PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan meluahkan rasa syukur apabila kekasihnya, Zarema Zainal yang bakal dikahwininya pada Mac depan mendapat restu keluarga.
Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata, dia percaya restu keluarga merupakan perkara yang sangat penting kerana ia menjamin masa depan perhubungannya bersama bakal isteri.
"Alhamdulillah, keluarga merestui perhubungan saya dan Zarema, itu perkara penting bagi pasangan yang ingin berkahwin.
"Saya tak mahu perkara lama (perkahwinan tanpa restu) berulang lagi. Insya-Allah kami akan berkahwin pada Mac depan," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.
Bagaimanapun tambah Aidil tiada sebarang persiapan perkahwinan yang dibuat lagi, malah tarikh perkahwinan juga belum ditetapkan.
Dalam pada itu, Aidil berkata dia berharap perkahwinan kedua ini akan kekal selamanya dan pada masa sama ingin mengubah diri menjadi seorang suami yang lebih bertanggungjawab.
"Bak kata orang, pengalaman mengajar kita. Begitu juga dengan saya, segala kekurangan saya dalam perkahwinan terdahulu, saya ingin memperbaikinya pada perkahwinan akan datang agar dapat menjadi seorang suami yang baik.
"Yang penting untuk perkahwinan ini, suami dan isteri perlu menjaga hati dan perasaan masing-masing agar tiada pihak yang terasa hati. Doakan jodoh kami, Insya-Allah," ujarnya.
Aidil t sah bercerai talak satu dengan aktres Rita Rudaini pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.
Ikatan perkahwinan pasangan itu terlerai selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Aidil kepada Rita menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 4 Ogos lepas.
Hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.
Kredit : mStar Online