02 Disember 2014

Gadis Cantik ditoreh muka dan hampir diperkosa

Nur Shafiqa dirawat HUSM, Kota Bharu kerana kecederaan di muka akibat ditoreh.

Pasir Puteh: Seorang gadis berusia 22 tahun menempuh detik getir apabila mukanya ditoreh dengan pisau dan hampir diperkosa apabila kediamannya dipecah masuk dua lelaki dalam kejadian di Wakaf Berangan, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2 petang ketika mangsa berada dalam bilik air manakala ibunya yang berusia 58 tahun berehat di dapur rumah. Turut berada dalam rumah itu adik mangsa berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, ketika kejadian semua mangsa tidak menyedari kemunculan dua suspek terbabit sehingga seorang daripadanya menendang pintu bilik air dan menarik mangsa keluar.

“Mangsa dibawa ke ruang tamu, namun dalam perjalanan ke situ, dia terserempak dengan ibunya sebelum diarah mencabut cincin emas pada jari ibunya.

“Suspek membawa mangsa ke dalam bilik manakala seorang lagi suspek memegang ibu mangsa. Di dalam bilik itu, suspek kemudian mengambil telefon bimbit pintar milik mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa turut melihat suspek membuka seluar dipercayai mahu merogolnya, namun dia ditumbuk di mata manakala pipi sebelah kiri ditoreh dengan pisau ketika bergelut dengan suspek.

Katanya, suspek keluar dari bilik apabila dipanggil rakannya dan kesempatan itu digunakan mangsa untuk mengunci pintu bilik sebelum menjerit ke arah luar tingkap meminta tolong.
“Kedua-dua suspek yang terkejut dengan jeritan itu melarikan diri disyaki menggunakan motosikal. Adik mangsa yang bersembunyi di bawah katil turut mendail talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan,” katanya.

Abd Rozak berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di muka manakala ibunya turut luka di dahi dan bibir. Mereka dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini.

Menurutnya, antara barang yang dibawa lari suspek termasuk cincin, gelang tangan emas serta telefon bimbit pintar dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Port Mak Ngah Skodeng !