10 Oktober 2014

VIDEO "Saya Ada Ebola" Cetus Suasana Panik Dalam Pesawat


SEORANG penumpang dalam pesawat mencetuskan panik selepas menjerit "Saya ada Ebola!" ketika penerbangan.
Lelaki yang tidak dikenali dari Amerika Utara itu sedang dalam perjalanan dari Philadelphia, Amerika Syarikat, ke Punta Cana, Republik Dominican, ketika dia 'mendedahkan' perkara itu.

Media tempatan melaporkan bahawa lelaki itu menjerit "Saya ada Ebola!", manakala pegawai-pegawai di lapangan terbang memberitahu FOX bahawa lelaki itu telah memberitahu bahawa "Saya baru sahaja pergi ke Afrika!", tetapi rekod perjalanan tidak menunjukkan bahawa dia pernah pergi ke Afrika.

Selepas penerbangan 845 US Airways mendarat di pulau Caribbean dia segera dikeluarkan dari pesawat oleh kakitangan kecemasan yang telah lengkap memakai sut Hazmat biru.

Lelaki itu telah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan yang merupakan polisi penerbangan dan kemudiannya akan dihantar ke AS untuk pemeriksaan sekali lagi.


mStar Online

08 Oktober 2014

Hidup bermadu ujian hebat saya dan Aida - Erma Fatima

ERMA bersama madunya, Aida Abdul ketika beraya di rumah mentua mereka. - Foto ihsan Erma Fatima
KUALA LUMPUR: Tindakan Erma Fatima memuat naik gambar beliau beraya bersama madunya, Aida Abdul di kediaman keluarga mentuanya membuktikan bahawa sutradara itu menerima dengan hati terbuka suratan suaminya, Bade Azmi berkahwin lain.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi kononnya Erma tidak merestui perkahwinan kedua suaminya, sekali gus tidak rela bermadu.
Malah lebih buruk lagi apabila bertebaran cerita bahawa rumah tangga Erma dan Bade ibarat telur di hujung tanduk.
Bagaimanapun, semua spekulasi itu lenyap apabila gambar yang dimuat naik Erma di laman Instagram itu turut dipuji ramai pengikutnya.
Ramai yang menyifatkan Erma sebagai wanita yang cekal kerana perlu menjalani hidup bermadu.
"Tiada sebab untuk saya bermusuh dengan dia (Aida). Hidup di dunia ini pun sementara saja. Saya berkahwin dengan suami sudah 24 tahun. Andai dia pilih untuk kahwin lain, maknanya dia inginkan kebahagiaan. Saya pun nak tengok dia bahagia.
"Kalau cara itu (berkahwin lain) yang mampu saya buat untuk membahagiakan dia, saya reda. Poligami ini mungkin juga satu tugasan dari Tuhan untuk ajar saya jadi ikhlas. Dan ternyata saya sedang melalui ujian itu," kata Erma.
Menurut Erma, beliau enggan mengambil pusing apa persepsi orang di luar mengenainya.
"Saya tak peduli. Tiada cinta yang kekal pun di dunia ini. Kenapa saya perlu berperang dan bermusuh hanya untuk berebut cinta.
"Bagi saya, cinta yang agung ialah cinta yang tak kesampaian. Namun kita tetap bertahan meneruskan kehidupan.
"Lihat saja contoh, cerita Romeo dan Juliet, Laila Majnun atau Uda dan Dara. Semua cinta yang dipapar hancur di tengah jalan. Tapi itu juga cerita cinta agung yang dibanggakan seluruh pelusuk dunia.
"Mungkin saya boleh dapat apa saja yang dimahukan di dunia ini tapi bukan cinta," katanya.
Mengenai Aida, Erma menyifatkan madunya itu seorang yang baik.
"Kami berdua dalam proses kenal mengenal. Dia cuba menyesuaikan diri dengan keluarga yang baru. Ia bukan perkara mudah dan dia sanggup lakukannya. Itu juga bererti dia benar-benar cintakan suami saya.
"Dalam erti kata lain, hidup bermadu ini ujian hebat buat saya dan dia. Saya sendiri tidak kejar bahagia tapi nak sangat mencari erti sebenar keikhlasan.
"Saya mahu ikhlas menerima dia sebagai adik demi kebahagiaan mereka," katanya. 
- Oleh Zaidi Mohamad (BH)

07 Oktober 2014

Fenomena Ombak Gergasi Melanda Pulau Pinang

Ombak gergasi menghempas tembok di Esplanade, Padang Kota Lama di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Angin kencang barat daya menyebabkan laut bergelora dengan ombak gergasi sehingga menghempas tembok di Esplanade di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
Ombak gergasi itu mencecah lebih tinggi daripada tiang lampu, mengakibatkan air laut melimpah di jalan raya, sehingga menyebabkan banjir di sepanjang Jalan Tun Syed Syeh Barakhbah di sini pada Isnin.
Pejalan kaki dilihat merakamkan fenomena yang jarang berlaku itu manakala kenderaan yang melalui jalan iberkenaan secara perlahan apabila ombak besar menghempas tembok.
Air laut melimpah sehingga ke jalan raya.
Menurut laman web Jabatan Meteorologi, angin kencang barat daya selaju 40kmj hingga 50kmj itu menyebabkan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Miri, Sabah dan Labuan.
Fenomena itu dijangka berterusan sehingga Ahad depan.
mStar Online

06 Oktober 2014

Kanak-Kanak 7 Tahun Dipercayai Didera Bapa Dan Teman Wanita

HANISAH memegang cucu angkatnya yang cedera didera.
MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki berkenaan di sebuah rumah di Paya Rumput di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai kerap menjadi mangsa dera pasangan berkenaan berdasarkan kesan kecederaan lama dan baharu di seluruh belakang badan mangsa.
Beliau berkata, laporan berhubung kes dera kanak-kanak itu dibuat nenek angkat kanak-kanak tersebut yang juga tuan rumah yang diduduki keluarga mangsa, di balai Tanjung Minyak kira-kira 6.05 petang pada Selasa (30 September).
"Wanita itu mendakwa pasangan berkenaan kerap mendera kanak-kanak tersebut menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang selain ditumbuk serta dihentak kepala ke dinding," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata sehubungan itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 31 tahun, ditahan bagi membantu siasatan ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 2.30 petang Rabu (1 Oktober).
Raja Shahrom berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang biskut di Batu Berendam di sini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis manakala teman wanitanya dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama kerana menyusu anaknya berusia dua tahun.
Katanya, kanak-kanak perempuan mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, nenek angkat kanak-kanak itu berkata, teman wanita kepada bapa kanak-kanak itu merupakan anak angkatnya yang menumpang di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu.
"Tangan kanak-kanak itu berbalut simen ketika hari pertama tiba di rumah saya dan apabila ditanya mangsa dikatakan patah tangan akibat terjatuh tangga di rumah sewa mereka di Masai, Johor," kata tukang cuci di sebuah sekolah di Paya Rumput itu.
Dia mendakwa sering melihat kanak-kanak itu dipukul bapa dan anak angkatnya itu walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga mengakibatkan kecederaan di seluruh anggota badan.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani berkata, pasangan itu ditahan di rumah berkenaan kira-kira 12 tengah malam pada 29 September lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan Seksyen 54 enakmen sama kerana melahirkan anak luar nikah.
mStar Online

04 Oktober 2014

Lembu ganggu sesi fotografi pengantin

Brian dan pasangannya terkejut apabila tiba-tiba dihampiri oleh seekor lembu yang cuba menyerang mereka

Satu pasangan pengantin cemas selepas seekor lembu tiba-tiba cuba menyerang mereka ketika satu sesi fotografi di sebuah kawasan ladang di sini baru-baru ini lapor New York Daily News kelmarin.

Pasangan berkenaan, Brian dan Rebecca Pepper yang baru berkahwin pada 21 September lalu mengupah seorang jurugambar, Rachel Deane untuk merakamkan detik bahagia mereka.
Ketika pasangan berkenaan sedang merakamkan gambar di satu kawasan padang rumput tiba-tiba mereka dihampiri seekor lembu jantan.
Lembu jantan itu dilihat cuba menyerang Rebecca tetapi Brian yang menyedari perkara itu segera mempertahankan isterinya sebelum menghalau lembu tersebut.
Deane yang turut terkejut sempat merakamkan aksi Brian menghalau haiwan berkenaan dan gambar tersebut menarik perhatian pengguna internet selepas dia memuat naik gambar di laman Facebook miliknya.
“Lihatlah lembu ini yang cuba mencabar Brian untuk mendapatkan cinta Rebecca,” kata Deane. 
– Agensi(kosmo!)


03 Oktober 2014

Terpedaya Janji Manis Punca Berlaku Ganggguan Seksual


KUALA LUMPUR: Sikap mudah percaya pada pujian dan janji manis antara faktor utama berlakunya kes rogol dan cabul di tempat kerja yang membabitkan majikan dan rakan sekerja.

Perlakuan yang disifatkan gangguan seksual ini boleh berlaku sama ada secara lisan dan bukan lisan, visual atau fizikal.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual yang merangkumi cabul dan rogol bagi 2012 dan tahun lalu keseluruhannya mencatatkan 75 kes membabitkan majikan, manakala kes melibatkan rakan sekerja pula sekali ganda iaitu 156 kes.

Daripada jumlah itu, kes rogol membabitkan majikan sebanyak 27, manakala 48 kes untuk cabul dicatatkan, manakala kes gangguan seksual melibatkan rakan sekerja pula menunjukkan 42 kes rogol dicatatkan, manakala cabul sebanyak 114 kes.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus, kes seumpama ini kerap berlaku kerana mangsa terlalu mudah percaya selepas suspek menabur janji manis serta pujian.

"Apabila mangsa mudah diperdaya, suspek pastinya akan mengambil peluang atau kesempatan, selain sikap suspek yang ingin menunjuk kehebatan diri.

"Lebih penting, pihak terbabit kurang pengetahuan undang-undang dan penghayatan agama, sekaligus tidak menghormati hak dan kehormatan mangsa," jelasnya kepadamStar Online.

Asisten Komisioner Hamidah Yunus

Tambah Hamidah lagi, antara gangguan seksual yang sering dilaporkan termasuk secara lisan seperti komen, gurauan, usikan, bunyi atau soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

"Ada juga secara bukan lisan seperti pandangan, kerlingan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau tingkah laku mengurat.

"Jenis gangguan secara visual pula berlaku apabila mangsa ditunjukkan dengan bahan lucah, melukis gambar lucah dan pujuk rayu yang berterusan.

"Dan gangguan secara fizikal pula melibatakan sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk dan mencium serta serangan seksual," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Hamidah, ada kejadian gangguan seksual yang berpunca daripada mangsa sendiri, selain sikap ibu bapa.

"Mereka (ibu bapa) tiada masa untuk berkomunikasi dalam keluarga serta tidak mamantau aktiviti anak-anak. Paling jelas kerapuhan institusi kekeluargaan menyumbang kepada pelbagai anasir negatif.

"Selain itu, kes ini juga berlaku disebabkan pengaruh filem lucah yang boleh ditonton menerusi internet atau VCD," jelasnya.

Katanya lagi, mangsa yang mengalami gangguan seksual ini perlu berani tampil membuat laporan bagi mencegah kes cabul atau rogol terus berlaku di kalangan majikan dan rakan sekerja.


mStar Online

01 Oktober 2014

Kalau hati sudah suka,Sanggup buat apa saja

LELAKI tidak dikenali memeluk erat kaki kekasihnya tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Seorang pengguna Internet memuat naik gambar pemuda tidak dikenali menunjukkan kasih sayang kepada pasangannya apabila melutut sambil memeluk erat paha wanita itu.
Kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai di luar kilang komputer Quanta di Shanghai.
Gambar berkenaan terus mendapat sambutan hangat pengguna Internet.
Ada antaranya yang mempertikaikan sama ada berbaloi lelaki terbabit mengetepikan maruahnya di khalayak ramai semata-mata mahu memujuk wanita berkenaan.
Malah lelaki itu turut menyerahkan sejambak bunga kepada kekasihnya tetapi dibuang wanita terbabit.
Pada satu ketika, dia memeluk wanita itu dengan begitu erat sehingga hampir menyebabkannya terjatuh. - Agensi

29 September 2014

Merajuk lantas,Terlelap di pucuk kelapa

WARGA emas yang enggan turun dari pokok kelapa di Kampung Sinarut Lama, semalam.
Ranau: Merajuk kerana tidak diberikan sebotol arak, seorang warga emas mengambil keputusan memanjat pokok kelapa dan enggan turun selama lebih lima jam sehingga memaksa orang ramai menghubungi pasukan penyelamat bagi membantu menurunkan mangsa.
Dalam kejadian jam 7 pagi di Kampung Sinarut Lama, di sini, semalam, warga emas berusia 70 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas dikatakan merajuk dengan rakan yang enggan memberi arak kepadanya.
Lelaki terbabit memanjat pokok kelapa setinggi lebih enam meter untuk mengambil nira, tetapi enggan turun. 

Menurut saksi, orang ramai memujuknya turun, tetapi lelaki itu berkeras mahu berada di atas pokok.
Difahamkan, warga emas itu dipercayai tertidur beberapa kali sehingga penduduk menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta bantuan.
myMetro

28 September 2014

Pesakit kanser ditanam hidup-hidup?

- Foto: metro.co.uk

THESSALONIKI - GREECE. Seorang penjaga kubur terkejut sebaik terdengar satu jeritan menakutkan datang dari sebuah kubur yang baharu sahaja ditanam pada hari tersebut.
 
Memetik laporan Metro.co.uk hari ini, pekerja tersebut yang ketakutan terus menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut.
 
Dia kemudiannya menggali semula kubur tersebut dan memecahkan keranda yang menempatkan seorang wanita yang telah meninggal dunia sebelum itu.
 
Namun difahamkan, mereka sudah terlambat dan wanita tersebut benar-benar mati kali ini.
 
Menurut laporan, wanita tersebut merupakan seorang pesakit kanser berusia 49 tahun dan dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit yang dihadapinya.
 
Pihak berkuasa hari ini turut mengesahkan kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Peraia.

Manakala doktor yang mengesahkan kematian wanita terbabit, Chrissi Matsikoudi memberitahu pemberita, wanita tersebut sudah lama meninggal dunia dan mustahil untuk dikebumikan secara hidup-hidup.

“Kami telah menjalankan pelbagai ujian ke atasnya termasuk ujian kegagalan hati ke atas wanita tersebut,” jelasnya lagi.

Polis setakat ini masih belum mendedahkan nama mangsa.

Dalam pada itu pihak keluarga wanita terbabit telah membuat laporan susulan daripada tindakan doktor yang mengesahkan kematian mangsa.


Sumber

27 September 2014

Pengantin cipta rekod dunia pakai gaun terpanjang

  • Gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang memerlukan 40 pengapit untuk mengangkatnya. - Foto: Metro.co.uk

Kira-kira 40 pengapit diperlukan bagi mengangkat gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang dipakai oleh seorang pengantin perempuan yang melangsungkan hari bahagianya baru-baru ini.

Menurut laporan Metro.co.uk gaun pengantin yang seberat 50 kilogram yang dipakai oleh Jeng Mei yang berasal dari Chengdu, China.

Difahamkan, dia dan suaminya berhasrat memecahkan rekod dunia dengan memakai gaun pengantin terpanjang.

“Kami akan menghubungi World Guinness Record untuk mendapatkan pengikitirafan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu menurut suaminya, Yuan pula, baju pengantin tersebut dianggarkan bernilai £4000 (RM21, 277).


Sumber

Port Mak Ngah Skodeng !