17 September 2014

Warga Emas Tumbuk Perompak, Gagalkan Cubaan Ragut


CUBAAN seorang lelaki untuk merompak wanita berusia 80 tahun gagal apabila wanita warga emas itu menumbuk mulut suspek untuk mempertahankan dirinya.

Wanita itu diserang ketika sedang berjalan-jalan bersama dengan anjingnya di antara Bellevue Road dan Invicta Road di Whitstable, Kent kira-kira pukul 7.20 pagi waktu tempatan.

Perompak terbabit yang berpakaian serba hitam dan memakai penutup kepala cuba meragut beg tangan wanita tersebut.

Namun, sebaliknya berlaku apabila wanita warga emas itu bertindak menumbuk mulut perompak itu.

Akibatnya, perompak tersebut bergegas melarikan diri.

Ketua Polis Kent, Inspektor Paul Fotheringham berkata, suspek tersilap dalam memilih mangsa yang masih kuat untuk mempertahankan dirinya.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung serangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.
mStar Online

15 September 2014

Pasangan Dapat Kebenaran Namakan Bayi Leonwl Messi

Lionel Messi

BUENOS AIRES: Seorang bapa yang begitu meminati Lionel Messi berusaha mengemukakan permohonan pengecualian undang-udang hanya untuk memenuhi impian menamakan anaknya sempena pemain bola sepak terkemuka Argentina itu.

Walaupun terpaksa naik turun pejabat untuk mengemukakan permohonan di bandar General Roca, ia memberi kepuasan buat Daniel Valera apabila mendapat kelulusan pengecualian.

Pegawai meluluskan permohonan berkenaan dan mengeluarkan sijil kelahiran untuk Messi Daniel Varela.

Mengikut undang-undang era diktator 1969 negara itu, ibu bapa dihalang menamakan anak mereka menggunakan nama bapa sebagai nama pertama.

Daniel Varela menanam impian untuk menamakan anaknya dengan nama Lionel Messi sejak pertama kali melihat penyerang Barcelona itu bermain untuk pasukan remaja kebangsaan Argentina.

“Saya melihat Messi bermain dengan pasukan di bawah 17 tahun. Dia sungguh hebat dan sejak itu saya berhasrat menamakan anak saya sempena namanya.

Selepas dikurniakan dua anak perempuan dan menunggu lapan tahun, Varela tidak mahu melepaskan peluang apabila isterinya melahirkan anak lelaki baru-baru ini.

"Dan kini saatnya sudah tiba dan saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” kata Varela.

mStar Online

12 September 2014

Ketagih makan lilin


SESETENGAH orang mempunyai tabiat menggigit kuku yang dianggap tidak sihat kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Tetapi, kembar berumur 50 tahun dari Bradford, England ini mempunyai ketagihan pelik akibat masalah gangguan makanan atau Pica yang menyebabkan mereka cenderung memakan bahan tertentu.

Adele mendakwa dia gemar memakan lilin sejak berumur lapan tahun dan ia langsung tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatannya.

Kembarnya, Anita memberitahu dia mengalami Pica ketika hamil kira-kira 24 tahun lalu.

"Saya mula mengidam objek yang berbau seperti tiket bas lama dan akhirnya menemui bau sama pada buku terpakai. Rasanya juga lebih enak seperti memakan bar coklat," katanya.

Ahli psikologi, Marcia Karp memaklumkan terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang ketagih untuk mengambil 'makanan' pelik sepanjang hidup mereka.

"Sebagai contoh, Pica mungkin dialami sesetengah wanita hamil dan kadang-kadang disebabkan oleh defisit mineral," jelasnya kepada DailyMail.


Sinar Harian

11 September 2014

Khalwat dengan dua wanita

  • Seorang lelaki dan dua wanita yang dicekup berkhalwat oleh penguatkuasa Jaipk dalam sebuah premis rumah kedai di Parit Buntar.

PARIT BUNTAR - Alasan menumpang tidur di rumah rakan sekerja digunakan seorang pemandu bas untuk mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) Cawangan Parit Buntar tidak berhasil apabila dia ditahan setelah disyaki berkhalwat dengan dua wanita di sebuah premis rumah kedai, Jalan Syahbandar, Pusat Bandar Parit Buntar di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40-an yang berstatus suami orang itu disyaki berkhalwat bersama dua kerani kaunter sebuah syarikat bas ekspress berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Jurucakap Jaipk Cawangan Parit Buntar berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam itu melibatkan  lima anggota penguatkuasa Jaipk Cawangan Parit Buntar.

Menurutnya,  dalam kejadian jam 11.45 malam itu, penguatkuasa Jaipk terpaksa menunggu kira-kira 15 minit di pintu premis yang dibuka seorang wanita berusia 20 tahun.

"Apabila penguatkuasa memasuki premis itu, mereka mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tidur di bilik berasingan, manakala gadis yang membuka pintu itu mendakwa tidur bersama rakan wanitanya.

“Ketika disiasat, ketiga-tiga individu itu mengaku tiada sebarang ikatan sah, manakala lelaki terbabit beri alasan terpaksa menumpang tidur di rumah rakan wanita memandangkan dia perlu memandu bas ke Kuala Lumpur pada awal pagi,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah soal siasat dilakukan ke atas dua wanita ditahan, pemandu bas itu menukar keterangan dengan mendakwa menyewa sebuah bilik di dalam premis itu sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, kenyataan kesemua individu itu meragukan memandangkan anggota penguatkuasa menemui beberapa bukti di dalam sebuah bilik di premis tersebut.

“Lelaki terbabit difahamkan sudah berkahwin dan tinggal di Butterworth, Pulau Pinang, manakala dua wanita itu pula berasal dari Bandar Baharu dan Langkawi, Kedah.

“Berikutan itu, ketiga-tiga mereka diberikan notis menghadiri sesi kaunseling di Pejabat Majlis Agama Islam Daerah Kerian di Parit Buntar pada hari Isnin (hari ini)," katanya.

Jurucakap Jaipk berkata, lelaki terbabit juga diarahkan segera meninggalkan premis berkenaan dan akan dikenakan tindakan tegas jika ditangkap berkhalwat sekali lagi.

Sinar Harian

10 September 2014

Lawak bodoh dikecam,Letak Bayi dalam Periuk

KEADAAN bayi itu yang diletakkan di dalam periuk bersama sayur-sayuran.

Riyadh: Seorang lelaki dipercayai warga Saudi meletakkan seorang bayi di dalam periuk yang penuh dengan sayur-sayuran sebelum menggunakan sudip untuk mengacau peiuk berkenaan.

Sambil mengacau dia berkata: “Ini yang akan kami makan malam ini.” 

Rakaman video itu yang disiarkan media tempatan menujukkan bayi itu yang hanya berusia empat bulan, dimasukkan ke dalam periuk itu dan kemudian ditutup sebelum di tempatkan di atas dapur.

Kemudian kedengaran suara seorang wanita yang menyuruhnya berhenti berbuat demikian.

Akhbar Sabq yang melaporkan kejadian itu bagaimanapun tidak menyebut di mana rakaman itu dibuat dan tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu bergurau atau serius.
Bagaimanapun, pembaca mengecam tindakan lelaki itu serta menggesa pihak berkuasa menjejaki dan menghukumnya. 

Seorang pembaca menulis: “Hati sebahagian besar manusia kini sudah keras seperti batu. Semoga Allah tidak mengampunkan dosanya.” - Agensi

07 September 2014

Air Zam Zam Miliki Mukjizat - Saintis Jepun

Molekul air zam-zam.

KAJIAN seorang saintis Jepun mendapati bahawa air zam-zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain.

Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun menjalankan kajian ke atas perubahan bentuk molekul air yang didedahkan kepada pengaruh-pengaruh positif dan negatif.

Beliau mendapati apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan yang berbentuk positif, air-air tersebut membentuk molekul yang berbentuk kristal indah.

Sebagai contoh, dalam salah satu eksperimen beliau, air didedahkan dengan bacaan doa agama Islam dan molekul air yang terhasil membentuk kristal indah berbentuk segi enam dengan lima cabang daun yang berkilauan indah.

Beliau turut mendapati molekul air yang terhasil menerusi eksperimen ke atas air zam-zam adalah bercabang-cabang dan berkilauan.

Emoto mendedahkan hasil penemuannya itu dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2005 di New York.
Dr Masaru Emoto.
Dalam eksperimen tersebut turut mendedahkan pengaruh unsur-unsur negatif terhadap air.
Menurut Emoto, apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, kristal molekul air yang terhasil tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur serta buruk.
"Ternyata, air boleh 'mendengar, membaca dan memahami' kata dan doa," katanya.
Pada Persidangan Air Sedunia di salah sebuah universiti di negara ini beberapa tahun lalu turut membuktikan segala fakta mengenai air.
Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan 'kehebatannya'.
Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang diuji itu.

Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk air zam-zam diuji dan dikenal pasti.

Uniknya, air zam-zam membentuk molekul yang begitu kukuh, strukturnya tidak berubah disebabkan apa jua tekanan.

Malah, kehebatan air zam-zam didapati mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain.
 
Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah.
Telaga air zam-zam.
Ia mengandungi kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.
Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
Lebih menakjubkan, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam dan ia sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
Justeru, dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit. 
Air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit. 
Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar.
Teori Emoto mengenai perubahan kristal molekul air jelas menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran. 
Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya.

04 September 2014

AWAS ! Kerang-kerangan di perairan Pelabuhan Kuantan dicemari toksin PSP


KUANTAN - Orang ramai dinasihati supaya tidak mengutip atau memakan kerang-kerangan di kawasan perairan sekitar Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelam, dekat sini kerana dicemari toksin 'paralytic shellfish poisoning' (PSP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemeriksaan pada sampel tiram dan plankton menunjukkan bacaan toksinnya adalah di antara 317 hingga 3,560 mikrogram (ug) per 100 gram.
"Bacaan toksin itu melebihi daripada standard piawaian ditetapkan iaitu 80
ug/100g di mana ia boleh memudaratkan pemakannya termasuk meninggal dunia sekiranya gagal mendapat rawatan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pengukuhan Komuniti Perikanan Pahang di sini hari ini.
Pencemaran toksin itu adalah kali pertama berlaku di perairan negeri ini dan mula dikesan selepas beberapa individu mengalami keracunan makanan selepas memakan kerang jenis tiram di kawasan itu pada November tahun lepas dan Ogos lalu.
Toksin itu dikesan menerusi pemeriksaan di Pusat Bio Sekuriti Jabatan Perikanan negeri terhadap sampel tiram di kawasan berkenaan susulan kejadian lapan pekerja Indonesia yang mengalami keracunan makanan selepas memakan tiram di pelabuhan itu pada 1 Ogos lepas.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata,
pihaknya sedang menyiasat punca pencemaran toksin di perairan berkenaan dan sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya memasang papan tanda melarang orang ramai mengutip atau makan kerang-kerangan di sekitar kawasan berkenaan. - Bernama

03 September 2014

Ratu cantik enggan pulangkan mahkota

RATU Cantik Myanmar, May Myat Noe. - Foto EPA
YANGON: Ratu Cantik Myanmar yang ditarik balik gelarannya berkata, beliau tidak akan memulangkan mahkota bernilai $100,000 (RM316,000) sehingga penganjur pertandingan itu meminta maaf kerana menggelar beliau penipu dan pencuri.
Pemenang Ratu Asia Pasifik Dunia 2014, May Myat Noe, menegaskan dalam sidang akhbar hari ini beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Beliau menafikan melakukan pembedahan membesarkan payu dara, seperti didakwa pengarah media bagi pertandingan di Korea Selatan itu, David Kim.
Katanya, pembedahan disediakan secara percuma untuk membantu meningkatkan kemasyhuran Noe.
Kim berkata, gelaran remaja berkenaan ditarik balik kerana beliau tidak jujur dan tidak berterima kasih dan melarikan diri dengan mahkota itu.
Noe berkata, beliau menaiki pesawat kembali ke Myanmar tanpa menyedari gelarannya sudah ditarik balik. 
- AP[Bh]

02 September 2014

Lelaki 'Kepala Di Belakang' Beri Inspirasi Kepada Dunia

Claudio Vieira de Oliveira 

JIKA anda pernah tidak puas hati dengan badan anda yang tidak sempurna, Claudio Vieira de Oliveira akan memberikan anda perspektif berbeza.

Kakinya cacat, begitu juga lengan dan tangannya yang hampir tidak berfungsi serta kepalanya yang boleh diterbalikkan ke belakang. 

Claudio, 37, dilahirkan dengan 'arthogryposis kongenital', satu kecacatan yang sangat ekstrem sehingga ibunya telah dinasihatkan oleh doktor untuk membiarkannya mati.

Claudio bernasib baik kerana ibunya tidak 'melakukannya' dan dia berjaya membuktikan kepada dunia bahawa dia boleh melakukan apa yang orang lain mampu lakukakan dan mungkin melakukannya dengan lebih baik.


Ibunya berkata: "Ramai yang mula berkata bahawa "bayi itu akan mati" kerana dia hampir tidak boleh bernafas apabila dilahirkan. Sesetengah orang berkata "jangan beri dia makanan kerana dia sebenarnya sudah mati".

Tetapi sekarang, setelah diajar supaya berdikari, dia menganggap dirinya normal.

Dia juga merupakan seorang penceramah yang menjadi sumber inspirasi dan juga mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan.

Claudio, yang tinggal di Brazil, berkata: "Sejak kecil lagi saya sentiasa suka menyibukkan diri saya dan melakukan sesuatu kerja - saya tidak suka bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

"Saya belajar untuk menghidupkan TV, mengangkat telefon bimbit saya, menghidupkan radio, menggunakan internet, komputer - semuanya saya buat sendiri."

Dia juga boleh berjalan-jalan di sekitar bandar dengan kasut khas yang membolehkannya berjalan dengan lututnya kerana badannya tidak dapat berada di atas kerusi roda.

Claudio berkata: "Sepanjang hidup saya, saya dapat menyesuaikan badan saya dengan dunia. Sekarang, saya tidak melihat diri saya sebagai berbeza. Saya seorang yang normal.
mStar Online

01 September 2014

'Tak Salah Ramli MS & Alyah Sorok Nikah' - Ustaz Kazim Elias

Ustaz Kazim Elias
PETALING JAYA: Langkah konduktor muzik terkenal Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS dan penyanyi Alyah menyembunyikan perkahwinan mereka tidak salah daripada segi Islam asalkan ia diketahui keluarga.

Penceramah selebriti, Ustaz Kazim Elias berkata, ini pasangan itu berhak merahsiakan perkahwinan mereka itu kepada umum kerana mengwar-warkan kepada masyarakat adalah sunat.

"Sebenarnya, perkahwinan kita sunat untuk diwar-warkan dan dengan itu kita juga disunatkan membuat kenduri walaupun dengan seekor kambing sahaja.

"Ini bererti, seekor kambing itu cukup untuk keluarga terdekat sahaja dan sekiranya pasangan itu enggan memberitahu kepada umum, itu hak mereka. Yang penting, perkahwinan itu sah dan keluarga terdekat sudah tahu," katanya.

Kazim diminta mengulas berkenaan dengan isu pernikahan rahsia Ramli MS dan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasilah Hassan, 33, yang dilakukan di Batam, Indonesia kira-kira setahun lalu.

Rahsia pasangan itu terbongkar  apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, Khamis lalu.

Dalam serbuan itu kedua-dua pasangan tersebut memberi kerjasama yang baik kepada anggota penguatkuasa selain berjaya meyakinkan mengenai pernikahan mereka yang dilakukan di Batam, Indonesia itu.

Dalam pada itu, Ramli menyifatkan kontroversi perkahwinannya itu terlalu diperbesarkan seolah-olah beliau melakukan kesalahan serius seperti menjual dadah.
Ramli MS dan Alyah sudah bernikah sejak setahun yang lalu.
Sementara itu, Kazim berkata, orang ramai mahupun pihak media tidak perlu terlalu beria-ia menyalahkan Ramli mahupun Alyah kerana pasangan itu mungkin ada sebab-sebab tertentu apabila tidak mahu mendedahkan perkahwinan tersebut.

Katanya lagi, mengikut hukum Islam juga, apabila seorang suami mahupun isteri menafikan perkahwinan mereka, ia tidak menggugat perkahwinan sehingga jatuh talak.

"Tak payahlah nak hentam pasangan itu. Mereka tidak bersalah, malah ada hak mahu merahsiakan perkahwinan itu.

"Selain itu, menafikan pernikahan kepada umum juga tidak akan jatuh talak sebaliknya ia dipanggil kategori Kinayah.

"Bagaimanapun, bagi pihak Ramli mahupun Alyah pula, mereka pun tidak perlu melatah kerana menjadi normal sebagai selebriti, masyarakat mahu tahu semua mengenai mereka," tuturnya.

Kinayah adalah menyebutkan sesuatu ungkapan yang dimaksudkan dengan makna lain yang bukan makna asalnya. Antara tujuan kinayah adalah untuk memperelok makna dan mengindahkannya, di samping menyembunyikan sesuatu perkara daripada pendengar.

mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !