Gao Huayun
Bapa Gao memberitahu stesen radio, Shanghai People bahawa anak perempuannya itu menghantar SMS tersebut kira-kira pukul 10 malam.
"Tidak lama lepas itu, rakannya menghantar mesej menerusi aplikasi WeChat mengatakan anak perempuan saya telah diculik. Ramai orang mula menelefon kami untuk mendapatkan pengesahan.
"Kami amat bimbang dan tidak tidur sepanjang malam," kata bapa Gao kepada stesen radio itu sambil merayu bantuan untuk mengesan anaknya.
Menurut laman media sosial China, Kaixinwang milik Gao, wanita berusia 29 tahun itu gemar melancong bersendirian dan pernah melancong ke Tibet, Filipina, Korea Selatan dan sekeliling negaranya.
Gao, yang baharu saja menerima kemasukan untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Britian, berlepas ke Malaysia pada Selasa bersama seorang rakannya.
Rakan Gao, yang hanya dikenali sebagai Su, memberitahu Dragon Television dalam temu bual menerusi telefon bahawa mereka pergi ke Semporna untuk belajar menyelam.
Su berkata, dia dan Gao meninggalkan bilik mereka kira-kira pukul 10 malam Rabu untuk mandi di bilik air yang terletak di bahagian luar.
"Gao selesai mandi lebih awal. Apabila saya kembali ke bilik kami, saya lihat pintu terbuka dan Gao tiada di situ," katanya.Dia kemudiannya menunggu Gao di dalam bilik dan kira-kira 30 minit kemudian, dia menyedari beberapa anggota polis sedang melakukan rondaan di resort tersebut.
"Tidak lama kemudian, ada seseorang mengetuk bilik kami dan meminta saya supaya pergi ke lobi.
"Mereka berkata seorang wanita yang memakai gaun berjalur hitam dan putih telah diculik," katanya.
Su berkata selepas mendapat pengesahan maklumat tersebut daripada beberapa pihak, dia menyedari Gao telah diculik.Katanya, sekumpulan penculik itu tidak menggeledah bilik dan tidak mengambil pasport mereka.
"Hanya satu benda yang mereka ambil adalah telefon bimbit kami," katanya.
mStar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan