30 Disember 2014

Banjir, Penyebaran Maklumat Palsu Kerja Khianat


KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat palsu terutama melalui aplikasi WhatsApp ketika banjir besar melanda negara menimbulkan suasana panik masyarakat malah boleh menjejaskan usaha menyelamat yang sedang diatur.
Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia bermotifkan politik atau bertujuan menguji kredibiliti kerajaan dalam menguruskan bencana yang berlaku.
Ia juga dilihat sebagai usaha terancang pihak tertentu untuk memburukkan lagi keadaan dan imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.
Katanya keadaan ini menguji toleransi individu yang terdedah kepada akses Internet supaya bijak menilai maklumat atau berita yang tidak tentu kesahihannya.
Terbaharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa membuat penafian berhubung maklumat kononnya ATM mengarahkan penduduk di Pekan, Pahang agar segera pindah kerana limpahan air banjir.
Mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Berikut antara maklumat yang tersebar semasa musim banjir yang telah  disahkan palsu:
* kematian 10 sekeluarga di Kampung Guchil, Kuala Krai
* seluruh Kota Baharu terputus bekalan elektrik
* kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen
* gelinciran pada Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Baharu
* pengisytiharan darurat di Kelantan
* Empangan Kemubu akan dibuka yang memungkinkan banjir lebih besar di Kok Lanas, Kelantan
* Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan
* Empangan Batu di Selangor berada diparas bahaya dan mengalami rekahan serta akan dibuka untuk melepaskan air
* Pelepasan air dari Empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu kononnya akan menenggelamkan Bandar Kuala Berang
* Seorang remaja Tahfiz mati lemas di Rantau Panjang
* Tiga petugas Petronas meninggal dunia dalam kemalangan ketika misi menghantar bantuan ke Kelantan
* Pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Manek Urai runtuh
* Angkatan Tentera Malaysia (ATM) arahkan penduduk di Pekan, Pahang supaya keluar dai daerah itu kerana limpahan air sungai Temerloh sedang menuju Pekan.
mStar Online

29 Disember 2014

Jururawat kongsi cerita terperangkap 6 hari dalam Banjir

Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama

PASIR PUTEH - Seorang jururawat masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang, menceritakan bagaimana 150 penduduk di situ, kelaparan dan menempuh detik cemas setelah terperangkap selama enam hari apabila kampung mereka seakan-akan 'sebuah pulau' akibat banjir, bermula Isnin lepas.
   
Suzana Bakar, 49, berkata mereka menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan di Sekolah Kebangsaan Star, Bertam Baru dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda selepas air dari Sungai Nenggeri naik mendadak ke kawasan kampung mereka.
   
"Ini disebabkan kami tidak menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
   
Suzana bagaimanapun berkata pada hari Selasa lepas, makanan terutama beras tiba dengan jumlah sedikit setelah diusahakan pemimpin setempat serta belas ihsan daripada orang kampung yang tinggal di kawasan tinggi.
   
"Sebaik makanan tiba di sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap hari," katanya.

Suzana berkata untuk mendapatkan bekalan makanan dari luar terutama di Gua Musang terlalu sukar kerana tidak boleh dilalui sebarang kenderaan berikutan arus yang sangat deras.
   
Beliau berkata sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus.
   
Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian beliau dan empat anak masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit.
   
Ketika kejadian suaminya Raibi Hamid, 39, tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
   
"Sebuah kereta Proton Wira dan motosikal serta peralatan elektrik kesemuanya tidak sempat diselamatkan apabila paras air meningkat terlalu cepat sehingga menenggelamkan sebahagian 50 buah rumah penduduk di situ," katanya.
   
Suzana berkata ketika berada di sekolah itu mereka terpaksa tinggal di tingkat tiga kerana tingkat pertama dan kedua dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya, semalam. - Bernama

Sinar

26 Disember 2014

Wanita MAUT ditikam gara-gara parkir kereta

Alison Morrison

HANYA kerana berebut parkir kereta, seorang wanita Alison Morrison, 45, maut ditikam jirannya ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Harrow, di utara London.

Mangsa, salah seorang ahli Lembaga Kejiranan Selamat Harrow telah bekerja keras untuk mengurangkan jenayah dalam komunitinya, dipercayai mengalami luka tikaman di seluruh tubuhnya ketika diserang kurang 2.4 kilometer dari rumahnya dipetik laporan Daily Mail.

Difahamkan, jirannya yang merupakan jurutera televisyen satelit, Trevor Gibbon, 48, ditahan pihak polis bagi membantu siasatan selepas polis menemui sebilah pisau dapur berlumuran darah berhampiran rumahnya.

Menurut seorang saksi, dia terdengar bunyi jeritan kuat beberapa kali sebelum berlari keluar dan melihat penyerang berada di atas badan mangsa sambil memegang pisau yang dipenuhi darah mangsa.

“Serangan berlangsung selama kira-kira seminit. Saya tergamam dan menyaksikan serangan itu depan mata adalah menyedihkan,” menurutnya.

Beberapa bulan lalu, majlis daerah tempatan menurap jalan utama di kawasan kejiranan itu dan meyebabkan mereka berselisih faham tentang siapa yang patut meletak kenderaan di hadapan jalan masuk ke rumah mereka.

Mangsa yang merupakan seorang pengurus di majalah Which? tinggal bersama suaminya, Cedric, 46, dan anak lelakinya berusia 16 tahun.


SH

24 Disember 2014

Fenomena 'full moon' cetus banjir luar biasa


KUALA LUMPUR - Fenomena 'full moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini. 
 
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.
 
"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'full moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.
 
"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Katanya pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan berterusan sehingga awal Januari depan.
 
"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.
 
Dr Mohd Hisham menjelaskan musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.
 
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.
 
Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
 
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.
 
"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya. 
 
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam yang berlaku di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan dijangka berterusan hingga esok.
 
Selain itu, laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan tersebut yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
 
Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok. - Bernama

23 Disember 2014

Wabak Sindrom Sleeping Beauty

Menderita sindrom Sleeping Beauty akan menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

'WABAK'  misteri yang melanda sebuah perkampungan di utara Kazakhstan menyebabkan penduduk tertidur selama beberapa hari.

Sehingga kini, doktor masih gagal untuk mengenal pasti punca yang menyerang penduduk di kawasan terpencil Kalachi sejak empat tahun lalu.

Menurut penduduk tempatan, hampir 14 peratus daripada 600 penduduk kini menderita sindrom Sleeping Beauty tersebut yang turut menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

Kebanyakan penduduk percaya sindrom misteri tersebut mungkin berpunca daripada bekas lombong uranium tinggalan era-Soviet yang terletak berhampiran dengan kampung mereka.

Bacaan radiasi di kawasan tersebut didakwa 16 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal, namun gejala yang dialami mereka dikatakan tidak sama dengan simptom keracunan radiasi.

Lyubov Belkova menjadi penduduk pertama diserang sindrom Sleeping Beauty tersebut pada April 2010 dan ia dikatakan berpunca daripada strok iskemik yang berlaku apabila terdapat darah beku di dalam saluran darah hingga menyebabkan otak tersumbat.


 - Daily Mail (SH)

22 Disember 2014

Penumpang Diberi Penyumbat Telinga Tangani Bayi Merengek Dalam Pesawat


Penumpang Diberi Penyumbat Telinga Tangani Bayi Merengek Dalam Pesawat - DUDUK berdekatan dengan bayi yang merengek di dalam pesawat merupakan pengalaman buruk yang terpaksa dihadapi setiap penumpang pada ketinggian 30,000 kaki.
Bagaimanapun, ibu bapa kepada seorang bayi berusia 12 bulan mengambil keputusan untuk memberikan beg cenderahati kepada beberapa penumpang yang duduk di kawasan berdekatan dengan anak mereka.
Pemberian beg itu bertujuan untuk mengambil hati penumpang lain sekiranya anak kecil mereka membuat bising di dalam penerbangan, awal minggu ini.
Seorang penumpang mendedahkan tentang pengalamannya itu di laman sosial Reddit.com selepas menerima beg berisi hadiah bagi menggelakkannya berasa tidak puas hati akibat gangguan bunyi bising daripada bayi itu di dalam penerbangan.
Selain gula-gula, beg berkenaan yang diberikan sebelum pesawat berlepas mengandungi penyumbat telinga yang boleh digunakan sekiranya bayi itu, Madelina menangis.
Penumpang tersebut yang menggelarkan dirinya sebagai Ninjashares, memuat sekeping gambar beg cenderahati yang diterimanya itu dengan keterangan: "Seorang bayi baharu sahaja menyerahkan beg ini kepada saya di dalam penerbangan. Saya tidak marah."
Beg itu turut disertakan dengan nota yang berbunyi: "Hi orang yang tidak dikenali! Nama saya Madeline. Usia saya akan genap setahun pada 17 Disember dan ini merupakan penerbangan pertama saya."
Nota itu menambah: "Saya akan menjaga tingkah laku saya, tetapi saya memohon maaf terlebih dahulu sekiranya saya berada dalam keadaan tidak tenteram, rasa takut atau telinga saya sakit.
"Ibu dan bapa saya saya ada menyediakan beg cenderahati yang mengandungi beberapa barang.
"Turut ada penyumbat telinga... yang boleh digunakan sekiranya saya membuat bising yang boleh menyakitkan telinga kamu.
"Selamat menaiki penerbangan!" - mirror.co.uk

21 Disember 2014

Kerana Tangisan Bayi, Tiga Wanita Bertumbuk Dalam Pesawat


Bersilih ganti insiden berlaku dalam pesawat kebelakangan ini dan terkini tercetus pergaduhan apabila seorang ibu gagal mengawal emosinya apabila dua wanita menuduh tangisan anaknya terlalu bising.
Kejadian itu berlaku dalam penerbangan dari bandar Chongqing di barat daya China ke Hong Kong.
Ibu berkenaan, Chan Juan Sung, 27, diserang dua wanita yang berang kerana tangisan anaknya mengganggu tidur mereka yang duduk di belakang.
Kedua-dua wanita berkenaan menyuruh Juan Sung ‘mendiamkan’ anaknya, tetapi teguran itu tidak diendahkan.
Menurut penumpang yang duduk di sebelah dua wanita berkenaan, Xiong Wan, selepas ditegur, ibu bayi itu menjerit ke arah mereka sambil berdiri dan menumbuk seorang wanita berkenaan.
“Mereka kemudian membalas serangan itu dan menumbuk ibu berkenaan hingga keadaan menjadi tidak terkawal.
“Bayi itu mula menangis sekuat hati sementara penumpang lain menjerit. Ia seperti dalam filem.”
Ketiga-tiga wanita itu akhirnya diasingkan oleh kru Air China dan ditahan untuk disoal siasat sebaik tiba di Hong Kong.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas seorang penumpang yang menaiki pesawat buat kali pertama membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang masih bergerak di lapangan terbang di Sanya, kerana tidak sabar hendak turun.
Pergaduhan dalam pesawat membabitkan pelancong China dan perbuatan aneh mereka dalam penerbangan menyebabkan pihak berkuasa China mengeluarkan garis panduan ketat bagi memastikan rakyat negara itu berkelakuan baik di luar negara.
Malah, Presiden Xi Jinping turut mengingatkan penduduk negara itu supaya membaiki kelakuan mereka ketika melancong.
mStar Online

19 Disember 2014

Ajak wanita nama sama bekas kekasih melancong


Ajak wanita nama sama bekas kekasih melancong - Seorang pemuda, Jordon Axani, 28, akhirnya menemui calon paling sesuai untuk menggantikan tempat bekas kekasihnya untuk melancong keliling dunia, lapor Associated Press.

Bulan lalu, Jordon dikatakan menjadi tumpuan apabila menawarkan tiket melancong keliling dunia secara percuma kepada mana-mana wanita yang bernama Elizabeth Gallagher.

Jordon dan bekas kekasihnya itu telah menempah tiket tersebut pada Mei lalu namun hubungan mereka berakhir dan Jordon tidak mahu tiket tersebut tidak digunakan.

Tiket pelancongan itu mempunyai polisi ketat yang tidak membenarkan pertukaran namun memandangkan ketika membuat tempahan, maklumat pasport tidak dikehendaki, maka tiket tersebut sah untuk mana-mana rakyat Kanada bernama Elizabeth Gallagher.

Jordon memuat naik tawaran tersebut di laman sosial media popular, Reddit menerima ribuan e-mel termasuk 18 Elizabeth Gallaghers yang mempunyai pasport.

Akhirnya Jordon telah memilih pasangan melancongnya, Elizabeth Quinn Gallagher, 23, dari Cole Harbour, Nova Scotia, seorang pelajar yang bekerja separuh masa di sebuah pejabat.

“Perjalanan ini akan menjadi begitu hebat,” kata Jordon.

Sementara itu, menurut Elizabeth, keputusan pergi melancong dengan individu yang tidak dikenali adalah sesuatu yang ‘gila’ namun berjaya diatasi melalui perbualan telefon dengan Jordon.
“Sudah tentu ini sesuatu yang menyeramkan pada awalnya tapi sekarang saya dah bercakap dengan dia, ia lebih hebat,” katanya.
Meskipun sudah mempunyai teman lelaki, namun Elizabeth menganggap perjalanan tersebut atas dasar kawan.
Percutian itu dijadualkan Ahad ini bermula di New York kemudian ke Milan, Prague, Paris, Bangkok dan New Delhi sebelum berakhir di Toronto pada 12 Januari depan.

SH

15 Disember 2014

Bapa Putar Anak Dalam Mesin Basuh Hingga Mati

Suspek yang didakwa membunuh anaknya.
SEORANG bapa dikesan memasukkan anak lelakinya ke dalam mesin basuh serta memutar kanak-kanak itu sehingga mati.
Dalam kejadian itu, suspek, Joseph, 28, didakwa telah membunuh anaknya, Koda Blocker, 4, menggunakan mesin di rumah mereka dekat Garland, Texas.
Pembunuhan itu disedari apabila suspek menghubungi pasukan paramedik untuk meminta bantuan berikutan keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, siasatan polis mengesan mangsa telah dibunuh dan bukan terjatuh ke dalam mesin basuh.
"Mesin basuh itu bukan jenis automatik dan pintunya juga tidak tertutup secara automatik. Oleh itu, mangsa dipercayai telah dibawa masuk ke dalam mesin basuh oleh suspek yang kemudian menghidupkan mesin berkenaan," jelas polis.
Berikutan itu, polis menahan Joseph untuk siasatan lanjut. Siasatan terhadap mayat bayi itu mendapati, kematian berpunca daripada kecederaan parah akibat diputar di dalam mesin basuh.
mStar Online

13 Disember 2014

Kaki dimasuki Cacing sepanjang satu meter


MELBOURNE – Seorang warga Sudan di sini terkejut selepas mengetahui terdapat dua ekor cacing guinea sepanjang satu meter di dalam kakinya sejak empat tahun yang lalu, lapor MailOnline semalam.
Lelaki berusia 38 tahun yang enggan dikenali itu hanya menyedari kejadian berkenaan selepas kakinya mula membengkak dengan teruk kira-kira setahun yang lalu.
Selepas menjalani ujian X-ray, doktor mendapati terdapat dua ekor cacing guinea yang telah mati di sekitar pergelangan kakinya.
Doktor itu, Dr. Jonathan Darby berkata, kedua-dua cacing yang telah mati itu mula mereput di dalam kaki lelaki berkenaan sehingga menyebabkan kakinya bengkak dengan teruk.
“Lazimnya, cacing hidup di dalam usus selepas larvanya memasuki ke dalam badan menerusi minuman yang tercemar. Haiwan itu akan menembusi ke dalam kulit manusia dan kemudian akan keluar melalui kesan lepuh pada kulit.
“Namun, proses itu akan mengambil masa selama bertahun-tahun. Cacing itu boleh hidup atau mati di dalam badan manusia sehingga mendatangkan kesakitan di bahagian jangkitan,” katanya.
Warga Sudan itu kini bagaimanapun semakin sembuh selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan dua ekor cacing itu.
Cacing guinea yang menyebabkan penyakit dracunculiasis ditemui di Selatan Sudan, Ethiopia, Ghana dan Chad. – AGENSI
KOSMO!

Penumpang simbah air panas kepada Pramugari , pesawat AirAsia patah balik

Suasana kecoh dalam pesawat AirAsia akibat tindakan dari dua orang penumpang pesawat berkenaan.

Penerbangan Thai ke China terpaksa berpatah balik ke Bangkok setelah seorang penumpang menyerang seorang pramugari dengan menyimbah air panas, menurut syarikat penerbangan itu hari ini.

Menurut kenyataan penerbangan tambang murah AirAsia Thai, penumpang dari China menyewa penerbangan ke Nanjing memarahi kru pesawat sebelum menyimbahnya dengan air panas.

Kapten dan anak kapal kemudiannya memujuk penumpang berkenaan untuk berbincang di pejabat lapangan terbang selepas mendapati perbuatannya boleh mengancam keselamatan pesawat.

Media China melaporkan mi segera turut dilempar bersama air panas tersebut.

Dalam satu klip video kelihatan seorang lelaki mengancam untuk meletupkan pesawat berkenaan.

Bagaimanapun kenyataan syarikat penerbangan tidak menyatakan ancaman berkenaan. - Bangkok Post

12 Disember 2014

Budak Lelaki Cedera Akibat Penyepit Tercucuk Leher

Jun Chia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas penyepit yang digunakan ketika menikmati mi tercucuk pada lehernya.
Seorang budak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menanggung kesakitan akibat tercucuk penyepit makanan pada lehernya ketika sedang menikmati mi sambil berjalan.
Jun Chia sebelum itu keluar dari kawasan sekolahnya untuk membungkus makanan kerana lapar dan menikmatinya sambil berjalan untuk pulang ke kelasnya.
Bagaimanapun, dalam keadaan kelam kabut itu dia dilanggar bapa rakannya yang menggunakan skuter elektrik menyebabkan Jun Chia terjatuh, manakala penyepit yang dipegang tercucuk pada lehernya.
Seorang kakitangan sekolah di Wilayah Hubei di sini segera menghubungi ambulans untuk membawa budak lelaki itu ke hospital.
Pemeriksaan di hospital menunjukkan sesuatu yang mengejutkan, kedudukan penyepit itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan pada sebarang organ dalaman Jun Chia.
Pegawai perubatan Zhou Jen memberitahu media tempatan: "Kami lakukan imbasan CT dan mendapati penyepit itu tidak mengenai trakea, esofagus atau pembuluh darah utamanya.
"Budak lelaki itu memang bernasib baik dan kami juga berjaya melakukan pembedahan untuk mengeluarkan penyepit itu."
Beliau menambah, keadaan penyepit yang diperbuat daripada keluli bukannya kayu menyebabkan ada kebimbangan berlaku jangkitan.
Selesai pembedahan itu, budak lelaki itu diletakkan dalam pemerhatian dan dijangka dibenarkan pulang hujung minggu ini.
mStar Online

08 Disember 2014

WAJAH wanita ini menghidap penyakit kecelaruan kulit.

WAJAH Hu berubah kerana menghidap penyakit kecelaruan kulit.
Seorang wanita berusia 28 tahun yang berasal dari Zhengzhou, Henan, tiba di bandar raya ini minggu lalu untuk mendapatkan khidmat pembedahan kosmetik selepas dia disahkan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia kelihatan jauh lebih tua.
Selepas melahirkan anak pertama 11 tahun lalu, wajah Hu Juan berubah, melihatnya dia tua lebih cepat dari sepatutnya.
Walaupun baru berusia 28 tahun, mukanya seperti wanita yang berumur 60 atau mungkin 70 tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Hu disahkan menghidap kecelaruan kulit dinamakan Cutis laza.
Penyakit itu menyebabkan kulitnya menjadi longgar, merebeh dan berkedut. Ia hanya berlaku pada muka dan leher Hu.
Kurang dari 10 orang disahkan menghidap penyakit itu di dunia dan Hu satu-satunya orang di China yang berdepan penyakit itu, lapor Xinhua.
Setakat ini, tidak ada rawatan berkesan, tetapi pembedahan plastik boleh membantu.
Sepanjang 11 tahun lalu, suaminya sentiasa bersamanya dan tidak pernah merungut melihat wajah isterinya berubah menjadi nenek.
Hu pula mengelak daripada keluar rumah atau melihat cermin. Dan sejak kebelakangan ini, dia menyedari anaknya mula menjauhkan diri serta malu memberitahu rakannya bahawa dia adalah ibunya.
Sebuah klinik di Shanghai bersedia membantu, tetapi doktor setakat ini kurang yakin dengan hasil yang akan dicapai. 
- Agensi

06 Disember 2014

GILA PUNYA IBU,CUBA MAKAN ANAK

KESAN gigitan pada tangan bayi itu selepas digigit ibunya

Seorang bayi yang baru dilahirkan dilapor cuba dimakan oleh ibunya di sebuah hospital di sini, kelmarin.

Tindakan pantas jururawat, Liu Tianlun, yang melihat perbuatan wanita itu berjaya menyelamatkan bayi berkenaan.

Jururawat terbabit yang membuat pemeriksaan biasa ketika itu menjerit apabila melihat wanita berkenaan, Li Zhenghua, 24, menggigit tangan anaknya.

Dia cuba membebaskan bayi itu tetapi Li melawan dan enggan melepaskannya.

Doktor akhirnya terpaksa menyuntik wanita terbabit dengan ubat penenang untuk menyelamatkan bayi baru lahir berkenaan daripada terus digigit ibunya.-AFP


05 Disember 2014

Mesej bertuah untuk Zalora, suami isteri dapat kejutan misteri


SHAH ALAM - “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu,” itulah yang terjadi kepada pasangan suami isteri setelah mendapat hadiah khas daripada syarikat membeli-belah atas talian Zalora.com.my, selepas si suami melarang si isteri daripada membeli-belah di syarikat berkenaan.

Posting suaminya di laman Facebook Zalora yang berbunyi  “Hai Zalora kalau ada ternampak isteri saya ‘shopping’ dekat  sini jangan layan ya… pura-pura kata ‘server down’ ke komputer, rosak ke? Pandailah bagi alasan ye. Untuk makluman nama isteri saya Nuzaimah ingat tau… akhirnya membawa tuah kepada pasangan tersebut.

Mana tidaknya dek kerana ‘post’ tersebut lima skuad Zalora daripada Bahagian Talian Fesyen Asia, telah melawat pasangan tersebut semalam di kediaman mereka di Kuala Lumpur untuk memberi hadiah kepada pasangan suami isteri itu iaitu kepada, Muhamad Radzi Ali dan Nuzaimah Ideris.

Terdahulu post Radzi Ali dikomen balas oleh Zalora yang meminta maaf kepada Radzi kerana pihaknya tidak boleh berbuat sepertimana yang disuruh olehnya.

“Hai Radzi… hahahah maaf, kami tidak dapat mengesan setiap pelanggan kami yang melayari web kami dengan itu, web kami sentiasa berjalan lancar dan kami tidak dapat berpura-pura  untuk mengatakan server kami down. Jika anda mahu menjimatkan wang anda… anda boleh mendaftar Newsletter kami untuk dapat baucer dan maklumat terkini mengenai jualan atau diskaun kami sehingga 70 peratus,” tulis Zalora.

Post Radzi itu juga mendapat perhatian isterinya apabila, isterinya Nuzaimah berkata Zalora tidak boleh berbuat demikian kerana bakal mengecewakan pelanggannya.

“Hi zalora. I don’t  thinks it  is good for you ban potential client  like me. Don’t dispointed ur client zalora!,” tulis Nuzaimah.

Sementara itu, kedatangan skuad Zalora ke rumah pasangan tersebut semalam, ternyata membawa kejutan buat mereka.

"Kami tidak menyangka kejutan ini. Kami hanya bermain-main," kata Radzi.

Sementara isterinya, Nuzaimah pula berkata bahawa dia amat kagum kerana mendapat balasan yang interaktif daripada pihak perkhidmatan pelanggan Zalora.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Zalora Malaysia, Giulio Xiloyannis berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk melayan pelanggan seperti Radzi dan Nuzaimah di halaman Facebook mereka.




“Membeli-belah dalam talian adalah trend terkini yang  semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia.

“Kami percaya bahawa kenyataan suami, isteri dalam laman media sosial itu adalah satu refleksi dari masyarakat kita yang sekarang ini mengamalkan gaya hidup ‘digital’,” katanya.

Mengulas lanut,   Xiloyannis berkata, tujuan pemberian hadiah tersebut adalah untuk meraikan pasangan tersebut yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

“Oleh itu pihak kami, berasa amat gembira untuk menghadiahkan Radzi dan Nuzaimah dengan hadiah-hadiah yang dipilih khas untuk mereka. Dengan pemberian Zalora dan Zalia kami harap Nuzaimah mengalami pengalaman indah sepanjang kehamilan dia,” tambah Xiloyannis.

Nuzaimah telah menerima bekalan pakaian dan kasut selama setahun dari Zalora serta baucar bernilai RM400.

Pasangan ini mendapat perhatian apabila ‘post’ yang ditulis Radzi di laman Facebook Zalora yang melarang isterinya dari membeli-belah dalam laman web berkenaan pada hari Isnin lepas.


SH

02 Disember 2014

Gadis Cantik ditoreh muka dan hampir diperkosa

Nur Shafiqa dirawat HUSM, Kota Bharu kerana kecederaan di muka akibat ditoreh.

Pasir Puteh: Seorang gadis berusia 22 tahun menempuh detik getir apabila mukanya ditoreh dengan pisau dan hampir diperkosa apabila kediamannya dipecah masuk dua lelaki dalam kejadian di Wakaf Berangan, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2 petang ketika mangsa berada dalam bilik air manakala ibunya yang berusia 58 tahun berehat di dapur rumah. Turut berada dalam rumah itu adik mangsa berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, ketika kejadian semua mangsa tidak menyedari kemunculan dua suspek terbabit sehingga seorang daripadanya menendang pintu bilik air dan menarik mangsa keluar.

“Mangsa dibawa ke ruang tamu, namun dalam perjalanan ke situ, dia terserempak dengan ibunya sebelum diarah mencabut cincin emas pada jari ibunya.

“Suspek membawa mangsa ke dalam bilik manakala seorang lagi suspek memegang ibu mangsa. Di dalam bilik itu, suspek kemudian mengambil telefon bimbit pintar milik mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa turut melihat suspek membuka seluar dipercayai mahu merogolnya, namun dia ditumbuk di mata manakala pipi sebelah kiri ditoreh dengan pisau ketika bergelut dengan suspek.

Katanya, suspek keluar dari bilik apabila dipanggil rakannya dan kesempatan itu digunakan mangsa untuk mengunci pintu bilik sebelum menjerit ke arah luar tingkap meminta tolong.
“Kedua-dua suspek yang terkejut dengan jeritan itu melarikan diri disyaki menggunakan motosikal. Adik mangsa yang bersembunyi di bawah katil turut mendail talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan,” katanya.

Abd Rozak berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di muka manakala ibunya turut luka di dahi dan bibir. Mereka dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini.

Menurutnya, antara barang yang dibawa lari suspek termasuk cincin, gelang tangan emas serta telefon bimbit pintar dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

myMetro

30 November 2014

Wanita ditelan tanah ketika Jemur Kain

  • Polis dan bomba memeriksa tempat kejadian di mana seorang wanita terperangkap di dalam lubang jerlus sedalam 3 meter.

Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terjatuh dan terperangkap di dalam lubang jerlus ketika menjemur pakaian di rumahnya di Melbourne, semalam.

Wanita berusia 45 tahun itu, terperangkap selama 20 minit di dalam lubang sedalam 3 meter sebelum jeritannya disedari jiran.

Jurucakap paramedik, Stephanie Palamberis berkata, mangsa bernasib baik kerana lubang tersebut tidak digenangi air sepenuhnya.

Menurutnya lagi, lubang jerlus itu terbentuk apabila salah satu saluran paip bawah tanah sekitar kawasan tersebut pecah, dipetik dari laporan DPA.

SH

28 November 2014

Rosakkan kereta kekasih isteri


KUALA KURAU - Berang isteri berlaku curang, seorang lelaki memecahkan keseluruhan cermin kereta kekasih isterinya yang diletakkan di pekan Kuala Kurau, di sini, Ahad lalu.

Selain itu, Sinar Harian turut difahamkan keempat-empat tayar kereta jenis Proton Satria ditoreh dan dirosakkan suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Saksi  yang hanya mahu dikenali sebagai Razak berkata, ketika kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang meletakkan kenderaan di lokasi pasar malam Kuala Kurau dipercayai sedang menunggu isteri suspek untuk membawanya keluar.

“Suspek yang marah dengan perbuatan isterinya, bergelut dengan mangsa sebelum bertindak memecahkan keseluruhan cermin dan tayar kenderaan mangsa.

“Pergaduhan itu menyebabkan mereka menjadi tumpuan orang ramai,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian di sini.

Seorang lagi saksi, Jun,30-an berkata, semasa suspek bertindak memecahkan cermin kenderaan dengan menggunakan objek keras, mangsa terus melarikan diri.

“Bagaimanapun, kejadian itu berakhir apabila kedua-dua pihak didamaikan oleh ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan polis dibuat atas kehendak kedua-dua keluarga suspek dan mangsa terlibat.


Sinar Harian

23 November 2014

Wanita Tunisia Dinobat Ratu Cantik Muslimah Sedunia

Keanggunan dan keikhlasan Fatma Ben menyuarakan mengenai penderitaan rakyat Palestin menarik perhatian juri.
YOGYAKARTA: Mesej pembebasan Palestin yang disuarakan peserta Tunisia membawa tuah apabila berjaya menewaskan 17 wakil negara lain, sekali gus memenangi pertandingan ratu cantik khusus untuk wanita Muslimah di Indonesia, Sabtu.
Berbeza dengan pertandingan ratu cantik barat, semua peserta pertandingan itu wajib memakai tudung dan mereka bukan sahaja dinilai berdasarkan penampilan, malah pengadil menilai kebolehan mereka membaca al-Quran dan pandangan mengenai Islam dalam dunia moden.
Penyertaan 18 finalis, termasuk yang bekerjaya sebagai doktor dan saintis komputer itu menampilkan gaya sopan dan sedap mata memandang.
Kali ini, Fatma Ben Guefrache yang juga saintis komputer diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang hadiah seperti jam tangan emas, dinar emas dan pakej umrah.
"Semoga Allah membantu saya dalam misi ini dan membebaskan Palestin. Tolonglah untuk sama-sama membebaskan rakyat Palestin dan Syria," kata wanita berusia 25 tahun itu dalam nada sebak.

Acara peringkat akhir ratu cantik Muslimah itu diadakan dengan latar belakang tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Kuil Prambanan di sini, bagi menandakan bahawa umat Islam menghormati penganut agama lain.
Pada awal pertandingan ini, beberapa cabaran dilalui termasuk membabitkan peserta Singapura yang terpaksa berhenti kerja kerana majikan tidak membenarkan dia menyertai pertandingan tersebut serta masalah visa yang menyebabkan tujuh finalis terpaksa membatalkan penyertaan.
"Kami mahu mereka memahami segalanya mengenai cara hidup Islam, termasuk pemakanan, pakaian dan cara menjalani kehidupan," kata seorang penganjur, Jameyah Sheriff.
Anugerah Muslimah Sedunia kali pertama dijayakan padda 2013 apabila penganjurannya bagi membantah acara Ratu Cantik Dunia yang berlangsung pada masa sama di Bali.
mStar Online

21 November 2014

Wanita Dilanggar dan Terbunuh Gara -Gara 'Sampah'


GEORGE TOWN: Seorang wanita telah dilanggar dan terbunuh selepas berlaku satu pertengkaran berhubung masalah pembuangan sampah.

Pemandu kenderaan terbabit, 53, dilihat mengamuk dan melepaskan marah terhadap Lee Seok Pheng, 47, dan suaminya, 57, dengan menuduhnya membuang sampah berhampiran rumahnya.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta di blok apartmen di Lebuhraya Thean Teik di sini.

Pemandu itu didakwa cuba merempuh Lee dan suaminya selepas bertengkar sekitar pukul 12.30 tengah malam Jumaat.


Lee rebah di atas jalan dan telah dilanggar manakala suaminya berjaya mengelak daripada dilanggar pemandu terbabit.

Pemandu terbabit cuba melarikan diri dari tempat kejadian tetapi gagal berbuat demikian apabila beberapa saksi tampil membantu.

Lee disahkan meninggal dunia pada pukul 1.17 pagi di Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Farid Alathrash dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai kes ini.


mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !