25 Januari 2014

Yana Samsudin Minta Perubahan Wajahnya Tidak Dijadikan Isu

Yana menafikan dia melakukan pembedahan plastik untuk memcantikkan wajahnya.
PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin menjelaskan perubahan fizikalnya terutama pada bahagian muka bukan kerana dia melakukan pembedahan sebaliknya mengalami penurunan berat badan secara mendadak.
Yana, 30, berkata, cakap-cakap yang mengatakan dia melakukan pembedahan untuk mengubah rupa parasnya sama sekali tidak masuk akal dan berharap ia tidak lagi dijadikan isu.
"Apa yang anda lihat bukan kerana saya menjalani pembedahan muka atau hidung seperti didakwa dan belum pernah lagi terlintas di fikiran saya untuk buat begitu.
"Perubahan ini disebabkan penurunan berat badan saya agak mendadak sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan raut wajah saya kelihatan berbeza," katanya kepada mStar Online.
Yana menjawab spekulasi yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung dan wajahnya pada akhir tahun lalu.
Sementara itu, Yana secara terbuka mengakui sudah tiba masanya dia mula memikirkan soal perkahwinan secara serius sejajar dengan peningkatan usianya sekarang.
Jelas Yana, dia bersedia untuk mengakhiri zaman solonya pada tahun ini sekiranya bertemu jodoh yang sesuai.
"Usia saya bukan semakin muda tetapi semakin meningkat dan sudah tiba masanya soal perkahwinan menjadi agenda penting untuk saya pada tahun ini," katanya.
Pelakon itu sebelum ini pernah mengakui berkawan rapat dengan adik kepada aktor Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), Yana berkata, dia terkejut sekali lagi terpilih untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.
Bagaimanapun, dia amat berterima kasih kepada para peminatnya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan mengundinya sehingga dicalonkan dalam peringat 'Top 5'.
"Soal menang atau kalah tidak menjadi perkara penting kerana dapat pencalonan pun sudah membuatkan saya berbesar hati," katanya yang membawa pulang trofi kategori sama pada ABPBH tahun lalu.
Kredit : mStar Online

Anugerah Bintang Popular 2013,Zizan tetap jadi pilihan

Zizan Razak

HASIL undian orang ramai telah menyenaraikan nama pelawak dan pengacara, Zizan Razak menerima pencalonan terbanyak menerusi program berprestij, Anugerah Bintang Popular 2013.

Pengacara program Melodi itu tersenarai dalam lima kategori yang dipertandingkan iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular.

Selain itu bagi kategori dalam talian, Zizan tersenarai dalam dua kategori iaitu Gandingan Di Layar Serasi bersama Siti Saleha dan Artis Berpengaruh Di Laman Media.

Kelmarin bertempat di Hotel Royal Chulan, pengumuman lima finalis bagi 22 kategori termasuk dalam talian telah dijalankan.

Selain menampilkan nama-nama besar, kali ini anugerah berprestij ini turut memperlihatkan bakat-bakat baharu yang terpilih dalam lima pencalonan terbaik antaranya Nomad (Artis Baru Lelaki Popular), Chacha Maembong (Artis Baru Wanita Popular), Raja Ilya (Pelakon TV Wanita Popular), Pekin Ibrahim (Pelakon Filem Lelaki Popular), Jihan Musa (Artis Komedi Wanita Popular) dan Nik Michael Imran (Pengacara TV Lelaki Popular).

Lebih menarik, sebanyak dua kategori baru dalam talian telah diperkenalkan iaitu Chef Selebriti Paling Popular dan Aksi Di Youtube Paling Popular menggantikan kategori Artis Asia Paling Popular dan Watak Animasi Tempatan Popular.

Mengetengahkan tema ’Magis Alam’, majlis pengiktirafan ini akan berlangsung pada 6 April 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands dan akan bersiaran menerusi TV3 dan Hot FM.

Peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka bermula 23 Januari hingga 11 Mac depan untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori sekali gus memilih Bintang Paling Popular 2013.


Kredit : Sinar

Justin Bieber Ditahan Polis Kerana Mabuk

Gambar Justin yang diambil ketika ditahan di balai polis tersebar selepas penangkapannya kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.
PENYANYI Justin Bieber telah ditahan oleh pihak polis selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol pada Khamis lalu.
E News melaporkan Justin sebelum itu berpesta di sebuah kelab di Miami Beach, Florida bersama teman-temannya di samping model terkenal, Chantel Jeffries.
Gambar Justin ketika ditahan di balai polis juga tersebar luas ketika ini.
Justin (tidak berbaju) berpesta di sebuah kelab.
Menurut sumber, Justin dilihat berada di luar kawalan di parti tersebut sebelum meninggalkan majlis bersama-sama Chantel yang tidak diketahui apa sebenarnya hubungan mereka.
Wanita berkenaan turut dibawa ke balai polis kerana berada di dalam kereta sama dengan Justin ketika ditahan.
Chantel, 21, sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Lil Twist dan anak kepada P.Diddy iaitu DeSean Jackson.
Kredit : mStar Online

24 Januari 2014

Surat Perjanjian Perceraian Nurul Izzah Tersebar Di Facebook

Sebahagian isi kandungan surat perjanjian penyelesaian perceraian Nurul Izzah yang dimuatnaik di laman FB pada Jumaat.
PETALING JAYA: Sebahagian isi kandungan perjanjian penyelesaian perceraian dipercayai di antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Raja Salim tersebar luas di laman media sosial, Facebook pada Jumaat.
Isi kandungan perjanjian itu yang dimuatnaik oleh seorang pengguna di laman tersebut menunjukkan ia menyerupai draf surat oleh pejabat peguam.
Antara yang terkandung dalam perjanjian tersebut adalah mengenai persetujuan kedua-dua belah menyelesaikan isu perceraian, tuntutan selepas perceraian dan hadhanah anak-anak mereka secara damai.
Menurut surat perjanjian itu, mereka juga bersetuju kes tersebut diselesaikan tanpa membabitkan sebarang perbicaraan di mahkamah.
Dalam pada itu, pasangan tersebut juga didakwa telah membuat satu perjanjian mengenai beberapa perkara lain di mana ia akan berkuatkuasa dari tarikh perjanjian penyelesaian itu ditandatangani.
Bagaimanapun, kesahihan mengenai surat perjanjian itu tidak dapat dipastikan.
Pada Khamis, Nurul Izzah disahkan memfail penceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Pemeriksaan rekod mahkamah oleh The Star Online mendapati kes perceraian antara Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan suaminya itu wujud.
Nurul Izzah, 33, membuat tuntutan fasakh bagi membatalkan perkahwinannya dengan Raja Ahmad Shahrir , 35, pada akhir Disember tahun lalu.
Dalam kenyataan media bersama pada Khamis, Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Raja Salim meminta supaya mereka diberikan ruang peribadi untuk menyelesaikan isu itu.
"Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.
"Keluarga kami menjadi keutamaan," kata mereka pada Khamis.
Kredit : mStar Online

Lisdawati Ubah Skrip Kerana Gagal 'Sorok' Perut

Lisdawati
PETALING JAYA: Pelakon Lisdawati mengakui terpaksa menukar skrip dan sedikit jalan cerita drama Bukan Karana Aku Tak Cinta kerana kandungannya yang semakin membesar apabila mencecah enam bulan.
Lisdawati, 36, berkata, dalam drama itu dia terpaksa memaklumkan mengenai keadaan kandungannya iaitu pada episod ke 40 walaupun pada asalnya ia tiada dalam skrip.
"Ketika mendapat skrip cerita ini saya belum lagi mengandung tetapi disebabkan penggambaran banyak kali tertunda sehingga dijadualkan tamat sekitar Februari depan, kandungan saya semakin besar dan boleh kelihatan di televisyen.
“Disebabkan perkara itu, pihak produksi terpaksa merombak skrip dan apa yang bakal ditonton nanti adalah kandungan sebenar saya," katanya ketika ditemui mStar Online.
Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta mula disiarkan sejak 9 Disember lalu pada setiap Isnin hingga Rabu bermula pukul 10 malam di Astro Mustika (saluran 134).
Bagaimanapun, Lisdawati bersyukur apabila tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang menjalani penggambaran drama 60 episod itu.
Bercerita tentang aktiviti seni, Lisdawati berkata, buat masa ini dia masih aktif dengan penggambaran drama dan promosi produk Bio Delima.
"Saya sudah biasa ketika mengandungkan anak pertama dan kedua dahulu pun saya aktif berlakon sehingga benar-benar keadaan tidak mengizinkan.
"Sekarang ini saya habiskan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan masih menerima tawaran drama yang bersesuaian dengan keadaan saya termasuk mempromosi produk Bio Delima," katanya.
Dalam pada itu, Lisdawati berkata, dia yang mengharapkan untuk menimang cahaya mata lelaki tidak mahu terlalu gembira biarpun doktor telah memberitahu kandungan tersebut merupakan bayi lelaki.
Kata Lisdawati, dia hanya berserah dan menerima apa juga jantina yang dikurniakan Allah kepadanya.
"Saya memang inginkan anak lelaki sebab dah ada dua anak perempuan tetapi saya tidak mahu terlalu berharap kerana takut kecewa,” katanya.
Hasil perkahwinan dengan pelakon Fauzi Nawawi, 41, dia dikurniakan dua anak iaitu Farhana, 5, tahun, dan Fazneesya, 4 tahun.
Kredit : mStar Online

23 Januari 2014

Nurul Wahab buka rahsia turun 14 kg dalam masa 3 bulan

Nurul Wahab

BUKAN senang untuk kekal langsing selepas bersalin, malah ada di kalangan wanita gagal mendapatkan bentuk badan asal biarpun selepas habis berpantang.

Namun buat penyanyi, Nurul Wahab yang baru melahirkan anak kedua hasil perkahwinan bersama jejaka Perancis, Eric Depp ini, ia bukanlah mustahil.

Selepas tiga bulan bersalin, dia berjaya menurunkan 14 kilogram berat badannya.

Pasti ramai wanita di luar sana mahu berkongsi tip langsing daripada penyanyi ini.

Jom kita tinjau rahsianya.

Anda tidak mengambil masa yang lama untuk kekal langsing selepas bersalin, apakah rahsianya?

Alhamdulillah, selepas tiga bulan melahirkan anak, berat badan sudah berkurang sebanyak 14 kilogram. Sekarang saya target untuk turunkan lagi 4 kilogram untuk mendapatkan berat badan ideal saya.

Sebenarnya tidak ada rahsia cuma saya amat menjaga pemakanan sepanjang waktu berpantang. Kebanyakan makanan mengandungi banyak karbohidrat, jadi saya kurangkan makanan seperti itu dan lebihkan pengambilan protein untuk kurangkan berat badan dengan cepat. Pada masa yang sama, saya juga ada amalkan makanan kesihatan berbentuk minuman setiap pagi.

Selain itu, saya lakukan aktiviti bersenam untuk kembalikan bentuk badan asal sebelum mengandung.

Selain kembali langsing, anda juga sentiasa kelihatan ceria, apa rahsianya?

Hidup ini kena selalu ceria sebab bila kita sentiasa gembira, tenaga yang baik juga akan datang. Memang masalah akan selalu berlaku tapi kita perlu hadapinya dengan ceria.

Satu lagi, bila hidup sudah lengkap, memang kita akan selalu gembira begitu juga dengan saya.

Apakah yang anda lakukan sebagai terapi diri untuk membuatkan anda rasa lebih tenang?

Setiap minggu memang saya akan lakukan aktiviti menunggang kuda. Biasanya saya lakukannya dua kali seminggu.  Walaupun agak mencabar, bagi saya aktiviti ini berkesan sebagai terapi diri untuk hilangkan tekanan.

Selain itu, apa yang anda lakukan pada waktu lapang?

Saya juga akan habiskan masa di gimnasium tiga kali seminggu. Di sana saya turut lakukan yoga. Bila lakukan aktiviti ini, bukan sahaja saya dapat kekalkan stamina, tetapi juga ketenangan.

Penjagaan kulit muka yang anda amalkan?

Sebagai duta produk kecantikan Skinz Infinite memang saya mementingkan penjagaan kulit. Untuk pengetahuan, memang saya gunakan produk tersebut setiap hari.

Penjagaan kulit memang penting kerana kulit saya sentiasa terdedah dengan solekan.

Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Saya memang ada ambil vitamin C dan D dan itu juga penting tambahan pula dengan usia saya yang sudah mencecah 36 tahun ini, memang perlu pengambilan suplemen ini.

Perkembangan karier nyanyian?

Terbaharu, saya sedang membuat perjanjian dengan syarikat rakaman dan berbincang untuk single terbaru saya. Sekarang ini kami sedang menunggu single itu siap sepenuhnya dari penyanyi Shila Amzah sebagai pencipta lagu tersebut.

Kembali aktif dalam bidang nyanyian, bagaimana anda bahagikan masa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu?

Walaupun sebelum ini saya tidak tampil dengan lagu baru, saya masih aktif menyanyi di majlis-majlis tertentu. Biarpun sekarang sudah ada baby baru, semuanya masih sama cuma saya perlu bijak bahagi masa.

Kredit : Hiburan Sinar

Nurul Izzah Tuntut Cerai ?

Gambar fail Nurul Izzah (kanan) dan suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar yang berkahwin pada 2003.
PETALING JAYA: Ruang siber digemparkan dengan khabar angin mengenai rumah tangga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang dikatakan menuntut cerai daripada suaminya.
Nurul Izzah dikatakan membuat permohonan cerai secara fasakh menerusi satu tuntutan di sebuah mahkamah syariah pada akhir Disember tahun lalu.
Suami beliau, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, dipercayai telah menerima tuntutan itu pada 16 Januari lalu dan memohon penangguhan selama dua minggu bagi membolehkan beliau menyediakan kesnya.
Nurul Izzah dan Raja Ahamd Shahrir Iskandar tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung dakwaan berkenaan.
Usaha pihak The Star Online mendapatkan pengesahan wanita itu kira-kira pukul 11.40 pagi Khamis tidak berjaya apabila panggilan telefon yang dibuat ke atasnya terputus selepas dua kali berbunyi.
Nurul Izzah, 33, dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, berkahwin pada 9 Mei 2003.
Majlis perkahwinan pasangan itu diadakan di kediaman bapa Nurul Izzah iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Bandaraya, dekat sini.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun dan seorang anak lelaki yang berusia empat tahun.
Kredit : mStar Online

Fouziah Ghous semakin Sombong ?

Fouziah Ghous

HUJUNG minggu lalu, nama Fouziah Ghous tiba-tiba menjadi 'panas' dek sebuah artikel akhbar tempatan (bukan Sinar Harian) yang mendakwa aktres ini semakin berlagak dan sombong.

Akhbar tersebut melaporkan, Fouziah mulai bersikap demikian sejak bersuamikan orang kaya, Md Zhafran. Selain sengaja menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada, sikap pelakon Trilogi Cinta ini juga turut membuatkan krew-krew produksi mulai rimas dan kurang senang dengannya.

Tampil memberi penjelasan kepada Sinar Harian, tegas Fouziah, segala dakwaan itu tidak benar sama sekali.    

"Saya sudah bertanyakan perkara ini kepada penulis itu dan dia telah memohon maaf kepada saya.

“Dengan hati terbuka, saya telah memaafkannya kerana saya tahu perkara tersebut sama sekali tidak benar.

“Mungkin ada kesilapan yang berlaku dan orang yang memberikan maklumat itu juga tersalah anggap tentang diri saya," katanya.

Jelas Fouziah, dia masih seperti dulu dan tidak akan bersikap sombong seperti yang didakwa.

Katanya, perkahwinannya dengan Zhafran tidak akan mengubah dirinya.

Ditanya adakah dia akan mengambil sebarang tindakan terhadap penyebaran berita itu, Fouziah berkata, dia tidak mahu memperbesarkan lagi isu itu demi menjaga hubungan baik dengan media. Bagaimanapun, dia berharap agar perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

“Dulu saya bujang, jadi keluarga sudah biasa dengan gosip dan cerita tentang saya. Mereka juga sangat mengenali diri saya yang sebenarnya.

“Tetapi sekarang saya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga baru di sebelah suami saya, jadi perkara seumpama ini turut memberi kesan kepada mereka.

"Demi menjaga hati mereka, saya harap tidak timbul lagi cerita-cerita yang tidak berasas ini," katanya.

Akui terkilan dengan dakwaan seperti itu, Fouziah bagaimanapun yakin imej dan kredibilitinya sebagai pelakon tidak akan terjejas hanya kerana gosip yang tidak berasas itu.

“Saya jenis yang berterus terang dan tidak perlu saya menjadi orang lain, justeru, bagi yang mengenali diri saya pasti mengetahui perkara sebenar.

“Terus terang saya katakan saya tersenyum dan geli hati apabila membaca tentang diri saya,” katanya.

Kredit : Sinarharian

Salina Saibi Pernah Rasa Bosan Jadi 'Polis'

Salina Saibi lebih bersemangat melakonkan watak Inspektor Salina dalam Gerak Khas musim baharu.
PETALING JAYA: Pelakon Salina Saibi pernah berasa bosan apabila memegang watak sebagai Inspektor Salina selama empat tahun dalam drama bersiri kepolisan Gerak Khas.
Salina, 32, berkata, peluang berehat selama dua tahun daripada melakonkan watak tersebut sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya memberikan nafas baru kepada watak tersebut untuk musim terbaharu.
"Saya pernah berasa bosan apabila melakonkan watak yang sama selama empat tahun saya terlibat dalam drama Gerak Khas ini.
"Langkah Datuk Yusof Haslam merehatkan drama ini selama dua tahun iaitu 2012 dan 2013 memberi ruang kepada saya untuk mencuba berlakon watak-watak lain juga sebelum kembali semula melakonkan watak ini," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Salina berkata, biarpun watak anggota polis tersebut hanyalah sekadar lakonan, namun dia sentiasa menjaga kelakuan dan tingkah laku ketika berada di luar agar tidak mengundang imej buruk kepada badan beruniform tersebut.
Katanya, sikap dan disiplin sebagai seorang anggota polis yang dilakonkan sering terbawa-bawa di luar set penggambaran.
Salina Saibi
"Saya sentiasa jaga tingkah laku agar orang tidak memandang serong pada perbuatan kita lebih-lebih lagi orang ramai mengenali saya dengan watak polis,” katanya.
Sementara itu, Salina turut menyifatkan penerbit drama tersebut iaitu Yusof Haslam sebagai seorang yang sangat memahami dan mudah berbincang.
Jelasnya, Yusof memahami tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan sentiasa memberi kelonggaran untuk dia memberi keutamaan kepada keluarga.
"Datuk Yusof sangat memahami, walaupun penggambaran dilakukan setiap hari, namun dia beri saya untuk bercuti pada Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang kepada saya untuk bersama keluarga," katanya.
Selain Salina, drama ini turut dibarisi pelakon popular Norman Hakim, Afiq Muiz, Nizen Ayob, Shanorbiah Shamsir Alam, Zabri Ibrahim dan Mas Hidzir Khan.
Gerak Khas musim baharu akan mula ditayangkan pada 14 Februari depan setiap Jumaat, pukul 9 malam di TV2.
Kredit : mStar Online

22 Januari 2014

Tumpang bermanja, Lisa Surihani idam zuriat sendiri


TINGGALKAN mengenai kisah cahaya mata, buat pertama kalinya, Lisa menyumbangkan suara berduet bersama suaminya menerusi lagu Kekasih Abadi ciptaan Edry.

Bakat yang bukan sahaja dihidu oleh suaminya, malah seluruh keluarganya turut sama menyokongnya.

Bagaimanapun, menurut Lisa, ia merupakan satu tanggungjawab besar dan dia tidak mampu untuk ke bidang nyanyian secara serius.

Menurut Lisa, walaupun ada beberapa peminat mengatakan dia mempunyai suara yang ada kemerduannya tersendiri dan mampu pergi jauh jika vokalnya diasah, dia bagaimanapun mempunyai pandangan sebaliknya.

“Saya rasa pelik bila dengar balik nyanyian tu. Sebenarnya lagu itu saya rakamkan demi suami saya kerana selepas berbulan memujuk saya merakamkan lagu itu, akhirnya saya lakukannya demi Yusri,” katanya yang kurang meminati dunia nyanyian kerana merasa tidak mempunyai bakat dalam bidang itu.

Pernah menjadi penyanyi latar untuk lagu Anuar Zain di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2004 dan melalui konsert Hazami menerusi lagu Sonata Musim Salju, akui Lisa, itu tidak bererti dia boleh menyanyi.

“Dulu saya pernah menyanyi sebagai backup singer, tapi hanya sekadar hobi dan tak terfikir untuk menjadi penyanyi sekali gus menceburi bidang ini,” katanya.

Namun menurutnya, dia telah cuba buat sehabis mungkin dan hanya mahu menjadikan lagu dia dan Yusri sebagai momen indah mereka berdua.

Hampir tertekan

Berkongsi pengalamannya yang bakal kembali menerusi filem bergenre seram berjudul Dendam Orang Mati, menurut Lisa, dia hampir menghadapi tekanan menjiwai watak tersebut.

“Alhamdulillah, Yusri sangat memahami. Saya akui semasa saya menjalani penggambaran filem itu, saya merasakan watak ini terlalu berat dan saya sedikit tertekan. Namun, segalanya di bawah kawalan apabila saya dapat terapeutik setelah meminta Yusri bawa budak-budak untuk saya bermain dengan mereka.

“Watak ini terlalu berat bagi saya. Namun, memandangkan saya diberikan inspirasi daripada Yusri untuk melakonkan watak tersebut, saya terima tawaran filem itu.

Saya tak pernah lagi pegang watak sebegini. Karakter saya juga tak sama. Walaupun susah sikit nak menjiwai watak Lena ini. Namun, saya berjaya menyahutnya,” katanya yang mendapat bimbingan lakonan dengan pelakon air mata, Fauziah Nawi.

Lisa yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Cicakman 3 mengakui amat teruja kerana bersama Yusri.

“Walaupun saya tak melakukan apa-apa, namun saya akan bersama Yusri, ikut penggambaran dan melakukan kerja-kerja belakang tabir di lokasi. Tadi saya baru habis di lokasi jam 6 pagi,” katanya.

Mengakui berada di dalam lapangan yang sama adalah satu kelebihan, Lisa berkata, memandangkan mereka bergelar anak seni, jadi mereka amat memahami kerjaya dan tugas masing-masing.

“Paling penting kami sentiasa sokong antara satu sama lain. Apa yang penting kami sukses dalam kerjaya masing- masing,” katanya yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Yusry dalam filem Ular, arahan Jason Chong.

Ratu laman sosial

Dilabel sebagai ratu media sosial, Lisa berkata, dia juga terkejut apabila pengikut Twitternya hampir mencecah dua juta pengikut.

Menurut Lisa, sejak remaja lagi dia suka berinteraksi dan memuat naik status di laman sosial. Jelasnya, mungkin kerana itu dia mudah meraih ramai kenalan dan juga peminat.

“Setiap kali saya update status saya pasti akan terima respons yang banyak daripada peminat. Untuk menghargai mereka, saya akan membalasnya. Mungkin sebab itu mereka sering mengikuti saya di laman sosial,” katanya.


Menurut Lisa, media sosial memainkan peranan penting dan menjadi gaya terkini bagi seseorang artis untuk berkongsi berita dan gambar terbaru mereka bersama peminat.

Pun begitu, Lisa mengakui media sosial mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri terhadap seseorang selebriti.

“Kebanyakan peminat kini sudah mahu berinteraksi secara terus kepada artis yang diminati melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Keek mahupun Facebook.

“Saya rasa ia adalah satu cara bagaimana peminat boleh berhubung secara langsung dan sangat dekat dengan artis kesayangan mereka.

"Bagaimanapun, apa yang buruknya apabila seseorang pengikut itu masing-masing secara sewenangnya melepaskan perasaan mereka secara terus, tanpa menimbangkan pemikiran dan perasaan orang lain. Itu yang menyebabkan ia berlaku pergaduhan,” katanya.

Kredit : hiburan Sinar

Port Mak Ngah Skodeng !