25 April 2014

Guna duit BR1M untuk berjudi

TERDAPAT segelintir penerima BR1M menggunakan wang tersebut untuk berjudi secara dalam talian. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak tercapai sepenuhnya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau kesal ramai penerima menggunakan bantuan itu untuk tujuan salah termasuk berjudi.
"Dapat sahaja BR1M, kafe siber di ibu kota ini penuh. Kenapa? Ramai yang pergi main judi (dalam talian).
"Kompleks beli-belah penuh, semua pergi shopping macam-macam yang tak patut," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Wilayah Persekutuan 2014 di sini semalam.
KOSMO!

24 April 2014

‘Puasa’ 10 tahun

Harare: Seorang lelaki memohon mahkamah membenarkan isterinya dihalau dari rumah kelamin mereka selepas didakwa gagal membenarkannya mengadakan hubungan seks sejak lebih 10 tahun lalu.
Godfrey Ruwande mendakwa isterinya Abigail Chingwa mula enggan melayan kemahuan batinnya sejak 2003. 
Ketika memberi keterangan di mahkamah semalam, Ruwande berkata, kali terakhir mereka mengadakan hubungan asmara adalah lebih 10 tahun silam. 

Memberi keterangan di depan majistret Gamuchirai Siwardi, Ruwande berkata, Abigail menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerjanya dan mula hilang nafsu untuk bersama di ranjang.
“Jika saya bertanya mengenai hubungan mereka, Abigail akan bertindak ganas dan memukul saya,” katanya.
Ruwande berkata, pada satu ketika - disebabkan terlampau tidak tahan - dia cuba memujuk Abigail dengan membelai tangannya. 

“Dia bukan saja menolak, malah memukul dan menghalau saya keluar dari bilik tidur kami,” katanya. 
Tidak cukup dengan itu, Abigail didakwa mengugut untuk membunuh Ruwande. 
Sejak ditimpa nasib malang itu, Ruwande berkata, sofa menjadi tempat tidur hariannya. 

Sesekali kata Ruwande, dia melihat Abigail saling berbalas mesej cinta dan romantik dengan lelaki terbabit. 

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Abigail sekeras-kerasnya. 

“Saya tidak pernah memukul Ruwande dan mesej yang didakwa itu sebenarnya salah faham. 

“Telefon saya dipinjam kakak dan dia menghubungi suaminya melalui mesej,” katanya. 

Sementara itu, Gamuchirai menolak permohonan Ruwande itu. 

“Jika benar kamu dipukul, kejadian hanya berlaku sekali dan sepatutnya kamu membuat laporan polis. 

“Isteri kamu tidak boleh dihalau dari rumah itu kerana ia rumah kelamin,” katanya.
- Agensi

23 April 2014

Adam AF, Fiza bakal bercerai ?

HUBUNGAN Fiza dan Adam difahamkan mulai dingin sebulan selepas pasangan itu diijab kabul pada September tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Mahligai yang dibina pasangan penyanyi program realiti popular, Adam dan isterinya yang merupakan bekas anggota kumpulan Elite, Fiza bakal berakhir selepas pasangan itu difahamkan akan bercerai.


Menurut sumber Kosmo!, sebutan kes penceraian pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sejak lapan bulan lalu akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 28 April ini.
"Kami difahamkan penceraian itu akan berlaku, kesnya akan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Muhammad Nazri Basrawi di mahkamah itu pada tarikh tersebut," dakwanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sebelum itu, Kosmo! difahamkan Fiza telah pun memfailkan perceraian ke atas suaminya pada 16 April lalu di mahkamah berkenaan atas sebab kurang persefahaman.
Desas-desus mengenai perpisahan antara Adam atau nama sebenarnya Mohd. Aizam Mat Saman, 31, dan Fiza, 33, bertiup kencang sejak kebelakangan ini selepas wanita itu kerap menyuarakan rintihan mengenai kegoyahan rumah tangga mereka di laman sosial.
Bagaimanapun, mereka berdua menafikan hal itu sebaliknya memilih jalan selamat dengan memaklumkan mereka masih bahagia.
Bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara tersebut, Adam ketika dihubungi tidak menafikan mengenai berita perceraian tersebut.
Ujarnya menerusi kiriman aplikasi Whatsapp kepada Kosmo!"Maaf saya tidak boleh komen. Insya-Allah, semua akan terjawab pada hari itu (tarikh kes difailkan di mahkamah Isnin depan)."
Dalam pada itu, atau Fiza atau nama penuhnya Zaidatul Fiza Abdul Halim yang mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu, gagal dihubungi.
Memetik luahan perasaan dalam Instagramnya yang menggunakan nama pena puterimahsuri81 kelmarin, penyanyi itu tanpa berselindung menyatakan kesedihannya.
Antara luahan yang dimuat naik: "Saya tahu dan pasti semua ini ketentuan daripada Allah. Siapa yang mahu untuk jadi begini. Kalau disoal pada sesiapa pun, tidak mungkin seseorang itu mahu menjalani kehidupan seperti saya.
"Hormatilah apa jua keputusan saya. Saya hanya merancang tetapi Allah lebih mengetahui segala-galanya."
Pasangan itu berkahwin 26 September 2013 di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas hanya dua bulan berkenalan.
KOSMO!


22 April 2014

Ubat gigi berperisa coklat?


UBAT gigi ini semestinya digemari kanak-kanak kerana ia diperbuat daripada coklat.

Menurut laporan DailyMail, ia dihasilkan firma penjagaan gigi Theodent, tidak menggunakan fluorida sebaliknya koko yang rasanya seperti puding.

Bahan dipatenkan digelar Rennou itu dikatakan selamat untuk ditelan.

Ubat gigi tersebut bukan sahaja membersihkan gigi tetapi mampu membina enamel yang boleh menjadikan gigi lebih kuat.

Produk tersebut dikeluarkan dua jenis iaitu ubat gigi biasa dan Theodent 300 dengan kandungan Rennou dengan rasa koko lebih berkrim yang dijual pada harga 61 pound (RM322).

Tidak kira apa jenis perasa, pakar pergigian tetap mengesyorkan supaya memberus gigi sebanyak dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida.


Sinar Harian

Lelaki rasa ditipu tembak teman wanita yang dikenali dalam Facebook


Jabalpur: Seorang lelaki India menembak mati seorang wanita yang dikenalinya dan jatuh cinta selepas menjalinkan hubungan menerusi Facebook selama tiga tahun, sebelum menembak dirinya sendiri. 

Vineet Singh, 22 bertemu Jyoti Kori, 45 seorang ibu mempunyai tiga anak melalui rangkaian sosial berkenaan sehingga membawa kepada bibit percintaan. 


Pertemuan pertama mereka bagaimanapun bertukar menjadi tragik apabila Singh marah selepas menyedari bahawa Kori menipunya selama ini menerusi Facebook dengan mendakwa beliau berusia 21 tahun dan masih belum berkahwin. 

Insiden berlaku di Marble Rock Waterfall di Jabalpur, Madhya Pradesh. Singh menembak dirinya sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah teman wanitanya itu. Lelaki terbabit mati di sebuah hospital tempatan. 

Menurut polis, Singh berasal dari Muzaffarnagar di negeri Uttar Pradesh dan tidak bekerja manakala Kori adalah seorang suri rumah tetapi adalah seorang pengguna Facebook. 

Vineet dalam keadaan berlumuran darah cuba mendapatkan bantuan daripada orang ramai di kawasan rekreasi terbabit. 

Pesuruhjaya polis di Jabalpur, Harinarayanachari Mishra berkata, kedua mereka berhubungan sejak tiga tahun lalu. 


Suami Kori yang bekerja sebagai kerani di jabatan kerajaan dan tiga anak mereka termasuk anak perempuan sulung mereka berusia 21 tahun tidak tahu mengenai hubungan rahsia wanita itu. 

Sepanjang perkenalan di laman sosial itu mereka tidak pernah bertukar gambar dan pertemuan Jumaat lalu adalah yang pertama bagi pasangan itu.


- Agensi


21 April 2014

Ditipu Rakan Suami,Berpantang dalam pondok buruk

Suriana bersama tiga anaknya terpaksa tinggal di pondok kecil itu bagi meneruskan kehidupan setelah ditipu rakan suami.

SABAK BERNAM – Seorang wanita dalam pantang tujuh hari terpaksa tinggal di sebuah pondok sempit di ceruk belakang sebuah restoran di sini, gara-gara ditipu rakan suaminya yang kononnya menjanjikan pekerjaan di Sabak Bernam.
 
Suriana Sufi, 24, berkata, dia yang baru bersalin anak ketiga Jumaat lalu, terpaksa hidup merempat bersama suami, Zameri Mohd Nor, 45 dan dua lagi anaknya di pondok itu yang sebelum ini digunakan pekerja restoran untuk menunaikan solat.
 
Menurutnya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori terpedaya dengan janji manis yang ditabur seorang rakan kira-kira empat bulan lalu hingga Zameri mengambil keputusan berhenti kerja.
 
“Dulu kami duduk Klang, tapi kawan suami ajak kami tinggal dekat Sabak Bernam sebab dia cakap banyak kerja dekat sini, tapi bila sampai sini semuanya berubah,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Lebih mengecewakan Suriana berkata, sehingga kini rakan suaminya itu menghilangkan diri dan gagal dihubungi hingga memaksa suaminya itu bekerja mengambil upah mengikut kontraktor membuat rumah.
 
“Pendapatan pun tentu, kadang-kadang dia terpaksa kerja dekat restoran, kami pula terpaksa hidup dalam pondok ini sejak tiga minggu lalu sebab tak ada duit,” katanya.
 
Menurutnya, sebelum ini dia menyewa sebuah rumah kampung di Batu 40 Sabak Bernam, namun rumah terbabit yang turut dihuni warga asing itu diserbu Jabatan Imigresen hingga memaksa rumah itu dikosongkan.
 
“Masa mula sampai sini, kami sewa rumah itu RM150 sebulan dan sempat tinggal lebih kurang tiga bulan sahaja sebelum diarahkan pindah.
 
“Nasib baik ada kawan suami yang kerja dekat restoran cadangkan pondok ini jadi tempat berteduh kami, kalau tak kami pun tak tahu macam mana nasib kami,” katanya.
 
Suriana berkata, walaupun tidak selesa tinggal di situ, tetapi dia tetap bersyukur kerana pemilik restoran membenarkan mereka tinggal di pondok itu, namun tetap berharap agar nasib mereka mendapat perhatian pihak berwajib.
 
“Semalam (kelmarin) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang melawat kami di pondok ini, mereka suruh kami buat permohonan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
 
“Saya amat harap sangat bantuan LZS untuk bantu ringankan beban kami, terutama dalam keadaan anak saya yang masih kecil.
 
“Walaupun dapat berlindung daripada hujan panas, tapi kami perlu juga rumah yang lebih selesa. Saya pula masih dalam pantang, keraplah ke bilik air, pondok ini pula tak ada tandas, terpaksa kami tumpang mandi dan buang air dekat restoran ini,” katanya.

Sinar Harian

20 April 2014

Bayi maut tertelan skru

Yusmadi Yusof, 32, dan Nor Faizah Mat Deris, 23, menunjukkan imej bayi mereka yang maut tertelan skru.
BESUT: Seorang bayi berumur lapan bulan meninggal dunia akibat tertelan skru sepanjang dua sentimeter di rumahnya di Felda Selasih, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian, Muhammad Adam Nazmi Yusmadi dikatakan sedang bermain di dalam rumah bersama dua abangnya berumur lima dan tiga tahun. 
Ketua Polis Daerah Besut Supritenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian disedari oleh abang mangsa berumur 5 tahun yang memberitahu datuknya yang berada di luar rumah setelah melihat adiknya itu tidak sedarkan diri selepas muntah-muntah. 

Kamaruddin berkata, ketika kejadian ibu mangsa sedang mandi manakala datuk dan neneknya sedang membuat kerja masing-masing di sekitar rumah mereka.
“Apabila menyedarinya, mereka mengejarkan mangsa ke Hospital Daerah Besut tanpa mengetahui ia telah tertelan skru," kata Kamaruddin kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia setibanya di hospital. 

Kamaruddin berkata, mangsa dan ibu bapanya tinggal bersama datuk dan neneknya sejak beberapa tahun lalu di Felda berkenaan. 

Pemeriksaan pihak hospital kemudiannya mengesan sebatang skru sepanjang dua sentimeter terlekat di kerongkong kanak-kanak berkenaan, yang kemudian berjaya dikeluarkan. 

Mengesahkan hal itu, Pegawai Perubatan hospital, Dr Nur afi’dah M. Zulkepli berkata, skru itu menyekat aliran udara (nafas) mangsa di kerongkong. 

Kamaruddin berkata, pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian.

Mayat mangsa dituntut oleh datuknya kira-kira jam 6.30 petang semalam. - Bernama
Harian Metro

Budak cemerlang SPM tekad jual air

Nurfaizah (berdiri, tengah) bersama rakan lain.

SELAMA - Tiga pelajar perempuan yang mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu terpaksa menjalankan perniagaan sampingan bagi membolehkan mereka mengumpul duit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Nurfaizah Jamaluddin, 17, dari Kampung Sungai Buluh berkata, selepas mendapat keputusan SPM, dia dan beberapa rakan lain ke Kulim dan kawasan Perindustrian Prai untuk mencari pekerjaan bagaimanapun dinasihatkan supaya menyambung pelajaran dan tidak bekerja.

Setelah gagal memperoleh sebarang pekerjaan, timbul keinginan untuk menjalankan perniagaan sendiri.


Walaupun secara kecil-kecilan, namun mendapat sambutan.

Menurutnya, semua ini dilakukan untuk membantu mengurangkan bebanan bapanya yang masih menyekolahkan beberapa adik beradik lain.

“Saya bersama dua rakan lain, Nurul Ashyikin Rosli dari Kampung Sungai Kasai dan Husna Nabillah Mohd Nor mengambil keputusan untuk menjual air, mi dan makanan ringan.

"Kami menjalankan perniagaan ini dengan menggunakan wang simpanan kami selama ini.

Walaupun perniagaan yang kami jalankan ini secara kecilan, ia tetap mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan termasuk penduduk kampung.

"Kami berharap dengan cara ini, kami dapat mengumpul sedikit wang untuk membayar kos pembelajaran ketika mendaftarkan diri ke universiti nanti,” katanya.

Sinar Harian

Mudah naik angin jika gula rendah

Paras gula yang stabil amat penting bagi mengekalkan kebahagiaan di dalam perkahwinan. - Foto hiasan

Washington: Gejala gula rendah dalam darah tidak baik untuk perkahwinan kerana ia menyebabkan pasangan lebih cenderung untuk marah dan bertindak kasar, menurut kajian terbaharu yang diterbitkan pada Isnin lalu. 

Penemuan itu dilakukan ke atas 107 pasangan berkahwin yang diminta untuk memantau paras glukosa dalam darah sebelum sarapan pagi dan tidur, setiap hari selama 21 hari. 


Sebagai tambahan, penyelidik turut memberikan mereka patung vodoo mewakili kepentingan mereka bersama dengan 51 batang jarum. Mereka diarahkan untuk mencucuk patung menunjukkan perasaan marah mereka terhadap pasangan secara rahsia. 

Kajian mendapati pasangan dengan kandungan darah yang rendah mencucuk lebih banyak jarum terhadap patung pasangan mereka. 

“Apabila darah mereka mempunyai paras glukosa rendah, mereka berasa marah dan melepaskannya terhadap patung yang mewakili pasangan mereka,” kata ketua penulis penyelidikan, Brad Bushman dari Universiti Ohio State. 

“Sehinggakan mereka yang melaporkan hubungan baik dengan pasangan masing-masing turut cenderung melepaskan kemarahan jika paras glukosa mereka rendah,” katanya. 

Dibawa ke makmal 


Menerusi kajian itu, pasangan terbabit dibawa ke makmal dan diasingkan dalam bilik berlainan. Mereka diarahkan untuk bermain permainan komputer menentang pasangan masing-masing. 

Setiap kali mereka menang, mereka disuruh untuk membuat keputusan mengenai berapa kuat bunyi yang akan didengar pembesar suara pasangan mereka serta berapa lama. 

Ia sebenarnya tidak berlaku dan mereka juga tidak bermain menentang pasangan masing-masing tetapi menentang komputer yang membenarkan mereka menang 50 peratus pada setiap masa. 

Walaupun begitu, keputusan menunjukkan mereka dengan purata kandungan gula sebelah petang yang rendah ‘menghantar’ bunyi yang lebih kuat dan lebih panjang kepada pasangan masing-masing. 

Selain itu, analisa lanjut dilakukan bagi mendapati mereka yang lebih banyak mencucuk patung dengan jarum lebih cenderung menghantar suara lebih kuat dan lebih panjang. 

“Kami menemui kaitan jelas antara tindak balas agresif yang dapat dilihat pada anak patung dan kelakuan agresif realiti,” kata Bushman. 

Beliau menambah, glukosa bertindak sebagai tenaga kepada otak atau organ yang menggunapakai 20 peratus kalori walaupun ia hanya mewakili dua peratus berat badan. 

Kawalan diri sendiri diperlukan bagi menguruskan kemarahan dan tindak balas agresif memerlukan tenaga. Sebahagian daripada tenaga itu dibekalkan oleh glukosa, katanya.


 - AFP(BH)

Remaja perempuan maut disimbah asid lelaki misteri

Penampang: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas dipercayai disimbah asid oleh seorang lelaki bertopeng di sebuah restoran di Towering, Jalan Penampang, di sini, kira-kira 4.30 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa bersama dua rakannya sedang memesan makanan di sebuah restoran apabila tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topeng terus menyimbah cecair dipercayai asid ke muka mangsa.
Mangsa yang menggelupur kesakitan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh dua rakannya dan disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan pada 11.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Foto
MANGSA disimbah asid ketika sedang pesan makanan bersama rakannya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Port Mak Ngah Skodeng !