02 Julai 2014

Felixia Yeap nafi umum nama Islam


MODEL dan personaliti media, Felixia Yeap menafikan dakwaan bahawa dia telah mengumumkan nama Islamnya.

Menurutnya, dia hanya mendedahkan nama akhir yang bakal dipilihnya iaitu “Rania” melalui sebuah program televisyen tempatan baru-baru ini.

“Saya tahu kalian semua tidak sabar menunggu nama Islam saya diumumkan.

“Sepertimana yang dijanjikan, saya sendiri akan mengumumkan nama Islam saya selepas saya mengucap syahadah nanti dan bila waktunya telah tiba, iaitu pada atau selepas 3 Julai (5 Ramadan),” jelasnya

Dalam pada itu, Felixia juga sempat membidas khabar angin yang menyebarkan spekulasi berkenaan dengan pemilihan nama Islamnya.

“Buat masa sekarang, saya menyeru agar anda semua jangan percaya pada mana-mana sumber media yang sengaja membuat cerita tentang nama saya bagi melariskan atau mempopularkan berita mereka.

 “Bulan Ramadan ni, nak mengaut untung dan jual berita pun buatlah dengan halal,” katanya lagi.

Sinar Harian

01 Julai 2014

Spiderman panjat bangunan 36 tingkat ditahan polis


Lelaki warga tempatan (tengah) yang menimbulkan kekecohan apabila memanjat bangunan NU Central di Brickfield, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Jun - Jika sebelum ini negara pernah digemparkan dengan aksi Spiderman Perancis, Alain Robert yang berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas tanpa menggunakan kelengkapan memanjat, kali ini seorang lelaki warga tempatan pula melakukan aksi sama di bangunan 1 Sentrum setinggi 36 tingkat di Brickfields, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 26 tahun itu bertindak memanjat bangunan pusat komersial tersebut dengan hanya memakai sandal, baju T , berseluar pendek hitam, menutup muka dengan sapu tangan, memakai beg sandang berwarna biru dan kamera lasak.

Ketika sampai di tingkat paling atas dia sempat mengibarkan bendera Malaysia sebelum ditahan polis. Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Travers untuk siasatan lanjut dan dibenarkan pulang hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Menurut beliau, lelaki itu mendakwa ingin menjadi orang pertama memanjat bangunan tersebut selepas mendapat maklumat ada peserta daripada luar negara mahu berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini.
"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 14 Akta Undang-Undang Kecil dan selepas keterangannya diambil kita benarkan dia dijamin," kata beliau.


Lelaki 'Spiderman' yang memanjat bangunan 1 Sentrum di Brickfield, Kuala Lumpur sebelum ditahan oleh pihak polis, semalam.

Sementara itu, video serta gambar aksi lelaki itu turut dimuat naik di akaun Facebook bernama Keow Wee Loong (UglyKiwi) yang dipercayai miliknya.

Berdasarkan status yang dipercayai dimuat naik oleh lelaki terbabit, dia memberitahu hanya sempat memaparkan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam serta ucapan selamat kepada bekas model, Felixia Yeap yang bakal memeluk Islam pada 5 Ramadan ini ketika berada di puncak. Ucapan itu ditulis di atas dua helai kertas A4.

Pada 1 September 2009, Robert yang terkenal dengan kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa bantuan kelengkapan memanjat, ditahan kerana memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat itu tanpa permit.

UTUSAN

30 Jun 2014

Pekerja restoran melampau,peluk anak Dara orang sesuka hati

Gambar dipercayai suspek dengan tangan bergari mula disebarkan di Facebook.

SEREMBAN – Seorang wanita terkejut apabila dua pekerja warga asing sebuah restoran, di sini dengan berani memeluk dan mengusap anak perempuannya berusia 10 tahun secara tiba-tiba ketika dia sedang membeli air, Khamis lalu.

Ibu mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu anaknya turun membeli air seorang diri di restoran berkenaan.

Menurutnya, dia memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai makan terbabit dan hanya menunggu di dalam kereta bersama seorang lagi anak perempuannya berusia enam tahun.

“Saya suruh anak sulung turun seorang diri kerana hanya mahu membeli air. Malah kereta saya diparkir betul-betul berhadapan kedai makan berkenaan.

“Dari dalam kereta saya lihat pergerakan anak. Tapi tiba-tiba saya pelik apabila salah seorang pekerja di situ memeluk anak saya dari belakang,” katanya.

Malah katanya, seorang lagi pekerja turut bertindak di luar batasan apabila dengan sengaja mengusap leher dan pipi anaknya.

Berang dengan keadaan itu, dia membunyikan hon kereta beberapa kali sebagai tanda amaran sebelum pekerja terbabit melarikan diri dan bersembunyi di bahagian belakang kedai.

“Saya turun berjumpa dengan penyelia restoran terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kurang sopan tersebut.

“Tapi dia memujuk saya agar tidak membesarkan hal itu dan meminta maaf mewakili pekerjanya. Saya memang bengang sangat sebab dia berani usik anak perempuan saya macam itu. Memang dia masih kanak-kanak tapi janganlah sesuka hati mahu memeluk dan mengusik anak orang,” katanya.

Sebaik sahaja pulang ke rumah, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan di Balai Polis Senawang.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati, gambar dua lelaki warga asing dengan tangan bergari dipercayai suspek  mula disebarkan di laman Facebook, sejak Khamis lalu.

Malah ia turut mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang ternyata sangat terkejut dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku.

Sinar Harian

29 Jun 2014

Tonton TV lebih tiga jam undang risiko mati muda

Amalan menonton televisyen secara keterlaluan boleh meningkatkan risiko mati muda.

Golongan dewasa perlu kerap bersenam, elak tempoh rehat lama

Barcelona: Kajian di Sepanyol mendapati golongan dewasa yang menonton televisyen lebih tiga jam sehari meningkatkan risiko mereka untuk mati pada usia lebih muda. 

Penyelidik berkata, golongan berkenaan sebaliknya perlu bersenam lebih kerap, mengelakkan tempoh rehat terlalu lama dan mengurangkan menonton televisyen kepada sejam atau dua jam sehari. 
Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian” Miguel Martinez-Gonzalez, Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol

“Menonton televisyen menyebabkan diri tidak aktif dan gejala itu kian meningkat kini. Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian,” kata penulis utama kajian dan Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol, Prof Miguel Martinez-Gonzalez.

Kajian itu membabitkan seramai 13,284 graduan universiti di Sepanyol yang masih muda dan sihat, dengan purata umur 37. Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah wanita.

Tiga aktiviti tak aktif

Tiga aktiviti tidak aktif iaitu masa menonton televisyen, masa menggunakan komputer dan masa memandu digunakan untuk menentukan risiko kematian. 
Peserta terbabit dipantau selama 8.2 tahun. Penyelidikan melaporkan 97 kematian, dengan 19 daripadanya disebabkan penyakit kardiovaskular, 46 akibat barah dan 32 lagi kerana pelbagai punca. 

Risiko kematian adalah dua kali ganda lebih tinggi di kalangan peserta yang dilaporkan menonton televisyen tiga jam atau lebih sehari berbanding mereka yang menonton sejam atau kurang.

Penemuan itu lebih jelas selepas mengambil kira pelbagai punca lain yang berkaitan dengan risiko tinggi kematian. Kajian mendapati tiada kaitan antara masa digunakan untuk komputer atau memandu dengan risiko tinggi kematian pada usia muda.

Kaji kesan memandu, guna komputer 

Penyelidik berkenaan menambah, kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk mengesahkan kesan yang mungkin wujud antara penggunaan komputer atau memandu ke atas kadar kematian dan memastikan mekanisme biologikal yang menjelaskan kaitan itu.

“Penemuan kami menunjukkan golongan dewasa mungkin perlu meningkatkan aktiviti fizikal mereka, mengelakkan tempoh rehat yang panjang dan mengurangkan waktu menonton televisyen kepada tidak lebih sejam hingga dua jam sehari,” katanya. 


- AGENSI

28 Jun 2014

Felixia Yeap peluk Islam 5 Ramadan

Felixia Yeap

"SAYA akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis)," kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap, ketika menjadi panel  jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ianya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

"...5 Ramadan iaitu jatuh pada  3 Julai ini iaitu pada hari 'birthday' saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad," katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

"Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah," katanya.


Sinar Harian

24 Jun 2014

Pelik ! LEMBU PANJAT BUMBUNG


LEMBU dari Bern, Switzerland ini mungkin sudah puas hidup di atas tanah dan ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Ia dikatakan naik ke atas bumbung dan terperangkap kerana tidak boleh turun.

Pada awalnya, haiwan itu dipercayai sedang meragut rumput terletak di belakang rumah tersebut.

Selepas beberapa ketika, ia mula berpindah ke kawasan lain lalu memanjat rumah itu.

Pemiliknya, Dieter Mueller berkata, lembu berkenaan adalah salah seekor lembu peliharaannya yang sering mendatangkan masalah.

"Ia selalu buat hal dan buat saya marah," katanya kepada Mirror Daily.

Sementara itu, jiran Rolf Steiner berkata, dia seperti tidak percaya apabila melihat seekor lembu di atas bumbung dan menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa.


Sinar Harian

23 Jun 2014

Pelajar 'pailang' mengaku salah

Tiga pelajar perempuan keluar dari mahkamah setelah mengaku bersalah. FOTO Azahan Rosli
Kota Samarahan: Tiga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang terbabit dalam video 'budak pailang' mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan di sini, atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Hajah Laila Taib April lalu.
Pelajar terbabit mengaku bersalah di depan Majistret Zulhairil Sulaiman dan hukuman akan ditetapkan 11 Julai ini selepas meneliti laporan akhlak tertuduh.
Seorang tertuduh dikenakan dua pertuduhan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah, manakala dua yang lain dituduh atas kesalahan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh yang hadir ditemani ibu bapa masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis setiap minggu.
Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwaraya Nur Nisla Abd Latif manakala tertiduh tidak diwakili peguam.
Video tertuduh membelasah mangsa dimuatnaik di Youtube dan menjadi viral di laman sosial.
myMetro

Video: Pemain BOlasepak Piala Dunia Ghana Bersedekah Bantu Penduduk Islam Brazil

Sulley Muntari

KEBIASAANNYA peminat bola sepak mengetahui pemain manakah yang mendapat pendapatan paling tinggi dan mereka yang menghimpun pelbagai jenis kereta sukan selain skandal bersama wanita.
Tetapi berapa ramai pula yang tahu siapakah pemain bola sepak dunia paling pemurah dalam saingan Piala Dunia kali ini.
Dermawan yang dimaksudkan ialah bintang Ghana, Sulley Muntari yang juga pemain tengah AC Milan.
Muntari yang beragama Islam sebelum ini cukup terkenal di Ghana apabila dia membina sebuah masjid di kampung halamannya selain kerap membantu saudara seIslam yang kesusahan.


Berikutan itu, dalam kempen Piala Dunia kali ini, Muntari mendapatkan pelepasan khas daripada jurulatihnya, Kwesi Appiah untuk ke kawasan penempatan masyarakat Islam miskin di Brazil iaitu di Maceio untuk bersedekah.
Ketika berjalan dan bergambar bersama masyarakat Islam di situ Muntari turut menghabiskan wangnya dengan bersedekah sebagai usaha membantu saudara seIslam yang kesusahan.
Sumber

21 Jun 2014

Polis Yang Tertuduh Dalam Kes Altantuya Ditangkap Khalwat

Azilah Hadri ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam kes Altantuya pada 2011.

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, pada Khamis ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita. 

Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu.

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka.


"Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43.

Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.


mStar Online

20 Jun 2014

Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan 27 Jun


KUALA LUMPUR: Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa ialah pada petang Jumaat, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban. 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi). 

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.

Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.

Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Sumber

Port Mak Ngah Skodeng !