- Pergelangan kaki kanan Syed Mustapha Kamal putus setelah tersangkut di tayar hadapan dan bumper MPV NAza Citra.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa, Syed Mustapha Kamal Syed Kassim, 59, kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal jenis Kawasaki Versys 650 ditunggang sendirian Syed Mustapha dari arah Jasin ke Merlimau memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra.
“Dipercayai mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi memotong beberapa kenderaan lain di hadapannya sebelum bergesel dengan MPV dipandu Ketua Balai Polis Sungai Rambai, Sarjan Major Kamaridzman Khanafee.
“Kaki kanan mangsa putus selepas tersangkut di antara tayar hadapan dan bumper MPV berkenaan sebelum terjatuh, manakala MPV itu mengalami rosak di sebelah kanan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa yang parah akibat putus pergelangan kaki kanan bagaimanapun kelihatan tenang sementara menunggu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke Hospital Melaka, manakala Kamaridzman tidak mengalami sebarang kecederaan.
Keadaan MPV Naza Citra yang remuk setelah bergesel dengan motosikal Syed Mustapha Kamal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan dipercayai berpunca selepas motosikal ditunggang mangsa memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal berkenaan kemudian bergesel dengan MPV Naza Citra dipandu Kamaridzman dan mengakibatkan penunggang berkenaan putus pergelangan kaki kanan.
“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kredit : Sinar harian