Golongan dewasa perlu kerap bersenam, elak tempoh rehat lama
Barcelona: Kajian di Sepanyol mendapati golongan dewasa yang menonton televisyen lebih tiga jam sehari meningkatkan risiko mereka untuk mati pada usia lebih muda.
Penyelidik berkata, golongan berkenaan sebaliknya perlu bersenam lebih kerap, mengelakkan tempoh rehat terlalu lama dan mengurangkan menonton televisyen kepada sejam atau dua jam sehari.
Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian” Miguel Martinez-Gonzalez, Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol
“Menonton televisyen menyebabkan diri tidak aktif dan gejala itu kian meningkat kini. Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian,” kata penulis utama kajian dan Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol, Prof Miguel Martinez-Gonzalez.
Kajian itu membabitkan seramai 13,284 graduan universiti di Sepanyol yang masih muda dan sihat, dengan purata umur 37. Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah wanita.
Tiga aktiviti tak aktif
Tiga aktiviti tidak aktif iaitu masa menonton televisyen, masa menggunakan komputer dan masa memandu digunakan untuk menentukan risiko kematian.
Peserta terbabit dipantau selama 8.2 tahun. Penyelidikan melaporkan 97 kematian, dengan 19 daripadanya disebabkan penyakit kardiovaskular, 46 akibat barah dan 32 lagi kerana pelbagai punca.
Risiko kematian adalah dua kali ganda lebih tinggi di kalangan peserta yang dilaporkan menonton televisyen tiga jam atau lebih sehari berbanding mereka yang menonton sejam atau kurang.
Penemuan itu lebih jelas selepas mengambil kira pelbagai punca lain yang berkaitan dengan risiko tinggi kematian. Kajian mendapati tiada kaitan antara masa digunakan untuk komputer atau memandu dengan risiko tinggi kematian pada usia muda.
Kaji kesan memandu, guna komputer
Penyelidik berkenaan menambah, kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk mengesahkan kesan yang mungkin wujud antara penggunaan komputer atau memandu ke atas kadar kematian dan memastikan mekanisme biologikal yang menjelaskan kaitan itu.
“Penemuan kami menunjukkan golongan dewasa mungkin perlu meningkatkan aktiviti fizikal mereka, mengelakkan tempoh rehat yang panjang dan mengurangkan waktu menonton televisyen kepada tidak lebih sejam hingga dua jam sehari,” katanya.
- AGENSI