08 Mei 2014

Beg tangan dicuri ketika sedang solat,hilang RM10,000

Seorang kakitangan Masjid Razaleigh tunjuk tempat mangsa menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum beg dicuri.

GUA MUSANG - Seorang wanita berusia 50 tahun kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai bersama barang berharga yang disimpan dalam beg tangannya dicuri ketika sedang solat Zuhur berjemaah di Masjid Razaleigh di bandar ini, petang kelmarin.

Mangsa yang merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ternampak kelibat lelaki yang menceroboh masuk dalam ruang solat wanita lalu merampas beg tangannya sebelum berlari keluar menerusi pintu kanan yang sudah dibuka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.45 petang ketika mangsa berada di barisan hadapan bersolat Zuhur berjemaah bersama lapan wanita yang lain sebelum beg tangannya diletakkan di depan tempat sujud.

Menurutnya, ketika sujud akhir pada rakaat ke empat mangsa mendapati beg tangannya yang diletak didepan hilang, tetapi semasa itu dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana masih bersolat.

“Mangsa memberitahu kepada jemaah yang lain sebaik selesai berdoa dan selepas itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 2.20 petang," katanya.

Saiful Bahri berkata, beg mangsa menyimpan pelbagai barang kemas, dua telefon bimbit, kunci kereta, pasport antarabangsa, buku akaun Tabung Haji bersama wang tunai RM5,000.

Katanya, lelaki yang mencuri begnya itu dipercayai lari keluar menerusi pintu masjid sebelah kanan di ruang solat wanita kerana sebelum itu pintu berkenaan tertutup.

“Kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan setakat ini kita belum membuat sebarang tangkapan,” katanya kepada Sinar Harian.


Sinar Harian

07 Mei 2014

Bekas pembantu akaun syarikat tudung Fareeda didakwa

Bekas Pembantu Akaun syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Normala Mohd Ali, 25, (depan, kiri) bersama enam yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan memperdayakan pengarah urusan syarikat itu yang membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 di Kajang, hari ini. - Foto Bernama

KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
   
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
   
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
   
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
   
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
   
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
   
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
   
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
   
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.

Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
   
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
   
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 


 - Bernama

06 Mei 2014

Sewa RAHIM beri pulangan Lumayan


SIAPA sangka perkhidmatan ibu tumpang kini menjadi industri komersial paling menguntungkan di India walaupun dikritik banyak pihak kerana dianggap sebagai kegiatan mengeksploitasi wanita miskin di negara itu.

Semakin ramai pasangan dari luar India terutamanya dari Barat tertarik dengan ‘perkhidmatan’ tersebut kerana kosnya  jauh lebih murah selain peraturan dan undang-undang yang longgar di negara terbabit.

Bayaran dikenakan untuk melakukan proses persenyawaan in-vitro (IVF) itu adalah kira-kira AS$20,000 (RM65,300) berbanding AS$50,000 (RM163,300) jika dilakukan di Amerika Syarikat (AS).

Isu besar membabitkan soal etika mula timbul selepas golongan kaya didakwa mengambil kesempatan terhadap wanita miskin di India bagi mendapatkan zuriat untuk mereka hingga menyebabkan negara itu digelar sebagai ‘kilang bayi’ pada masa ini.

Tahun lalu, New Delhi bertindak mengenakan peraturan melarang pasangan homoseksual dan individu belum berkahwin mendapatkan perkhidmatan tersebut selepas undang-undang negara itu membenarkan prosedur itu pada 2002.

Sehingga kini, tiada angka rasmi berhubung jumlah sebenar hasil diperoleh daripada industri itu.

Bagaimanapun, hasil laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, perkhidmatan ibu tumpang di India mampu menjana hasil keuntungan secara anggaran AS$2.5 bilion (RM8 bilion) pada setiap tahun.

Pada masa ini, lebih 3,000 pusat ibu tumpang sedang beroperasi dan ribuan bayi telah dilahirkan hasil daripada prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) yang semakin popular di India.

Kesemua pusat terbabit turut menyediakan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan tersebut selain memberi panduan untuk persediaan mental selepas bersalin.


Sinar Harian

05 Mei 2014

Ramai rakyat hidap sakit mental

SESEORANG pesakit skizofrenia cenderung untuk mengalami halusinasi seperti mendengar suara-suara ghaib. - Gambar hiasan

BANGI – Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) mendedahkan bilangan rakyat negara ini yang menghidap penyakit mental yang serius kini berada pada tahap membimbangkan apabila secara purata tujuh orang daripada mereka didiagnos mengalami skizofrenia setiap hari.


Presiden MPA, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, ketika ini sebanyak 2,500 kes baharu dilaporkan pada setiap tahun tetapi beliau yakin masih ramai pesakit skizofrenia yang tidak dirujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan sewajarnya.
“Dijangkakan menjelang 2020, penyakit mental akan menjadi penyakit kedua terbanyak dalam kalangan masyarakat di negara selepas penyakit jantung.
“Dianggarkan lebih 25,000 pesakit tersebut tidak mendapat rawatan dan jumlahnya dijangka terus meningkat setiap tahun berikutan skizofrenia merupakan pesakit mental yang paling banyak mendapat rawatan di wad serta rawatan pesakit luar di hospital,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Hari Kesedaran Skizofrenia 2014 yang dirasmikan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar di Bangi Gateway di sini semalam.
KOSMO!

04 Mei 2014

Kembar 78 tahun berpisah akhirnya bertemu semula

ELIZABETH (kiri) teruja kerana bertemu semula dengan Ann selepas terpisah.
Hampshire: Sepasang kembar dipertemukan semula selepas terpisah sejak mereka masih bayi 78 tahun lalu.
Pasangan Ann Hunt dan Elizabeth Hamel dilahirkan di Aldershot, Hampshire pada 1936 dan dianggap Buku Rekod Dunia Guinness sebagai kembar paling lama terpisah sebelum bertemu semula.
Adik-beradik itu dilahirkan tukang masak, Alice Lamb yang menjalin hubungan tanpa kahwin dengan seorang askar.

Lelaki terbabit tidak pernah bertemu dengan Ann dan Elizabeth kerana selepas dilahirkan Alice cuba memberi anaknya kepada orang lain bagi mengelakkan dipulau masyarakat.
Bagaimanapun, sedikit kecacatan pada tulang belakang Elizabeth menyebabkan tiada siapa mahu menjadikannya anak angkat.
Keadaan itu menyebabkan Alice terpaksa menjaga sendiri Elizabeth.

Elizabeth kemudian berkahwin dengan lelaki AS dan berpindah ke Portland, Oregon.

Elizabeth berkata, dia memang tahu mempunyai saudara kembar yang lama terpisah tetapi sebaliknya Ann dimaklumkan perkara itu selepas “menggali” semula sejarah keluarganya dengan bantuan anak bongsunya, Samantha Stacey.
Selepas menghabiskan banyak masa mengkaji sejarah hidupnya, Ann mengetahui dia mempunyai kakak di AS dua tahun lalu.

Samantha berkata, dia dan Ann berjaya mengesan Elizabeth.

“Apa yang menarik, saya bukan saja menemui kakak ibu, tetapi Ann ialah kembarnya,” katanya.

Pasangan kembar itu bertemu 1 Mei lalu di Los Angeles, setahun selepas pertama kali bercakap melalui telefon.

Sementara itu Ann berkata dia sangat terharu kerana dapat menemui kembarnya semula. 

“Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya kini. Ia bagaikan mimpi,” katanya. 

Pasangan kembar itu dijemput ke Los Angeles oleh seorang pakar psikologi, Dr Nancy Segal yang akan menjalankan ujian bagi mencari persamaan dan perbezaan mereka dalam sesi selama dua hari itu.

“Kami ingin mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kehidupan, kebolehan, minat mereka dan mengumpulkannya sebagai satu kajian kes yang penting kerana ia adalah rekod perpisahan pasangan kembar paling lama di dunia,” katanya.
- Agensi

2,100 penduduk 'ditelan' bumi

PENDUDUK perkampungan Abi-Barik di wilayah Badakhshan di timur laut Afghanistan mencari anggota keluarga yang tertimbus di dalam kejadian tanah runtuh semalam. -Foto AP

Polis Afghanistan dan penduduk kampung memulakan usaha bahaya mencari sekurang- kurangnya 2,100 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan terpencil di timur laut negara itu, ketika kebimbangan kaki bukit yang tidak stabil mungkin runtuh lagi. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurangkurangnya 350 maut tetapi pegawai bimbang angka mungkin meningkat mendadak kerana kampung di wilayah Badakhshan, bersempadan dengan Tajikistan, ditimbus lumpur sehingga setinggi 100 meter. 


Mula pencarian 

Penduduk kampung dan berpuluhpuluh anggota polis, dilengkapi dengan cuma peralatan menggali asas, memulakan pencarian sebaik hari cerah semalam.



“Penduduk dari daerah sekitar Badakhshan dan Takhar bergegas ke kawasan berkenaan untuk membantu usaha pencarian. 

Setakat hari ini, tiada mayat ditemui,” kata timbalan ketua polis Badakshan, Kolonel Abdul Qadeer Sayad.

Beratus-ratus pondok musnah kelmarin apabila dua kejadian tanah runtuh, berpunca daripada hujan lebat, melanda kampung Argo. 


Ada juga kebimbangan sebahagian lagi kawasan kaki gunung akan runtuh ketika penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus.


BH

03 Mei 2014

Anjing dipenjara seumur hidup

Phoenix: Seekor anjing baka Pit Bull yang membaham seorang kanak-kanak tahun lalu, semalam dihukum penjara seumur hidup di tempat perlindungan yang dikendalikan di sebuah penjara dan di bawah pengawasan Syerif Wilayah Maricopa, Joe Arpaio.
Hakim Deborah Griffith memutuskan anjing bergelar Mickey itu perlu menghabiskan sisa hidupnya di tempat perlindungan berkenaan.
Pada 20 Februari, Kevin Vicente, empat, dibaham anjing itu, menyebabkan soket mata dan rahangnya cedera.
Akhbar Newsday melaporkan mangsa terpaksa menjalani pembedahan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun pada masa depan.
Aktivis hak asasi haiwan bertindak membela anjing berkenaan dan berkongsi imej Mickey dalam talian untuk menyelamatkan nyawanya.
Dalam media sosial, berita kejadian ini mendapat sambutan berbelah-bahagi.
Ada yang berpendapat Mickey perlu dibunuh dan sebahagian lagi berkata, langkah menyerahkannya kepada pusat perlindungan adalah lebih berperikemanusiaan.

- Agensi

02 Mei 2014

KDN Haramkan Novel 'Perempuan Nan Bercinta'


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan novel 'Perempuan Nan Bercinta' karya Faisal Tehrani kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.

KDN menyatakan Perintah Larangan itu berkuat kuasa pada 9 April lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh negara.

KDN mengeluarkan perintah larangan terhadap novel itu kerana ia mengandungi unsur mempertikai dan memperlekeh hadis diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah yang seolah-olah mendiskriminasi wanita, selain ia mendewakan Ahlul Bayt secara berlebihan.

Novel itu juga menafikan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab yang diterima selain mengandungi unsur seolah-olah ajakan menentang pihak berkuasa Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan alasan kebebasan bermazhab.

Menurut KDN, keputusan itu dibuat bagi menghalang cubaan menyuntik propaganda Syiah menerusi karya kreatif yag mungkin disasarkan kepada golongan akademik dan remaja.

"Ia juga mungkin boleh mendatangkan implikasi negatif dengan mengelirukan pegangan syariat Islam (Ahli Sunnah Wal Jamaah) umat Islam di negara ini dan memberi implikasi serius dari sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam di Malaysia.

"Pertembungan dua aliran antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah juga dikhuatiri boleh mencetuskan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam di kalangan umat Islam," kata KDN dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut KDN, larangan penerbitan itu adalah bertepatan dengan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996, yang antara lain memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Sehubungan itu, sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Novel berkenaan diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Bhd serta dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Bhd.


mStar Online

01 Mei 2014

Wanita Mati Ditikam Kenalan Lelaki, Cinta Ditolak

Anggota Unit Forensik membuat siasatan ke atas mayat suspek yang dikenali sebagai Jim, 40-an, yang mati akibat terjun dari rumahnya di tingkat 11 setelah dikejar pihak polis kerana disyaki membunuh teman wanitanya di Flat PKNS Sungai Way dekat Petaling Jaya, Rabu. Suspek jatuh di atas rumah pam air dan dipercayai membunuh teman wanitanya akibat konflik percintaan. Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Seorang tukang jahit wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian perut dipercayai dibunuh kenalan lelakinya di rumah wanita itu di Sungei Way, di sini Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 1 tengah hari yang menjumpai mangsa, 43, berasal dari Sabah.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang janda anak satu itu dipercayai mati ditikam suspek dengan menggunakan sebilah gunting," katanya.
Susulan kejadian itu, polis yang memburu suspek hasil maklumat daripada temu bual dengan beberapa saksi kejadian dan juga rakan mangsa, telah membawa kepada penemuan mayat suspek di sebuah flet di Kelana Jaya, di sini, 4 petang Rabu.
Menurut polis, suspek, 44, juga berasal dari Sabah itu dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 flet berkenaan.
"Sebaik polis tiba di lokasi kejadian (rumah suspek), mayatnya ditemui di bumbung stor flet itu.
"Suspek merupakan seorang ketua pengawal keselamatan,dipercayai hilang pertimbangan sehingga menikam wanita itu (mangsa) akibat cintanya ditolak," katanya.
Katanya, kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
mStar Online

30 April 2014

Minta cerai kerana suami kurus

Kuwait: Seorang lelaki obes mengambil keputusan menjalani pembedahan pintasan gastrik untuk menurunkan berat badannya bagi menggembirakan isteri barunya.
Namun, selepas kehilangan berat sebanyak 110 kilogram, isterinya memfailkan tuntutan cerai di mahkamah.
Wanita yang dirahsiakan identitinya itu memberitahu mahkamah dia bersetuju untuk mengahwini lelaki berkenaan kerana menyukai tubuhnya yang gemuk tanpa mengetahui dia menjalani rawatan perubatan untuk menurunkan berat badannya.
Katanya, dia tidak melihat suaminya untuk satu tempoh masa yang lama setelah mereka bersetuju untuk berkahwin.
Lelaki itu, menurut wanita berkenaan, tidak memberitahunya yang dia akan menjalani pembedahan pintasan berkenaan.
Selepas berkahwin, lelaki berkenaan buat pertama kalinya berjumpa isterinya dan masuk ke dalam bilik tidur ketika berbulan madu, wanita berkenaan berkata dia amat terkejut.
Menurut akhbar Al Watan, wanita itu memberitahu mahkamah: “Suami saya mempunyai berat 180 kilogram ketika saya mula mengenalinya. “Apabila kami melangsungkan perkahwinan dan masuk ke bilik tidur, saya amat terkejut. Dia telah kurus dan beratnya hanya 70 kilogram.” Akhbar itu memetik peguam wanita itu sebagai berkata kepada mahkamah: “Anak guam saya selalu ingin berkahwin dengan seseorang yang mempunyai bentuk badan istimewa. “Dia memberitahu saya dia impikan suami yang istimewa, yang akan membuatnya bahagia dan bangga.
“Tetapi apabila suaminya memasuki bilik, dia terkejut melihatnya dan hampa. “Dia berkata ketika melihat suaminya, segala impiannya musnah dan dia merasakan kehilangan zaman mudanya dan menjadi perempuan tua sekelip mata. “Dia sangat terkejut dengan paras suaminya dan benci melihat parut pembedahan pada badannya.” 
- Agensi

Port Mak Ngah Skodeng !