28 Mac 2014

Pasangan Malaysia yang dituduh mendera anak-anak mereka di Sweden dijatuhi hukuman penjara

Shalwati dan Azizul

PETALING JAYA: Pasangan Malaysia yang dituduh mendera anak-anak mereka di Sweden didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Daerah Solna pada Jumaat.

Mahkamah juga menetapkan bahawa pasangan itu perlu membayar ganti rugi terhadap anak-anak mereka.
Ibu kepada empat orang anak, Shalwati Norshal dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan kerana perlakuan kasar terhadap anak perempuannya dan anak lelaki sulungnya serta atas kesalahan menyakiti dua lagi anak lelakinya.
Sementara itu bapa mereka, Azizul Raheem Awalluddin dikenakan hukuman penjara 10 bulan kerana dia didapati bersalah mengasari tiga anak anaknya.
Azizul bagaimanapun dibebaskan daripada apa-apa kesalahan terhadap anak bongsunya.
mStar Online

MH370 : FBI tak jumpa bukti

Kuala Lumpur: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan juruterbang MH370 dengan kehilangan pesawat itu, lapor New York Times.
Perkara itu didedahkan dua pegawai penyiasatnya selepas FBI menyiasat cakera keras dan simulator penerbangan yang diambil dari rumah kedua-dua juruterbang MH370 di Malaysia. 
Menurut jurucakap FBI Michael Kortan, buat masa ini biro berkenaan tidak akan berkongsi maklumat kerana siasatan lanjut masih dijalankan. 

Walaupun pasukan penyiasat tertumpu kepada juruterbang pesawat MH370, namun tiada bukti menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam kes kehilangan pesawat MH370.
Foto
Seorang bekas pegawai penguatkuasa undang-undang kanan berkata, sekalipun maklumat dari cakera keras milik juruterbang MH370 yang diperolehi FBI mungkin sedikit, namun informasi sedemikian mungkin dapat membantu kerajaan Malaysia dalam merungkai misteri kehilangan MH370. - NYT

27 Mac 2014

Datuk Ali Mamak meninggal dunia

Ali Mamak

PELAWAK terkenal era 80an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah portal hiburan, Allahyarham yang dikenali melalui sitkom ‘Santan Berlada’ meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Perkara ini juga disahkan oleh anak lelakinya, Shahrul Nizam melalui akaun Facebook (FB) peribadinya.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Batu 14, Hulu Langat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat, Selangor untuk dikebumikan sebelum Zohor.


Al-Fatihah.

26 Mac 2014

Anzalna bikin isteri Izzue Islam cemburu?

Anzalna Nasir

“SAYA tidak nafikan laporan akhbar sebelum ini, tapi apa yang saya mahu katakan, perkara itu bukan berpunca daripada saya,” jelas aktres cantik, Anzalna Nasir yang mengulas mengenai kontroversi yang mendakwa dirinya bermasam muka dengan aktor, Izzue Islam ketika menjalani penggambaran drama bersiri Aku Isterinya seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Menerusi drama itu, Anzalna dan Izzue ditugaskan memegang watak suami isteri.

Tidak tahu di mana silapnya, selepas beberapa minggu menjalani penggambaran drama itu timbul pula cerita kurang enak yang mendakwa Anzalna ‘lebih-lebih’ menghayati babak intim terhadap Izzue sehingga isterinya, Awin Nurin cemburu.

Anzalna memberitahu dirinya juga pelik bagaimana perkara seperti itu boleh timbul sedangkan sebagai seorang pelakon dia hanya menjalankan tugasnya.

“Saya bukannya kali pertama berlakon. Lagi pun sebelum ini banyak kali saya digandingkan dengan suami orang seperti Aaron Aziz dan Adi Putra.

“Tapi tidak pula timbul isu sebegini. Tapi apa pun, sebagai seorang pelakon saya perlu bersikap profesional untuk menjayakan watak ini walaupun kurang selesa bila cerita seperti ini keluar,” kata Anzalna ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu di slot Akasia di TV3 berjudul Aku Isterinya, kelmarin.

Izzue bagaimanapun tidak hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Enggan bersemuka

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Anzalna turut akui pada awal memulakan penggambaran dia mengalami kesukaran tambahan pula ada beberapa babak menuntutnya untuk melakonkan adegan intim.

“Memang pada awal-awal penggambaran, saya sudah rasa susah untuk berlakon dengan Izzue lebih-lebih lagi bila adanya adegan intim.

“Walaupun hanya lakonan, saya faham dan sangat menghormati Izzue dan isterinya. Sebab itu saya tidak lakukannya secara berlebihan malah berhati-hati bila lakonkan babak berpegangan.

“Saya juga ada keluarga dan teman lelaki dan memang dari awal saya cuba jaga batas,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan bersemuka dengan pasangan itu untuk menyelesaikan salah faham yang timbul, Anzalna bagaimanapun menjelaskan dirinya tidak berhasrat untuk melakukannya.

“Sebenarnya tidak ada sebab pun saya perlu bersemuka dengan mereka.

“Lagi pun saya tidak mahu melayan perkara yang kebudak-budakan tambahan pula ini isu kecil saja,” katanya mengakhiri perbualan.

Selain Anzalna dan Izzue, barisan pelakon lain yang terlibat dalam Aku Isterinya adalah Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Marissa Yasmin dan Syatila Melvin.

Ia bakal bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 bermula 31 Mac ini pada setiap Isnin hingga Khamis, pada jam 7 malam.

Sinar Harian

Kekasih penumpang MH370 enggan terima berita kematian

BAJC dan kekasihnya, Woods.
NEW YORK - Seorang teman wanita seorang penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Phillip Woods menyatakan dia enggan menerima berita kematian kekasihnya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
"Saya hanya akan menerima realiti Woods sudah tiada apabila bangkai pesawat hilang ini ditemui," kata wanita berkenaan, Sarah Bajc.
"Saya memerlukan sesuatu yang konkrit untuk menutup episod sedih ini (kehilangan MH370)," tambah Bajc yang bekerja sebagai seorang guru perniagaan di China.
Menurut wanita tersebut, Woods menaiki penerbangan menuju ke Beijing itu pada 8 Mac lalu untuk membantunya berpindah.
"Malangnya, misi kami tidak kesampaian," kata Bajc.
"Kini keluarga Woods dan saya memerlukan masa untuk berkabung," tambahnya.
 - Agensi(KOSMO!)


25 Mac 2014

MH370,Kru rakam gambar dua objek terapung Lautan Hindi

GAMBAR yang diperoleh semalam menunjukkan anggota tentera melihat menerusi binokular bagi mencari pesawat MH370 dari atas kapal HMAS Success di Lautan Hindi.

SYDNEY - Kru sebuah pesawat peninjau Australia berjaya merakamkan gambar dua objek di Lautan Hindi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan penerbangan MH370 dalam misi mencari pesawat itu yang memasuki hari kelima.

"Kru pesawat Orion melaporkan melihat dua objek dengan yang pertama berbentuk bulat dan berwarna hijau manakala objek kedua berwarna oren dan berbentuk segi empat," kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia dalam satu kenyataan.
Kedua-dua objek tersebut dilihat berada di kawasan sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth yang menjadi lokasi berpotensi pesawat berkenaan jatuh selepas kehabisan bahan api berdasarkan pengiraan komputer.
"Saya memberi nasihat bahawa kami tidak pasti bahawa objek itu berasal daripada MH370, ia mungkin benda lain yang terapung," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
"Namun, kami berharap agar dapat mengambil dua objek itu dengan segera dan ia akan dapat membantu untuk menemui sekali gus menyelesaikan kehilangan MH370," tambahnya.
Sebuah kapal milik Tentera Diraja Australia, HMAS Success dijangka sampai pada hari ini ke satu lokasi yang dikatakan beberapa objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.
Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 orang, hilang dari radar 8 Mac lalu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis membekalkan set imej satelit baharu untuk membantu pencarian MH370 manakala semua imej tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia.
Namun, objek yang dikesan satelit Perancis itu terletak di luar kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Australia semalam menyuarakan kelegaan selepas ribut tropika Gillian didapati tidak akan melanda kawasan pencarian pesawat MH370.
BEBERAPA jurukamera dan wartawan menunggu perkembangan terkini misi pencarian pesawat MH370 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Perth semalam.


Sehingga kini, terdapat 10 buah pesawat meninjau di kawasan laut seluas 59,000 kilometer persegi itu yang terletak di antara Australia dan Antartika untuk mencari petunjuk bagi mengesan pesawat hilang itu.
Terdahulu, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan beberapa objek lain yang ditemui oleh sebuah pesawat China.
Agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan pada hari yang sama bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Pada sidang akhbar khas yang diadakan pada pukul 10 malam semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.
Pesawat tersebut disahkan hilang dan terhempas di lokasi tersebut yang terletak sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth berdasarkan maklumat dan analisis data terbaharu satelit Inmarsat milik United Kingdom. 
- Agensi(KOSMO!)


24 Mac 2014

Pesawat MH370 Sah Terhempas Di Selatan Lautan Hindi - Najib


PETALING JAYA:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi di barat daya Australia.

Beliau yang bercakap dalam sidang media pada malam Isnin berkata, berdasarkan analisis baru, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) telah menyimpulkan bahawa pesawat MH370 telah terbang di sepanjang Koridor Selatan, di tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth, Australia.

Najib menambah, syarikat Immarsat telah mengesan pesawat itu terbang di sepanjang koridor utara dan selatan, dan mengenal pasti laluan penerbangan terakhir menerusi teknologi canggih. 

"Menggunakan sejenis analisis tidak pernah digunakan sebelum ini, mereka telah dapat mengesan laluan penerbangan MH370 itu. Kedudukan itu jauh dari mana-mana lokasi pendaratan.

"Dengan duka cita saya perlu memberitahu anda bahawa menerusi perkembangan terbaharu ini, pesawat MH370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Najib berkata, satu sidang media akan diadakan pada Selasa berhubung perkembangan lanjut mengenai pesawat MH370.

Beliau menambah, ia merupakan peluang terawal untuk menunjukkan komitmen dan penghormatan kepada keluarga penumpang dan anak kapal, dan prinsip dalam penyiasatan berhubung kehilangan pesawat MH370.

“MAS (Penerbangan Malaysia) telah memaklumkan mengenai perkembangan ini kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal. Saya tahu berita yang paling baharu ini merupakan sesuatu yang begitu sukar bagi kita semua," katanya.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777, hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

mStar Online

Suspek baling al-Quran ditahan di wad psikiatri

Laporan Sinar Harian 5 Mac lalu.

BESUT - Lelaki yang diberkas selepas disyaki membaling al-Quran di dua masjid di daerah ini pada 4 Mac lalu kini ditahan di wad pesakit psikiatri, Hospital Besar Kota Bharu Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 27 tahun dari Kampung Keluang, di sini itu ditahan di hospital tersebut selama sebulan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, keputusan untuk mendakwa suspek yang dipercayai membaling  naskhah al-Quran di Masjid Limbongan dan Masjid Nasaruddin Shah, Kampung Raja itu bergantung kepada pemeriksaan pakar perubatan psikiatri nanti.


Suspek yang bertindak membaling naskhah al-Quran dan Yasin di dua masjid di Kampung Raja, Besut.

“Suspek yang sebelum itu ditahan di sini selepas diberkas pada 4 Mac lalu didakwa mengalami masalah mental dan pernah mendapat rawatan sebagai pesakit mental sebelum kejadian itu,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pendidikan di daerah ini itu dikatakan bertindak sedemikian pada awal pagi tarikh berkenaan.

Sinar Harian keluaran 5 Mac lalu menyiarkan penduduk di Kampung Limbongan dan Kampung Raja gempar apabila masjid mereka dicerobohi dan beratus-ratus naskhah al-Quran serta kitab dirosakkan selain dicampak di merata tempat.

Sinar Harian

23 Mac 2014

MH370: Satelit Perancis Dakwa Temui Imej Serpihan Pesawat

Pusat penyelaras Australia diberi petunjuk baru oleh Perancis selepas setelit negara itu menemui imej dipercayai dapat membantu pencarian pesawat MH370.

KUALA LUMPUR:Perancis dilaporkan telah menemui objek yang dipercayai serpihan pesawat MH370 di Lautan Hindi menerusi imej yang dirakam satelitnya.

Perkara itu didedahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada Ahad selepas tiada sidang media diadakan berhubung misteri kehilangan MH370.
Imej tersebut dilaporkan telah dihantar kepada pusat penyelarasan Australia yang terlibat dalam operasi di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak memberi butiran lanjut tentang imej satelit yang diperoleh setakat ini.
mStar Online

'Jual dara anak' untuk kaya ?


Gadis bawah umur heret ibu bapa ke muka pengadilan 

DUBAI: Seorang gadis berusia 16 tahun tidak dapat menahan emosi sebaik bersemuka dengan ibu dan bapanya di mahkamah walaupun beliau berada di situ bagi memberi keterangan untuk mensabitkan kedua-duanya dalam satu jenayah. 


Mungkin ada yang mencebik bibir dan menganggap beliau anak tidak mengenai budi tetapi jenayah yang dilakukan ibu dan bapa gadis malang itu bukan sesuatu yang mudah dimaafkan memaksa anak kandung mereka menjual tubuh semata-mata untuk menjadi kaya. 

“Ayah menjual dara saya kerana mahu saya membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan. Ibu dan bapa saya memaksa saya melacur. Saya dipaksa mencari rezeki apabila bapa marah kerana saya enggan menjual tubuh,” kata gadis Pakistan itu dengan teriak tangis ketika memberi keterangan terhadap kedua ibu bapanya di mahkamah di Dubai.


BH

Port Mak Ngah Skodeng !