18 Januari 2014

Budak Perempuan Curi Berlian RM5.2 juta di Bukit Bintang

Gambar kedua-dua suspek yang dirakam ketika mereka berada di galeri emas itu di Bukit Bintang Khamis
PETALING JAYA: Polis sedang giat memburu sebuah sindiket yang didakwa mencuri berlian RM5.2 juta dengan menggunakan warga China yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Dalam kejadian jam 3.50 petang Khamis, sindiket yang didakwa telah menjalani latihan mencuri itu menggunakan seorang kanak-kanak untuk mengambil berlian berkenaan dari sebuah galeri emas terkemuka di Bukit Bintang.
Kedai emas yang berpangkalan di London itu mempamerkan emas dan berlian yang merupakan pilihan orang kenamaan dari serata unia
Kedua-dua suspek melarikan diri sebaik sahaja berjaya mencuri berlian bernilai RM5.2 juta
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata, polis berjaya mendapatkan bukti mengenai aktiviti mencuri itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan berikutan itu seorang perempuan warga China dikesan sebagai ketua sindiket.
Kanak-kanak warga China yang dipercayai mendapat latihan untuk mencuri berlian dengan kawalan keselamatan
“Kami akan meningkat usaha untuk mengesan sindiket terbabit dan kami juga telah bersedia dengan gambar suspek yang merupakan petunjuk untuk mengesan mereka," katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, ketua sindiket tersebut memainkan peranan penting dengan ahlinya yang licik apabila berjaya melarikan cincin bernilai jutaan ringgit itu dalam beberapa minit selepas memasuki galeri berkenaan.
“Kami telah melakukan pemeriksaan di hotel berdekatan selain mengadakan sekatan jalan raya di kawasan itu untuk mengesan suspek," kataya.
ACP Khairi berkata, tindakan sindiket itu menggunakan kanak-kanak dalam aktiviti jenayah merupakan sesuatu yang membimbangkan.
“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan maklumat di balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.
Dalam kejadian pada Khamis, kanak-kanak perempuan terbabit dikesan telah memberi isyarat kepada wanita yang datang bersamanya untuk melarikan diri selepas mereka berjaya mendapatkan berlian berkenaan pada jam 4.07.
Kehilangan berlian itu hanya disedari kakitangan galeri emas itu melalui CCTV.
Kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku di negara ini apabila terdapat kumpulan tempatan dikesan pernah melakukan jenayah sama beberapa tahun lalu ketika mereka berpura-pura membeli barangan kemas.
Kredit : mStar Online

Aidil Zafuan akui tak bayar duit sewa rumah

Aidil Zafuan dan Rita Rudaini

PETALING JAYA - Pemain bola sepak Kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, 27, mengaku di mahkamah rendah syariah di sini hari ini bahawa dia tidak menjelaskan bayaran rumah sewa RM3,000 sejak keluar dari rumah kelaminnya bersama pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 38, pada Januari, dua tahun lalu.

Menurutnya, bayaran rumah sewa di Kota Damansara tersebut yang diduduki Rita Rudaini bersama dua anaknya dijelaskan oleh isterinya ketika itu selama 18 bulan sehingga mereka sah bercerai pada 4 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan keterangan itu, Aidil Zafuan menarik balik keterangannya sebelum ini bahawa dia tidak pernah culas membayar nafkah untuk Rita Rudaini dan anak-anaknya.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh peguam Rita Rudaini, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam sesi soal balas terhadap pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu.

“Sepanjang tempoh anak-anak tinggal dengan plaintif (Rita Rudaini), saya memang tidak pernah gagal memberikan nafkah kepada mereka, tetapi, cuma tak bayar sewa rumah.

“Saya tidak berbohong kepada mahkamah, cuma keterangan pada 4 Disember 2013 itu tidak tepat,” katanya.

Aidil Zafuan berkata, beliau ada memaklumkan dan mengajak plaintif tinggal bersamanya di rumah yang disediakan oleh majikannya di USJ 1, Subang Jaya, namun mendakwa Rita Rudaini enggan.

“Plaintif memberi alasan bahawa rumah itu bukan rumah kelamin kami,”katanya.

Aidil Zafuan berkata, berkenaan dengan peruntukan perbelanjaan anak-anaknya, dia tidak pernah menetapkan jumlahnya namun menganggarkan sekitar RM700 sebulan mengikut keperluan.

“Biasanya, saya hanya beli satu pek lampin pakai buang anak jika habis. Begitu juga dengan susu,”katanya yang juga memperuntukkan RM500 untuk pakaian anak-anaknya.

Ketika ditanya Mohd Zaidi mengenai perbelanjaan lain selain keperluan anak-anaknya, Aidil Zafuan berkata:

“Saya membayar RM2,000 untuk ansuran bulanan kereta BMW 3 Series dan RM1,000 bagi motosikal berkuasa tinggi berjenama Ducati Monster,”katanya.

Berkenaan dengan gaji yang diperoleh, Aidil Zafuan menyatakan dia menerima pendapatan bersih RM12,000 ketika berkhidmat bersama pasukannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012.

“Ketika berkhidmat dengan pasukan Negeri Sembilan pada 2011, saya menerima pendapatan RM8,000 sahaja,”katanya.

Beliau berkata, sebagai pemain bola sepak, dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Adakalanya lebih daripada itu kerana bonus akan diberikan jika memenangi perlawanan,” katanya.

Prosiding tersebut dijalankan di hadapan Hakim, Abd Halim Abu Samah dan ditangguhkan sehingga 31 Mac depan.

Rita Rudaini, 38, menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Aidil Zafuan hadir bersama keluarganya manakala Rita Rudaini ditemani rakan-rakannya.


Sinar

Marsha mahu Kongsi Kisah Peribadi Dengan Peminat

Marsha terbuka untuk berkongsi kisah peribadi dengan peminat menerusi sebuah program realiti.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Marsha Milan Londoh terbuka untuk berkongsi tentang perihal peribadinya dengan para peminat dalam sebuah program realiti yang menampilkanya dan Sharifah Sakinah tidak lama lagi.
Marsha, 28, bagaimanapun berkata, setiap perkara yang dipaparkan tentang diri mereka nanti masih mempunyai batasan supaya tidak disalah ertikan oleh sesetengah pihak.
"Saya tiada masalah berkongsi hal peribadi dengan peminat dalam program itu nanti cuma dalam setiap apa yang kita lakukan perlu ada batasan.
"Bukan semua perkara akan didedahkan dalam program itu nanti sebaliknya akan lebih menekankan tentang kerjaya dan aktiviti seharian kami berdua sebagai sahabat baik," katanya kepada mStar Online.
Terbuka...Marsha turut terbuka dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya.
Tambah Marsha, program yang masih dalam peringkat perbincangan itu bakal diarahkan oleh pengarah terkenal, Michael Ang.
Sementara itu, Marsha berkata, dia bersedia menerima kritikan daripada penonton ekoran tampil dengan aksi ranjang dalam filem Laga yang bakal ditayangkan pada 23 Januari ini.
Kata Marsha, sebarang komen berbentuk positif mahu pun negatif yang bakal diterimanya akan diambil untuk terus memperbaiki teknik lakonannya pada masa hadapan.
Marsha bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Laga.
"Sebelum filem ini ditayangkan saya sudah mendapat pelbagai reaksi daripada peminat tentang adegan itu dan saya terbuka untuk mendengar komen daripada mereka.
"Malah apabila saya mengambil keputusan untuk berlakon dalam filem itu dua tahun lalu saya sudah memikirkan semasak-masaknya kesan yang akan diterima selepas ia ditayangkan," katanya.
Selain dia dan Wan Hanafi Su, Laga turut menampilkan barisan pelakon seperti Nasir Bilal Khan, Eman Manan, Syazwan Zulkifli dan Tyas Mirasih.
Kredit : mStar Online

17 Januari 2014

Scha Al Yahya Sahkan Hamil Anak Pertama

Hasrat pasangan Awal dan Scha yang inginkan cahayamata akhirnya tercapai selepas Scha sendiri mengumumkan dia hamil empat bulan menerusi laman Instagram miliknya.
PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya pada petang Jumaat mengesahkan sedang hamil anak pertamanya bersama Awal Ashaari menerusi laman Instagram miliknya.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 31, dalam satu entri di laman tersebut memberitahu kandungannya sudah memasuki bulan keempat (trimester kedua) dan gembira bakal bergelar ibu.
"Kami sangat bersyukur dengan rezeki ini. Berbanyak terima kasih kepada semua yang selalu mendoakan dan semoga semuanya berjalan dengan lancar, Amin," katanya.
Bagaimanapun Scha tidak memberikan butiran lanjut mengenai kandungannya itu.
Sebelum ini, Scha dan Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, pernah meluahkan hasrat untuk mendapatkan cahaya mata dengan segera memandangkan mereka berdua sudah bersedia untuk bergelar ibu dan bapa.
Scha dan Awal, 33, berkahwin pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman, Putrajaya.
Kredit : mStar Online

Petua,Hilangkan bau durian di dalam kereta


Cara murah dan mudah untuk kita menghilangkan bau durian di dalam kereta adalah mengikut petua orang-orang tua seperti di bawah. Anda boleh cuba dulu, tapi bau itu memang tak akan hilang dengan serta-merta.

1. Balut buah durian itu dengan daun ubi kayu atau betik atau apa-apa daun yang kelebarannya boleh menutupi kelebaran buah durian.

2. Cuba letak separuh buah nenas yang telah dipotong. Bau durian itu akan diserap oleh nenas.

3. Cuba letak daun pandan, terus hilang bau.

4. Letakkan beberapa keping roti (semua jenis roti boleh) tutup kesemua pintu dan tingkap, biarkan beberapa jam, bau durian akan hilang.

5. Letakkan beberapa ketulan kayu arang di kawasan yang berbau durian. Arang akan menyerap kesemua bauan tersebut.

6. Serbuk kopi (tak kisah cap apa pun) juga boleh menyerap bauan tak sedap. Bungkus serbuk kopi dalam kain atau masukkan dalam bekas kemudian letak di dalam kereta.

7. Letakkan semangkuk serbuk penaik (baking soda) di dalam kawasan yang berbau kurang enak. Bau durian itu juga akan hilang diserap.

8. Letakkan bekas cuka di dalam kawasan yang berbau kurang enak. Cuka akan mengurangkan bau tersebut.

9. Masukkan semua durian dalam bungkusan beg plastik dua atau tiga lapis kemudian ikat ketat-ketat sebelum letak di dalam bonet keret. Selepas itu buka semua tingkap kereta semasa memandu, jangan pasang pendingin hawa. Biarkan udara memasuki kereta anda itu.

Keluarga Restu Bakal Isteri Aidil Zafuan

Aidil bahagia bersama Zarema
PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan meluahkan rasa syukur apabila kekasihnya, Zarema Zainal yang bakal dikahwininya pada Mac depan mendapat restu keluarga.
Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata, dia percaya restu keluarga merupakan perkara yang sangat penting kerana ia menjamin masa depan perhubungannya bersama bakal isteri.
"Alhamdulillah, keluarga merestui perhubungan saya dan Zarema, itu perkara penting bagi pasangan yang ingin berkahwin.
"Saya tak mahu perkara lama (perkahwinan tanpa restu) berulang lagi. Insya-Allah kami akan berkahwin pada Mac depan," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.
Bagaimanapun tambah Aidil tiada sebarang persiapan perkahwinan yang dibuat lagi, malah tarikh perkahwinan juga belum ditetapkan.
Dalam pada itu, Aidil berkata dia berharap perkahwinan kedua ini akan kekal selamanya dan pada masa sama ingin mengubah diri menjadi seorang suami yang lebih bertanggungjawab.
"Bak kata orang, pengalaman mengajar kita. Begitu juga dengan saya, segala kekurangan saya dalam perkahwinan terdahulu, saya ingin memperbaikinya pada perkahwinan akan datang agar dapat menjadi seorang suami yang baik.
"Yang penting untuk perkahwinan ini, suami dan isteri perlu menjaga hati dan perasaan masing-masing agar tiada pihak yang terasa hati. Doakan jodoh kami, Insya-Allah," ujarnya.
Aidil t sah bercerai talak satu dengan aktres Rita Rudaini pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.
Ikatan perkahwinan pasangan itu terlerai selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Aidil kepada Rita menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 4 Ogos lepas.
Hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.
Kredit : mStar Online

16 Januari 2014

Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Elak 'Dikejar' Media

Syamsul dan Puteri Sarah
PETALING JAYA: Pengarah filem Syamsul Yusof, 30, mengelak untuk mengulas mengenai majlis risik di antara dia dengan pelakon Puteri Sarah Liyana, 28, apabila enggan menjawab panggilan telefon dan juga membalas mesej daripada pihak media.
mStar Online difahamkan, Syamsul sebelum ini yang mahu merahsiakan majlis berkenaan agak terkejut apabila berita tersebut disebarkan menerusi Internet termasuklah beberapa keping gambar yang turut kelihatan ibu dan bapanya iaitu Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam bersama Puteri Sarah.
Dalam majlis merisik yang diadakan di rumah keluarga perempuan pada Ahad lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan pada Februari atau Mac depan atas permintaan Syamsul.
Antara mesej Syamsul menerusi Twitter miliknya.
Hubungan pasangan tersebut telah tersebar sejak beberapa lama tetapi kedua-dua mereka tidak mengesahkan status berkenaan.
Terdahulu dalam akaun Twitter miliknya Syamsul memuatkan pedoman hidup mengenai tuntutan Rasulullah agar seseorang yang berkemampuan supaya berkahwin.
Ia dimuat naik pada Isnin lalu iaitu sehari selepas majlis merisik berkenaan diadakan.
Dalam pada itu Puteri Sarah juga dilihat cuba mengambil pendekatan serupa apabila enggan memberi sebarang komen mengenai majlis berkenaan dan juga persediaan bagi menempuh alam rumah tangga dengan pengarah muda itu.
Wanita itu juga tidak menjawab panggilan telefon serta tidak memberi respons terhadap mesej yang dikirimkan.
Kredit : mStar Online

Fazura Dedah Tentang Kekasih dan Yuna Di Amerika Syarikat

Fazura
PETALING JAYA: Pelakon Fazura berasa bangga dengan kejayaan dan sambutan masyarakat Amerika Syarikat (AS) terhadap penyanyi Yuna ketika melakukan persembahan di Jimmy Kimmel Live di ABC Television Network, baru-baru ini.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 31, berkata, Yuna telah membuang pandangan negatif masyarakat luar terhadap wanita Muslim yang berhijab, malah diterima dengan baik oleh rakyat negara itu.
"Ketika saya bercuti di Amerika Syarikat, saya sempat bertemu dengan Yuna dan menyaksikan persembahannya di sana. Mereka sangat menyukai Yuna.
"Saya sangat bangga melihat penerimaan masyarakat luar terhadap Yuna dan beberapa kawan saya yang turut melihat persembahan tersebut kagum dan memuji penampilan Yuna dengan berhijab," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Kami Histeria, di e@Curve, di sini, malam Rabu.
Fazura sempat bertemu Yuna ketika bercuti di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Fazura berkata demikian ketika ditanya tentang pengalaman percutiannya selama sebulan di negara itu.
Dia yang baharu sahaja pulang awal minggu lalu memberitahu sempat bertemu dan meluangkan masa selama tiga jam bersama penyanyi yang popular dengan lagu Lelakiitu.
"Sebelum ini saya pernah jumpa Yuna dua, tiga kali sahaja di beberapa majlis, tetapi ketika saya berada di sana, dia mesej saya bertanya sama ada saya berada di sana dan mempunyai masa untuk berjumpa.
"Tidak sangka pula pertemuan di sebuah restoran itu berlarutan sehingga tiga jam kami berborak, dia turut mengajak saya untuk datang menyaksikan persembahannya di sana," katanya.
Sementara itu, Fazura yang turut ditanya tentang hubungannya dengan seorang lelaki yang juga deejay popular dari negara itu mengakui mereka sedang berkawan rapat.
Fazura perjelaskan hubungan dengan Randy hanya kawan rapat.
Bagaimanapun, kata Fazura, perkenalan hampir setahun dengan lelaki yang bernama Randy Seidman itu belum lagi menimbulkan bibit cinta.
"Boleh dikatakan yang dia kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang, tapi tidak bermakna kami bercinta.
"Kami kenal sejak setahun lalu. Ya, dia kagumi saya dan saya pun kagumi dia. Saya rasa tak salah kalau kita nak kagumi kawan kita," katanya.
Fazura turut menjelaskan percutian tersebut bukanlah untuk berjumpa Randy semata-mata, sebaliknya telah lama menyimpan hasrat untuk ke Amerika Syarikat.
Kredit : mStar Online

Rahsia awet muda Raja Ema


BERGELAR seorang ibu, pelakon dan penyanyi dalam satu masa bukanlah perkara mudah, sebaliknya memerlukan kesihatan dan tenaga yang mencukupi untuk memastikan tanggungjawab dipikul dapat dilaksanakan dengan baik.

Perkara yang sama turut dirasai oleh selebriti popular era 80-an, Raja Ema yang kini kembali mewarnai industri hiburan tanah air.

Baginya, kesihatan tubuh badan amat penting buat seseorang wanita untuk tampil lebih cantik dan bertenaga.

Walaupun tidak memiliki masa luang yang banyak, ibu kepada dua orang anak lelaki, Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, ini sentiasa mencuri masa untuk melakukan aktiviti bersenam bagi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan yang baik.

Istimewa kali ini, Raja Ema tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya bersama peminat. Jom kita ikuti wawancara ini...

Antara kecantikan dan kesihatan, mana yang lebih anda utamakan?

Saya pilih kesihatan dan sentiasa mementingkannya. Bagi saya, kecantikan seseorang bermula daripada penjagaan kesihatan. Kalau cantik tapi tidak sihat pun tidak ada gunanya.

Sibuk dengan aktiviti kerjaya, bagaimana anda kelihatan sentiasa bertenaga?

Untuk sentiasa kelihatan bertenaga, sudah tentu saya amalkan senaman. Bukan sahaja menyanyi, berlakon juga memerlukan tenaga yang mencukupi, tambahan pula waktu penggambaran tidak menentu.

Bagaimana cara anda bersenam?

Kalau ikutkan memang saya tidak ada masa untuk bersenam tapi demi kesihatan, saya curi masa dan lakukannya di rumah dengan pergerakan senamrobik menerusi video kerana itulah cara paling murah dan mudah. Paling kurang saya buat tiga kali seminggu.

Selain bersenam, adakah anda mengamalkan diet?

Maklumlah, bila usia sudah meningkat, berat dan bentuk badan yang ideal memang sukar untuk dikekalkan. Jadi mamang saya amalkan diet tapi tidaklah terlalu ketat. Tapi saya cuba elakkan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat dan yang paling penting, setiap hari saya akan minum tiga liter air kosong.

Seperti yang diketahui umum, anda pernah menjalani rawatan kosmetik...

Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, penampilan perlu dijaga, bila memasuki peringkat umur macam saya ini, kulit-kulit memang tidak tegang macam zaman muda dahulu. Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan thread lift bagi mengekalkan kecantikan dan awet muda. Rawatan ini, tidak melakukan sebarang pembedahan cuma ianya adalah prosedur yang normal dan tiada sebarang penggunaan botoks dan sebagainya.

Apakah tip penjagaan kulit yang diamalkan?

Sama seperti wanita lain, penjagaan kulit saya menggunakan beberapa produk yang bersesuaian dengan kulit bagi memastikan ianya dilindungi dengan baik. Sebab kalau masa penggambaran, kadang-kadang saya terdedah kepada cuaca dan pemakaian solekan juga akan memberi kesan.

Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Ya, saya memang ada ambil beberapa suplemen. Saya akui pengambilan suplemen ini mampu membantu mempercepatkan proses penjagaan kulit, berat badan dan juga memberi lebih tenaga.

Berapa kerap anda mendapatkan rawatan di pusat kecantikan?

Sebenarnya, saya memang jarang pergi ke pusat kecantikan kerana lebih selesa dengan penjagaan yang tersendiri.

Perkembangan terkini?

Sekarang saya sibuk dengan karier lakonan dan sedang menjalani penggambaran dua telemovie untuk siaran RTM iaitu Maya dan Kata Hati. Untuk nyanyian pula, saya juga ada menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis keramaian.

Bagaimana anda membahagikan masa antara kerjaya dan seorang ibu?

Saya memang akui setiap hari sibuk dengan kerjaya lakonan dan juga nyanyian. Tapi itu bukan alasan untuk saya abaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada dua putera kesayangan saya. Walau sibuk bagaimanapun dalam seminggu, sehari saya akan luangkan masa bersama untuk lakukan aktiviti-aktiviti yang menarik dan pada masa yang sama berinteraksi untuk mengetahui perkembangan mereka.

Kredit : Sinarharian

Kenyataan 'Kangkung' Timbul Kekecohan Di Internet

PETALING JAYA: Satu kenyataan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penurunan harga kangkung tanpa disedari ketika orang ramai bercakap mengenai isu kenaikan harga, telah menjadi satu tajuk perbualan di media sosial.
Pengguna internet telah menyindir beliau sejak beberapa hari lalu berhubung perkara itu dan perkara itu dilihat seolah-olah telah merebak.
Kenyataan itu juga telah diambil dan dilaporkan oleh media asing.
Walau bagaimanapun, terdapat terdapat juga mereka yang mempertahankan Perdana Menteri dengan mengatakan beliau hanya menjadi sasaran oleh faktor kenaikan harga tidak terkawal yang menjejaskan harga makanan dan bekalan.
Pensyarah Geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Fuad Mat Jali berkata Najib hanya mahu menunjukkan bahawa harga makanan berbeza kerana faktor-faktor di luar kawalan seseorang seperti cuaca.
"Rakyat harus membantu memberi idea mengenai cara-cara dan kaedah untuk meringankan beban orang ramai daripada membuang masa membuat komen yang tidak berasas," katanya.
Seorang bekas kakitangan perhubungan awam yang mahu dikenali sebagai Jamaliah berkata adalah tidak patut berbuat demikian untuk tujuan putar belit.
"Perdana Menteri menyebut kangkung, kerana ia menjadi salah satu item yang telah turun harga pada hari tersebut.
"Apa salahnya menjadikan kangkung sebagai contoh," tanya beliau.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun memberi komen sinis dengan berkata beliau sedang berkira-kira untuk menikmati kangkung masak Kurma.
Kenyataan Najib mengenai harga kangkung dan rakyat kurang menghargai jasa kerajaan telah menimbulkan tindak balas di internet, termasuk klip video yang dimuat naik ke YouTube berhubung perkara itu.
Malah terdapat individu yang menawarkan kemeja-T dengan perkataan "Keep Calm and Eat Kangkung" pada harga RM29.90 dengan penghantaran percuma.
Antara kerja-kerja kreatif lain yang disiarkan di internet termasuk video 're-mix' kangkung, poster burger McKangkung dan Kangkung Goreng Belacan.
Halaman Facebook kangkung telah dibuka, mendapat lebih 40,000 'like', manakala beberapa pengguna mengisytiharkan 13 Januari adalah "Hari Kangkung Sedunia".
Kenyataan mengenai kangkung ini juga telah menarik perhatian media antarabangsa, termasuk BBC dan Singapore Times.
BBC melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia sedang menerima kritikan meluas di media sosial untuk komen beliau yang dibuat tentang harga kangkung.
Kredit : mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !