Memaparkan catatan dengan label Kecantikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kecantikan. Papar semua catatan

28 Januari 2014

Tak sangka menang vokal terbaik - Jaclyn Victor

Jaclyn Victor
SEWAKTU berlangsungnya Anugerah Juara Lagu Ke-28 (AJL 28), ramai yang menelah Hafiz Suip bakal menyambung legasinya sebagai penerima Anugerah Vokal Terbaik untuk kali yang keempat.
Namun, takhta penyanyi berusia 24 tahun itu akhirnya dikembalikan kepada Jaclyn Victor yang sebelum ini pernah menerima anugerah itu ketika mendendangkan lagu Ceritera Cinta bersama Lah VE pada AJL 22 beberapa tahun lalu.
Ternyata terkejut dengan anugerah tersebut, Jaclyn yang mesra disapa Jac begitu bersyukur dengan pengiktirafan yang diterimanya itu. Ikuti temu bual bersama Jac sejurus selepas tamat AJL 28 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Kosmo!: Tahniah Jac atas kemenangan anda menerusi anugerah Vokal Terbaik dalam AJL 28. Apakah perasaan anda apabila berjaya memecahkan legasi Hafiz setelah empat tahun dia menerima anugerah ini?
JAC: Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada juri-juri yang telah memilih saya sebagai penerimaan Anugerah Vokal Terbaik. Sejujurnya, saya langsung tidak menyangka bakal membawa pulang anugerah ini kerana peminat mengenali saya sebagai penyanyi yang gemar membawakan lagu-lagu balada. Justeru, apabila dipilih, saya begitu bersyukur.
Bagaimanakah anda membuat persiapan dari segi vokal menjelang AJL 28?
Saya tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap anugerah ini, jadi persiapan yang dilakukan sama sahaja dengan persiapan-persiapan saya apabila memasuki pertandingan sebelum ini. Saya dan kawan-kawan yang lain cuma mahu bergembira di atas pentas dan menyanyi untuk peminat-peminat saya.
Bercakap mengenai penyertaan rakan-rakan anda di atas pentas, boleh ceritakan bagaimana tercetusnya idea membawa lima penyanyi untuk mengiringi lagu Ikut Rentakku?
Idea untuk membawa Salamiah Hassan, Dina Nadzir, Adibah Noor, Atilia dan Elvira Arul datang apabila saya dan komposer lagu, Edry Abdul Halim berbincang untuk menghasilkan klip video bagi lagu ini. Saya mahukan elemen yang ringan dan menghiburkan. Jadi, cadangan untuk membawa mereka menyanyi pun tercetus.
Apakah perbezaan menyanyikan lagu berentak rancak berbanding lagu perlahan?
Saya akui, menyanyikan lagu berentak perlahan lebih sukar berbanding lagu rancak, tetapi, lagu Ikut Rentakku ini menuntut saya menggunakan pelbagai teknik vokal yang sedikit berbeza. Jadi, saya gembira kerana ia dapat dilihat menerusi anugerah yang diberikan ini.
Adakah anda merancang untuk menyanyikan lagu-lagu berentak rancak selepas ini?
Saya bermula sebagai penyanyi kelab dan lounge, jadi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyanyikan apa jenis lagu. Buat masa ini, saya menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju perjalanan album saya yang seterusnya.
KOSMO!

27 Januari 2014

Lana Nordin masih laku

Lana Nordin

Perjalanan seni wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak ini tidak seindah seperti selebriti lain.

Mula menceburi bidang seni sekitar 2005 menerusi filem Gol & Gincu, bagaimanapun nama Lana Nordin hanya dikenali dengan kisah-kisah peribadi yang lebih diberi perhatian.

Namun wanita berusia 35 tahun ini, tidak pernah mengenal erti kalah. Biarpun ada sahaja cerita kontroversi silih berganti, Lana membuktikan, dia juga punyai bakat besar dalam bidang lakonan yang tidak boleh dipandang enteng.

Justeru, menerusi lakonan yang cukup berkesan dalam filem Chow Kit pada 2012, dia dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-25.

Bagaimanapun entah di mana silapnya, kisah peribadi wanita ini lebih di beri perhatian berbanding keberkesanan lakonannya di layar perak, mahupun di kaca televisyen.

Maka tidak hairanlah tahun lalu, nama Lana antara yang menjadi perhatian ramai. Bermula dengan gosip yang mengatakan dia ditangkap kerana tidak berpuasa, seterusnya Lana dikatakan artis bermulut jahat apabila sanggup melahar peminatnya di  laman sosial, Instagram.

Bagaimanapun semua itu belum cukup menandingi kisah cintanya dengan Johan As'ari yang berakhir dalam tempoh tidak sampai sebulan. Dek kerana cinta yang tidak kesampaian itu jugalah, ramai peminat dan masyarakat simpati dengan nasibnya.

Namun bagi Lana sendiri, kisah cinta tersebut tidak sedikit pun meninggalkan kesan buatnya. Malah menganggap ia sebagai satu pengalaman yang cukup berharga.

"Saya tidak berdendam dan menganggap ini semua satu pengalaman. Apa yang berlaku satu pengalaman hidup cukup berharga,” ujarnya.

Tegas Lana, biarpun sudah tiada cinta lagi antara dia dan Johan, namun dia tetap akan mengotakan janjinya untuk berubah seperti yang diperkatakan sebelum ini.

"Memang sejak awal lagi, saya mahu berubah bukan kerana saya bercinta dengan Johan, tetapi ia memang niat dari hati saya. Namun biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan," katanya.


Lana Nordin temui pengganti?

Bagaimanapun itu cerita akhir tahun lalu, dan nama Lana baru-baru ini sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas dia memuat naik gambar sejambak bunga yang dikatakan diberi oleh seorang lelaki istimewa bergelar doktor.

Justeru timbul persoalan ramai, adakah Lana sudah menemui pengganti Johan?

“Siapa yang cakap saya ada pengganti baharu (ketawa)? Bagi saya sekarang pengganti baharu saya adalah kerjaya dan fokus sekarang ditumpukan terhadap kerja.


“Mengenai doktor itu, apa yang boleh saya katakan tak ada doktor yang beri bunga dan saya tak nak komen lebih mengenai perkara ini,” ujarnya.

Namun Lana tidak menafikan berkawan ramai dengan lelaki dan pengalaman baharu tidak menyebabkan dia menjadi serik. Bagaimanapun tegas Lana itu tidak bermakna dia bersedia mencari pengganti dalam masa terdekat ini.

“Kalau saya kata saya tak mahu bercinta dalam masa terdekat dan tiba-tiba saya bercinta nanti orang kata saya hipokrit pula.

“Lagipun soal hati ni kita tak tahu dan tak boleh jangka. Kalau tiba-tiba saya terbuka untuk kembali bercinta, siapa saya hendak menolaknya takdir itu," jelasnya mesra.

Menyentuh mengenai penerimaan keluarga selepas Johan mengambil keputusan untuk berpisah, Lana berkata : “Keluarga saya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

“Lagipun dari pihak saya tidak ada apa-apa masalah. Keluarga saya juga memahami dan mempercayai saya. Mereka tahu saya boleh berdikari dan melalui semua ini,” ujarnya.

Rezeki makin murah

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Lana berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Kata Hati dan bakal menjalani penggambaran dua telefilem pada bulan depan.

“Alhamdulillah rezeki makin murah. Saya pun sibuk berlakon. Selain itu, saya juga turut menjadi model bagi produk kesihatan khusus buat lelaki iaitu ADAM.

“Buat masa ini jadual saya memang sibuk dengan penggambaran. Rezeki awal tahun dan saya harap karier saya akan terus berkembang dengan baik tahun ini,” katanya


Impian Lana

Alang-alang berbual mengenai perkembangan terkininya, akui Lana, dia sebenarnya mengimpikan watak wanita bertudung atau wanita yang menjadi mangsa penderaan, selepas kerap kali diberi watak yang sama seperti watak penggoda dan wanita seksi.

Tambahnya, sudah tiba masanya dia membawakan watak yang lebih kontra dengan dirinya dan berbeza dengan yang pernah di lihat oleh penonton.

"Tipulah kalau saya kata saya tak teringin nak bawa watak yang lebih baik selepas kerap kali diberi watak antagonis.

“Saya pernah sekali menjayakan watak wanita bertudung dalam telefilem. Tapi kali ini saya teringin watak wanita bertudung dalam drama bersiri atau filem pula.

“Selain itu watak wanita teraniaya. Saya mahu watak yang pelbagai dan tidak mahu stereotaip pada satu-satu watak sahaja,” akhirinya.

Kredit Sinar harian

25 Januari 2014

Yana Samsudin Minta Perubahan Wajahnya Tidak Dijadikan Isu

Yana menafikan dia melakukan pembedahan plastik untuk memcantikkan wajahnya.
PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin menjelaskan perubahan fizikalnya terutama pada bahagian muka bukan kerana dia melakukan pembedahan sebaliknya mengalami penurunan berat badan secara mendadak.
Yana, 30, berkata, cakap-cakap yang mengatakan dia melakukan pembedahan untuk mengubah rupa parasnya sama sekali tidak masuk akal dan berharap ia tidak lagi dijadikan isu.
"Apa yang anda lihat bukan kerana saya menjalani pembedahan muka atau hidung seperti didakwa dan belum pernah lagi terlintas di fikiran saya untuk buat begitu.
"Perubahan ini disebabkan penurunan berat badan saya agak mendadak sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan raut wajah saya kelihatan berbeza," katanya kepada mStar Online.
Yana menjawab spekulasi yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung dan wajahnya pada akhir tahun lalu.
Sementara itu, Yana secara terbuka mengakui sudah tiba masanya dia mula memikirkan soal perkahwinan secara serius sejajar dengan peningkatan usianya sekarang.
Jelas Yana, dia bersedia untuk mengakhiri zaman solonya pada tahun ini sekiranya bertemu jodoh yang sesuai.
"Usia saya bukan semakin muda tetapi semakin meningkat dan sudah tiba masanya soal perkahwinan menjadi agenda penting untuk saya pada tahun ini," katanya.
Pelakon itu sebelum ini pernah mengakui berkawan rapat dengan adik kepada aktor Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), Yana berkata, dia terkejut sekali lagi terpilih untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.
Bagaimanapun, dia amat berterima kasih kepada para peminatnya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan mengundinya sehingga dicalonkan dalam peringat 'Top 5'.
"Soal menang atau kalah tidak menjadi perkara penting kerana dapat pencalonan pun sudah membuatkan saya berbesar hati," katanya yang membawa pulang trofi kategori sama pada ABPBH tahun lalu.
Kredit : mStar Online

23 Januari 2014

Nurul Wahab buka rahsia turun 14 kg dalam masa 3 bulan

Nurul Wahab

BUKAN senang untuk kekal langsing selepas bersalin, malah ada di kalangan wanita gagal mendapatkan bentuk badan asal biarpun selepas habis berpantang.

Namun buat penyanyi, Nurul Wahab yang baru melahirkan anak kedua hasil perkahwinan bersama jejaka Perancis, Eric Depp ini, ia bukanlah mustahil.

Selepas tiga bulan bersalin, dia berjaya menurunkan 14 kilogram berat badannya.

Pasti ramai wanita di luar sana mahu berkongsi tip langsing daripada penyanyi ini.

Jom kita tinjau rahsianya.

Anda tidak mengambil masa yang lama untuk kekal langsing selepas bersalin, apakah rahsianya?

Alhamdulillah, selepas tiga bulan melahirkan anak, berat badan sudah berkurang sebanyak 14 kilogram. Sekarang saya target untuk turunkan lagi 4 kilogram untuk mendapatkan berat badan ideal saya.

Sebenarnya tidak ada rahsia cuma saya amat menjaga pemakanan sepanjang waktu berpantang. Kebanyakan makanan mengandungi banyak karbohidrat, jadi saya kurangkan makanan seperti itu dan lebihkan pengambilan protein untuk kurangkan berat badan dengan cepat. Pada masa yang sama, saya juga ada amalkan makanan kesihatan berbentuk minuman setiap pagi.

Selain itu, saya lakukan aktiviti bersenam untuk kembalikan bentuk badan asal sebelum mengandung.

Selain kembali langsing, anda juga sentiasa kelihatan ceria, apa rahsianya?

Hidup ini kena selalu ceria sebab bila kita sentiasa gembira, tenaga yang baik juga akan datang. Memang masalah akan selalu berlaku tapi kita perlu hadapinya dengan ceria.

Satu lagi, bila hidup sudah lengkap, memang kita akan selalu gembira begitu juga dengan saya.

Apakah yang anda lakukan sebagai terapi diri untuk membuatkan anda rasa lebih tenang?

Setiap minggu memang saya akan lakukan aktiviti menunggang kuda. Biasanya saya lakukannya dua kali seminggu.  Walaupun agak mencabar, bagi saya aktiviti ini berkesan sebagai terapi diri untuk hilangkan tekanan.

Selain itu, apa yang anda lakukan pada waktu lapang?

Saya juga akan habiskan masa di gimnasium tiga kali seminggu. Di sana saya turut lakukan yoga. Bila lakukan aktiviti ini, bukan sahaja saya dapat kekalkan stamina, tetapi juga ketenangan.

Penjagaan kulit muka yang anda amalkan?

Sebagai duta produk kecantikan Skinz Infinite memang saya mementingkan penjagaan kulit. Untuk pengetahuan, memang saya gunakan produk tersebut setiap hari.

Penjagaan kulit memang penting kerana kulit saya sentiasa terdedah dengan solekan.

Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Saya memang ada ambil vitamin C dan D dan itu juga penting tambahan pula dengan usia saya yang sudah mencecah 36 tahun ini, memang perlu pengambilan suplemen ini.

Perkembangan karier nyanyian?

Terbaharu, saya sedang membuat perjanjian dengan syarikat rakaman dan berbincang untuk single terbaru saya. Sekarang ini kami sedang menunggu single itu siap sepenuhnya dari penyanyi Shila Amzah sebagai pencipta lagu tersebut.

Kembali aktif dalam bidang nyanyian, bagaimana anda bahagikan masa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu?

Walaupun sebelum ini saya tidak tampil dengan lagu baru, saya masih aktif menyanyi di majlis-majlis tertentu. Biarpun sekarang sudah ada baby baru, semuanya masih sama cuma saya perlu bijak bahagi masa.

Kredit : Hiburan Sinar

19 Januari 2014

INFO KESIHATAN : KENALI PENYAKIT ANDA DARI PERUBAHAN KUKU

KENALI PENYAKIT ANDA DARI PERUBAHAN KUKU 

* Sumber : relevan Sokmo
Kuku adalah bahagian dari tubuh yang dapat membantu mengetahui keadaaan kesihatan seseorang. Kuku yang sihat biasanya berwarna merah jambu dengan permukaan mengkilat.

Anda perlu waspada jika muncul perubahan-perubahan seperti bercakbercak putih atau warna kekuningan, kerana ia menjadi pertanda adanya gangguan kesihatan.

Perubahan lain seperti warna kuku yang pucat, memutih, kebiruan atau bentuk kuku yang bergelombang juga menunjukkan wujudnya masalah di dalam tubuh. Sejumlah penyakit yang menyerang hati, paru-paru,dan jantung juga dapat terlihat dari perubahan pada kuku.

Berikut ini adalah beberapa tanda pada kuku yang perlu diketahui :

1-Kuku Pucat
Keadaan ini adalah normal apabila usia meningkat. Walaubagaimanapun, kadang kala kuku yang pucat juga merupakansimptom kepada penyakit berikut anemia, “congestive heart failure”,diabetes, kegagalan hati dan kekurangan zat makanan.

2. Kuku Berwarna Putih
Hampir keseluruhan kuku berwarna putih dengan bingkai kuku lebih gelap menandakan masalah hati seperti hepatitis. Dalam gambar ini jari menjadi 'jaundiced' atau kekuningandisebabkan masalah hati.

3– Kuku Kekuningan
Antara penyebab kuku menjadi kuning ialah jangkitan fungus. Dalam keadaan di mana jangkitan sudah menjadi teruk, lapisan kuku mungkin tertarik (retracted), kuku semakin menebal, pecah serta hancur.
Dalam kes terpencil pula, kuku menjadi kuning merupakan tanda kepada keadaan keadaan serius seperti penyakit berkaitan thyroid yang teruk atau psoriasis (penyakit autoimmune pada kulit dan joint)

4– Kuku Kebiru-biruan
Keadaan kuku yang kebiru- biruan menunjukkan tubuh tidak mendapat oksigen yang cukup.Keadaan ini boleh berlaku oleh pelbagai sebab seperti jangkitan paru- paru atau pneumonia.Sebab tubuh tidak mendapat oksigen yang cukup adalah terlalu luas dan untuk memastikannya hendaklah berjumpa doktor.

5-Kuku Berkedut atau seakan- akan berombak.

Keadaan ini merupakan tanda- tanda awal psoriasis(penyakit autoimmune pada kulit dan joint) atau inflammatory arthritis.

6-Kuku Retak atau Merekah
Keadaan ini dikaitkan dengan masalah thyroid. Kombinasi kuku merekah dan kekuninganpula menunjukkan terdapatnya jangkitan kuman. 

7-Bengkak pada lipatan atau kawasan sekeliling kuku.
Kulit sekeliling kuku kelihatan merah dan bengkak dikenali sebagai inflamasi atau keradangan 'nail fold'. Keadaan ini berlaku disebabkan penyakit lupus atau masalah pada tisu kognetif yang lain.

8-Garis hitam di bawah kuku
Keadaan ini perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin kerana ia mungkin disebabkan oleh melanoma; sejenis kanser kulit yang berbahaya

9-Kesan kerekahan atau gigitan pada kuku
Menggigit kuku mungkin merupakan tabiat biasa seseorang namun dalam sesetengah kes ia merupakan petunjuk kepada persistent anxiety atau gelabah/kebimbangan yang berterusan.Tabiat menggigit kuku juga boleh dikaitkan dengan Obsessive compulsive disorder; sejenisa bnormaliti pada minda yang berkaitan dengan rasa gementar dan gelabah yang mendorong kepada melakukan suatu tabiat (seperti menggigit kuku) bagi mengurangkan rasa gelabahtersebut. Sekiranya pesakit tidak boleh berhenti dari tabiat ini, anda dinasihatkan supaya mendapat-kan rawatan.

.:. Keadaan kuku merupakan cuma sebahagian dari petanda keadaan kesihatan kita.Walaupun perubahan pada keadaan normal kuku boleh menjadi simtom atau petunjuk kepada pelbagai penyakit , namun ia jarang hadir sebagai first sign atau tanda awal. Kebanyakan ketidaknormalan kuku juga boleh jadi tidak berbahaya; tidak semestinya orang yang kukunya berwarna putih mengidap hepatitis . Namun, langkah berjaga- jaga perlu diambil. Sekiranya anda mendapati kuku anda bermasalah, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian.

SEKIAN

Siti Nurhaliza Ingin Jadi Muslimah Lebih Baik

Siti baharu sahaja menyambut hari jadinya yang ke 35 pada 11 Januari lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik sebagai salah satu doanya bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-35 pada 11 Januari lalu.
Siti berkata, dia juga mahu menjadi seorang wanita, anak dan isteri yang lebih bertanggungjawab serta melakukan lebih banyak perkara baik pada masa hadapan.
"Banyak hasrat yang ingin saya lakukan bersempena dengan usia baharu ini namun paling penting saya mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik daripada sebelum ini dari segi akhlak dan peribadi," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Siti juga mahu melihat syarikat miliknya iaitu Siti Nurhaliza Production dan SimplySiti lebih bertambah maju dan berdaya saing pada masa hadapan.
Malah kata Siti, untuk SimplySiti, pihaknya telah merangka pelbagai perancangan dalam penghasilan produk-produk terbaharu selain memasarkannya ke seluruh dunia.
"SimplySiti telah berpindah ke pejabat dengan ruangan yang lebih selesa dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras dalam menghasilkan produk-produk berkualiti pada masa hadapan," ujarnya.
Sementara itu, Siti yang bakal mengadakan sebuah konsert 'Datuk Siti Nurhaliza Live in KLCC - Where the Heart Is' merupakan sebuah projek bersama Yayasan Nurjiwa yang dinaunginya bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Persembahan itu akan diadakan pada 7 dan 8 Februari depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mengutip dana tabung Yayasan tersebut.
Tiket-tiket konsert ‘Datuk Siti Nurhaliza Live in KLCC - Where the Heart Is’ dijual pada harga RM800, RM518, RM388, RM238, RM188 dan RM88.
Pembelian tiket boleh dibuat secara talian di www.redtix.airasia.com bermula 13 Januari ini atau menghubungi talian 03-21638383 untuk keterangan lanjut.
Kredit : mStar Online

16 Januari 2014

Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Elak 'Dikejar' Media

Syamsul dan Puteri Sarah
PETALING JAYA: Pengarah filem Syamsul Yusof, 30, mengelak untuk mengulas mengenai majlis risik di antara dia dengan pelakon Puteri Sarah Liyana, 28, apabila enggan menjawab panggilan telefon dan juga membalas mesej daripada pihak media.
mStar Online difahamkan, Syamsul sebelum ini yang mahu merahsiakan majlis berkenaan agak terkejut apabila berita tersebut disebarkan menerusi Internet termasuklah beberapa keping gambar yang turut kelihatan ibu dan bapanya iaitu Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam bersama Puteri Sarah.
Dalam majlis merisik yang diadakan di rumah keluarga perempuan pada Ahad lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan pada Februari atau Mac depan atas permintaan Syamsul.
Antara mesej Syamsul menerusi Twitter miliknya.
Hubungan pasangan tersebut telah tersebar sejak beberapa lama tetapi kedua-dua mereka tidak mengesahkan status berkenaan.
Terdahulu dalam akaun Twitter miliknya Syamsul memuatkan pedoman hidup mengenai tuntutan Rasulullah agar seseorang yang berkemampuan supaya berkahwin.
Ia dimuat naik pada Isnin lalu iaitu sehari selepas majlis merisik berkenaan diadakan.
Dalam pada itu Puteri Sarah juga dilihat cuba mengambil pendekatan serupa apabila enggan memberi sebarang komen mengenai majlis berkenaan dan juga persediaan bagi menempuh alam rumah tangga dengan pengarah muda itu.
Wanita itu juga tidak menjawab panggilan telefon serta tidak memberi respons terhadap mesej yang dikirimkan.
Kredit : mStar Online

03 Mac 2013

Pengilat kuku baru boleh dibawa solat

As'salam.. Mak Ngah nak kongsi berita yang dipetik dari BH ini..'' tentu siap berwarna warni kuku nanti..

Syarikat Poland bantu Muslimah berdandan 

Pengilat kuku O2M adalah yang pertama membenarkan udara dan lembapan kena kuku. - Foto AGENSI

London: Bagi wanita Islam seperti Zaida Saleh yang menghayati kehendak agama, merapi kuku atau 'manicure' memberi masalah. 

Dia melakukan solat lima kali sehari dan sebelum menunaikannya, dia perlu mengambil wuduk sedangkan pengilat kuku menghalang air mengenai kuku. 


Bagi mengatasi dilema ini, sebuah syarikat Poland, Inglot, memperkenal sejenis pengilat kuku baru yang membenarkan air kena pada kuku. 

Patuhi syariah 

Syarikat dan orang Islam tertentu berkata, pengilat itu adalah yang pertama membenarkan udara dan lembapan melalui kuku. 

Produk itu dicari wanita Islam sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas seorang ulama di Amerika Syarikat yang menguji kadar resapan, menerbitkan satu artikel mengatakan mengikut pandangannya, ia mematuhi ketetapan syariah. 
Berita mengenai pengilat kuku itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini tersebar dengan cepat di internet dan meningkatkan jualan produk, digelar O2M, untuk oksigen dan lembapan. 

Pengilat kuku itu kini berada dalam senarai satu daripada pencapaian sepanjang hayat terakhir buat Wojciech Inglot, ahli kimia Poland dan usahawan yang membangunkannya. 

Ia dianggap sebagai alternatif lebih sihat berbanding enamel kuku tradisional, yang menghalang laluan lembapan dan oksigen ke dalam kuku. 

Terima anugerah 

Beliau meninggal dunia secara tiba-tiba Sabtu lalu pada usia 57 tahun selepas mengalami pendarahan dalaman dan disemadikan di tempat asalnya di Przemysl. 

Inglot menjadi penerima beberapa anugerah kepemimpinan perniagaan selepas mengambil alih satu perniagaan yang dimulakannya pada 1983 apabila Poland masih berada dalam pemerintahan komunis dan menukarnya hingga berjaya di peringkat antarabangsa. 

Satu anugerah dari Poland yang diterimanya tahun lalu memujinya kerana ‘membuktikan bahawa Poland adalah sebuah negara yang mana teknologi inovatif disesuaikan dengan kecantikan.’ 


- AGENSI

Port Mak Ngah Skodeng !