06 Mac 2014

Bahaya minuman tenaga


LONDON 5 Mac - Orang ramai yang gemarkan air tenaga yang tinggi kafein, diminta supaya berwaspada selepas satu kajian mendapati minuman itu mampu mengubah kadar denyutan dan meningkatkan potensi diserang penyakit jantung.

Menurut kajian oleh penyelidik dari Universiti Bonn di Jerman, orang dewasa yang sihat dan minum minuman tenaga tinggi kafein, akan mengalami peningkatan kadar denyutan jantung sejam selepas pengambilan air tersebut, lapor Daily Mail.

Penyelidik Jerman itu membuat kajian terhadap kesan meminum air yang mengandungi kafein dan taurine (asid amino) ke atas 18 golongan dewasa sihat dengan purata usia 27.5 tahun.

Setiap responden kemudiannya menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) jantung sebelum dan sejam selepas meminum air tenaga yang mengandungi taurine, (400 miligram /100 mililiter) dan kafein (32 miligram/100 mililiter).

Selepas minum air itu, setiap responden mengalami kemuncak peningkatan tekanan dan denyutan pada rongga kecil di kiri jantung, bahagian yang menerima darah beroksigen daripada paru-paru dan mengepamnya ke saluran besar dalam sistem salur nadi dan membekalkannya ke seluruh bahagian badan.

“Sehingga kini, kami masih belum mengetahui secara tepat kesan minum air tenaga ini kepada fungsi jantung.
“Kami juga tidak mengetahui bagaimana peningkatan kadar denyutan jantung mempengaruhi aktiviti seharian atau prestasi aktiviti sukan.

“Kami memerlukan kajian tambahan bagi memahami mekanisme tersebut dan menentukan jangka masa kesan minum air tenaga itu akan berakhir,’’ katanya.

SUMBER


[Video] Peraga 51 GRO atas pentas

WANITA warga asing yang ditahan di pusat hiburan.

Kuala Lumpur: Seramai 51 pelayan wanita (GRO) warga asing dan tiga anggota geng kongsi gelap ‘08’ serta seorang suspek dikehendaki sejak 10 tahun lalu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, semalam.
Dalam Op Cantas Khas bermula jam 11.45 malam itu, sepasukan polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menyerbu bekas dewan gelanggang badminton yang diubah suai menjadi kelab malam itu.
Ketika diserbu, kebanyakan pelanggan tidak menyedari kehadiran polis selepas khayal melihat puluhan wanita yang diperagakan ala ‘cat walk’ di pentas disediakan.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, wanita itu dipercayai diperagakan di atas pentas sebelum dipilih pelanggan dengan memberikan kalungan bunga dengan harga RM50.

Katanya, sebaik dipilih, wanita terbabit akan turun dari pentas untuk melayan pelanggan mereka di samping pelanggan itu juga perlu membelinya minuman dengan harga RM50.
“Semua 51 GRO warga asing berusia 20 hingga 30 tahun itu terdiri daripada 43 warga Thailand selain enam warga China dan dua warga Vietnam. 

“Mereka ditahan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi, semalam.

Menurutnya, tiga anggota geng 08 berusia lewat 30-an yang ditahan pula dipercayai menerima bayaran daripada pengusaha pusat hiburan itu sebagai pengawal pintu masuk dan dikenal pasti sebagai anggota kongsi gelap melalui tatu pada badan mereka.

“Buat masa ini, kita sedang menyiasat lebih lanjut mengenai pembabitan mereka dalam kegiatan kongsi gelap selain menyemak rekod sekiranya ada terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah.

“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang dikenal pasti sebagai suspek dikehendaki berhubung kes jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 324 dan 326 Kanun Keseksaan iaitu menyerang dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Sementara itu, Roslee berkata, serbuan itu yang kedua membabitkan kelab hiburan sama. Sebelum ini, kelab berkenaan pernah diserbu pada 17 Januari lalu.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras dan mencegah jenayah.
myMetro

05 Mac 2014

Kad Kahwin Syamsul dan Syafiq Yusof Menyusul Dua Minggu Lagi

PETALING JAYA: Persiapan majlis resepsi anak kepada pengarah filem Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq yang akan dilakukan secara serentak pada 18 April depan berjalan lancar dan hampir selesai.
Ibu kepada kedua-dua selebriti tersebut, Datin Patimah Ismail berkata, kad undangan akan mula diedarkan dalam tempoh dua minggu lagi.
"Alhamdulillah semuanya persiapan berjalan dengan lancar, tinggal beberapa perkara sahaja termasuk kad undangan yang masih belum siap lagi.
"Kad jemputan ditempah di Jakarta, Indonesia dan belum lagi sampai, Insya-Allah lagi dua minggu kita akan edarkan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Syamsul dan Puteri Sarah bakal disatukan pada 8 Mac ini.
Tambah Fatimah, majlis menyambut tetamu akan diadakan secara sederhana di Dewan Perdana Felda dengan bertemakan putih dan merah jambu dengan busana rekaan Alia Bustamam.
Sementara itu majlis resepsi Puteri Sarah Liyana akan diadakan pada sebelah selepas akad nikah pada 8 Mac ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bertemakan Islamic Arabian Night.
"Semasa hari pernikahan dan majlis resepsi pengantin perempuan nanti Syamsul hanya pakai jubah kerana dia yang minta untuk pakai pakaian itu.
"Manakala majlis menyambut menantu pula bertemakan warna putih dan merah jambu," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang penaja, kata Patimah, mereka tidak mengambil mana-mana penaja untuk majlis resepsi tersebut.
Manakala Syafiq dan Aiesyah akan bernikah pada 5 April 2014.
Perkara tersebut juga atas permintaan Syamsul yang mahu majlis berjalan dalam keadaan yang sederhana.
"Memang ada pihak yang mahu menaja majlis ini, namun Syamsul sudah beritahu awal-awal bahawa dia mahu majlis tersebut dilakukan oleh keluarga tanpa sebarang tajaan," katanya.
Syamsul bakal diijabkabulkan dengan aktres Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac ini di Masjid Sri Damansara kira-kira pada pukul 10 pagi.
Manakala, majlis pernikahan Syafiq dengan tunangnya, Aiesyah Zainal pula akan diadakan pada 5 April depan iaitu kira-kira sebulan selepas pernikahan Syamsul.
mStar Online

04 Mac 2014

Singapura Disenarai Bandar Paling Mahal Di Dunia

PETALING JAYA: Jika anda fikir tinggal di Paris, London, Tokyo atau New York adalah mahal, tunggu sehingga anda menyeberangi tambak Johor!
Rakyat Malaysia berkemungkinan besar akan berfikir dua kali sekarang sebelum bercuti di Singapura selepas 'The Economist Intelligence Unit' (EIU) menyenaraikan republik itu sebagai bandar yang paling mahal di dunia untuk didiami.
Dalam laporan kajian dwi-tahunan 'Worldwide Cost of Living 2014, kos hidup di bandar raya itu semakin meningkat dari 10 tahun lalu apabila ia telah disenaraikan sebagai ke-18 yang paling mahal.
"Sejak sedekad yang lalu, 40 peratus kenaikan mata wang, ditambah pula dengan kadar inflasi harga yang kukuh, telah secara konsisten menolak Singapura ke ranking teratas," kata laporan itu.
Untuk meletakkan sesuatu harga ke dalam perspektif, kos pengangkutan di Singapura adalah hampir tiga kali ganda daripada New York, bandar yang paling mahal di Amerika Utara.
Laporan itu juga menjelaskan bahawa pergantungan pulau itu terhadap negara-negara lain bagi keperluan asas seperti tenaga dan air telah menyebabkan perlambungan kos utiliti.
Sembilan bandar lain yang menduduki tempat teratas dalam senarai paling mahal di dunia itu ialah Paris, Perancis (kedua); Oslo, Norway (ketiga); Zurich, Switzerland (keempat); Sydney, Australia (kelima); Caracas, Venezuela (keenam); Geneva, Switzerland (ketujuh); Melbourne, Australia (kelapan); Tokyo, Jepun (kesembilan) dan Copenhagen, Denmark (10).
Bagi mereka yang mempunyai bajet terhad, ini adalah masa untuk melawat Mumbai yang dikatakan menjadi bandar yang paling murah.
Bandar-bandar lain yang disenaraikan sebagai 10 paling berpatutan adalah Karachi, Pakistan, New Delhi, India, Damsyik, Syria, Kathmandu, Nepal, Algiers, Algeria, Bucharest, Romania, Panama City, Panama dan bandar-bandar Arab Jeddah dan Riyadh.
Sumber

Syamsul Yusof Masuk Wad Suspek Demam Denggi

Syamsul Yusof
PETALING JAYA: Pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30 kini ditahan di Pusat Perubatan Gleneagles, dekat sini, selepas disyaki menghidap demam denggi.
Ibunya, Datin Patimah Ismail berkata, dia membawa Syamsul ke hospital pagi Selasa selepas mengadu sakit kepala dan demam teruk sejak dua hari lalu.
"Saya bawa Syamsul ke hospital pagi tadi lepas dia mengadu sakit kepala dan suhu badan dia sangat panas.
"Pada mulanya saya ingat hanya demam biasa sahaja, tapi bila sudah dua hari demamnya semakin teruk, saya terus bawa dia ke hospital dan doktor syak ia mungkin demam denggi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Tambah Patimah, buat masa ini doktor masih lagi membuat pemeriksaan lanjut selepas mengambil contoh darah anak lelakinya itu untuk mengetahui penyakit sebenar.
Sementara itu, Patimah memberitahu, Syamsul sempat berjenaka akan bernikah di hospital jika keadaannya masih belum sihat pada hari pernikahannya yang bakal berlangsung 8 Mac ini.
"Setakat ini doktor masih belum buat pengesahan rasmi tentang penyakit ini dan baru sahaja ambil darah untuk pemeriksaan lanjut.
"Syamsul juga ada berseloroh untuk bernikah di hospital jika keadaan belum sihat menjelang hari pernikahannya nanti," ujarnya.
Patimah turut meminta peminat turut mendoakan agar kesihatan anaknya kembali pulih secepat mungkin.
Syamsul Yusof dan tunangnya, Puteri Sarah Liyana dirancang akan bernikah pada 8 Mac ini di masjid Sri Damansara di sini pada pukul 10 pagi.
mStar Online

03 Mac 2014

Gara-gara cemburu, suami pukul dan bakar isteri


KOTA BHARU: Gara-gara cemburu selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, seorang lelaki bertindak menyimbah isterinya dengan petrol sebelum membakar wanita itu. 

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam di luar rumah mangsa di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, wanita berumur 30 tahun itu melecur di muka dan kedua-dua tangan dan kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Superintendan Idris Rafar berkata, sebelum kejadian, mangsa juga dipukul dan ditampar suaminya sebelum bertindak mencurah petrol dan membakar isterinya itu. 

"Suspek bagaimanapun melarikan diri selepas menyedari kedatangan anggota keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Polis sedang mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan, katanya. 


- BERNAMA

'Guru Disiplin' Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Didakwa Cabul Penghuni

Pusat penjagaan kanak-kanak yang dikatakan menjadi tempat penderaan mental dan seksual terhadap kanak-kanak perempuan dan lelaki di Taman Abad, Johor Baru.
JOHOR BAHRU: Polis sedang menyelesaikan laporan penderaan seksual dan fizikal yang mengejutkan di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Taman Abad di sini yang didaftarkan sebagai sebuah tadika tetapi beroperasi sebagai asrama.
Guru disiplin pusat tersebut, yang merupakan seorang lelaki Afrika dalam usia lingkungan 40-an dikatakan telah melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berumur antara empat dan tujuh tahun.
Dua daripada kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di rumah itu juga didakwa melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang lebih muda.
M.Letchumy, 39, yang telah berhenti daripada berkhidmat sebagai pembantu di pusat itu baru-baru ini selepas bekerja di sana sejak November tahun lepas berkata 'guru disiplin' terbabit mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak perempuan apabila dia datang ke situ semasa waktu makan tengahari.
"Dia akan membawa mereka ke satu tempat, mencium bahagian bibir dan pipi dan menodai mereka," katanya sambil menambah dia telah membuat laporan polis pada 28 Februari lalu.
Katanya, dia melihat sesuatu yang tidak kena dengan kanak-kanak perempuan di situ pada Disember dan cuba mendekati mereka tetapi mereka enggan memberitahunya apa yang telah berlaku.
"Mereka hanya menceritakan perkara sebenar selepas berulang kali jaminan diberikan bahawa mereka tidak akan dihukum.
"Sesetengah daripada mereka memberitahu ibu bapa mereka bahawa guru terbabit telah mencium muka dan dada mereka serta menyentuh bahagian sulit mereka sehingga merah dan bengkak," tambahnya.
Letchumy mendakwa bahawa dua kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di rumah itu juga telah memaksa kanak-kanak di situ yang lebih muda melakukan seks oral ke atas mereka.
Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang telah tinggal di rumah tersebut sebelum ini berkata dia telah diminta melakukan perbuatan seksual untuk mereka yang dipanggil 'abang yang lebih tua'.
"Penderaan ini berlaku dengan kerap. Mereka akan mengejut saya pada waktu tengah malam dan membawa saya ke tempat tidur mereka dan memaksa saya untuk melakukannya.
"Pada mulanya saya takut dan enggan tetapi mereka mengancam untuk memberitahu guru dan memberi amaran bahawa saya akan dirotan," katanya.
Saudara kandungnya yang berusia 11 tahun yang juga tinggal di rumah itu berkata kedua-dua kanak-kanak lelaki itu turut menyuruh kanak-kanak lelaki dan perempuan yang lebih muda mengikut kehendak mereka.
"Pada satu malam, saya melihat salah seorang daripada mereka membawa adik saya ke katilnya. Mereka melindungi diri dengan selimut. Apabila saya memberitahu guru pada keesokan hari, saya diminta untuk berdiam diri, jika tidak, saya akan dihukum," katanya.
Menurut Letchumy, kebanyakan ibu bapa kanak-kanak di situ bekerja di Singapura dan hanya datang melawat mereka pada hujung minggu.
Dia berkata ibu bapa membayar purata RM600 bagi setiap kanak-kanak yang dihantar ke situ yang telah didaftarkan sebagai sebuah tadika.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tiga kertas siasatan dibuka bagi siasatan kes itu.
"Laporan tersebut disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. Kami akan memberikan keutamaan kepada apa-apa yang melibatkan kebajikan dan penjagaan kanak-kanak," katanya.
mStar Online

02 Mac 2014

Badan bayi 8 bulan melecur akibat alahan ubat

Khairul Nizam dan Shazira mememegang anak mereka yang melecur akibat alahan ubat

ALOR SETAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Begitulah penderitaan dialami Muhammad Nasrullah, bayi lapan bulan apabila tubuhnya melecur hampir satu badan didakwa akibat alahan ubat yang diberikan ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

Hati hiba, apabila mendengar tangisannya tak kira masa akibat menanggung kesakitan apabila kulit pada bahagian tertentunya mengelupas hingga menampakkan bahagian isi seolah-olah terkena minyak panas.

Bapanya, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, berkata,  mereka hanya mampu berendam air mata terutamanya sewaktu memandikan Nasrullah di kediaman mereka di Taman Stadium, dekat sini, kerana dilihat terlalu menderita.

“Anak sulung kami hanya tidak menangis apabila tidur. Itupun, dia tidur dalam keadaan tidak nyenyak. Adakalanya dia mengerang kesakitan. Bayangkan, tubuh kecil perlu menanggung beban sedemikian.

“Malah, ada ketika air susu diminumnya dimuntahkan semula, sedangkan sebelum ini Nasrullah sihat seperti bayi seusianya. Badannya didapati melecur selepas menggunakan ubatan dari sebuah klinik swasta,” katanya.

Khairul Nizam berkata, dia pergi ke klinik swasta terbabit untuk mendapatkan rawatan ruam anaknya pada 16 Februari lepas dengan harapan supaya cepat sembuh, namun keadaan sebaliknya berlaku.

“Tidak sangka. Anak bukan sahaja tidak sembuh. malah badan Nasrullah menjadi melecur dan kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat sapu dan makan diterima dari klinik berkenaan,” katanya.


KHAIRUL mendukung Nasrullah yang melecur 100 peratus akibat tersalah ubat yang diberikan doktor ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta.


Bagaimanapun, katanya keadaan badan anaknya bertambah serius dari hari ke hari sehingga membuatkan mereka membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani pemeriksaan pada 25 Februari lalu.

Katanya, anaknya dirawat selama tiga hari di hospital untuk rawatan selanjutnya, sementara doktor pakar mengesahkan anak mereka alahan pada ubat yang diberikan selepas melakukan ujian.

Ibunya, Nur Shazira Mohd Salleh, 23, berkata, anaknya terpaksa bergantung kepada tujuh jenis ubat dari hospital demi mengurangkan kesakitannya, malahan Nasrullah perlu dimandikan dengan sejenis ubat.

Katanya, anaknya bukan hanya tidak boleh tidur, bergerak dan berpakaian seperti biasa, malah perlu tidur di tempat berhawa dingin untuk mengelak kulitnya tidak kering dan mengelupas lebih teruk lagi.

Justeru, Shazira berkata, mereka sekeluarga sentiasa berdoa agar keadaan Nasrullah sembuh segera.

Mereka suami isteri sedih dan sudah tidak tahan melihat keadaan anak sulung mereka itu.

Khairul Nizam membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berhubung kejadian itu.


Sinar Harian

01 Mac 2014

Akibat kahwin Lelaki Muda,Suami buat saya macam mesin ATM

NIA derita kerana terpaksa menanggung beban hutang suami.

KUALA LUMPUR - "Berkahwin dengan lelaki muda satu kesilapan besar dalam hidup saya.

"Hampir sedekad berkahwin, segala makan minum termasuk pinjaman kereta dan rumah saya bayar, pendek kata dia buat saya macam mesin ATM (mesin pengeluar wang automatik)."
Demikian keluhan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nia, 38, yang menceritakan kekesalannya mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang seolah-olah mengambil kesempatan ke atasnya kerana dirinya bergaji besar.
Cerita Nia yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia perbankan, dia mula merasakan perkahwinannya bermasalah selepas suaminya berhenti kerja ketika dia baru melahirkan anak pertama.
"Alasan dia berhenti kerana mahu cari kerja yang setaraf dengan saya namun semua misinya untuk bergaji lebih daripada saya tak kesampaian hingga saya mengandung anak ketiga," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
KOSMO!


PELAKON KOMEDI SYANIE HISHAM SAH BERNIKAH

SYANIE pada majlis akad nikah di sebuah hotel di Langkawi.
Langkawi: Pelakon komedi wanita Syanie Hisham, 39, sah bergelar isteri kepada Nadi Putera Mohammad Zainol, 27, dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang berlangsung di Sandy Beach Resort, di sini, pagi ini.
Pernikahan kali kedua bagi Syanie disempurnakan bapanya sendiri, Hisham Abd Rahman, 63, pada jam 11.27 pagi ini manakala khutbah nikah disampaikan Pegawai Agama Daerah Langkawi, Syeikh Nor Ismardi Ismail.
Harian Metro

Port Mak Ngah Skodeng !