengannya yang kuat dia berdiri di atas tangannya. Baharulah penonton menyedari, penari berusia 23 tahun ini rupanya tidak mempunyai kaki. “Saya masih tak percaya kehidupan saya kini,” kata warga Delhi itu selepas persembahan mengagumkan di ibu negara India. 


“Memang gila. Tak lama dulu, nak simpan Rs1,000 (RM18) pun susah. Sekarang saya seorang jutawan.” katanya yang kini memiliki rumah dua tingkat, berkahwin dengan cinta sejati, Raksha Rathore, 19, dan merantau ke seluruh dunia. 

BH

24 Mei 2014

Sekelip mata 5 beradik jadi yatim piatu

LIMA beradik kini dijaga ibu saudara mereka.
Kuala Lumpur: “Biasanya ayah selalu terus keluar bekerja, tapi semalam dia sempat beri nasihat supaya saya menjaga adik-adik,” kata Mohd Haikal Jefri, 16, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut akibat digilis lori muatan tanah di Jalan Cheras di sini pagi, semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata ibunya pula tidak banyak bercakap sejak seminggu lalu. 
Menurut Mohd Haikal, dia tidak menyangka ciuman tangan ibu dan bapanya pagi semalam adalah yang terakhir bagi mereka adik-beradik sebelum menjadi yatim piatu.
ANGGOTA polis menguruskan jenazah mangsa di tempat kejadian, semalam.

Bagaimanpun, dia reda dengan kejadian itu dan akan menjaga adik-adik yang masih kecil dengan bantuan ibu dan bapa saudara.
“Saya dan adik-adik tak akan berpisah, lagi pun ibu dan ayah saudara sudah beritahu akan jaga kami,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras.
myMetro

DNA babi dalam produk coklat susu dikesan


SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan penemuan DNA babi (porcine) dalam produk makanan Coklat Susu dengan Kacang Hazelnut dan Coklat Susu dengan Kacang Badam jenama Cadburry Dairy Milk.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis yang diambil dari tiga sampel, dua daripadanya didapati mengandungi porcine manakala satu lagi produk iaitu Coklat Susu Cadburry Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi DNA tersebut.
 
"Ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Dalam pada itu, pihak pengeluar produk, Cadburry Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan untuk menarik balik produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.
 
"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya," jelasnya.
 
Orang ramai dan pengguna boleh merujuk laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang soalan dan pertanyaan.


Sumber


23 Mei 2014

Fu Wa dan Feng Yi Mengawan hanya 72 jam setahun

FU WAN dan Feng Yi hanya akan dilepaskan untuk bersama selama tiga hari dalam setahun.

KUALA LUMPUR – Pasangan beruang panda gergasi, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) yang ditempatkan di Zoo Negara, Hulu Klang di sini sebaik tiba dari China kelmarin hanya akan disatukan selama 72 jam dalam tempoh setahun bagi proses mengawan.


Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata, panda betina hanya mempunyai waktu subur tiga hari dalam setahun dan tempoh itu ditentukan melalui ujian hormon.
Menurutnya, selain daripada tempoh tiga hari itu, pasangan panda tersebut akan tinggal di kandang yang berasingan bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan.
Katanya, memang menjadi tabiat panda tidak hidup secara berpasangan kerana akan bergaduh kecuali pada waktu-waktu tertentu iaitu untuk mengawan.
“Walaupun kedua-duanya diletakkan secara berasingan, namun kami akan memantau paras hormon pasangan panda ini dan apabila sampai masanya ia akan dilepaskan untuk mengawan.
“Malah kami yakin Feng Yi (panda betina) cukup subur untuk beranak di Malaysia walaupun hanya dapat bersama kira-kira 72 jam dalam setahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
KOSMO!

22 Mei 2014

Syurga saya bawah jejambat

JAMALUDDIN berehat di sofa lusuh di bawah jejambat bersebelahan landasan komuter.
Kuala Lumpur: “Setiap malam saya tidur di atas sofa lusuh ini. Saya tiada pilihan kerana ini saja tempat saya berteduh,” kata Jamaluddin Abdullah Ratnam, 66, yang tinggal gelandangan di bawah jejambat bersebelahan landasan komuter Pantai Dalam di sini, sejak 10 tahun lalu.
Biarpun hidup dalam keadaan tidak terurus dan diganggu bunyi bising gerabak komuter namun lelaki warga emas terbabit tetap menghuni kawasan itu yang dianggap ‘syurga’ bagi berteduh dari panas dan hujan. 
Menurutnya, dia kini hidup sebatang kara kerana tidak pernah berkahwin malah adik-beradiknya juga tidak pernah ditemui sejak berhijrah ke Kuala Lumpur puluhan tahun lalu. 

“Sebelum ini saya ada rumah di perkampungan setinggan di kawasan berhampiran namun semua rumah itu dirobohkan. Malah semua barang di dalam rumah tidak sempat diselamatkan.
“Keadaan itulah yang memaksa saya tinggal di bawah jejambat ini. Saya bukannya sengaja tinggal di sini tetapi saya tidak ada pilihan,” jelas lelaki berasal dari Alor Gajah, Melaka ini.
Harian Metro

21 Mei 2014

Sharifah Shahira kemalangan akibat kena 'prank'

Sharifah Shahira

AKIBAT terkejut dengan 'prank' yang dirancang untuk mengenakannya, pelakon dan pelawak, Sharifah Shahira jatuh terlentang hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di belakang kepalanya.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku pada waktu senja itu, pelakon yang terkenal dengan watak komedi ini memberitahu 'prank' berkenaan dirancang bagi sebuah program 'game show'.

"Ketika itu waktu maghrib dan saya baru pulang dari tempat kerja menuju ke kereta. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan kelibat seperti hantu keluar dari bonet kereta.

"Saya terkejut dan terus berlari tapi nasib tak baik kerana terlanggar kereta lalu terjatuh terlentang. Saya bukannya takut hantu, tapi saya terkejut sebab kejadian itu berlaku di kawasan sunyi mana tahu kalau-kalau itu adalah orang gila.

"Selepas jatuh saya rasa 'blur' sekejap dan dapati kepala saya berdarah tapi tak serius," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, selepas kejadian itu berlaku dia terus mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan KPJ Tawakkal.

"Walaupun berdarah, tapi doktor tak jahit luka itu. Dia cuma balut dan biarkan pendarahan tersebut berhenti sendiri.

"Saya pun dah jalani pemeriksaan X-ray, dan doktor beritahu setakat ini tiada apa-apa yang serius. Cuma kalau keadaan masih tidak berubah (masih terus berdarah), doktor suruh saya datang semula ke hospital," katanya yang telah diberikan cuti rehat selama lima hari.

Kejadian ini adalah pertama kali berlaku kepada dirinya dan Shahira berkata, dia tidak merancang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap produksi tersebut.

Bagaimanapun atas nasihat suaminya, Ijoy, dia tidak akan menyertai program seumpama itu.


Sinar Harian

20 Mei 2014

Pemuzik main biola guna rambut manusia

SEORANG pemain biola, Eimantas Belickas sedang menggesek rambut Maksimovas.- Agensi

VILNIUS, Lithuania - Seorang lelaki, Tadas Maksimovas menjadi popular di internet selepas rakamannya bermain biola menggunakan rambutnya yang panjang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Maksimovas menjadikan helaian rambutnya sebagai tali biola.
Dia menggunakan idea tersebut untuk mempromosikan Hari Pemuzik Jalanan yang disambut di Lithuania pada Sabtu pertama bulan ini.
Maksimovas menghubungi seorang pemuzik jalanan lain, Eimantas Belickas supaya menggesek rambutnya seperti biola.
Biola rambut itu dapat menghasilkan bunyi dan melodi yang merdu. - Agensi
KOSMO!

19 Mei 2014

Anak ketua pramugara kecam pengarah filem MH370


SHAH ALAM – Penghasilan filem The Vanishing Act di bawah arahan Rupesh Raul yang berkisar tentang misteri kehilangan MH370 dikecam hebat oleh anak Ketua Pramugara MAS, Andrew Nari.

Maira Elizabeth Nari berkata, beliau kesal dengan pembikinan filem yang disifatkan tidak sensitif dan menyinggung perasaan ahli keluarga krew MH370.

“Itu bukannya cara krew kabin pesawat bekerja, tidak apa-apa yang menyeronokkan untuk ditonton.

“Tolong fikirkan perasaan kami sebagai ahli keluarga mereka sebelum buat atau cakap sesuatu mengenai MH370,” katanya yang dipetik menerusi akaun mikro Twitternya, hari ini.

Buat masa ini, The Vanishing Act yang dilaporkan akan ditayangkan menjelang September depan sedang hangat dipromosikan di Festival  Filem Cannes yang bakal berakhir pada 25 Mei ini.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas pengarah filem terbabit.


Sinar Harian
 

Port Mak Ngah Skodeng !