03 September 2014

Ratu cantik enggan pulangkan mahkota

RATU Cantik Myanmar, May Myat Noe. - Foto EPA
YANGON: Ratu Cantik Myanmar yang ditarik balik gelarannya berkata, beliau tidak akan memulangkan mahkota bernilai $100,000 (RM316,000) sehingga penganjur pertandingan itu meminta maaf kerana menggelar beliau penipu dan pencuri.
Pemenang Ratu Asia Pasifik Dunia 2014, May Myat Noe, menegaskan dalam sidang akhbar hari ini beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Beliau menafikan melakukan pembedahan membesarkan payu dara, seperti didakwa pengarah media bagi pertandingan di Korea Selatan itu, David Kim.
Katanya, pembedahan disediakan secara percuma untuk membantu meningkatkan kemasyhuran Noe.
Kim berkata, gelaran remaja berkenaan ditarik balik kerana beliau tidak jujur dan tidak berterima kasih dan melarikan diri dengan mahkota itu.
Noe berkata, beliau menaiki pesawat kembali ke Myanmar tanpa menyedari gelarannya sudah ditarik balik. 
- AP[Bh]

02 September 2014

Lelaki 'Kepala Di Belakang' Beri Inspirasi Kepada Dunia

Claudio Vieira de Oliveira 

JIKA anda pernah tidak puas hati dengan badan anda yang tidak sempurna, Claudio Vieira de Oliveira akan memberikan anda perspektif berbeza.

Kakinya cacat, begitu juga lengan dan tangannya yang hampir tidak berfungsi serta kepalanya yang boleh diterbalikkan ke belakang. 

Claudio, 37, dilahirkan dengan 'arthogryposis kongenital', satu kecacatan yang sangat ekstrem sehingga ibunya telah dinasihatkan oleh doktor untuk membiarkannya mati.

Claudio bernasib baik kerana ibunya tidak 'melakukannya' dan dia berjaya membuktikan kepada dunia bahawa dia boleh melakukan apa yang orang lain mampu lakukakan dan mungkin melakukannya dengan lebih baik.


Ibunya berkata: "Ramai yang mula berkata bahawa "bayi itu akan mati" kerana dia hampir tidak boleh bernafas apabila dilahirkan. Sesetengah orang berkata "jangan beri dia makanan kerana dia sebenarnya sudah mati".

Tetapi sekarang, setelah diajar supaya berdikari, dia menganggap dirinya normal.

Dia juga merupakan seorang penceramah yang menjadi sumber inspirasi dan juga mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan.

Claudio, yang tinggal di Brazil, berkata: "Sejak kecil lagi saya sentiasa suka menyibukkan diri saya dan melakukan sesuatu kerja - saya tidak suka bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

"Saya belajar untuk menghidupkan TV, mengangkat telefon bimbit saya, menghidupkan radio, menggunakan internet, komputer - semuanya saya buat sendiri."

Dia juga boleh berjalan-jalan di sekitar bandar dengan kasut khas yang membolehkannya berjalan dengan lututnya kerana badannya tidak dapat berada di atas kerusi roda.

Claudio berkata: "Sepanjang hidup saya, saya dapat menyesuaikan badan saya dengan dunia. Sekarang, saya tidak melihat diri saya sebagai berbeza. Saya seorang yang normal.
mStar Online

01 September 2014

'Tak Salah Ramli MS & Alyah Sorok Nikah' - Ustaz Kazim Elias

Ustaz Kazim Elias
PETALING JAYA: Langkah konduktor muzik terkenal Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS dan penyanyi Alyah menyembunyikan perkahwinan mereka tidak salah daripada segi Islam asalkan ia diketahui keluarga.

Penceramah selebriti, Ustaz Kazim Elias berkata, ini pasangan itu berhak merahsiakan perkahwinan mereka itu kepada umum kerana mengwar-warkan kepada masyarakat adalah sunat.

"Sebenarnya, perkahwinan kita sunat untuk diwar-warkan dan dengan itu kita juga disunatkan membuat kenduri walaupun dengan seekor kambing sahaja.

"Ini bererti, seekor kambing itu cukup untuk keluarga terdekat sahaja dan sekiranya pasangan itu enggan memberitahu kepada umum, itu hak mereka. Yang penting, perkahwinan itu sah dan keluarga terdekat sudah tahu," katanya.

Kazim diminta mengulas berkenaan dengan isu pernikahan rahsia Ramli MS dan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasilah Hassan, 33, yang dilakukan di Batam, Indonesia kira-kira setahun lalu.

Rahsia pasangan itu terbongkar  apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, Khamis lalu.

Dalam serbuan itu kedua-dua pasangan tersebut memberi kerjasama yang baik kepada anggota penguatkuasa selain berjaya meyakinkan mengenai pernikahan mereka yang dilakukan di Batam, Indonesia itu.

Dalam pada itu, Ramli menyifatkan kontroversi perkahwinannya itu terlalu diperbesarkan seolah-olah beliau melakukan kesalahan serius seperti menjual dadah.
Ramli MS dan Alyah sudah bernikah sejak setahun yang lalu.
Sementara itu, Kazim berkata, orang ramai mahupun pihak media tidak perlu terlalu beria-ia menyalahkan Ramli mahupun Alyah kerana pasangan itu mungkin ada sebab-sebab tertentu apabila tidak mahu mendedahkan perkahwinan tersebut.

Katanya lagi, mengikut hukum Islam juga, apabila seorang suami mahupun isteri menafikan perkahwinan mereka, ia tidak menggugat perkahwinan sehingga jatuh talak.

"Tak payahlah nak hentam pasangan itu. Mereka tidak bersalah, malah ada hak mahu merahsiakan perkahwinan itu.

"Selain itu, menafikan pernikahan kepada umum juga tidak akan jatuh talak sebaliknya ia dipanggil kategori Kinayah.

"Bagaimanapun, bagi pihak Ramli mahupun Alyah pula, mereka pun tidak perlu melatah kerana menjadi normal sebagai selebriti, masyarakat mahu tahu semua mengenai mereka," tuturnya.

Kinayah adalah menyebutkan sesuatu ungkapan yang dimaksudkan dengan makna lain yang bukan makna asalnya. Antara tujuan kinayah adalah untuk memperelok makna dan mengindahkannya, di samping menyembunyikan sesuatu perkara daripada pendengar.

mStar Online

31 Ogos 2014

Video buli, 7 lagi ditahan


PETIKAN diambil dari video menunjukkan sekumpulan pelajar membuli seorang budak lelaki yang tersebar luas di laman sosial.


MUAR 30 Ogos - Tujuh lagi pelajar sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran klip video 'Bu­dak Kena Pukul di Muar' di Air Hitam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua mereka berusia antara 13 dan 16 tahun ditahan susulan penahanan empat pelajar pada 27 Ogos lalu.

"Kami berjaya mengenal pasti beberapa remaja yang berada di lokasi ketika kejadian pukul berlaku di tepi kebun kelapa sawit di Air Hitam, 14 Ogos lalu. Mereka ditahan di rumah dan kawasan sekitar Air Hitam bermula 1 petang semalam. Kini jumlah keseluruhan yang ditahan bagi membantu kes tersebut menjadi 11 orang.

"Selain itu, kami berjaya merampas semua barang kes iaitu sebatang kayu panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian pukul berkenaan selain beberapa telefon bimbit yang digunakan untuk merakamkan kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas per­kembangan siasatan kes klip video tersebut yang tersebar di media sosial ketika ini selepas kejadian pada 5 petang, 14 Ogos lalu itu dimuat naik salah seorang suspek yang menyaksikan kejadian itu.

Kemudian klip video berdurasi 2:19 mula tersebar di laman sosial yang menyaksikan lebih enam remaja menjerit ke arah mangsa yang hanya terduduk dengan seorang daripada mereka menendang tangan dan kepala mangsa.

Utusan


29 Ogos 2014

Tipu suami untuk jumpa kekasih


NILAI - Seorang isteri empat anak sanggup meninggalkan suaminya di Filipina semata-mata kerana mahu bertemu kekasihnya, seorang warga Nigeria di Taman Desa Melati, dekat sini.

Malah, wanita warga Filipina berusia 36 tahun itu turut mengakui menjalinkan hubungan seks dengan lelaki yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, tindakan wanita itu terbongkar apabila dia ditahan ketika sedang berasmara di dalam sebuah bilik rumah dua tingkat yang disewa kekasihnya bersama rakan-rakannya itu.}

Menurut wanita yang dikenali sebagai Gende itu, dia tiba di negara ini pada 24 Ogos lalu setelah kos perjalanan termasuk tiket penerbangan ditaja kekasihnya yang merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta di Nilai.

“Saya kenal dia (kekasih) beberapa bulan lalu dan datang ke sini mahu bertemu dengannya. Saya menipu suami dengan memberitahu saya ke Malaysia mahu bertemu kawan.

“Kami sekadar bertemu untuk melepaskan rindu,” katanya selepas ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen negeri di Taman Desa Melati, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu turut menemui bungkusan kondom yang telah dan belum digunakan termasuk minuman beralkohol di dalam bilik mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, wanita itu ditahan kerana disyaki memiliki pas palsu.

“Kita juga menahan kekasihnya berusia 26 tahun dan dua rakan senegaranya kerana memiliki dadah jenis ganja.

“Semua mereka akan diserahkan kepada Balai Polis Nilai untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu dilakukan di dua lokasi iaitu Taman Desa Melati dan Apartment Nilai 3 selepas menerima maklumat awam dan hasil risikan pihaknya.

“Pemeriksaan seramai 250 warga asing di flat terbabit membawa kepada penahanan 27 lelaki dan enam perempuan.

“Mereka semua terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, satu lelaki India, enam perempuan Indonesia , empat lelaki Pakistan, enam lelaki Sri Lanka, satu lelaki Myanmar dan lima lelaki Nepal,” katanya.

Faizal berkata, serbuan di Taman Desa Melati pula, pihaknya menahan tujuh warga asing termasuk pasangan kekasih itu dan seorang wanita warga tempatan.

“Salah seorang lelaki warga Nigeria mengalami luka di kepala dan muka selepas cuba melarikan diri dengan terjun dari rumah dua tingkat,” katanya.

Menurut Faizal, tangkapan seramai 41 orang itu akan disiasat mengikut  Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) akta sama tinggal lebih masa, Seksyen 56 (1)(l) akta sama kerana memiliki pas palsu dan Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana memberi perlindungan kepada warga asing.

Semua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng di sini untuk tindakan selanjutnya.


Sinar Harian

28 Ogos 2014

Lelaki masih hidup selepas kepala tertusuk pancang besi

KEADAAN Ho ketika dirawat di sebuah hospital di wilayah Guangxi selepas kepalanya ditembusi besi baru-baru ini.

BEIJING - Seorang lelaki masih hidup walaupun kepalanya ditembusi pancang besi yang terjatuh ketika dia mengubah suai rumahnya di wilayah Guangxi baru-baru ini, lapor MailOnline kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 50, tertusuk besi sepanjang lebih setengah meter di bahagian kanan dahi dan menembusi rahang kirinya baru-baru ini.
Ketika kejadian, Ho sedang mengubah suai rumahnya apabila tertusuk pancang besi tersebut.
Beberapa doktor yang merawat lelaki itu berkata, mereka terkejut melihat mangsa bukan sahaja masih hidup tetapi berada dalam keadaan sedar ketika di bawa ke sebuah hospital di wilayah ini.
Doktor-doktor terpaksa memanggil pasukan bomba untuk memotong sebahagian besi itu sebelum membuat satu pembedahan rumit bagi mengeluarkan objek daripada kepala mangsa.
Seorang doktor berkata, Ho bernasib baik kerana besi itu tidak mengenai otak atau organ penting lain yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mati.
"Keadaan pesakit kini semakin baik dan dia mungkin dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi," katanya. - Agensi(KOSMO)


26 Ogos 2014

Wanita lelong rambut untuk menderma

XIOA menunjukkan rambutnya di kediamannya, semalam.
Selepas menyimpan rambutnya selama 15 tahun, seorang wanita di sini kini mencari pembeli untuk membeli rambutnya yang sepanjang dua meter dengan niat untuk mendermakan wang berkenaan kepada sebuah sekolah menengah di Ningxia.
Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Xiao, berkata dia mengambil keputusan menjual rambutnya menerusi Internet selepas mengetahu mengenai keadaan persekitaran persekolahan yang teruk di Ningxia. 
Tarikh untuk membidanya berakhir hari ini dan sehingga semalam bidaan tertinggi mencecah 10,000 yuan (RM5,100). 

Menurut Xiao, dia menerima tawaran sebanyak RM10,300 untuk rambutnya sembilan tahun lalu.
Ketika itu, rambutnya hanya panjang hingga ke betis.
“Saya mula memelihara rambut ketika belajar di universiti,” katanya.
 - Agensi 

Gempar lihat 'pengantin' separuh bogel

Orang awam mengambil gambar pasangan pengantin separuh bogel di Jalan Sultan Yussuf. Foto ini diambil daripada pengguna Facebook, Huang Xiao Lung.

IPOH: Gambar separuh bogel pasangan pengantin yang dikatakan bergambar di hadapan sebuah bank Jalan Sultan Yussuf kini mula tersebar dan menjadi tarikan di laman sosial.

Gambar tersebut menunjukkan pengantin wanita itu hanya memakai pakaian dalam dan vel pengantin, manakala pasangan lelaki tidak berbaju dan  hanya memakai 'bow tie' serta seluar panjang bewarna hitam.

Tidak dijelaskan bila penggambaran itu dibuat, namun gambar tersebut berada di laman sosial sejak Isnin.

Pasangan pengantin itu kelihatan tidak segan walaupun ada pengguna jalan itu mengambil gambar mereka.

Bagaimana pun, pengurus besar galeri perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Koo berkata, pasangan tersebut merupakan model dan hanya menjalankan penggambaran, bukan untuk berkahwin.

Koo yang menguruskan penggambaran itu berkata, jurugambar biasanya lebih 'kreatif' dan amat terkejut dengan maklum balas di laman sosial.

Katanya, dia sudah mengambil kira dari segi aspek undang-undang dan yakin ia bukan satu kesalahan.

"Orang ramai terlalu 'berlebih-lebih' kerana mereka tidak pernah melihat wanita yang memakai bikini berjalan di tengah jalan sebelum ini.

"Mereka ada hak untuk mengadu," jelas Koo sambil memberitahu sudah menjadi jurugambar profesional lebih 20 tahun.

"Saya memilih lokasi ini kerana amat bersesuaian dengan tema dan konsep," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak,  Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak belum menerima sebarang laporan, namun akan menyiasat perkara tersebut.

Sumber 


25 Ogos 2014

Kopi najis gajah bernilai RM221 secawan

BIJI kopi dikutip daripada najis gajah di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

BANGKOK - Orang ramai yang ingin menikmati keenakan kopi yang menggunakan biji-biji kopi daripada najis gajah perlu membayar pada harga AS$70 (RM221) secawan.


Pengasas kopi jenama Black Ivory itu, Blake Dinkin, 44, berkata, dia telah menemui kaedah terbaik untuk menghasilkan kopi paling enak secara semula jadi menggunakan gajah-gajah yang dipelihara di kawasan Tiga Segi Emas Thailand di Chiang Rai.
"Kaedah ini dapat mengurangkan manis kopi selain mengekalkan rasanya. Saya inginkan pengguna menikmati rasa kopi yang sebenar, tidak pahit serta ada aroma bunga dan coklat.
"Gajah itu membantu membuangkan rasa manis dalam biji kopi secara semula jadi," kata Dinkin sambil memberitahu, biji kopi berkenaan hanya boleh didapati di hotel-hotel mewah di seluruh Asia dan negara timur tengah.
Kopi tersebut bagaimanapun tidak dapat menandingi kopi luwak yang dihasilkan menerusi najis musang di Indonesia kerana berharga AS$100 (RM316) secawan. - Agensi(KOSMO!)


21 Ogos 2014

2 Gambar,Budak lapan tahun miliki tangan 'gergasi'

GAMBAR menunjukkan Kaleem memiliki tangan 'gergasi' di India.- YOUTUBE

NEW DELHI - Pakar-pakar perubatan di India bingung dengan keadaan tangan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang membengkak dan membesar beberapa kali ganda, lapor akhbar MailOnline semalam.

Kanak-kanak tersebut, Kaleem, memiliki saiz tangan sebesar 33 sentimeter yang diukur dari pergelangan tangan hingga jari tengahnya dengan berat mencecah sehingga 12 kilogram
Keadaan itu menyebabkan Kaleem sukar untuk melakukan beberapa perkara mudah seperti mengikat tali kasut, menyuap makanan dan memegang sesuatu objek.

Ibunya, Haleema, 27, berkata, dia menyedari Kaleem memiliki saiz tangan dua kali ganda lebih besar dari saiz seorang bayi normal sejak dia dilahirkan.
"Saya tidak ke sekolah kerana guru memberitahu murid-murid lain takut dengan tangan saya," kata Kaleem yang meminati sukan kriket.
Menurutnya lagi, dia turut menjadi mangsa buli rakan-rakannya kerana saiz tangannya yang besar.
Dalam pada itu, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Memorial Fortis di Gurgaon dekat New Delhi, Dr. Krishan Chugh juga terkejut selepas melihat beberapa keping gambar kanak-kanak berkenaan.
Katanya, keadaan seperti itu sangat jarang terjadi dan ia mungkin berpunca daripada sejenis penyakit yang dikenali sebagai lymphangioma atau hamartoma yang menyebabkan berlaku keradangan teruk pada bahagian-bahagian tertentu dalam sistem badan. - Agensi


Port Mak Ngah Skodeng !