29 Januari 2015

Guru dibenar bawa pistol ke sekolah ?

Para guru diberi latihan cara untuk mengendalikan senjata api oleh polis.

Guru di barat laut Pakistan dibenarkan untuk membawa pistol ke sekolah susulan serangan berdarah yang dilancarkan pejuang Taliban dan meragut kira-kira 145 nyawa di bandar Peshawar pada bulan lalu.

Menteri Pendidikan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Atif Khan memberitahu mereka akan memberikan permit kepada guru yang mahu membawa senjata api.

Difahamkan, pihak berkuasa sudah mula memberi latihan berkaitan prosedur dan cara untuk mengendalikan pistol kepada para guru sejak minggu lalu.

Menurut Press TV, dalam satu kenyataan lain, Menteri Maklumat, Mushtaq Ghani turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa langkah tersebut terpaksa diambil kerana kekurangan anggota polis untuk memberi kawalan keselamatan kepada institusi pendidikan di wilayah terbabit.

"Bilangan anggota tidak mencukupi untuk memantau kira-kira 35,000 sekolah, kolej dan universiti di seluruh wilayah ini," jelasnya.

Kerajaan dilaporkan telah mengetatkan kawalan keselamatan termasuk membina pagar kawat berduri di sekolah di seluruh negara bagi menangkis sebarang bentuk serangan yang mungkin dilancarkan Taliban pada masa akan datang.


SH

28 Januari 2015

Budak 12 tahun curi rantai AS$4.6 juta

SEDUTAN rakaman kamera keselamatan ini menunjukkan seorang budak perempuan yang disyaki mencuri satu rantai berlian dengan tenang keluar dari sebuah kedai emas di Tsim Sha, Hong Kong baru-baru ini.

Pihak polis sedang memburu satu kumpulan yang didapati menggunakan seorang budak perempuan berusia 12 tahun untuk mencuri seutas rantai berlian bernilai AS$4.6 juta (RM16.57 juta) di sebuah kedai emas di sini.
Kumpulan itu yang dianggotai dua wanita dan seorang lelaki bersama kanak-kanak berkenaan dilaporkan masuk ke sebuah kedai emas di sebuah kawasan beli-belah di Tsim Sha di sini pada Jumaat lalu.
Tiga suspek tersebut kemudian mengalihkan perhatian pekerja kedai emas berkenaan dengan berpura-pura mahu membeli beberapa barangan kemas sebelum kanak-kanak itu mencuri kunci dan mengambil satu rantai berlian yang dipamerkan.
Seorang jurucakap polis berkata, kanak-kanak perempuan tersebut mengambil satu kunci di dalam laci dan membuka satu kabinet kaca sebelum memasukkan seutas rantai berlian ke dalam poketnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek berpakaian seperti orang kaya dan kegiatan jenayah itu dilihat sangat terancang.
“Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu dengan tenang keluar dari premis berkenaan sebelum diikuti oleh ketiga-tiga suspek dewasa.
“Pekerja kedai emas itu hanya menyedari rantai berkenaan hilang kira-kira dua jam selepas kumpulan tersebut beredar,” katanya.
 – Agensi(kosmo!)


27 Januari 2015

Zoo tawar khidmat URUTAN ULAR


SEBUAH zoo menawarkan perkhidmatan 'mengurut' bagi mereka yang sudi menghulurkan derma kepada organisasi itu bagi menanggung kos operasi.
Jika anda berasa tertekan, anda boleh melegakannya dengan mengambil khidmat mengurut otot secara mendalam, yang dilakukan oleh ular besar yang boleh membawa maut.
Para pengunjung di Zoo Cebu City di Filipina boleh menikmati urutan altenatif itu, yang dilakukan oleh empat ekor ular sawa yang akan melingkari badan anda.
Layanan itu akan ditawarkan kepada mereka yang sudi memberikan sumbangan derma yang akan digunakan sebagai perbelanjaan kos operasi zoo.
Khidmat mengurut itu merupakan antara perniagaan di zoo itu, membabitkan beberapa ular sawa sepanjang lima meter, dengan gabungan berat kesemuanya 250 kilogram.
Khidmat 'urutan' ular ini telah ditawarkan di zoo berkenaan sebelum ini, dan ia kembali diperkenalkan di atas permintaan ramai.
Pengurus zoo berkenaan, Giovanni Romarate berkata: "Pada mulanya, para pengunjung berasa takut tetapi kebanyakan mereka yang mencuba urutan ular itu mengatakan mereka menyukainya." - mirror.co.uk

24 Januari 2015

Ramai tak Kenal Siapa Zamani SLAM ni ?

Zamani SLAM

SETELAH beberapa hari kisah sahabatnya, Zamani menjadi buah mulut gara-gara penyebaran video menyanyi sambil tangan bergari, Shah Slam tampil berkongsi rahsia yang tidak diketahui ramai.

Melalui kemaskini status Facebooknya semalam‎, Shah dipetik berkata: "Mungkin ramai dah tahu satu keburukan dari diri Zamani, tapi tak ramai tahu 10 kebaikan diri dia.

"Banyak yang saya belajar dari sikapnya," tulisnya.

Menurutnyan Zamani mempunyai adab sopan yang tinggi serta sangat menghormati orang lain.

"Dia mempunyai adab dan sikap menghormati orang lain yang sangat tinggi dan sangat berhati-hati bila berbicara mengenai seseorang takut tersalah kata-kata.

"Walaupun di belakang orang itu. Salam Jumaat semua," katanya.

Sementara itu, media melaporkan Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku yang menyebarkan video yang mengundang rasa marah orang ramai itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani maafkan penyebar rakaman]

Video berdurasi satu minit 23 saat tersebut menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti blog dan Facebook.

Zamani ditahan bersama seorang wanita berusia 33 tahun positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira jam 12.30 pagi, Rabu lepas.

SH

23 Januari 2015

Raja Arab Saudi Mangkat

Raja Abdullah Abdulaziz

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz mangkat, demikian lapor stesen rasmi Arab Saudi pada awal pagi Jumaat.

Baginda berusia 90 tahun.

Menurut kenyataan rasmi, kedudukan baginda kini digantikan adiknya, Putera Mahkota Arab Saudi, Salman Abdulaziz.

Sementara itu takhta Putera Mahkota kini menjadi milik Putera Muqrin Abdulaziz.

Raja Abdullah dimasukkan ke hospital pada Disember lalu kerana penderitaan radang paru-paru dan baginda hanya bernafas menggunakan tiub.

mStar Online

22 Januari 2015

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput

Andressa Urach

Bekas ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa dan menanggung derita sepanjang hayat hanya kerana untuk kelihatan cantik.

Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku telah mengubah hidupnya, sekaligus memberikan pengajaran paling pahit untuk dikenang sepanjang masa.

“Saya ketagihan pembedahan plastik.

Pada masa itu, saya hanya mahu orang lain memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” katanya seperti yang dipetik menerusi Mail.Online.

Menurut Urach, keinginan yang begitu tinggi untuk mencantikkan lagi pehanya membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjalankan rawatan kaedah menyuntik pehanya dengan (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA).

Namun bentuk peha yang diidamkan tidak kesampaian apabila doktor mengesahkan bahan kimia yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. “Rawatan kecantikan yang dijalankan mula mereput dan memakan tisu peha saya.


SH

21 Januari 2015

Maut selepas main 'video games'


Seorang lelaki dijumpai tidak bernyawa di sebuah kafe siber di sini selepas bermain permainan video.

Dalam kejadian 8 Januari lalu, Hsieh, 32, dilaporkan sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum itu kerana mayatnya sudah mula mengeras.

Polis memberitahu, Hsieh berkemungkinan besar mengalami kegagalan jantung.

"Suhu sejuk dan kepenatan melampau dalam temph masa lama berkemungkinan besar antara penyebab kegagalan jantung Hsieh," kata polis.

Menurut laporan CNN, Hsieh mula bermain permainan video di kafe siber berkenaan pada 6 Januari.

Menurut Taipei Times, Hsieh merupakan pelanggan tetap kafe siber berkenaan, dan selalu menghabiskan masa berhari-hari bermain permainan video atas talian di situ.


SH

20 Januari 2015

Tanam anak perempuan hidup-hidup


Mengejutkan dan menyedihkan apabila seorang bapa bertindak di luar kewarasan apabila sanggup menanam anaknya sendiri dek kerana anaknya seorang perempuan.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di India ini benar-benar mengejutkan dunia.

Memetik laporan New Delhi Television Limited Is An India (NDTV) berkata, lelaki itu cuba menguburkan anak perempuananya yang berusia 10 tahun hidup-hidup tanpa alasan logik.

Jelas laporan itu, alasan lelaki itu bagi ‘membenarkan’ perbuatannya itu adalah kerana anaknya adalah perempuan.

Menurut polis, beberapa saksi melihat ‘aksi’ tertuduh yang menggali sebuah lubang di taman belakang rumahnya ‘bagi tujuan pengebumian tersebut’ tatkala isterinya keluar.

Dia dikatakan  meletakkan anaknya dalam lubang dengan tangannya diikat dan mulut ditutup. Lantas menimbus tanah sehingga paras dada.

Namun usaha tersebut gagal apabila sebaik sahaja isterinya pulang, isterinya mula mempersoalkan di mana anak mereka, dan perbuatannya mula dibongkarkan oleh jiran-jiran yang melihat kejadian terbabit.

Pada mulanya, suspek cuba menyembunyikan kegiatannya dengan meletakkan bakul buluh di atas kepala anak perempuan mereka, dengan niat untuk meneruskannya perbuatan tersebut selepas itu namun sudah diketahui awal oleh jirannya.

Mereka dikatakan telah memukul suspek sebelum memanggil polis.


SH

15 Januari 2015

Nurul Izzah Akhirnya Bercerai

Perkahwinan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ismail berakhir selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Khamis.
 --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan ahli perniagaan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ahmad akhirnya bercerai talak satu. 

Raja Ahmad Sharir melafazkan talak pada pukul 4.17 petang dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Amran Mat Zain pada Khamis.

Izzah telah memfailkan prosiding penceraian pada Disember 2013.
mStar Online

14 Januari 2015

Aksi Sumbang Ketika Konsert Bukan Perkara Baharu – Puteri Umno

Aksi pelukan antara peminat dan penyanyi dalam sesebuah acara hiburan bukan satu perkara baharu.
PETALING JAYA: Aksi sumbang antara artis dan peminat dalam sesebuah acara hiburan bukan perkara baharu, namun kontroversi yang berlaku dalam penganjuran sebuah konsert kumpulan K-Pop, B1A4 baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, persembahan membabitkan penyanyi-penyanyi tempatan sebelum ini juga pernah berlaku insiden peluk dan sebagainya.
“Kita kena lihat semula mengapa perkara ini berlaku. Memang adegan itu (di pentas konsert) adalah salah. Tetapi cuba kita lihat adegan-adegan yang sama atau lebih kurang sama dipertontonkan dalam drama dan program televisyen.
“Jadi, kita juga kena lihat dan timbang semula setiap penyiaran di televisyen yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat. Kita sendiri kena faham budaya dan nilai-nilai orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Anuar Zain merupakan antara penyanyi tempatan yang terpaksa berhadapan dengan situasi dipeluk peminat fanatik ketika melakukan persembahan.
Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, B1A4 bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.

Acara hiburan di negara ini sebelum ini pernah menyaksikan aksi peminat fanatik yang berani memeluk dan mencium artis kesayangan mereka seperti Anuar Zain termasuk penyanyi dari Indonesia, Afghan sewaktu mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Isnin lalu memberitahu jabatan itu telahpun menerbitkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam sejak 2007, sebagai perhatian dan rujukan kepada agensi dan penganjur program.
Namun kontroversi yang melanda konsert kumpulan K-Pop dipersoalkan sama ada garis panduan itu dirujuk pihak penganjur malah penganjurannya tidak dirujuk kepada Jakim.
Selepas video aksi peminat bersama ahli kumpulan K-Pop menjadi viral di laman sosial, kini ramai di media sosial mula membangkitkan tentang perbuatan seumpamanya yang pernah berlaku sebelum ini di kalangan peminat ketika penganjuran majlis yang melibatkan artis tempatan dan dari negara jiran.
Aksi seorang peminat fanatik yang berani mencium Afghan sewaktu penyanyi dari Indonesia itu membuat persembahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mas Ermieyati berkata, semua pihak seharusnya membuat penilaian dan membuat perubahan lebih baik dengan melihat perkara yang berlaku dalam pelbagai aspek.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak terutama penganjur dan peminat perlu lebih berhati-hati menjaga sensitiviti masyarakat negara ini dengan mematuhi garis panduan bagi memastikan penganjuran acara itu dapat dikawal dan tidak menyentuh sensitiviti tertentu.
“Bagaimanapun, janganlah kita semua menjadikan perkara yang berlaku bertambah buruk. Jangan ada pihak menunding jari menyalahkan satu sama lain, tidak kira kerajaan, penganjur atau peminat.
“Sebaliknya, kita melihat bagaimana cara untuk membendung perkara ini. Kita perlu beri kefahaman, kesedaran dan mendidik generasi muda," katanya.
mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !