Memaparkan catatan dengan label rumahtangga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rumahtangga. Papar semua catatan

29 Oktober 2014

Wanita mati dipukul kerana amal sihir

  • Aktiviti memburu ahli sihir yang mensasarkan golongan wanita menjadi kebiasaan di beberapa bahagian di India. - Foto AFP

Seorang wanita dibunuh olah saudara-mara kerana disyaki mengamalkan ilmu sihir di daerah Weragama, di sini.

Menurut laporan polis, Dukalheen Bai mati selepas dibogel, dipukul dan diseksa selama beberapa jam oleh abang iparnya, Nakul Patel dan beberapa lagi ahli keluarga mangsa.

Patel menuduh mangsa mengamalkan sihir yang menyebabkan anak lelakinya jatuh sakit.

Dia kemudian ditahan bersama 10 orang lagi ahli keluarga termasuk lima orang wanita yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, lapor AFP.

Menurut anak mangsa, Ashok Patel, ibunya dipukul dengan teruk di hadapan orang kampung, numun tiada seorang pun tampil membantu wanita tersebut.

“Ibu saya menjerit tapi orang kampung hanya melihat. Saya cuba menghalang namun tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Tradisi memburu ahli sihir ini menjadi amalan kaum tertentu di India yang masih memegang kepercayaan terhadap kuasa sihir dan mistik.

Namun terdapat juga yang mengambil kesempatan dengan mensasarkan golongan janda untuk mendapatkan harta dan tanah mereka.

Awal bulan ini, bekas atlet lontar lembing India, Debjani Bora turut diikat dan dipukul dengan teruk setelah dituduh mengamalkan sihir di kampungnya di sebelah utara-timur Assam.

SH

27 Oktober 2014

Cinta sehingga hujung nyawa

  • Posting Twitter menunjukkan seorang lelaki warga emas menikmati makanan di restoran makanan segera ditemani gambar mendiang isterinya.

Seorang pengguna laman sosial Twitter, Madinah Bashizadah memuat naik gambar yang menyentuh perasaan menunjukkan cinta sejati  benar-benar wujud.

Bashizadah memuat naik gambar yang menunjukkan seorang lelaki warga emas sedang makan di restoran makanan segera 'In-N-Out Burger' ditemani sekeping gambar mendiang isterinya.

Menurut kenyataan Bashizadah kepada The huffington Post, dia ternampak lelaki tersebut sedang menikmati makanan sambil menghadap gambar yang diletakkan di atas meja.

“Saya andaikan yang wanita dalam gambar tersebut adalah isterinya dan sudah tiada lagi di dunia. Ia sesuatu yang indah, dalam masa yang sama sangat merobek hati saya,” katanya.

Tambahnya, pengunjung restoran yang menyaksikan kejadian itu turut berminat mendengar kisah disebalik gambar dan meminta lelaki itu berkongsi ceritanya.

Lelaki tersebut memberitahu mendiang isterinya meninggal dunia lima tahun yang lalu. Mereka bertemu kali pertama semasa berusia 17 tahun, namun terpisah disebabkan Perang Dunia ke-2.

Difahamkan lelaki tersebut terus mencari wanita tersebut selama 10 tahun. Suatu hari, dia menceritakan kisahnya kepada seorang tukang cukur yang sebenarnya merupakan bapa kepada wanita yang dicarinya. Mereka kemudian berkahwin selama 55 tahun sebelum wanita tersebut meninggal dunia.

Bashizadah memberitahu, lelaki tersebut sentiasa membawa gambar mendiang isterinya itu ke mana-mana sahaja.

Menurutnya, bahagian hadapan gambar tersebut menunjukkan gambar lelaki tersebut dengan mendiang isterinya duduk di sofa . manakala, bahagian belakang merupakan gambar lelaki tersebut bersama mendiang isterinya ketika zaman muda.

SH

24 Oktober 2014

Polis siasat panggilan kecemasan bantu siapkan kerja sekolah

TWITTER - DUA anggota polis di Stockholm, Sweden membantu seorang budak lelaki menyiapkan kerja sekolahnya baru-baru ini.

Dua anggota polis yang menyiasat satu panggilan kecemasan yang dibuat oleh seorang budak lelaki akhirnya membantu kanak-kanak tersebut membuat kerja sekolah.


Budak lelaki berusia 11 tahun itu tinggal seorang diri di sebuah rumah di bandar ini selepas ibu bapanya keluar bekerja sebelum terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
Bimbang rumahnya dimasuki pencuri, budak itu telah menghubungi pihak polis yang kemudian menghantar dua anggota untuk menyiasat aduan berkenaan.
Bagaimanapun, selepas mendapati keadaan di rumah itu selamat, dua anggota polis berkenaan mengambil keputusan menemani budak tersebut kerana bimbang dengan keselamatannya.
Gambar dua anggota polis itu yang sedang membantu kanak-kanak berkenaan membuat kerja sekolah kemudiannya telah dimuat naik di laman Twitter jabatan polis bandar tersebut.
Gambar berkenaan dikongsi ramai pengguna dan turut menerima pujian orang ramai yang terharu dengan keprihatinan kedua-dua pegawai polis tersebut. – Agensi
KOSMO!

Muhdalena, wanita kes amuk lari dari hospital

Muhdalena Ahmad, 28, memakai topeng ketika meninggalkan perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini. -Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Muhdalena Ahmad, wanita yang terlibat dengan kejadian amuk di depan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya dua tahun lepas, melarikan diri dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
   
Muhdalena, 30, yang dimasukkan ke HSA pada Ahad lepas kerana bersalin, didapati hilang dari hospital itu pada kira-kira 9 pagi.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan dalam kenyataan di sini berkata polis giat mencari Muhdalena, yang merupakan tahanan di Hospital Permai, Tampoi.
   
Suspek pernah dituduh di Mahkamah Putrajaya, Kuala Lumpur mengikut kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
   
Pada akhir perbicaraan, suspek dimasukkan ke Hospital Permai atas perintah Mahkamah Putrajaya mengikut Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) demi penjagaan selamat orang yang dibebaskan.
   
Hasnan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis di talian 07-2212999. - Bernama


SH

23 Oktober 2014

Berpakaian tak sopan depan anak


Melaka: Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini tadi, atas pertuduhan berpakaian separuh bogel di hadapan anaknya, dua minggu lalu.

Tertuduh Johari Hasan, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melanggar kesopanan terhadap seorang perempuan berusia 17 tahun dengan berpakaian separuh bogel iaitu hanya memakai baju T di sebuah rumah di Kilometer 12, Kampung Bukit Pegoh di sini, kira-kira jam 10.50 malam, 11 Oktober 2014.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh bagi kesalahan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memaklumkan tidak mampu membayar jaminan berkenaan tanpa memberikan sebarang alasan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak Norina kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh lantikan peguam dan sebutan serahan dokumen pada 19 November ini.

Harian Metro

20 Oktober 2014

Percaya atau tidak ? Garaj buruk ini bernilai RM2.8 juta

GARAJ yang terletak di Jalan King, Chelsea ini menjadi garaj paling mahal di Britain. - AGENSI

Sebuah garaj kereta yang terletak di Jalan King di Chelsea bakal menjadi garaj paling mahal di Britain apabila dilelong pada harga lebih £550,000 (RM2.8 juta), lapor MailOnline semalam.

Garaj yang hanya berkeluasan 3.35 meter panjang dan 2 meter lebar itu dibina menggunakan kayu serta batu-bata dan hanya boleh memuatkan sebuah kereta.
Sebelum ini garaj berkenaan yang terletak di antara deretan rumah teres dan bangunan lain digambarkan berada di lokasi yang tidak teratur dan tidak strategik.
Bagaimanapun, nilai hartanah di kawasan tersebut termasuk garaj berkenaan melambung tinggi selepas sebuah syarikat pemaju mendapat kelulusan untuk membina sebuah perumahan mewah di kawasan berkenaan.
Pemilik garaj berkenaan melelong tapak tersebut baru-baru ini dan ia dibeli oleh seorang pembida selepas mengetahui ia bakal menjadi lokasi eksklusif tidak lama lagi.
Sumber(KOSMO!)

08 Oktober 2014

Hidup bermadu ujian hebat saya dan Aida - Erma Fatima

ERMA bersama madunya, Aida Abdul ketika beraya di rumah mentua mereka. - Foto ihsan Erma Fatima
KUALA LUMPUR: Tindakan Erma Fatima memuat naik gambar beliau beraya bersama madunya, Aida Abdul di kediaman keluarga mentuanya membuktikan bahawa sutradara itu menerima dengan hati terbuka suratan suaminya, Bade Azmi berkahwin lain.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi kononnya Erma tidak merestui perkahwinan kedua suaminya, sekali gus tidak rela bermadu.
Malah lebih buruk lagi apabila bertebaran cerita bahawa rumah tangga Erma dan Bade ibarat telur di hujung tanduk.
Bagaimanapun, semua spekulasi itu lenyap apabila gambar yang dimuat naik Erma di laman Instagram itu turut dipuji ramai pengikutnya.
Ramai yang menyifatkan Erma sebagai wanita yang cekal kerana perlu menjalani hidup bermadu.
"Tiada sebab untuk saya bermusuh dengan dia (Aida). Hidup di dunia ini pun sementara saja. Saya berkahwin dengan suami sudah 24 tahun. Andai dia pilih untuk kahwin lain, maknanya dia inginkan kebahagiaan. Saya pun nak tengok dia bahagia.
"Kalau cara itu (berkahwin lain) yang mampu saya buat untuk membahagiakan dia, saya reda. Poligami ini mungkin juga satu tugasan dari Tuhan untuk ajar saya jadi ikhlas. Dan ternyata saya sedang melalui ujian itu," kata Erma.
Menurut Erma, beliau enggan mengambil pusing apa persepsi orang di luar mengenainya.
"Saya tak peduli. Tiada cinta yang kekal pun di dunia ini. Kenapa saya perlu berperang dan bermusuh hanya untuk berebut cinta.
"Bagi saya, cinta yang agung ialah cinta yang tak kesampaian. Namun kita tetap bertahan meneruskan kehidupan.
"Lihat saja contoh, cerita Romeo dan Juliet, Laila Majnun atau Uda dan Dara. Semua cinta yang dipapar hancur di tengah jalan. Tapi itu juga cerita cinta agung yang dibanggakan seluruh pelusuk dunia.
"Mungkin saya boleh dapat apa saja yang dimahukan di dunia ini tapi bukan cinta," katanya.
Mengenai Aida, Erma menyifatkan madunya itu seorang yang baik.
"Kami berdua dalam proses kenal mengenal. Dia cuba menyesuaikan diri dengan keluarga yang baru. Ia bukan perkara mudah dan dia sanggup lakukannya. Itu juga bererti dia benar-benar cintakan suami saya.
"Dalam erti kata lain, hidup bermadu ini ujian hebat buat saya dan dia. Saya sendiri tidak kejar bahagia tapi nak sangat mencari erti sebenar keikhlasan.
"Saya mahu ikhlas menerima dia sebagai adik demi kebahagiaan mereka," katanya. 
- Oleh Zaidi Mohamad (BH)

06 Oktober 2014

Kanak-Kanak 7 Tahun Dipercayai Didera Bapa Dan Teman Wanita

HANISAH memegang cucu angkatnya yang cedera didera.
MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki berkenaan di sebuah rumah di Paya Rumput di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai kerap menjadi mangsa dera pasangan berkenaan berdasarkan kesan kecederaan lama dan baharu di seluruh belakang badan mangsa.
Beliau berkata, laporan berhubung kes dera kanak-kanak itu dibuat nenek angkat kanak-kanak tersebut yang juga tuan rumah yang diduduki keluarga mangsa, di balai Tanjung Minyak kira-kira 6.05 petang pada Selasa (30 September).
"Wanita itu mendakwa pasangan berkenaan kerap mendera kanak-kanak tersebut menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang selain ditumbuk serta dihentak kepala ke dinding," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata sehubungan itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 31 tahun, ditahan bagi membantu siasatan ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 2.30 petang Rabu (1 Oktober).
Raja Shahrom berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang biskut di Batu Berendam di sini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis manakala teman wanitanya dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama kerana menyusu anaknya berusia dua tahun.
Katanya, kanak-kanak perempuan mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, nenek angkat kanak-kanak itu berkata, teman wanita kepada bapa kanak-kanak itu merupakan anak angkatnya yang menumpang di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu.
"Tangan kanak-kanak itu berbalut simen ketika hari pertama tiba di rumah saya dan apabila ditanya mangsa dikatakan patah tangan akibat terjatuh tangga di rumah sewa mereka di Masai, Johor," kata tukang cuci di sebuah sekolah di Paya Rumput itu.
Dia mendakwa sering melihat kanak-kanak itu dipukul bapa dan anak angkatnya itu walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga mengakibatkan kecederaan di seluruh anggota badan.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani berkata, pasangan itu ditahan di rumah berkenaan kira-kira 12 tengah malam pada 29 September lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan Seksyen 54 enakmen sama kerana melahirkan anak luar nikah.
mStar Online

04 Oktober 2014

Lembu ganggu sesi fotografi pengantin

Brian dan pasangannya terkejut apabila tiba-tiba dihampiri oleh seekor lembu yang cuba menyerang mereka

Satu pasangan pengantin cemas selepas seekor lembu tiba-tiba cuba menyerang mereka ketika satu sesi fotografi di sebuah kawasan ladang di sini baru-baru ini lapor New York Daily News kelmarin.

Pasangan berkenaan, Brian dan Rebecca Pepper yang baru berkahwin pada 21 September lalu mengupah seorang jurugambar, Rachel Deane untuk merakamkan detik bahagia mereka.
Ketika pasangan berkenaan sedang merakamkan gambar di satu kawasan padang rumput tiba-tiba mereka dihampiri seekor lembu jantan.
Lembu jantan itu dilihat cuba menyerang Rebecca tetapi Brian yang menyedari perkara itu segera mempertahankan isterinya sebelum menghalau lembu tersebut.
Deane yang turut terkejut sempat merakamkan aksi Brian menghalau haiwan berkenaan dan gambar tersebut menarik perhatian pengguna internet selepas dia memuat naik gambar di laman Facebook miliknya.
“Lihatlah lembu ini yang cuba mencabar Brian untuk mendapatkan cinta Rebecca,” kata Deane. 
– Agensi(kosmo!)


29 September 2014

Merajuk lantas,Terlelap di pucuk kelapa

WARGA emas yang enggan turun dari pokok kelapa di Kampung Sinarut Lama, semalam.
Ranau: Merajuk kerana tidak diberikan sebotol arak, seorang warga emas mengambil keputusan memanjat pokok kelapa dan enggan turun selama lebih lima jam sehingga memaksa orang ramai menghubungi pasukan penyelamat bagi membantu menurunkan mangsa.
Dalam kejadian jam 7 pagi di Kampung Sinarut Lama, di sini, semalam, warga emas berusia 70 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas dikatakan merajuk dengan rakan yang enggan memberi arak kepadanya.
Lelaki terbabit memanjat pokok kelapa setinggi lebih enam meter untuk mengambil nira, tetapi enggan turun. 

Menurut saksi, orang ramai memujuknya turun, tetapi lelaki itu berkeras mahu berada di atas pokok.
Difahamkan, warga emas itu dipercayai tertidur beberapa kali sehingga penduduk menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta bantuan.
myMetro

27 September 2014

Pengantin cipta rekod dunia pakai gaun terpanjang

  • Gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang memerlukan 40 pengapit untuk mengangkatnya. - Foto: Metro.co.uk

Kira-kira 40 pengapit diperlukan bagi mengangkat gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang dipakai oleh seorang pengantin perempuan yang melangsungkan hari bahagianya baru-baru ini.

Menurut laporan Metro.co.uk gaun pengantin yang seberat 50 kilogram yang dipakai oleh Jeng Mei yang berasal dari Chengdu, China.

Difahamkan, dia dan suaminya berhasrat memecahkan rekod dunia dengan memakai gaun pengantin terpanjang.

“Kami akan menghubungi World Guinness Record untuk mendapatkan pengikitirafan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu menurut suaminya, Yuan pula, baju pengantin tersebut dianggarkan bernilai £4000 (RM21, 277).


Sumber

26 September 2014

Majlis kahwin rosak angkara mak andam


SEREMBAN – Impian sepasang pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia mereka minggu lalu, bertukar pengalaman ngeri apabila mereka ditipu mak andam.

Lebih teruk, pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 42, dan Nina, 32, terpaksa membeli persalinan lain sebagai ganti disebabkan mak andam dinantikan hanya tiba 15 minit sebelum majlis persandingan bermula.

Menceritakan kejadian itu, Zack berkata, dia dan isteri membuat keputusan memilih mak andam berkenaan yang ditemui di pameran pengantin di pusat membeli-belah Terminal 2, Februari lalu selepas tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan.

“Pakej ditawarkan meliputi pelamin, jurugambar, solekan dan lapan persalinan baju dengan hanya RM1,500. Selepas berbincang dengan isteri, kami telah pergi ke kedai mak andam itu di Seremban Jaya beberapa hari kemudian untuk membuat tempahan,” katanya.

Menurutnya, dia membayar deposit sebanyak RM450 pada 10 Februari lalu selepas membuat pilihan pelamin dan pakaian pengantin serta membuat bayaran tambahan RM700 pada 26 Mac lalu.

Namun, kata Zack, dia dan isteri mula berasa tidak sedap hati kerana sukar berurusan dengan wanita terbabit bagi membincangkan persediaan majlis perkahwinan mereka.

“Bila kita telefon mahu tengok baju dan buat fitting, dia beri alasan sibuk dan selalunya gagal untuk dihubungi. Tapi disebabkan kami telah membuat bayaran dan majlis perkahwinan pun tidak lama lagi, saya bersangka baik mungkin dia betul-betul sibuk," katanya.



Bagaimanapun, katanya, perasaannya bertambah tertekan kerana sebaik saja hari dinantikan, pelamin dan pakaian diberikan tidak seperti dipesan.

“Saya pilih pelamin lain, tapi yang dia pasang pada majlis di rumah isteri saya macam pelamin budak tadika buat. Baju pula dia beri bukan yang kami pilih," katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila pada majlis bertandang di rumahnya pula, dia dan isteri terpaksa memakai pakaian sendiri kerana wanita terbabit gagal dihubungi.

Zack berkata, suami kepada mak andam itu hanya tiba kira-kira 15 minit sebelum majlis bermula dan memberi alasan isterinya tidak dapat datang kerana terjatuh di dalam tandas.

“Bayangkan, tertekannya kami ketika itu. Tapi mahu buat macam mana, majlis perlu diteruskan kerana tetamu sudah dijemput.

“Mereka berjanji mahu memulangkan semula wang yang dibayar sebanyak RM1,150. Tapi tak tahulah macamana," katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini
.

Sinar Harian

25 September 2014

Bayi diserang biawak makin pulih

Nor Raudah Abdullah, 38, bersama bayinya, Nur Hidayah Abdul Rahman yang berusia lapan bulan yang semakin pulih ketika ditemui di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu di Jphpr Bahru hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Nur Hidayah Abdul Rahman, bayi berusia lapan bulan yang menjadi mangsa serangan seekor biawak di kuarters sebuah resort di Kampung Tekek, Tioman, Pahang, Selasa lepas, menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
    
Pegawai Perubatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Low Tzuemn Ling berkata, Nur Hidayah yang menerima 150 jahitan akibat cakaran biawak terbabit dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat, tetapi perlu menghadiri rawatan susulan di hospital berkenaan untuk memulihkan parut yang dialaminya.
    
"Buat masa ini kita sedang lihat proses penyembuhan luka dan dijangkakan jahitan itu akan dibuka seminggu lagi. Setakat ini, keadaan Nur Hidayah stabil cuma kita sedang memantaunya daripada sebarang jangkitan," kata beliau kepada pemberita di Wad Kanak-Kanak HSA, di sini hari ini.
    
Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Asiah Md Ariff yang melawat bayi berkenaan di wad kanak-kanak itu.
    
Dr Tzuemn Ling berkata, parut di muka Nur Hidayah kemungkinan sukar hilang, namun, rawatan susulan akan terus diberikan kepada bayi itu bagi meminimumkan kesan parut itu.
    
Meskipun pihaknya amat terkejut apabila melihat keadaan Nur Hidayah ketika tiba di hospital tempoh hari, beliau telah memastikan segala prosedur rawatan yang dilakukan terhadap bayi itu dilakukan dengan penuh teliti.
    
Sementara itu, Asiah berkata pihaknya menyediakan seorang pegawai kaunseling untuk membantu ibu bayi itu, Nor Raudah Abdullah, 38, sehingga pulih sepenuhnya daripada trauma yang dialaminya memandangkan wanita itu masih terbayang-bayang kejadian itu.
    
"Kita harap kaunseling ini sekurang-kurangnya dapat melegakan keadaan ibu bayi tersebut. Dia kelihatan biasa pada hari ini tetapi kita faham, untuk hilangkan trauma itu bukan perkara yang mudah," kata beliau yang turut menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa bayi itu.
    
Sementara itu, bapa Nur Hidayah Abdul Rahman Ismail, 38, berkata kelibat biawak yang berkeliaran di sekitar rumah dan resort berkenaan biasa dilihat setiap hari, namun, tidak menyangka haiwan itu bertindak memasuki rumah.
    
Abdul Rahman yang merupakan pekerja penyelenggaraan di resort tersebut, turut berkata kawasan sekeliling resort itu amat bersih dengan dilengkapi landskap tanaman.
    
Beliau berkata ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja dan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak majikan.
    
"Saya rasa macam hendak mati bila dapat tahu perkara itu dan terus bergegas ke Klinik Kesihatan untuk melihat anak saya yang sudah dibawa ke sana. Setiap hari saya nampak biawak berkeliaran di kawasan rumah dan resort tetapi kejadian biawak memasuki rumah memang pertama kali terjadi," katanya yang tinggal di kuarters resort tersebut sejak setahun lalu. - Bernama

24 September 2014

YouTube buat kanak-kanak lapan tahun dapat hasil AS1.3 juta setahun

Saluran YouTube Even turut mendapat jumlah tontonan sebanyak 750 juta dalam masa beberapa tahun.


Mungkin kita tidak pernah mendengar namanya, namun tanpa kita sedari Evan, 8 dari Amerika Syarikat adalah kanak-kanak paling popular di dunia.

Hanya dengan memuatnaik rebiu permainan kanak-kanak dan ‘video games’ kegemarannya di YouTube, Evan berjaya memperolehi  pendapatan sebanyak US 1.3 juta setahun.

Saluran YouTube Evan turut mendapat jumlah tontonan sebanyak 750 juta dalam masa beberapa tahun ia dimuatnaik.

Angka itu meletakkan Evan setanding dengan tontonan yang diperolehi artis antarabangsa yang lain seperti Katy Perry, Madonna serta saluran ESPN.

Namun Evan tidak melakukannya sendirian, kanak-kanak tersebut mendapat pertolongan bapanya, Jared dan kadangkala adik perempuan dan ibunya turut menyertai Evan melakukan rebiu.


Jared yang juga dikenali sebagai DaddyTube memiliki syarikat fotografi dan video produksi sendiri bertanggungjawab menyunting rakaman video Evan.

Menurut laporan Newsweek.com, projek keluarga tersebut dimulakan Jared tiga tahun lepas hanya sekadar suka-suka sehinggalah salah satu video mereka mencapai tontonan sehingga sejuta tontonan.

Semenjak itu, anaknya sering mendapat permintaan untuk membuat rebiu produk permainan kanak-kanak.

Pendapatan yang dimiliki Evan adalah hasil dari jualan iklan di laman YouTubenya.

Kata Jared yang masih bekerja, duit tersebut tidak digunakan untuk menampung keluarganya namun dimasukkan terus ke dalam bank simpanan untuk masa depan anak-anaknya.

Sehingga kini Evan telah memiliki tiga saluran YouTube iaitu EvanTubeHD, EvenTubeRAW dan EvenTube Gaming.

Astro Awani

23 September 2014

Akibat abaikan anak


SEPASANG suami isteri, Idle Gillian Hendry dan Craig Dick, masing-masing berusia 34 tahun hilang hak penjagaan anak selepas dituduh mengabaikan dua anak mereka di Teesdale Terrace, Britain.

Dalam kertas pertuduhan di bacakan di Mahkamah Crown, pasangan itu dikatakan mengabaikan dua anak mereka berusia 12 tahun dan dua tahun dengan meninggalkan mereka di dalam bilik kotor dan busuk.

Menurut Dailymail, lebih menyedihkan, seorang daripada anaknya dilaporkan buta mata kiri kerana  pasangan itu gagal membawa anak mereka untuk temu janji di hospital.

Tindakan pengabaian kanak-kanak itu terbongkar selepas sekumpulan pekerja sosial dari hospital berkenaan pergi ke rumah pasangan itu untuk mengetahui alasan mengapa mereka gagal menemui doktor bagi melakukan pembedahan mata berkenaan.

Ketika memasuki rumah terbabit, terdapat puluhan plastik sampah di ruang tamu dengan pakaian tidak berbasuh dan tandas kotor yang dipenuhi najis serta tilam berkulat.

Hakim Mahkamah Crown berkata, tindakan pasangan itu amat kejam kerana membiarkan anak-anak mereka hidup dalam keadaan mengerikan dan sangat kotor.

Bagaimanapun, peguam pasangan itu Peter Wishlade berkata, ibu kanak-kanak itu mengalami kemurungan hingga gagal melayan anak-anaknya manakala bapa mereka seorang yang pengotor.

"Dia adalah seorang lelaki yang tidak tahu menjaga kebersihan diri dan tertekan dengan masalah isterinya," katanya.

Keputusan penghakiman diakhiri dengan hakim memutuskan, kedua-dua pasangan itu hilang hak penjagaan terhadap anak-anak mereka dan pasangan itu ditahan di bawah penjagaan pakar sakit jiwa di hospital tempatan.


Sinar Harian

18 September 2014

Buat Perangai Pelik Gara gara Cinta Terlarang


IPOH - Akibat cinta tidak direstui, seorang lelaki sanggup menghalang kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga untuk melarikan kekasihnya.
 
Malah, lelaki terbabit turut merayu kepada kekasihnya itu supaya jangan meninggalkannya dan mengajaknya berkahwin.
 
Lebih melucukan apabila lelaki berkenaan turut membuat upacara perkahwinan di dalam kereta dengan mengenakan tali di leher kekasihnya sebagai simbol mereka sudah berkahwin.
 
Dalam kejadian Isnin lalu jam 11 malam, semasa mangsa bersama ibu, abang dan kakak iparnya berada dalam kereta Perodua Viva melalui jalan di Desa Pinji, Lahat tiba-tiba muncul sebuah kereta Proton Persona warna hitam melanggar hadapan kereta yang dinaiki keluarga tersebut.
 
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, selepas pelanggaran itu berlaku, tiga lelaki keluar dari kereta tersebut dan seorang daripada mereka adalah teman lelaki mangsa berusia 25 tahun.
 
“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, bertindak memecahkan cermin kereta dan memukul abang mangsa sebelum menarik keluar mangsa dari kereta serta melarikannya menaiki keretanya.
 
“Abang mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan dan kereta mereka rosak di bampar, bonet depan dan cermin kereta pecah dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Menurutnya, susulan kejadian itu, abang mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai operator kilang membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai, kelmarin.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pembantu tadbir berusia 22 tahun itu telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak empat tahun lalu.
 
“Bagaimanapun, keluarga mangsa menghalang hubungan mereka apabila mengetahui suspek terbabit dalam kegiatan dadah,” ujarnya.
 
Katanya, polis berjaya mengesan suspek bersama mangsa dalam keadaan selamat di Taiping dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.
 
“Lima rakan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, semakan kami mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan,” katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 363, 427, 323 dan 448 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

17 September 2014

Warga Emas Tumbuk Perompak, Gagalkan Cubaan Ragut


CUBAAN seorang lelaki untuk merompak wanita berusia 80 tahun gagal apabila wanita warga emas itu menumbuk mulut suspek untuk mempertahankan dirinya.

Wanita itu diserang ketika sedang berjalan-jalan bersama dengan anjingnya di antara Bellevue Road dan Invicta Road di Whitstable, Kent kira-kira pukul 7.20 pagi waktu tempatan.

Perompak terbabit yang berpakaian serba hitam dan memakai penutup kepala cuba meragut beg tangan wanita tersebut.

Namun, sebaliknya berlaku apabila wanita warga emas itu bertindak menumbuk mulut perompak itu.

Akibatnya, perompak tersebut bergegas melarikan diri.

Ketua Polis Kent, Inspektor Paul Fotheringham berkata, suspek tersilap dalam memilih mangsa yang masih kuat untuk mempertahankan dirinya.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung serangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.
mStar Online

15 September 2014

Pasangan Dapat Kebenaran Namakan Bayi Leonwl Messi

Lionel Messi

BUENOS AIRES: Seorang bapa yang begitu meminati Lionel Messi berusaha mengemukakan permohonan pengecualian undang-udang hanya untuk memenuhi impian menamakan anaknya sempena pemain bola sepak terkemuka Argentina itu.

Walaupun terpaksa naik turun pejabat untuk mengemukakan permohonan di bandar General Roca, ia memberi kepuasan buat Daniel Valera apabila mendapat kelulusan pengecualian.

Pegawai meluluskan permohonan berkenaan dan mengeluarkan sijil kelahiran untuk Messi Daniel Varela.

Mengikut undang-undang era diktator 1969 negara itu, ibu bapa dihalang menamakan anak mereka menggunakan nama bapa sebagai nama pertama.

Daniel Varela menanam impian untuk menamakan anaknya dengan nama Lionel Messi sejak pertama kali melihat penyerang Barcelona itu bermain untuk pasukan remaja kebangsaan Argentina.

“Saya melihat Messi bermain dengan pasukan di bawah 17 tahun. Dia sungguh hebat dan sejak itu saya berhasrat menamakan anak saya sempena namanya.

Selepas dikurniakan dua anak perempuan dan menunggu lapan tahun, Varela tidak mahu melepaskan peluang apabila isterinya melahirkan anak lelaki baru-baru ini.

"Dan kini saatnya sudah tiba dan saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” kata Varela.

mStar Online

12 September 2014

Ketagih makan lilin


SESETENGAH orang mempunyai tabiat menggigit kuku yang dianggap tidak sihat kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Tetapi, kembar berumur 50 tahun dari Bradford, England ini mempunyai ketagihan pelik akibat masalah gangguan makanan atau Pica yang menyebabkan mereka cenderung memakan bahan tertentu.

Adele mendakwa dia gemar memakan lilin sejak berumur lapan tahun dan ia langsung tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatannya.

Kembarnya, Anita memberitahu dia mengalami Pica ketika hamil kira-kira 24 tahun lalu.

"Saya mula mengidam objek yang berbau seperti tiket bas lama dan akhirnya menemui bau sama pada buku terpakai. Rasanya juga lebih enak seperti memakan bar coklat," katanya.

Ahli psikologi, Marcia Karp memaklumkan terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang ketagih untuk mengambil 'makanan' pelik sepanjang hidup mereka.

"Sebagai contoh, Pica mungkin dialami sesetengah wanita hamil dan kadang-kadang disebabkan oleh defisit mineral," jelasnya kepada DailyMail.


Sinar Harian

11 September 2014

Khalwat dengan dua wanita

  • Seorang lelaki dan dua wanita yang dicekup berkhalwat oleh penguatkuasa Jaipk dalam sebuah premis rumah kedai di Parit Buntar.

PARIT BUNTAR - Alasan menumpang tidur di rumah rakan sekerja digunakan seorang pemandu bas untuk mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) Cawangan Parit Buntar tidak berhasil apabila dia ditahan setelah disyaki berkhalwat dengan dua wanita di sebuah premis rumah kedai, Jalan Syahbandar, Pusat Bandar Parit Buntar di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40-an yang berstatus suami orang itu disyaki berkhalwat bersama dua kerani kaunter sebuah syarikat bas ekspress berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Jurucakap Jaipk Cawangan Parit Buntar berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam itu melibatkan  lima anggota penguatkuasa Jaipk Cawangan Parit Buntar.

Menurutnya,  dalam kejadian jam 11.45 malam itu, penguatkuasa Jaipk terpaksa menunggu kira-kira 15 minit di pintu premis yang dibuka seorang wanita berusia 20 tahun.

"Apabila penguatkuasa memasuki premis itu, mereka mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tidur di bilik berasingan, manakala gadis yang membuka pintu itu mendakwa tidur bersama rakan wanitanya.

“Ketika disiasat, ketiga-tiga individu itu mengaku tiada sebarang ikatan sah, manakala lelaki terbabit beri alasan terpaksa menumpang tidur di rumah rakan wanita memandangkan dia perlu memandu bas ke Kuala Lumpur pada awal pagi,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah soal siasat dilakukan ke atas dua wanita ditahan, pemandu bas itu menukar keterangan dengan mendakwa menyewa sebuah bilik di dalam premis itu sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, kenyataan kesemua individu itu meragukan memandangkan anggota penguatkuasa menemui beberapa bukti di dalam sebuah bilik di premis tersebut.

“Lelaki terbabit difahamkan sudah berkahwin dan tinggal di Butterworth, Pulau Pinang, manakala dua wanita itu pula berasal dari Bandar Baharu dan Langkawi, Kedah.

“Berikutan itu, ketiga-tiga mereka diberikan notis menghadiri sesi kaunseling di Pejabat Majlis Agama Islam Daerah Kerian di Parit Buntar pada hari Isnin (hari ini)," katanya.

Jurucakap Jaipk berkata, lelaki terbabit juga diarahkan segera meninggalkan premis berkenaan dan akan dikenakan tindakan tegas jika ditangkap berkhalwat sekali lagi.

Sinar Harian

Port Mak Ngah Skodeng !