Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

17 Oktober 2014

Labah Labah bersarang dalam perut Lelaki ini

Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil
Seekor labah-labah dikeluarkan daripada perut seorang lelaki Australia selepas ia memasuki tubuh lelaki berkenaan dan hidup selama tiga hari.
Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil, menyebabkan wujud bekas kemerah-merahan dari pusat ke dada.
Thomas menarik bajunya untuk menunjukkan kesan di mana serangga itu berada di dalam tubuhnya.
Ketika di Bali, beliau ke pusat perubatan tempatan dan diberikan 'antihistamin', iaitu ubat untuk menahan gatal bagi gigitan serangga.
"Selepas menjalani pemeriksaan dan memasukkan sesuatu ke dalam perut saya, mereka akhirnya menjumpai seekor labah-labah tropika yang hidup di dalam tubuh saya selama tiga hari," katanya dalam laman Facebooknya.
Selepas kembali ke Australia awal minggu ini, doktor mengeluarkan labah-labah itu.
"Mereka berjaya menarik keluar labah-labah itu, meletakkannya ke dalam bekas ujian dan membawanya pergi," kata Thomas yang kini digelar oleh rakannya sebagai 'Spider Man'.
 - Reuters

16 Oktober 2014

Video: Kepala Dengan Serangan Kutu Terburuk


APA yang dilihat mungkin boleh menjadi kepala yang mengalami serangan kutu terburuk yang pernah disaksikan.

Sebuah video yang disiarkan di YouTube menunjukkan seseorang, mungkin ibu bapa menyikat rambut seorang kanak-kanak.

Orang itu kemudian mengangkat dan menunjukkan sikat ke lensa kamera dan telur kutu serta berpuluh-puluh ekor kutu  dilihat merangkak-rangkak di atas sikat.

Kutu, serangga kecil juga dikenali sebagai pediculosis capitis, menghisap darah dengan cara menggigit kulit kepala manusia.

Dr Alejandra Perotti, pensyarah di Sekolah Sains Biologi, Universiti Reading mengesahkan makhluk itu adalah kutu. 

Beliau menambah, jumlah yang banyak dengan hanya beberapa kali sikat menunjukkan ini sebagai kes yang teruk.

"Serangan kutu sangat biasa di UK dan di Eropah, tetapi tidak sampai ke tahap ini," katanya kepada MailOnline.

"Saya bekerja dalam bidang sains forensik dan kes ini ditemui dalam kes-kes pengabaian kanak-kanak atau orang tua. 

"Anda juga melihatnya dalam kes-kes orang yang tiada tempat tinggal."

mStar Online

28 September 2014

Pesakit kanser ditanam hidup-hidup?

- Foto: metro.co.uk

THESSALONIKI - GREECE. Seorang penjaga kubur terkejut sebaik terdengar satu jeritan menakutkan datang dari sebuah kubur yang baharu sahaja ditanam pada hari tersebut.
 
Memetik laporan Metro.co.uk hari ini, pekerja tersebut yang ketakutan terus menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut.
 
Dia kemudiannya menggali semula kubur tersebut dan memecahkan keranda yang menempatkan seorang wanita yang telah meninggal dunia sebelum itu.
 
Namun difahamkan, mereka sudah terlambat dan wanita tersebut benar-benar mati kali ini.
 
Menurut laporan, wanita tersebut merupakan seorang pesakit kanser berusia 49 tahun dan dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit yang dihadapinya.
 
Pihak berkuasa hari ini turut mengesahkan kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Peraia.

Manakala doktor yang mengesahkan kematian wanita terbabit, Chrissi Matsikoudi memberitahu pemberita, wanita tersebut sudah lama meninggal dunia dan mustahil untuk dikebumikan secara hidup-hidup.

“Kami telah menjalankan pelbagai ujian ke atasnya termasuk ujian kegagalan hati ke atas wanita tersebut,” jelasnya lagi.

Polis setakat ini masih belum mendedahkan nama mangsa.

Dalam pada itu pihak keluarga wanita terbabit telah membuat laporan susulan daripada tindakan doktor yang mengesahkan kematian mangsa.


Sumber

26 September 2014

Lelaki jadi kaku apabila terkejut

Andrew Latham

Seorang lelaki terpaksa menanggung risiko mengalami kemalangan pada bila-bila masa, selepas dia menghidap penyakit saraf yang menyebabkan otaknya berhenti berfungsi setiap kali terkejut.

Mail Online melaporkan, Andrew Latham, 38, mengidap penyakit yang dikenali sebagai hyperekplexia sejak kecil lagi dan setiap kali dia terkejut badannya akan kaku susulan sistem otaknya gagal berfungsi.

"Setiap kali mendengar bunyi anjing menyalak, orang batuk, bunga api atau apa-apa sahaja bunyi yang boleh mengejutkan saya, badan saya akan kaku tidak bergerak untuk beberapa minit.

"Perkara ini membimbangkan saya untuk memandu di jalan raya, risau terkejut dengan bunyi hon kenderaan," jelasnya.

Sementara itu, ibu kepada Latham iaitu Janice berkata, dia dan suaminya sudah dapat mengagak anak mereka bakal mengalami masalah kesihatan selepas dilahirkan.

"Ketika usia kandungan saya berusia tujuh bulan saya dapat rasa yang anak saya tidak bergerak aktif dan selepas dilahirkan, anak saya sering terkejut setiap kali diletakkan di dalam inkubator," ujarnya, sambil menambah penyakit tersebut mula dikesan ketika Latham berusia 21 tahun.

Seorang pakar saraf dari Hospital Universiti London, Professor Kailash Bhatia berkata, masalah kesihatan yang dialami oleh Latham disebabkan oleh ketiadaan bahan kimia yang diperlukan untuk mengerakkan sistem tekanan di dalam badannya.

"Apabila bahan kimia berkenaan tidak wujud, otak tidak dapat memberi tindak balas yang sewajarnya. Oleh sebab itu, otak pesakit berhenti berfungsi sehingga mengganggu sistem sarafnya," katanya lagi.

Sumber

19 September 2014

Anak lembu berwajah manusia?

MUKA anak lembu yang dikatakan seperti manusia.
Penduduk yang kehairanan bertumpu ke rumah keluarga Sebenzile di Afrika Selatan baru-baru ini untuk melihat sendiri anak lembu yang didakwa separuh manusia.
Ramai percaya lembu diberi nama Nyamazane itu ‘dirogol’ selepas ia melahirkan anak dengan wajah manusia dan dua organ seks berbeza. Sebenzile Mlangeni, 60, dari Kampung Emazizini, memberitahu akhbar tempatan, Daily Sun, lembu itu melahirkan anaknya Ahad lalu.
“Kira-kira jam 12 tengah hari, saya melihat kaki lembu keluar dari Nyamazane. Lembu itu mengalami kesakitan yang teruk. Proses melahirkan itu mengambil masa lebih lama berbanding biasa,” kata Sebenzile.
“Saya memanggil anak saya untuk membantu. Selepas menarik anak lembu yang sudah mati itu keluar, kami terkejut melihat mukanya seperti manusia.

“Beberapa penduduk berkata, lembu itu mungkin dicabul di padang ragut oleh orang yang tidak dikenali. “Kami tidak pasti bagaimana untuk mengebumikannya, sama ada seperti manusia atau menghantarnya kepada doktor untuk memeriksanya,” kata Sebenzile.
Berita mengenai kelahiran ganjil itu turut mengejutkan Datuk Bandar Ukhahlamba, Thulani Sibeko.
“Saya terkejut melihat gambar anak lembu itu. Saya menyangka gambar itu diubah suai,” kata Sibeko.
Seorang pegawai tempatan, Induna Malinga berkata, sepanjang hidupnya, ini kali pertama dia mendengar cerita lembu melahirkan manusia.
Keluarga Sebenzile berkata, mereka kini takut untuk menyembelih Nyamazane.
“Kami melihatnya seperti manusia kerana dia melahirkan seorang manusia. Mana boleh dagingnya kami makan,” kata Sebenzile. - Agensi

04 September 2014

AWAS ! Kerang-kerangan di perairan Pelabuhan Kuantan dicemari toksin PSP


KUANTAN - Orang ramai dinasihati supaya tidak mengutip atau memakan kerang-kerangan di kawasan perairan sekitar Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelam, dekat sini kerana dicemari toksin 'paralytic shellfish poisoning' (PSP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemeriksaan pada sampel tiram dan plankton menunjukkan bacaan toksinnya adalah di antara 317 hingga 3,560 mikrogram (ug) per 100 gram.
"Bacaan toksin itu melebihi daripada standard piawaian ditetapkan iaitu 80
ug/100g di mana ia boleh memudaratkan pemakannya termasuk meninggal dunia sekiranya gagal mendapat rawatan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pengukuhan Komuniti Perikanan Pahang di sini hari ini.
Pencemaran toksin itu adalah kali pertama berlaku di perairan negeri ini dan mula dikesan selepas beberapa individu mengalami keracunan makanan selepas memakan kerang jenis tiram di kawasan itu pada November tahun lepas dan Ogos lalu.
Toksin itu dikesan menerusi pemeriksaan di Pusat Bio Sekuriti Jabatan Perikanan negeri terhadap sampel tiram di kawasan berkenaan susulan kejadian lapan pekerja Indonesia yang mengalami keracunan makanan selepas memakan tiram di pelabuhan itu pada 1 Ogos lepas.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata,
pihaknya sedang menyiasat punca pencemaran toksin di perairan berkenaan dan sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya memasang papan tanda melarang orang ramai mengutip atau makan kerang-kerangan di sekitar kawasan berkenaan. - Bernama

26 Ogos 2014

Wanita lelong rambut untuk menderma

XIOA menunjukkan rambutnya di kediamannya, semalam.
Selepas menyimpan rambutnya selama 15 tahun, seorang wanita di sini kini mencari pembeli untuk membeli rambutnya yang sepanjang dua meter dengan niat untuk mendermakan wang berkenaan kepada sebuah sekolah menengah di Ningxia.
Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Xiao, berkata dia mengambil keputusan menjual rambutnya menerusi Internet selepas mengetahu mengenai keadaan persekitaran persekolahan yang teruk di Ningxia. 
Tarikh untuk membidanya berakhir hari ini dan sehingga semalam bidaan tertinggi mencecah 10,000 yuan (RM5,100). 

Menurut Xiao, dia menerima tawaran sebanyak RM10,300 untuk rambutnya sembilan tahun lalu.
Ketika itu, rambutnya hanya panjang hingga ke betis.
“Saya mula memelihara rambut ketika belajar di universiti,” katanya.
 - Agensi 

25 Ogos 2014

Kopi najis gajah bernilai RM221 secawan

BIJI kopi dikutip daripada najis gajah di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

BANGKOK - Orang ramai yang ingin menikmati keenakan kopi yang menggunakan biji-biji kopi daripada najis gajah perlu membayar pada harga AS$70 (RM221) secawan.


Pengasas kopi jenama Black Ivory itu, Blake Dinkin, 44, berkata, dia telah menemui kaedah terbaik untuk menghasilkan kopi paling enak secara semula jadi menggunakan gajah-gajah yang dipelihara di kawasan Tiga Segi Emas Thailand di Chiang Rai.
"Kaedah ini dapat mengurangkan manis kopi selain mengekalkan rasanya. Saya inginkan pengguna menikmati rasa kopi yang sebenar, tidak pahit serta ada aroma bunga dan coklat.
"Gajah itu membantu membuangkan rasa manis dalam biji kopi secara semula jadi," kata Dinkin sambil memberitahu, biji kopi berkenaan hanya boleh didapati di hotel-hotel mewah di seluruh Asia dan negara timur tengah.
Kopi tersebut bagaimanapun tidak dapat menandingi kopi luwak yang dihasilkan menerusi najis musang di Indonesia kerana berharga AS$100 (RM316) secawan. - Agensi(KOSMO!)


19 Ogos 2014

AWAS ! Bakteria Dalam Minuman Anda


PETALING JAYA: Air yang anda beli dari mesin layan diri mungkin tidak sebersih yang anda fikirkan.

Sebanyak 29 sampel air telah diambil dari mesin tersebut di seluruh Lembah Klang dan hampir semuanya telah dicemari.

Terdapat beberapa jenis bakteria berbahaya seperti E. coli, Koliform dan bakteria bertoksin Clostridium perfringens - jenis bakteria yang sama terdapat di dalam air kumbahan yang tidak dirawat.

Koliform dan Clostridium perfringens juga merupakan bakteria yang sama terdapat dalam najis manusia dan haiwan.


Bakteria ini boleh menyebabkan kekejangan, cirit-birit dan masalah pencernaan yang lain.

The Star menjalankan beberapa ujian bersama dengan Forum Air Malaysia, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Forum Air Malaysia membuat ujian terhadap 14 sampel pada April manakala The Starmenjalankan ujian terhadap 15 sampel.

Sampel-sampel air diambil dari mesin layan diri di sini dan di Subang Jaya, Cheras, Klang dan Kuala Lumpur.

Di bawah Akta Air Minum Selamat Malaysia, sepatutnya tidak ada sebarang kesan Koliform atau E. coli dalam air minuman.

Eksekutif Dasar dan Penyelidikan Forum Air Jesslyn Pek berkata adalah membimbangkan apabila kebanyakan sampel tidak menunjukkan kesan klorin atau fluorida bebas, yang merupakan bahan kimia yang diperlukan untuk membunuh bakteria di dalam air.

"Daripada ujian ke atas 14 sampel air, enam daripadanya didapati mempunyai sama ada Koliform atau E. coli dan tidak mengandungi klorin atau klorida bebas," katanya. 

"Klorin bebas mesti ada, kerana ia adalah pembasmi kuman," kata Pek.

"Terdapat piawaian untuk menentukan berapa banyak klorin bebas diperlukan untuk digunakan dalam air terawat, tetapi kerana ia tidak dapat dikesan di dalam semua sampel ini, ia menunjukkan bahawa jumlah yang tidak mencukupi telah digunakan."

Dalam ujian yang dijalankan oleh The Star dengan makmal bertauliah, semua 15 sampel didapati positif Koliform dan Clostridium perfringens.

Mesin menjual air banyak terdapat di bangunan pejabat, kediaman dan universiti atau kolej.

Orang ramai lebih suka membeli air ini kerana kosnya hanya kira-kira 20 sen seliter berbanding air botol, yang kosnya boleh mencecah lebih dari RM2 untuk jumlah yang sama.

Menurut sumber industri, pada tahun lepas Kementerian Kesihatan memulakan usaha di seluruh negara untuk memberikan lesen kepada pemilik mesin menjual air.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, banyak yang tidak memberi respons.

Untuk mendapatkan lesen, pengendali perlu mengeluarkan sejumlah RM450 untuk setiap mesin dan menghantar air dari mesin untuk ujian kualiti di Jabatan Kimia.

Mereka juga perlu membayar yuran pemprosesan lesen RM130. 

Kos lesen selama dua tahun adalah RM150.


mStar Online

13 Ogos 2014

Pelanggan Restoran Pizza Diusir Keluar, Tukar Lampin Anak Di Meja Makan

SEORANG ibu diusir keluar dari sebuah restoran pizza kerana menukar lampin kotor anak perempuannya di meja makan.
Miranda Sowers dan tiga anaknya diusir keluar dari Brother's Pizza Express di Spring, Texas, selepas dia bertindak menukar lampin anak perempuannya yang berusia empat bulan di meja makan.
Ketika kejadian, Sowers sedang menjamu selera bersama anak-anaknya di restoran berkenaan.
Bercakap kepada stesen berita Texas, KHOU, dia pada awalnya membawa anaknya ke tandas di restoran berkenaan tetapi mendapati ia tiada ruang penukaran lampin.
"Saya mempunyai pelapik saya sendiri, dia (anak) kecil, muat di atas kerusi. Jadi, saya cepat baringkan dia dan menukarkan lampin secara diam-diam," katanya.
Pengurus restoran, Donny Lala berkata, pekerjanya membuat keputusan tepat mengusir wanita itu.
"Sebaik sahaja anda membuka lampin itu, pelanggan-pelanggan mula mengadu mengenai bau busuk. Pelanggan muntah (kerana bau busuk) adalah perkara terakhir yang saya mahu dengar," katanya kepada Sowers.
Sowers bagaimanapun tidak membiarkan insiden diusir dari restoran tersebut begitu sahaja, sebaliknya dia memfailkan aduan dengan Biro Perniagaan Lebih Baik. - mirror.co.uk

11 Ogos 2014

Pemuda Terkejut, Gigi Tumbuh Dalam Hidung

MISTERI pendarahan hidung yang dialami seorang pemuda Arab Saudi sejak tiga tahun lalu berakhir dengan penemuan mengejutkan dirinya, pasukan perubatan dan ahli sains perubatan.
Mana tidaknya, apabila pemeriksaan dilakukan terhadap hidung lelaki berusia 22 tahun itu, doktor menemui sebatang gigi yang tumbuh dengan sempurna.
Menurut laporan Live Science,  pemuda terbabit mengalami pendarahan hidung sejak tiga tahun lalu, namun tidak melakukan pemeriksaan kerana menganggap ia perkara biasa.
(Picture: American Journal of Case Reports)
Imbsan x berhubung kedudukan gigi pemuda terbabit.
Bagaimanapun apabila bosan dengan pendarahan tanpa kesakitan itu, dia telah membuat pemeriksaan di Kompleks Perubatan Tentera Raja Fadh di Dhahran.
Doktor yang memeriksanya terkejut dengan penemuan itu dan menjadikannya sebagai satu penemuan baharu dalam sains perubatan.
Bagaimanapun hasil usaha kumpulan doktor pakar, gigi berkenaan berjaya dicabut bagi memberikan keselesaan kepada pemuda terbabit.
mStar Online

10 Ogos 2014

INFO KESIHATAN,Bantal perlu diganti setiap 2 tahun


Hampir 70 peratus bersetuju bantal yang selesa amat penting untuk tidur malam yang lena tetapi ramai antara kita melakukan kesilapan apabila memilih bantal kegemaran masing-masing. Kita akan menggunakannya terlalu lama.

Pengarah Institut Tidur untuk Hidup, Robert Oexman berkata, sebenarnya, bantal patut ditukar setiap enam bulan dan perlu diganti selewat-lewatnya setiap dua tahun. 


“Ramai bercerita mengenai tilam yang semakin tidak selesa tetapi bantal sering dilupakan,” kata Oexman yang dipetik Huffington Post. 
Anda tidak boleh lihat mereka tetapi mereka bertumpu di objek yang sering digunakan manusia seperti tilam dan permaidani” Mark R Neustrom. Persatuan Alahan dan Asma Bandaraya Kansas

Rumah kutu dan habuk 

Tanpa disedari, bantal lama menjadi rumah kutu dan habuk boleh ditemui di tempat kita meletakkan muka setiap malam.

Habuk, minyak dan sel kulit mati terperangkap di bantal boleh membawa masalah jerawat. Hama yang tergolong dalam keluarga labah-labah juga suka berada di bantal.

“Anda tidak boleh lihat mereka tetapi mereka bertumpu di objek yang sering digunakan manusia seperti tilam dan permaidani,” kata Mark R Neustrom dari Persatuan Alahan dan Asma Bandaraya Kansas. 
Pembalut kedap udara tilam dan bantal pasti akan membantu selain membasuh tilam dan bantal selalu. Tempoh 30 minit dalam pengering juga membantu membersihkan kotoran dari bantal anda, kata Oexman.

Pilih bantal sesuai

Apabila tiba masa untuk membeli bantal baharu, pastikan matlamat adalah memilih bantal yang memenuhi ruang antara kepala dan bahu apabila anda baring.

“Bantal sempurna meletakkan kedudukan kepala lurus ketika anda bergerak dalam keadaan tidur yang digemari, katanya. 

Mereka yang tidur atas perut atau belakang memerlukan bantal lebih nipis berbanding mereka yang tidur di sisi, kata Oexman.

Pemilihan bahan bantal span, kekabu atau gel tidak menjadi masalah. Apabila membeli tilam, anda juga perlu membeli bantal baharu berikutan perubahan jarak kepala dan bahu akibat perubahan keanjalan tilam.


 - AGENSI

09 Ogos 2014

Anak Hilang Dihanyut Tsunami 10 Tahun Lalu Ditemui Semula

Jamaliah (kiri) sedia untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan bahawa Raudhatul (kanan) sememangnya adalah anak perempuannya. Foto AFP
SEORANG budak perempuan yang hilang dalam tragedi tsunami pada 2004 ketika berusia empat tahun dipertemukan semula dengan keluarganya selepas 10 tahun terpisah.
Raudhatul Jannah, 4, dan abang lelakinya terpisah dari ibu bapa mereka apabila bencana tsnami di Lautan Hindi melanda kampung halaman mereka pada 26 Disember 2004.
Ibu bapa Raudhatul mencari anak-anak mereka berbulan-bulan, tetapi takut tidak dapat menemuinya.
Beberapa tahun selepas itu, bapa saudara Raudhatul berkunjung ke sebuah pulau lain di mana menemui seorang budak perempuan yang difikirkannya adalah anak saudaranya.
Bapa saudaranya kemudian memberitahu Ibu Raudhatul yang masih berduka dengan kehilangan kedua-dua anaknya segera menyedari budak perempuan itu adalah anaknya, yang kini berusia 14 tahun.
Dikatakan bahawa Raudhatul terselamat dalam tragedi itu dengan memaut pada sebatang kayu dihanyutkan sehingga kepulauan terpencil di barat daya kampung halamannya, di mana dia dibesar selama 10 tahun oleh ibu kepada seorang nelayan yang menemuinya..
Ibu Raudhatul, Jamaliah memberitahu DPA: "Saya dan suami amat gembira kerana kami telah berjumpanya. Ini adalah keajaiban Tuhan.
"Jantung saya berdegup kencang apabila bertemu dengannya. Saya peluk dia dan dia peluk saya kembali, dan dia begitu selesa berada di pangkuan saya," tambahnya.
Raubhatul yang mempunyai masalah pembelajaran ekoran trauma yang dialaminya akibat tsunami, kini tinggal bersama keluarganya di Meulaboh.
Jamaliah berkata, dia sanggup untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan bahawa Raudhatul semenangnya adalah anak perempuannya.
Keluarga itu berharap agar abang Raudhatul yang turut hilang dalam insiden tsunami itu ketika berusia tujuh tahun, dapat ditemui semula.
 - metro.co.uk (mStar Online)

03 Ogos 2014

Alahan,Maut jika makan roti

ALAHAN dialami Evan.
Baltimore (Amerika Syarikat): Kebanyakan kanak-kanak tidak akan berfikir dua kali sebelum menerima manisan serta gula-gula. Namun bagi Evan Grimes ia boleh membawa maut.
Kanak-kanak malang berusia 18 bulan ini mempunyai terlalu banyak alahan sehingga hanya mampu makan 11 jenis makanan selain terpaksa sering memakai sarung tangan untuk menghalangnya menggaru badannya sehingga berdarah disebabkan ruam yang sentiasa memenuhi tubuhnya.
Asid sitrik bahan yang biasa ditemui dalam minuman ringan, gula-gula dan roti boleh mengakibatkannya menjadi buta atau maut jika EpiPen (pen suntikan Epinefrin) tidak digunakan segera.

Jadi untuk mengelak nyawanya diletakkan dalam bahaya, ibunya Toya, 28, berjaya menyenaraikan hanya 11 makanan ‘selamat’ untuk anaknya itu.
Toya pertama kali merasakan sesuatu tidak kena dengan anaknya ketika Evan baru berusia dua bulan selepas kulit di sekitar matanya melepuh akibat jangkitan kuman.
Bayi itu diberikan steroid untuk meredakan kesakitannya, namun Evan terus mengalami masalah kulit teruk yang menyakitkannya sehingga kulit wajahnya nampak seperti melecur dan nipis.

“Ketika mula melihat tanda-tanda alahan padanya saya memakaikan sarung tangan bayi untuk menghalangnya daripada menggaru. 

“Namun disebabkan terlalu gatal dia menggosok wajahnya menggunakan tangannya yang bersarung sehingga semakin melarat.
TOYA bersama anak kesayangannya Evan.

“Saya begitu risau dan tidak tahu apa punca alahannya menyebabkan dia sering gatal-gatal dan melepuh. Katil bayinya sentiasa dipenuhi darah,” katanya.

Menurutnya, seorang pakar dermatologi mencadangkan kemungkinan Evan alah terhadap asid sitrik berdasarkan pemerhatian terhadap pemakanannya.

Namun doktor enggan membuat ujian alahan terhadap Evan kerana mendakwa usianya terlalu muda.

“Saya merayu mereka membuat ujian kerana jelas anak saya merana. Dia menangis dan badannya berlumuran berdarah hampir setiap hari namun mereka enggan melayan permintaan itu,” katanya.

“Saya rasa tidak berdaya, kasihan melihat anak menderita seperti itu,” katanya.

Namun keadaan menjadi lebih baik selepas seorang pakar kulit yang tidak sampai hati melihat keadaan Evan bersetuju membuat ujian alahan ketika bayi itu berusia 15 bulan.

“Dia menangis apabila melihat keadaan Evan dan terus mengarahkan ujian darah dibuat,” katanya.

Hasilnya, Evan didapati mempunyai 46 alahan termasuk terhadap asid sitrik, kentang, kekacang, produk tenusu dan gandum seterusnya dia dirujuk kepada pakar dermatologi dan pakar pemakanan.

Kini Toya berjaya menyenaraikan 11 makanan ‘selamat’ untuk anaknya itu yang antaranya termasuk ayam belanda, kacang panjang, lobak merah, epal, anggur, pear dan sayuran hijau. 
- Agensi


01 Ogos 2014

Tidur lama ganggu ingatan


NEW YORK 31 Julai Saintis menyatakan, individu yang tidur lebih daripada lapan jam sehari boleh mengalami gangguan tahap ingatan dan gagal membuat keputusan dengan baik.

Seorang profesor dari Universiti Phoenix Arizona, Shawn Youngstedt berkata, tempoh yang cukup untuk seseorang tidur adalah sebanyak tujuh jam.

Satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Sleep Medicine menyatakan, manusia tidak perlu masa tidur yang lama seperti yang mereka sangkakan.

"Kebanyakan orang sekarang tidur lebih lama daripada yang diperlukan kerana menyangka mereka tidak cukup tidur," kata Profesor neurosaintis dari Universiti Longhborough, Jim Horne.

Horne berkata, kehidupan zaman moden lebih selesa berbanding berpuluh-puluh tahun sebelum ini, sekali gus membuatkan manusia tidak perlu tidur lebih lama.

"Berbanding seorang pekerja kira-kira 150 tahun lalu yang bekerja 14 jam sehari, enam kali seminggu dan pulang ke rumah yang sesak serta katil yang penuh dengan pijat, kebanyakan kita pada zaman sekarang mempunyai tidur yang cukup," katanya.

Satu kajian yang dijalankan ke atas hampir 9,000 orang berumur antara 50 hingga 64 tahun yang tidur kurang enam jam atau lebih lapan jam sehari didapati mempunyai daya ingatan yang merosot dan sering membuat keputusan yang teruk.

Sumber

28 Julai 2014

Reka baju guna kondom sebagai kempen kesedaran AIDS

BERTINI membetulkan pakaian rekaannya yang diperbuat daripada beratus-ratus kondom.

Seorang pereka fesyen, Adriana Bertini telah mereka beberapa pakaian yang diperbuat daripada kondom sebagai kempen kesedaran AIDS.

Pakaian tersebut yang menggunakan beratus-ratus kondom dipamerkan dalam satu acara pertunjukan fesyen di Persidangan Antarabangsa AIDS di sini baru-baru ini dan dijual pada harga £170,000 (RM919,000).
Rekaan itu dihasilkan sempena dengan kempen kesedaran mengenai seks selamat dalam kalangan golongan muda yang ditampilkan dalam bentuk kreatif.
Rekaan itu bagaimanapun telah mendapat beberapa kritikan masyarakat yang menganggap ciptaan pakaian menggunakan kondom merupakan suatu yang menjijikkan. - Agensi


05 Julai 2014

Gunting tertusuk dekat mata

SEORANG ibu mendukung anaknya selepas sebilah gunting tertusuk dekat mata anaknya di sebuah hospital di Hangzhou, China kelmarin.

HANGZHOU - Seorang budak lelaki di China terpaksa dibedah untuk membuang sebilah gunting yang tertusuk dekat salah satu matanya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Insiden itu berlaku di sebuah kilang pakaian di bandar Cixi, dalam wilayah Henan, tengah China sekitar tengah hari kelmarin.
Ketika kejadian, ibunya sedang bekerja di kilang itu apabila mangsa yang berusia tiga tahun dan dikenali sebagai Ozawa datang berlari-lari sambil menangis kerana terdapat gunting tertusuk dekat mata kanannya.
Mangsa kemudian dibawa sebuah hospital awam di Cixi sebelum dihantar ke hospital di Hangzhou untuk menerima rawatan.
Menurut doktor, mangsa akan sembuh tetapi penglihatan mata kanannya dikhuatiri terjejas akibat kemalangan tersebut. 
- Agensi(kosmo!)


06 Jun 2014

Makan burger belalang di restoran

SEORANG wanita memakan ulat yang telah digoreng.- AFP

WASHINGTON D.C., Amerika Syarikat (AS) - Satu majlis memakan daging burger belalang diadakan di Restoran Occidental di sini kelmarin.

Majlis tersebut ditaja syarikat Kawalan Serangga Ehrlich selama satu hari.
Pada majlis itu, syarikat berkenaan akan menderma sebanyak AS$5 (RM16.12) untuk setiap pelanggan yang memakan burger tersebut, cengkerik dan ulat.
Wang itu akan disumbangkan kepada program kitar semula makanan dan pengedaran daging di Washington D.C. 
- Agensi


30 Mei 2014

10 tahun pin, jarum dalam badan

Alatan Hsia bersama sekeping gambar ujian X-ray yang menunjukkan terdapat beberapa jarum di dalam paru-parunya.

ARUD BANNER, China - Seorang wanita yang mengalami sakit luar biasa sejak 10 tahun lalu mendapati dalam badannya mempunyai sembilan pin dan jarum selepas menjalani ujian X-ray, lapor akhbar MailOnline semalam.

Beberapa doktor yang memeriksa Alatan Hsia mendapati pin dan jarum berkenaan terdapat pada bahagian paru-paru, hati, kaki dan berhampiran dengan jantung.
Dalam pada itu, wanita itu yang merupakan penggembala lembu berkata, dia pernah melalui situasi perkahwinan yang teruk sebelum ini.
"Bekas suaminya saya, Chung Hsiao selalu memukul saya. Pada akhir tahun 2002, saya ke rumah ibu bapa saya untuk mengelak daripada dia.
"Pada suatu hari, apabila saya berada di sana dan kedua orang tua saya keluar, dia datang dan memukul saya. Dia menjerit: "Jika kamu tidak pulang ke rumah, saya akan membunuh kamu. Saya dipukul hingga koma," jelasnya.
Apabila Hsia tersedar daripada koma lima hari selepas itu, ibu bapanya memberitahu yang mereka menemui sembilan jarum di sisinya ketika kejadian berlaku.
"Saya percaya selepas memasukkan sedikit jarum ke dalam badan saya, dia kemudian melarikan diri dan membiarkan selebihnya di atas lantai," katanya lagi.
Bagaimanapun, wanita itu kini memerlukan kos sebanyak £17,000 (RM91,372) untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan pin dan jarum-jarum tersebut.
- Agensi(KOSMO)


28 Mei 2014

Lelaki pernah digelar paling gemuk meninggal dunia

Manuel Uribe
MONTERREY, Mexico - Seorang lelaki Mexico, Manuel Uribe yang pernah digelar sebagai manusia paling gemuk di dunia meninggal dunia pada usia 48 tahun, kata beberapa pegawai kelmarin.
Berat Uribe pernah mencecah sehingga 587 kilogram (kg) sebelum dia menjalani diet untuk mengurangkan berat badannya kepada 394kg.
Seorang pegawai di Hospital Universiti, Monterrey berkata, laporan awal menunjukkan dia meninggal dunia disebabkan masalah kadar degupan jantungnya yang tidak teratur dan penyakit berkaitan dengan kehilangan cecair pada kedua-dua kakinya.
Dia dimasukkan ke hospital itu pada 2 Mei lalu.
Sebuah kren digunakan untuk mengangkut Uribe yang berada di atas katilnya di rumahnya di bandar San Nicolas de los Garza ke hospital tersebut dengan dibantu para pekerja perkhidmatan kecemasan dan pasukan pertahanan awam.
Uribe berkahwin pada tahun 2008 dengan Claudia Solis yang berusia 38 tahun.
Sebuah stesen penyiaran Amerika Syarikat membeli hak penyiaran majlis perkahwinannya yang dihadiri kira-kira 400 orang tetamu itu.
Dia diiktiraf sebagai lelaki paling gemuk di dunia oleh Guinness World Records pada tahun 2007.
Bagaimanapun, ekoran berat badannya semakin meningkat, hubungan baik dengan isterinya semakin merosot.
"Dia (Solis) meminta saya menceraikannya. Saya berasa amat murung," kata Uribe sebelum ini.
Uribe pada mulanya merupakan seorang remaja yang mempunyai berat hanya 113.39kg.
Namun, pada tahun 1992, berat badannya mula meningkat.
Pada tahun 2007, dia pernah memberitahu saluran televisyen ABC News: "Saya mempunyai masalah obesiti sejak bertahun-tahun lamanya. Berat badan saya bertambah dari semasa ke semasa."
Menurutnya, dia makan sama seperti penduduk Mexico yang lain.
Antara makanannya itu ialah hamburger, kentang goreng, piza, kacang, nasi dan makanan tradisi Mexico iaitu jagung tortilla.
Uribe ketika itu berkata, dia bekerja sebagai juruteknik, membaiki mesin taip, mesin pengira elektronik dan komputer yang menyebabkan dia hanya duduk di atas kerusi.
Sejak tahun 2002, Uribe mula terbaring di atas katil dan terpaksa bergantung kepada ibu dan rakan-rakannya untuk memberinya makanan dan membersihkan badannya.
Mayat Uribe kemudian dibakar di sebuah pusat pengurusan mayat di sini.
 - Agensi


Port Mak Ngah Skodeng !