Memaparkan catatan dengan label Mahkamah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mahkamah. Papar semua catatan

16 April 2014

Kadar Cerai Di Selangor Tinggi

SHAH ALAM: Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor berada pada tahap tinggi setiap tahun sejak 2008, demikian diberitahu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata terdapat 4,069 kes pada 2008, meningkat kepada 4,614 (2009), 5,352 kes (2010), 6,035 kes (2011), 6,098 kes (2012) dan pada 2013 merekodkan 6,028 kes.
Beliau berkata bagi pecahan kadar perceraian mengikut daerah, Gombak merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,160 kes diikuti Klang (1,048 kes), Petaling (997 kes) dan Shah Alam (807 kes).
"Kadar perceraian yang tinggi ini memerlukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengkaji semula punca sebenar berlakunya perceraian. Bagaimanapun berdasarkan maklumat, antara punca (kadar perceraian tinggi) ialah ada pasangan berkahwin di luar Selangor tetapi bercerai di negeri ini," katanya.
Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang ingin tahu jumlah perceraian mengikut tahun sejak 2008, pecahan kadar perceraian mengikut daerah serta langkah kerajaan negeri mengurangkan kadar perceraian di negeri itu.
Halimah turut menyenaraikan usaha untuk menangani kadar perceraian yang tinggi, termasuklah menilai semula modul kursus perkahwinan, memberi kaunseling kepada pasangan bermasalah serta membentuk jawatankuasa pendamaian.
mStar Online

15 April 2014

Isteri gila games tidak pernah berenggang dengan iPad,abaikan Suami

Amin makan hati isteri luangkan lebih banyak masa main game

“DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game,” kata seorang suami mengenai sikap isterinya.

Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.

Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.

“Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.

“Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang,” katanya.

Jelasnya, isterinya suka bermain game 'Candy Rrush' dan game lain melalui Facebook seperti 'Restoran City' dan sebagainya.

Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.

Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.

'Uninstall' semua permainan

Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.

Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.

Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah ‘uninstall’ semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini,” katanya.

Suami perlu bijak selesai masalah

Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.

“Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.

Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.

Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.

“Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah ‘miss’.

“Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game 'Angry Bird',” katanya.


Sinar Harian

03 April 2014

JURURAWAT SUNTIK MATI 3 BAYI

imej google

HANOI - VIETNAM. Seorang jururawat di sebuah hospital di Vietnam mengaku membunuh tiga bayi baru lahir apabila menyuntik mereka dengan anestetik dan bukannya vaksin hepatitis B.

Jurucakap polis, Nguyen Van Loi berkata, suspek Nguyen Thi Thuan dari hospital besar daerah Huong Hoa di wilayah Quang Tri didakwa tidak sengaja menyebabkan kematian pada Julai tahun lalu akibat melanggar etika dan peraturan pentadbiran.

"Semasa ditahan minggu lalu, Thuan mengaku menyuntik ketiga-tiga mangsa dengan Esmeron, iaitu sejenis ubat yang biasanya digunakan sebagai anestetik am," katanya dipetik DPA.

Sinar Harian

29 Mac 2014

Penjenayah dibebas kerana badan besar ?

Devon (England): Seorang penjenayah setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan selepas hakim menyatakan katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya.
Jude Medcalf, 23, dari Newton Abbot melakukan jenayah selepas dia disahkan menghidap sindrom Klinefelter.
Penyakit itu mengganggu sistem tumbesarannya, menyebabkan dia terus membesar. 
Dalam satu kejadian terbaru, dia menakutkan seorang wanita dengan melepaskan tembakan menggunakan pistol tiruan melalui sebuah tingkap sebelum melarikan hadiah Krismas bernilai £30 (RM163) dan sejumlah wang daripada pejabat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS), lapor mahkamah Exeter Crown.
Foto
Mahkamah diberitahu yang Medcalf kemudiannya ditemui dengan makanan yang dicuri dari kelab The Sloop ketika kakitangannya leka.
Dia dibebaskan dari penjara selepas mahkamah mendapati dia sudah 75 hari ditahan.

Ketika dalam tahanan, dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana tiada katil atau pakaian penjara yang muat dengannya.

Medcalf yang turut menghidap masalah kecelaruan kromosom hingga menyebabkan dia bersikap keanak-anakan dikenakan hukuman enam bulan tahanan rumah dan 12 bulan khidmat komuniti.

Pendakwa raya, Brian Fitzherbert memberitahu mahkamah Medcalf menembak teman wanitanya selepas mendapati wanita itu menghubungi polis kerana dia menyerang kereta rakannya di Torquay.

Tembakan itu bagaimanapun terkena cermin tingkap. 

“Wanita itu ketakutan. Dia tidak mengetahui pistol yang digunakan tiruan,” kata Brian.

Medcalf mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan melakukan jenayah dengan senjata itu ketika dia mula dibicarakan. - AFP

18 Mac 2014

Gadis urut tak sempat loloskan diri

Salah seorang gadis urut yang ditemui cuba bersembunyi di bawah katil.

JOHOR BAHRU - Seramai 16 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di sebuah premis refleksologi di Taman Nusa Bestari, di sini, kelmarin.

Serbuan Ops Bersepadu sekitar jam 8 malam yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Anuar Zainal disertai 10 pegawai itu turut menahan tiga individu warga tempatan.

Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, semua yang ditahan termasuk warga tempatan dipercayai majikan dan penjaga premis itu berusia antara 19 hingga 58 tahun.

“Hasil aduan awam, serbuan dan pemeriksaan dilakukan terhadap 16 warga asing ini dan tangkapan dibuat ke atas mereka bersama tiga lelaki tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Ketika pemeriksaan, salah seorang lelaki tempatan dipercayai majikan mereka tidak memberi kerjasama, namun dia kemudiannya ditahan. Hasil pemeriksaan badan, terdapat kad yang juga akses menuju ke tingkat atas,” katanya, di sini, semalam.

Masri berkata, penemuan kad berkenaan membawa kepada serbuan di tingkat atas yang membawa kepada penahanan tiga wanita warga asing.

Jelasnya, pada mulanya, wanita terbabit cuba meloloskan diri dengan lari ke atas bumbung bersama penjaga premis iaitu lelaki tempatan, bagaimanapun, mereka berjaya ditahan atas tindakan pantas pegawai bertugas.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati empat wanita asing bersembunyi di bawah katil dan almari di tingkat dua. Lokasi serbuan dipercayai dijadikan tempat persundalan di mana menawarkan pakej urutan batin,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing dan lelaki tempatan terbabit ditahan serta dibawa ke pejabat imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, mereka ditahan mengikut Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 56(1)(d) akta yang sama.


Sinar Harian

26 Februari 2014

Fauzi Nawawi Enggan Minta Maaf Pada Sharnaaz

Fauzi Nawawi
PETALING JAYA: Pelakon Fauzi Nawawi tidak akan tunduk dengan permintaan Sharnaaz Ahmad yang mendesaknya memohon maaf atas dakwaan telah dicaci oleh Fauzi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Fauzi berkata, dia juga terkejut apabila diminta membuat permohonan maaf kepada ibu Sharnaaz dan menyifatkan permintaan pelakon itu adalah mengarut. Malah Fauzi juga bersedia jika Sharnaaz mahu membawa kes berkenaan ke muka pengadilan.
"Buat apa saya nak minta maaf? Dalam SMS, perkataan 'ibu' saya gunakan, apa perasaan dia jika saya menengking ibunya? Itu sahaja.
"Kenapa dia nak putar belitkan SMS saya yang sudah jelas ingin bertanya pada dia sebab-sebab dia menengking Lisda?" soalnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada tengah hari Rabu.
Dakwaan itu timbul selepas Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, menghantar SMS bertanyakan sebab Sharnaaz menengking dan menyerang isterinya, aktres, Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Sharnaaz Ahmad
Sebuah akhbar pada Isnin lalu melaporkan Sharnaaz, 29, telah menyerang Lisdawati, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.
Peristiwa itu menjadi tegang apabila Fauzi dikatakan menerima SMS daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.
Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.
Sementara itu, Fauzi menyifatkan Sharnaaz mungkin menyimpan strategi sebelum membuat kenyataan kepada media.
Dalam pada itu, Fauzi turut beranggapan kelakuan Sharnaaz yang garang berpunca daripada penghayatan watak dalam drama tersebut sebagai Jebat sehingga karakter itu meresap ke dalam dirinya.
"Rasanya, lebih baik Sharnaaz pergi menjalani rawatan doktor kerana watak Jebat yang bersikap garang dan kasar mungkin sudah meresap ke dalam dirinya, memandangkan sudah empat bulan tanpa henti dia terlibat dengan penggambaran drama itu.
"Selain itu, baru saya faham kenapa tidak ramai wanita yang 'melekat' dengan dia dalam sesebuah perhubungan cinta memandangkan dia tidak pernah menghormati wanita. Sedangkan wanita bersifat lembut yang ingin dikasihi dan dibelai," ujarnya.
mStar Online

03 Februari 2014

Penyanyi Aisyah disamun

Aisyah 

MALANG tidak berbau, itulah yang boleh dikatakan mengenai nasib penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu, Aisyah apabila dia dilaporkan menjadi mangsa samun baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku semasa Aisyah sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama anaknya kira-kira jam 9.15 malam.

Akibat daripada kejadian itu Aisyah dilaporkan telah kehilangan wang tunai sebanyak RM1,000, kad pengenalan dan kad kredit.

Bagaimanapun dia dan anaknya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Oleh kerana tidak dapat mengecam wajah penjenayah terbabit dan pada masa yang sama CCTV di kawasan tersebut juga rosak, sehingga kini penjenayah terbabit masih bebas.

Diharap orang ramai akan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Kredit : Sinarharian

31 Januari 2014

Suami GILA pukul isteri dengan kapak

Kota Bharu: Sudahlah dipukul dengan menggunakan bahagian belakang kapak di kepala, lehernya pula dirantai dan dikunci dengan mangga seperti hamba.
Begitu nasib seorang suri rumah bersuamikan 'lelaki gila' berusia 26 tahun yang menghukumnya hanya kerana gagal memberikan wang seperti yang diminta dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat di sini, semalam. 
Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa berusia 21 tahun hanya dapat diselamatkan selepas bapa mangsa menghubungi polis. 

Ibu kepada dua anak termasuk seorang anak perempuan yang baru berusia 50 hari mengalami luka di kepala, leher serta lebam di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Foto
Bagaimanapun, suaminya melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.
Mengimbas detik cemas itu, mangsa berkata, sebelum kejadian, suaminya yang baru pulang ke rumah meminta wang daripadanya. 

Katanya, dia memberitahu suaminya dia tidak mempunyai wang sebelum diarahkan supaya mencari wang untuknya. 

"Saya pergi ke rumah rakan untuk meminjam wang, namun tidak berjaya kerana rakan juga tidak mempunyai wang. 

"Kerana ketakutan, saya menghubungi bapa untuk meminta pertolongan sebelum pergi ke rumah ibu saudara yang terletak berhampiran dengan rumah rakan itu," katanya ketika ditemui di HUSM, di sini hari ini. 

Menurutnya, suaminya tiba-tiba bertindak menyerangnya dengan kapak sebelum belakang senjata tajam itu mengenai kepalanya. 

"Saya nekad melarikan diri menerusi pintu dapur rumah itu, namun ditendangnya sehingga terjatuh. Saya bangun dan lari masuk ke dalam rumah sebelum terjun menerusi tingkap rumah itu untuk menyelamatkan diri. 

"Dia bagaimanapun berjaya menangkap saya dan mengheret saya balik ke rumah sebelum merantai leher dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga untuk mengelakkan saya melarikan diri," katanya. 

Menurutnya, bapanya yang mengetahui kejadian itu menghubungi polis untuk meminta bantuan. 

"Dia melarikan diri sebelum polis tiba," katanya yang berkahwin dengan suaminya sejak tiga tahun lalu. 

Mangsa berkata, suaminya sudah empat bulan tidak bekerja dan dia yang menanggung keluarga dengan mengambil upah melakukan pelbagai pekerjaan ringan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman suspek kini giat diburu untuk membantu siasatan. 

"Polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Kita minta dia menyerah diri. 

"Siasatan awal suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah dan ugutan jenayah" katanya.
Sumber myMetro


Kenapa Justin Bieber boleh diusir dari Amerika Syarikat ?


Justin Bieber tiba di sebuah balai polis di Toronto, Kanada, kelmarin. - REUTERS

WASHINGTON 30 Jan. - Penyanyi Justin Bieber, mungkin akan diusir ke negara asalnya, Kanada, selepas lebih 100,000 penduduk Amerika Syarikat (AS) menandatangani petisyen We The People semalam, menggesa supaya dia dihantar pulang.


Petisyen itu bakal dikemukakan kepada White House yang sebelum ini berjanji akan mengkajinya jika ditandatangani lebih 100,000 orang dalam tempoh 30 hari, namun tanda tangan itu dapat dikumpul hanya dalam masa enam hari.

Menurut TMZ, tindakan itu dibuat selepas Bieber ditahan di Miami, Florida, baru-baru ini.

"Kami rakyat AS mahu melihat Bieber yang membawa kesan bahaya dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah, dihantar pulang selain status penduduk tetapnya dibatalkan.

"Dia bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk negara ini, tetapi juga membawa pengaruh negatif dalam kalangan belia," jelas penduduk AS dalam petisyen tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Bieber, 19, semalam didakwa atas kesalahan menyerang seorang pemandu limousin dalam satu kejadian pada 30 Disember lalu di Kanada.

Penyanyi lagu Baby itu tiba di sebuah balai polis di Toronto bagi berdepan dakwaan, ketika berpuluh-puluh wartawan, jurugambar dan peminatnya berkumpul bagi merakamkan wajahnya.

Mengikut dakwaan, Bieber dilapor memukul lelaki itu di bahagian belakang kepalanya sebanyak beberapa kali ketika bertengkar sebelum pemandu itu memberhentikan kenderaan tersebut dan menghubungi polis.

Pemandu itu difahamkan menjemput Bieber serta lima lagi rakannya dari luar sebuah kelab malam berhampiran Peter Street and Adelaide Street kira-kira pukul 2.50 pagi waktu tempatan.
Sebutan kes penyanyi itu akan diadakan pada 10 Mac ini di Toronto.

 - AGENSI

30 Januari 2014

Personaliti TV3 sah bercerai

HASFIZZA (kanan) dan Afief Farhan ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah, Klang, Selangor semalam.

KLANG - Personaliti TV3, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, 32, sah bercerai talak satu dengan ahli perniagaan, Afief Farhan Fauzi, 33, selepas mereka bersetuju untuk berpisah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusmin meluluskan penceraian pasangan tersebut setelah meneliti dokumen perjanjian kedua-dua pihak sebelum membenarkan Afief Farhan melafaskan cerai talak satu ke atas Hasfizza.
Hasfizza yang hadir berbaju kurung merah jambu menitiskan air mata selepas mendengar lafaz cerai daripada ahli perniagaan tersebut.
KOSMO!


25 Januari 2014

Justin Bieber Ditahan Polis Kerana Mabuk

Gambar Justin yang diambil ketika ditahan di balai polis tersebar selepas penangkapannya kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.
PENYANYI Justin Bieber telah ditahan oleh pihak polis selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol pada Khamis lalu.
E News melaporkan Justin sebelum itu berpesta di sebuah kelab di Miami Beach, Florida bersama teman-temannya di samping model terkenal, Chantel Jeffries.
Gambar Justin ketika ditahan di balai polis juga tersebar luas ketika ini.
Justin (tidak berbaju) berpesta di sebuah kelab.
Menurut sumber, Justin dilihat berada di luar kawalan di parti tersebut sebelum meninggalkan majlis bersama-sama Chantel yang tidak diketahui apa sebenarnya hubungan mereka.
Wanita berkenaan turut dibawa ke balai polis kerana berada di dalam kereta sama dengan Justin ketika ditahan.
Chantel, 21, sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Lil Twist dan anak kepada P.Diddy iaitu DeSean Jackson.
Kredit : mStar Online

18 Januari 2014

Aidil Zafuan akui tak bayar duit sewa rumah

Aidil Zafuan dan Rita Rudaini

PETALING JAYA - Pemain bola sepak Kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, 27, mengaku di mahkamah rendah syariah di sini hari ini bahawa dia tidak menjelaskan bayaran rumah sewa RM3,000 sejak keluar dari rumah kelaminnya bersama pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 38, pada Januari, dua tahun lalu.

Menurutnya, bayaran rumah sewa di Kota Damansara tersebut yang diduduki Rita Rudaini bersama dua anaknya dijelaskan oleh isterinya ketika itu selama 18 bulan sehingga mereka sah bercerai pada 4 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan keterangan itu, Aidil Zafuan menarik balik keterangannya sebelum ini bahawa dia tidak pernah culas membayar nafkah untuk Rita Rudaini dan anak-anaknya.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh peguam Rita Rudaini, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam sesi soal balas terhadap pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu.

“Sepanjang tempoh anak-anak tinggal dengan plaintif (Rita Rudaini), saya memang tidak pernah gagal memberikan nafkah kepada mereka, tetapi, cuma tak bayar sewa rumah.

“Saya tidak berbohong kepada mahkamah, cuma keterangan pada 4 Disember 2013 itu tidak tepat,” katanya.

Aidil Zafuan berkata, beliau ada memaklumkan dan mengajak plaintif tinggal bersamanya di rumah yang disediakan oleh majikannya di USJ 1, Subang Jaya, namun mendakwa Rita Rudaini enggan.

“Plaintif memberi alasan bahawa rumah itu bukan rumah kelamin kami,”katanya.

Aidil Zafuan berkata, berkenaan dengan peruntukan perbelanjaan anak-anaknya, dia tidak pernah menetapkan jumlahnya namun menganggarkan sekitar RM700 sebulan mengikut keperluan.

“Biasanya, saya hanya beli satu pek lampin pakai buang anak jika habis. Begitu juga dengan susu,”katanya yang juga memperuntukkan RM500 untuk pakaian anak-anaknya.

Ketika ditanya Mohd Zaidi mengenai perbelanjaan lain selain keperluan anak-anaknya, Aidil Zafuan berkata:

“Saya membayar RM2,000 untuk ansuran bulanan kereta BMW 3 Series dan RM1,000 bagi motosikal berkuasa tinggi berjenama Ducati Monster,”katanya.

Berkenaan dengan gaji yang diperoleh, Aidil Zafuan menyatakan dia menerima pendapatan bersih RM12,000 ketika berkhidmat bersama pasukannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012.

“Ketika berkhidmat dengan pasukan Negeri Sembilan pada 2011, saya menerima pendapatan RM8,000 sahaja,”katanya.

Beliau berkata, sebagai pemain bola sepak, dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Adakalanya lebih daripada itu kerana bonus akan diberikan jika memenangi perlawanan,” katanya.

Prosiding tersebut dijalankan di hadapan Hakim, Abd Halim Abu Samah dan ditangguhkan sehingga 31 Mac depan.

Rita Rudaini, 38, menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Aidil Zafuan hadir bersama keluarganya manakala Rita Rudaini ditemani rakan-rakannya.


Sinar

14 Januari 2014

Heret suami ganas ke mahkamah

imej bing
Kuala Lumpur: Isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga perlu berani untuk mendedahkan salah laku suami supaya lelaki tidak bertanggungjawab itu dapat dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman yang sewajarnya.
Kaunselor yang juga pakar motivasi Dr Rubiah Hamzah berkata, Malaysia mempunyai akta dan undang-undang yang cukup untuk menghukum pesalah kategori berkenaan, tetapi isteri sendiri perlu bersedia membawa suami mereka ke muka pengadilan.
“Ada yang takut, dipukul lebih teruk diugut bunuh dan sebagainya, tapi dalam kes sebegini, isteri kena kuat.
“Kena ingat jika dia mati di tangan suami pun, ajal maut itu sudah ditakdirkan Allah. Yang penting, isteri perlu bertindak, ada keberanian dan keluar daripada belenggu itu.
“Namun, malangnya bukan semua wanita kita yang sanggup berbuat demikian, malah hendak melarikan diri daripada terus menjadi mangsa juga cukup sukar.
“Ditambah pula masyarakat kita ini tidak memegang nilai sosial tinggi, masing-masing tidak mahu ambil tahu, apatah lagi membantu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita berusia 25 tahun yang mendakwa sering dipukul suami sejak lebih setahun lalu, malah hingga hampir dijual pasangannya gara-gara mahu membayar hutang.
myMetro

Port Mak Ngah Skodeng !