04 Ogos 2014
Serang kakak kerana perli isteri
KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu sayangkan isteri, seorang lelaki tergamak menyerang kakak kandungnya menggunakan sebatang paip besi hanya kerana bengang mangsa dikatakan memerli isterinya, dalam satu kejadian di Bandar Permaisuri, Setiu, Rabu lalu.
Dalam kejadian dipercayai kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun dikatakan sedang berehat di rumah ibu mereka di kampung berkenaan sebelum berlaku pertengkaran mulut dengan adik lelakinya yang berusia 20-an.
Menurut sumber, sebelum kejadian, dua beradik berkenaan dikatakan berbual kosong dan secara tiba-tiba suspek naik marah menyebabkan berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.
“Suspek yang gagal mengawal amarahnya tiba-tiba bertindak agresif apabila mula menolak kakaknya hingga terjatuh. Tidak cukup dengan itu, suspek turut menampar pipi mangsa.
“Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan kakaknya yang dikatakan ada mengeluarkan perkataan memerli isterinya sebelum kejadian itu,” katanya.
Jelas sumber, kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila bertindak semakin ganas dengan cuba untuk memukul mangsa menggunakan sebatang paip besi yang secara kebetulan ada berhampiran lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila bapa mereka yang turut ada di rumah berkenaan masuk campur dan sempat menghalang serta meleraikan pergaduhan itu.
“Walaupun hanya cedera ringan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Tong kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarga pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan