Memaparkan catatan dengan label Informasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Informasi. Papar semua catatan

13 Mac 2014

MH370: Kaedah Bomoh Bercanggah Dengan Islam - Jakim

Jakim memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

PETALING JAYA: Kaedah bomoh yang digunakan untuk mencari penerbangan MH370 yang hilang jelas bercanggah dengan amalan Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam satu kenyataan Rabu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Haji Othman Mustapha berkata walaupun hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

"Rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

"Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.

"Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat," katanya.

Katanya, dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004, Jakim telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam.



Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim www.islam.gov.my.

Othman mengingatkan semua masyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan, atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.

"Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah SWT," katanya.

Beliau turut memuji pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan bantuan asing yang menggunakan pendekatan sains, kepakaran teknikal dan teknologi canggih dalam usaha untuk mencari pesawat yang hilang.

"Walaupun tidak ada petunjuk tentang di mana pesawatberada, kita tidak boleh berputus asa. Saya yakin kita akan mendapat petunjuk mengenai misteri pesawat yang hilang dengan izin Allah," katanya.

mStar Online

10 Mac 2014

Nombor 7777777 dibida RM6.8j


Abu Dhabi: Nombor istimewa syarikat telekomunikasi Etisalat, 050-7777777 dijual dengan harga menakjubkan Dh7.87 juta (RM6.8 juta) dalam satu majlis pembidaan nombor telefon bimbit VIP, lapor media semalam.
Bidaan dilangsungkan firma Emirates Auction secara serentak di hotel Emirates Palace di sini, dan Hotel Armani di Dubai.
Pegawai bidaan Emirates Auction berkata, sebanyak 70 nombor telefon bimbit VIP dibida, termasuk menggunakan nombor tujuh seperti 050-7777777, 050-7777770, dan sebagainya.
Kata pegawai itu, nombor begitu dimasukkan ke kategori “Diamond Plus.” “Nombor 050-7777777 dijual dengan harga Dh7.87 juta.
“Secara keseluruhan seramai 700 pembida terbabit dalam lelongan kali ini,” katanya.
Walaupun jumlah keseluruhan dikutip hasil acara itu tidak diketahui, Etisalat berkata, sebahagian daripada kutipan akan disumbang untuk membantu program Yayasan Khalifa, selain membiayai projek tanggungjawab sosial korporatnya.
Selain nombor dikategorikan “Diamond Plus.” 25 nombor “Diamond” (berlian), 18 “Platinum” dan 20 “Gold” (emas) turut dilelong.
Kategori berkenaan membabitkan pakej berbeza dengan pembeli Diamond Plus mendapat 22,500 minit panggilan tempatan; 2,250 minit bagi panggilan antarabangsa; data sebanyak 100GB; 22,500 SMS tempatan dan 300 minit perayauan semuanya untuk sebulan bagi tempoh dua tahun.
Mereka turut mendapat telefon pintar terkini selain khidmat pelanggan khas.
Pakej Diamond mendapat 7,500 minit bagi panggilan tempatan; 750 bagi panggilan antarabangsa; 20GB data; 7,500 SMS tempatan; 100 minit perayauan semuanya bagi tempoh sama selain telefon pintar dan khidmat pelanggan khusus.
- Agensi

06 Mac 2014

INFO KESIHATAN, 10 MAKANAN YANG DIKATAKAN TIDAK SIHAT SEBENARNYA SIHAT?


1. Keju

Keju tinggi dengan kalori dan lemak? Benar.. akan tetapi, terdapat juga kelebihan yang terdapat disebaliknya. Pastikan kita membicarakan tentang keju yang berkualiti tinggi dan bukannya yang terdapat di dalam pizza dan sebagainya.

Pengambilan produk tenusu dalam pemakanan harian anda dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan kencing manis. Selain daripada itu, kajian juga mendapati ia dapat membantu dalam proses mengurangkan berat badan. Keju adalah tinggi dalam protein dan merupakan sumber kalsium yang terbaik.

2. Kopi

Minuman yang membuatkan hampir ramai yang ketagih dengan sifat semulajadi bahan kopi ini memberikan kesan negatif kepada sesetengah individu seperti menyebabkan kebimbangan, kegelisahan, keresahan, insomnia, sakit kepala, berdebar-debar jantung dan sebagainya.Harus ditekankan disini, kopi adalah sumber tenaga yang baik. Akan tetapi,hadkan pengambilan dan menjaga kualiti minuman tersebut dimana elakkan
meletakkan gula berlebihan dan tidak mencampurkannya ia dengan susupekat manis. Amalkan meminum kopi kosong yang sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan yang tidak kita ketahui. Kopi dapat meningkatkan mood, masa reaksi, ingatan, kewaspadaan dan fungsi kognitif umum.

Selain daripada itu, ia boleh membantu anda membakar lemak dengan merangsang sistem saraf pusat anda, dan meningkatkan metabolisme anda. Akhir sekali, ia juga dapat meningkatkan jangka hayat anda.
Kopi adalah sumber tenaga yang baik. Akan tetapi, hadkan pengambilan dan menjaga kualiti minuman tersebut dimana elakkan meletakkan gula berlebihan dan tidak mencampurkannya ia dengan susu pekat manis.

3. Durian

Pasti ramai yang kurang gemar dengan bau yang kurang menyenangkan dari Raja Buah ini. Akan tetapi, ada juga yang gilakan rasa lemak yang dirasai ketika makan buah ini. Buah yang tinggi lemak dan tinggi dengan kalori? Benar akan tetapi pengambilan yang tidak melebihi kalori harian bukanlah penyebab untuk kita terlepas dari mendapatkan kebaikan dari Raja Buah ini. Durian adalah tinggi dengan nilai seratnya. Ia juga mengandungi vitamin C, Vitamin B6, dan folat. Ia juga tinggi dengan potassium dimana ia dapat membantu mengawal kadar jantung dan tekanan darah.


4. Tiram

Bau yang kurang enak serta rasa yang kurang menyenangkan dari hasil laut ini membuatkan se setengah orang kurang gemar untuk menikmatinya. Akan tetapi, hasil laut ini juga tidak kurang hebatnya dari segi kelebihan dan sumbangan vitaminnya. Tiram tinggi dengan sumber zinc dan ia tinggi dengan sumber protein tanpa lemak serta tinggi dengan Omega-3, magnesium dan vitamin-E dimana dapat mengurangkan risiko serangan jantung dan keradangan. Seterusnya, ia mengandungi antiviral yang didapati menghalang tumor daripada membentuk dalam tempoh masa yang panjang. 

5. Daging Merah

Sesetengah orang ada yang kurang gemar makanan ini. Ada yang mengatakan ianya makanan yang menggemukkan dan berkolesterol tinggi. Sebenarnya, samada ianya memudaratkan atau tidak adalah bergantung kepada jumlah makanan yang diambil. Daging merah adalah sumber vitamin D yang terbaik. Kajian di Jepun mendapati bahawa lemak yang lebih tepu mereka makan, lebih rendah risiko strok. Selain daripada itu, daging merah juga terdapat zinc yang penting untuk fungsi-fungsi fisiologi dan merupakan sebahagian daripada struktur bagi banyak protein dan enzim.

6. Ghee

Penggunaan ghee dalam masakan amat popular lagi-lagi dikalangan masyarakat kaum India.Sesetangah kajian mengatakan penggunaan ghee yang berlebihan dapat meningkatkan risiko penyakit jantung. Akan tetapi, untuk mendapatkan khasiat dari penggunaan tersebut, elakkanlah menggunakan ghee ini secara berlebihan. Dari segi Ayurveda, minyak ghee ini dapat menggalakkan pembelajaran dan meningkatkan ingatan seseorang. Ia juga penuh dengan vitamin larut lemak A, D, E dan K. Kandungan yang terdapat didalam minyak ghee ini mengandungi asid linoleik conjugated (PTK). Ia adalah asid lemak antioksidan yang
boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser dan membantu dalam penurunan berat badan.


7. Hati Lembu

Organ dalaman sememangnya tidak digalakkan untuk diamalkan. Akan tetapi, bagi penggemar hati lembu, terdapat juga kelebihan yang dapat diperolehi dari hidangan yang diberikan. Walaubagaimana-pun, hadkan pengambilan anda agar tidak berlebihan.Hati lembu mengandungi pelbagai nutrient tambahan seperti zinc, vitamin B12, dan vitamin A. Sumber ini dapat membantu mengurangkan penyakit yang berbahaya. Ia adalah sumber protein yang baik. Ia juga dapat melindungi daripada kanser, keletihan, dan mengoptimumkan sistem imun anda.

8. Kentang

Sumber karbohidrat ini selalunya dielakkan pengambilannya oleh individu yang sedang mengurangkan berat badan. Benar, kentang tinggi dengan kandungan karbohidratnya. Akan tetapi, lagi sekali, jika anda sudah mengira jumlah pengambilan karbohidrat harian anda, anda harus mengambil sumber tersebut dari kentang. Jika anda ingin mengurangkan berat badan, makan makanan yang rendah Indeks glisemik (GI).Kentang
telah dikenalpasti sebagai tinggi dalam GI.

Akan tetapi, kajian yg telah dijalankan, tahap GI kentang berbeza dari segi penyediaannya. GI kentang adalah lebih rendah apabila mereka dimakan sedikit sejuk daripada panas, dan apabila direbus dan dimakan keseluruhan dan bukannya dilenyekkan.Kentang dapat menggantikan keinginan anda untuk gula-gula dan roti apabila pada diet rendahkarbohidrat. Selain daripada itu, kentang juga amat sesuai untuk individu yang menghadapi plateu ketikamengurangkan berat badan dimana ia dapat mengembalikan tahap leptin anda. Ia dipanggil teknik ‘refeeding’ dan dapat mengembalikan semula proses pengurangan berat badan.

9. Sos tomato

Sememangnya pasti ramai yang mengetahui bahawa sos adalah bahan proses yang tinggi dengan kandungan gula dan garam. Pastikan anda menggunakan sos tomato yang berkualiti tinggi jika ingin menikmatinya agar dapat mengelakkan dari penambilan sos tomato yang kurang berkualiti dan se- bagainya.

Bahan utama penyediaan sos adalah dari sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS). Ia merupakan pemanis yang murah dan senang didapati yang boleh menyebabkan peningkatan gula dalam darah dan akhirnya menyebabkan obesiti. Oleh itu, untuk mendapatkan dan mengelakkan dari pengambilan HFCS yang tinggi, sos tomato Heinz adalah sos yang kurang menggunakan HFCS. Selain daripada itu, terdapat juga kelebihan memakan sos ini dimana ia mengandungi kandungan lycopene. Lycopene merupakan antioksidan yang kira-kira 100 kali lebih berkuasa daripada vitamin E.Ia adalah berguna untuk merawat penyakit kardiovaskular, strok, kencing manis, osteoporosis dan kemandulan lelaki.

10. Daun Gandum

Selain bau yang kurang menyenangkan, daun gandum ini amat pahit dan kurang enak. Akan tetapi,
khasiat yang terdapat pada daun ini sangat berguna seperti ia mengandungi klorofil. Klorofil dapat
mengurangkan kadar kanser kolon, dan ia boleh menjadi terapeutik untuk ulser kolitis.

SUMBER

04 Mac 2014

Singapura Disenarai Bandar Paling Mahal Di Dunia

PETALING JAYA: Jika anda fikir tinggal di Paris, London, Tokyo atau New York adalah mahal, tunggu sehingga anda menyeberangi tambak Johor!
Rakyat Malaysia berkemungkinan besar akan berfikir dua kali sekarang sebelum bercuti di Singapura selepas 'The Economist Intelligence Unit' (EIU) menyenaraikan republik itu sebagai bandar yang paling mahal di dunia untuk didiami.
Dalam laporan kajian dwi-tahunan 'Worldwide Cost of Living 2014, kos hidup di bandar raya itu semakin meningkat dari 10 tahun lalu apabila ia telah disenaraikan sebagai ke-18 yang paling mahal.
"Sejak sedekad yang lalu, 40 peratus kenaikan mata wang, ditambah pula dengan kadar inflasi harga yang kukuh, telah secara konsisten menolak Singapura ke ranking teratas," kata laporan itu.
Untuk meletakkan sesuatu harga ke dalam perspektif, kos pengangkutan di Singapura adalah hampir tiga kali ganda daripada New York, bandar yang paling mahal di Amerika Utara.
Laporan itu juga menjelaskan bahawa pergantungan pulau itu terhadap negara-negara lain bagi keperluan asas seperti tenaga dan air telah menyebabkan perlambungan kos utiliti.
Sembilan bandar lain yang menduduki tempat teratas dalam senarai paling mahal di dunia itu ialah Paris, Perancis (kedua); Oslo, Norway (ketiga); Zurich, Switzerland (keempat); Sydney, Australia (kelima); Caracas, Venezuela (keenam); Geneva, Switzerland (ketujuh); Melbourne, Australia (kelapan); Tokyo, Jepun (kesembilan) dan Copenhagen, Denmark (10).
Bagi mereka yang mempunyai bajet terhad, ini adalah masa untuk melawat Mumbai yang dikatakan menjadi bandar yang paling murah.
Bandar-bandar lain yang disenaraikan sebagai 10 paling berpatutan adalah Karachi, Pakistan, New Delhi, India, Damsyik, Syria, Kathmandu, Nepal, Algiers, Algeria, Bucharest, Romania, Panama City, Panama dan bandar-bandar Arab Jeddah dan Riyadh.
Sumber

27 Februari 2014

Atasi alahan dengan makan gula-gula


KANAK-kanak lelaki yang mengalami alahan melampau ini hanya boleh mengambil gula-gula Glacier Mints sebagai makanan hariannya.

Keadaan itu disebabkan oleh penyakit eosinophilic enterocolitis dialami Finley Ranson, 3, yang menyebabkan dia tidak boleh menjamah sebarang makanan.

Menurut ibunya, Rhys, 27, anaknya akan mengalami pendarahan dalaman jika dia termakan makanan pejal kerana tubuh Ranson melawan objek di dalam sistem pencernaannya seperti virus.

Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut diberikan nutrien sebanyak enam kali sehari melalui tiub khas  yang disambungkan terus ke perutnya.

"Sejak lahir, Ranson menjalani 10 pembedahan untuk merawat penyakit gangguan  makan tersebut," katanya.

Pada setiap tahun, sebanyak 3,650 gula-gula  perlu diambil sebagai pengganti makanan pejal, laporan dipetik dari DailyMail.

Sumber

25 Februari 2014

CATUAN AIR DI 71 KAWASAN


KUALA LUMPUR: Sebanyak 71 kawasan membabitkan 60,185 akaun di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami catuan air berjadual hanya bermula Khamis ini hingga 31 Mac depan.
Pengarah Eksekutif, Pembangunan Teknikal SYABAS, V Subramanian berkata pengagihan air berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi.
Beliau berkata demikian pada sidang media Notis Pengagihan Air Berjadual di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di sini, hari ini.

Kawasan terbabit dibahagikan kepada dua zon yang akan bergilir-gilir menerima pengagihan air selang dua hari mengkikut jadual.
Giliran mendapat air selama dua hari akan bermula dengan kawasan di Zon 1 Kuala Langat dan Sepang serta Zon 2 Hulu Langat pada 27 Februari ini.
Selepas itu, kawasan di Zon 1 Hulu Langat serta Zon 2 Kuala Langat dan Sepang akan mendapat air untuk dua hari bermula pada 1 Mac nanti.

Pada hari dijadualkan mendapat air, bekalan air disediakan pada jam 4 petang sehingga ditutup semula pada jam 9 pagi dua hari selepas itu.

Bagi zon yang dijadualkan tiada air, bekalan air kepada pengguna dijangka mula terhenti pada jam 9 pagi pada hari dijadualkan tiada air sehingga jam 4 petang dua hari selepas itu.

Subramanian berkata, pengumuman SYABAS itu sekali gus menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa catuan air akan dimulakan hari ini.

Beliau berkata, ini kerana sebarang keputusan membabitkan rancangan pengagihan air berjadual perlu mendapat kelulusan Surahanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Pelan berkenaan mendapat kelulusan SPAN semalam, jadi memerlukan notis sekurang-kurangnya dua hari, justeru kenyataan Khalid bahawa catuan air bermula hari ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya pengguna terbabit," katanya.
myMetro

WILAYAH HULU LANGAT
Zon 1
  • Taman Juara Jaya
  • Taman Bukit Belimbing
  • Taman Sungai Besi Indah 1,2 & 3
  • Taman Harmoni Indah
  • Taman Puncak Utama, Seri Kembangan
  • Taman Putra Budiman
  • Taman Balakong Jaya
  • Taman Seri Timah
  • Taman Tanming Jaya
  • Kawasan perindustrian Balakong
  • Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan
  • Taman Industri Balakong
  • Taman Tanming Permai
  • Taman Industri Lifong
  • Taman Tanming Ria
  • Taman Sungai Besi Indah Zon 1
  • Juta Mines Kondominium, Seri Kembangan

Zon 2
  • Kawasan Perindustrian Cheras Jaya
  • Taman Impian Ehsan Seri Kembangan
  • Taman Desa Karunmas Seri Kembangan
  • Kampung Baru Balakong
  • Taman Kasturi Cheras
  • Taman Sri Indah Cheras
  • Taman Bukit Emas
  • Taman Cheras Jaya
  • Taman Impian Indah
  • Taman Taming Indah
  • Taman Sejati
  • Taman Seri Sungai Long
  • Taman Bukit Sungai Long
  • Rumah Kenangan Cheras
  • Taman Dutamas
  • Taman Setia Kasturi Cheras
  • AEON Cheras Selatan
  • Taman Industri Balakong Jaya
  • Taman Setia Balakong
  • Taman Sinaran
  • Kawasan Perniagaan Desaria, Seri Kembangan
  • Dataran C180 Balakong

WILAYAH KUALA LANGAT & SEPANG
Zon 1
  • Kampung Olak Lempit
  • Kampung Bukit Changgang
  • Kampung Labohan Dagang
  • Selangor Dredging
  • Taman Changgang Jaya
  • Kompleks Perabut Olak Lempit
  • RTB Bukit Changgang
  • Bandar Sri Ehsan
  • Bandar Mahkota
  • Bandar Sungai Emas
  • Taman Arked
  • Taman Ambar
  • Taman Sri Dagang
  • Taman Langat Murni
  • Taman Langat Utama
  • Taman Murnimas
  • Taman Seri Telok Datok
  • Taman Sri Cheding
  • Sekolah Tamil Sungai Sedu

Zon 2
  • Kota Warisan
  • Warisan Bestari
  • Taman Bunga Raya
  • Taman KLIA Indah
  • Tiara Heights
  • Taman Ixora
  • Taman Dahlia
  • Taman Seroja
  • Taman Mawar ( Mawar 1, Mawar 2, Mawar Perdana, Emas Villa )
  • Taman Kenanga
  • Taman Desa Vista
  • Taman Desa Bestari
  • Salak Permai

23 Februari 2014

TELUR TIRUAN DARIPADA TUMBUHAN


San Francisco: Sejenis telur tiruan diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan bakal menembusi pasaran global selepas firma Amerika Syarikat (AS) yang dibiayai lelaki terkaya di Asia mendedahkan perkara itu.

Ia bakal menggantikan telur dalam semua termasuk pembuatan kek hingga mayonis tanpa memerlukan seekor ayam untuk menghasilkan pengeluarannya. 


Produk keluaran Hampton Creek itu sudah dijual di Whole Foods di California dan kini firma yang dibiayai oleh lelaki terkaya Asia, Li Ka-shing serta pengasas bersama Yahoo, Jerry Yang, merancang untuk menembusi pasaran dunia. 

Perjanjian dengan 500 syarikat

Malah syarikat terbabit dikatakan sudah menandatangani perjanjian kerjasama dengan 500 syarikat termasuk pengeluar dan peruncit makanan terbesar dunia.

“Teknologi membolehkan semua untuk mendapat lebih banyak pilihan untuk masa depan bersama yang lebih baik,” katanya.

“Untuk memenuhi semua permintaan penduduk dunia yang semakin bertambah, kita perlu lebih efisyen, lebih mesra alam sekitar dan lebih berkualiti serta banyak pilihan. 
Ketua pegawai eksekutif, Hampton Creek dan pengasas, Josh Tetrick berkata, kita hidup ketika pilihan tidak sihat adalah murah dan mudah, manakala pilihan sihat adalah mahal dan sukar.

“Sasaran kami sentiasa untuk membina sebuah syarikat yang menghasilkan makanan sihat dan mudah didapati kepada sesiapa saja.

“Menyelesaikan masalah itu bermakna menyelesaikan masalah kebanyakan orang ramai bukan hanya mereka yang mampu untuk membayar AS$5.99 bagi telur organik,” katanya.

Idea Tetrick adalah untuk mencari campuran tumbuh-tumbuhan yang senang tumbuh, apabila dicampur bersama dengan betul, meniru rasa, nilai khasiat dan kegunaan memasak bagi sebiji telur.


-AGENSI

18 Februari 2014

Dinosaur pernah hidup di Pahang?


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Mungkinkah Pahang pernah menjadi tempat kehidupan untuk haiwan prasejarah dinosaur suatu ketika dahulu? Perkara itu tidak mustahil berikutan penemuan baharu di negeri tersebut.

Kumpulan penyelidik daripada Jabatan Geologi di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mencipta sejarah apabila menemui sebatang fosil gigi dinosaur di negeri itu, sekali gus mencatat rekod penemuan pertama di Malaysia.

Penemuan itu merupakan hasil kajian bersama dua institusi pengajian tinggi Jepun iaitu Universiti Waseda dan Universiti Kumamoto.

Ketua kumpulan pengkaji, Prof. Dr. Masatoshi Sone yang mewakili UM berkata, penemuan itu adalah hasil kajian dan proses cari gali yang dilakukan sejak September 2012.

"Pada Ogos tahun lalu, kami menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies `Spinosaurid Therapod’ atau lebih dikenali sebagai `dinosaur pemakan ikan’ di sebuah lokasi di Pahang.

"Fosil yang diberi nama sebagai `Sampel UM10575’ itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar," katanya dalam sidang akhbar berhubung penemuan tersebut di sini hari ini. 

- UTUSAN ONLINE

17 Februari 2014

Gadis 17 tahun derma RM44 juta

Riyadh: Seorang gadis berusia 17 tahun mendermakan SR50 juta (RM44 juta) kepada kegiatan kebajikan di Arab Saudi.
Gadis yang tidak dinamakan itu memberitahu akhbar tempatan, jumlah itu suku daripada kekayaan yang diwarisi daripada bapanya.
Menurut laporan, gadis berkenaan pergi ke mahkamah di Riyadh dan mendermakan wang itu kepada kumpulan kebajikan yang terbabit dalam pembinaan masjid, membantu membebaskan tahanan yang terlibat dengan hutan, pembinaan sekolah, hospital dan aktiiviti lain.
“Saya digalakkan oleh ibu dan abang saya untuk menderma. Saya mengambil keputusan untuk berbuat demikian kerana takutkan Allah dan kerana sayangkan bapa saya,” katanya.
Sumber

12 Februari 2014

Mudah gemuk jika ada kereta, komputer

Washington: Orang yang memiliki kereta, televisyen dan komputer di rumah tetapi tinggal di negara berpendapatan rendah mempunyai kemungkinan lebih besar untuk menjadi gemuk berbanding mereka yang tidak memiliki kemudahan berkenaan, kata penyelidik.

Makan lebih banyak, duduk tanpa melakukan senaman dan selalu memandu adalah punca mengapa mereka ini menambah berat badan dan menyebabkan terdedah kepada risiko kencing manis, kata penyelidik. 


Hasil kajian 

Hasil kajian dalam Jurnal Perubatan Kanada itu menyatakan rakyat di negara yang meniru gaya hidup Barat perlu berhati-hati bagi mengelak bahaya kesihatan.

“Dengan meningkatnya kemudahan di zaman moden ini seperti televisyen, kereta dan komputer, kadar obesiti dan kencing manis juga semakin meningkat di negara berpendapatan rendah dan sederhana sama seperti di negara berpendapatan tinggi,” kata penulis Scott Lear dari Universiti Simon Fraser. 

“Ini boleh membawa kepada potensi masalah kesihatan yang besar di negara ini.”


 -AFP

07 Februari 2014

Bengkung semakin popular dalam kalangan lelaki

imej google

LONDON 6 Feb. - Pakaian dalam untuk membentuk badan seperti korset dan bengkung sudah lama dipakai oleh wanita, namun kini semakin popular dalam kalangan lelaki pula.

Pakar perubatan, bagaimanapun berkata, perbuatan memakai pakaian ketat tersebut pada setiap hari boleh membawa risiko kesihatan seperti menyebabkan darah beku, masalah belakang dan kanser.

Pakar perunding pembedahan am dan usus besar London Clinic, Jonathan Wilson berkata, pakaian itu memberi tekanan kepada organ termasuk perut.

“Sebarang tekanan ke atas perut boleh menyebabkan asid pada perut ditolak ke atas iaitu ke dalam esofagus.

“Jika anda sebelum ini tidak mengalami masalah tersebut tetapi mempunyai kecenderungan itu, pemakaian pakaian ini akan menyebabkan anda menghidapi penyakit tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata, antara simptomnya adalah pedih hulu hati, memuntahkan asid dan dysphagia atau kesukaran untuk menelan.

“Dalam kes dysphagia, asid melukakan esofagus menyebabkan ia menjadi sempit. Pesakit yang mengalami penyakit ini sering merasakan makanan terlekat di dada,’’ katanya.

Kajian saintifik berpendapat keadaan itu mungkin berlaku akibat lebihan lemak di badan menekan perut.

“Jika berat badan merupakan satu masalah, anda sepatutnya menggunakan kaedah diet dan senaman berbanding pakaian dalam untuk mengurangkan berat badan,’’ katanya. 

- AGENSI


03 Februari 2014

Cameron Diaz kongsi petua jaga badan

Cameron Diaz
DIKENALI sebagai salah seorang aktres yang mempunyai bentuk tubuh badan yang cantik, Cameron Diaz telah berkongsi petua menerusi rencana yang disiarkan di majalah Self Magazine terbitan bulan Februari 2014.
Dalam rencana tersebut, aktres berkenaan mendedahkan bahawa dia mula melakukan senaman dan menjaga pemakanan harian ketika dipilih membintangi filem Charlie's Angels pada tahun 2000.
"Sebenarnya saya rajin melakukan senaman semata-mata mahu menjayakan filem tersebut, tetapi kini ia sudah menjadi satu kebiasaan. Kalau tidak melakukan senaman, saya akan menjadi cepat murung," dedahnya.
Menurut Diaz, sebelum memulakan penggambaran, dia terpaksa menguatkan stamina dengan rajin bersenam memandangkan perlu mengadakan latihan yang berat untuk sebuah filem aksi seperti Charlie's Angels.
Ujarnya, bagi menjayakan watak sebagai Natalie Cook dalam filem berkenaan, dia perlu berlatih selama lapan jam sehari dan tujuh hari seminggu dalam tempoh tiga bulan.
KOSMO!

27 Januari 2014

Bahagiamu Deritaku Juara AJL 28

Selain lagu nyanyiannya berjudul Bahagiamu Derita diangkat sebagai Juara Lagu, Hafiz turut menang kategori persembahan terbaik. -foto TheStar/M AZHAR ARIF
KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan LY dan lirik oleh Baiduri berjudul Bahagiamu Deritakudipilih sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.
Dengan kemenangan lagu yang dinyanyikan oleh Hafiz itu, mereka berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai sebanyak RM35,000.
Bahagiamu Deritaku berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Salammusik (Aku Pelat), Black (Takkan Terpisah), Aizat Amdan & Noh Salleh (In Love With You), Hyper Act (Hanya Aku), Stacy (Bosan), Hazama & The Penglipurlara (Penglipur Lara).
Turut bertanding adalah Jaclyn Victor (Ikut Rentakku), Najwa Latif feat Sleeq & Syamkamarul (Sahabat), Azlan & The Typewriter (Tanda Tanya), Alyah (Kau Yang Terindah), dan Awi Rafael & Altimet (Kalau Aku Kaya).
Naib juara AJL 28 menjadi milik lagu Hanya Aku ciptaan Hyper Act dan Frozen dan dinyanyikan oleh Hyper Act sekali gus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga dimenangi oleh lagu Kalau Aku Kaya ciptaan Omar K, Audi Mok dan Altimet nyanyian Awi Rafael dan Altimet.
Mereka berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.
Penyanyi Jaclyn Victor memecah rekod apabila merampas anugerah Vokal Terbaik daripada Hafiz yang dimenanginya tiga tahun berturut-turut.
Jaclyn membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.
Hafiz bagaimanapun turut memenangi kategori persembahan terbaik menerusi laguBahagiamu Deritaku.
Penyanyi itu menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Persembahan 12 finalis AJL 28 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Acis, Ajai, Habsah Hassan, Aubrey Suwito, Ad Samad dan Helen Yap, Taja, Cat Farish dan Edrie Hashim.
Azmeer bertindak sebagai ketua juri pada acara itu.
Penghakiman dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Hampir tiga dekad sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 28 memperkenalkan ‘Game On!’ sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.
Pada acara itu juga, Hafiz telah memenangi Anugerah Juara Mobile menerusi laguBahagiamu Deritaku yang mendapat muat turun Call Me Tones paling tinggi menerusi The Cube Celcom.
AJL 28 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan penampilan pertama pasangan hos Muzik Muzik 28, AG dan Scha Al-Yahya sebagai hos.
Malam kemuncak AJL 28 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai yang berkonsep ‘battle’ vokal oleh Shila Amzah dan Mus May menerusi lagu Mahakarya Cintaselain tarian oleh Funky Fresh Family.
Manakala segmen interlude pula mengetengahkan muzik hip hop yang menggandingkan penyanyi baharu dan lama antaranya W.A.R.I.S, Zaidi (One Nation Emcees), Ziana Zain, FILSUF, Datuk M. Daud Kilau dan Amy Search.
Acara ‘Purple Carpet’ AJL 28’ yang berlansung sebelum itu dihoskan oleh Aidid Marcello dan Hani Hatim manakala segmen ‘Backstage’ dihoskan oleh Elfira Loy.
Kredit : mStar Online

25 Januari 2014

Anugerah Bintang Popular 2013,Zizan tetap jadi pilihan

Zizan Razak

HASIL undian orang ramai telah menyenaraikan nama pelawak dan pengacara, Zizan Razak menerima pencalonan terbanyak menerusi program berprestij, Anugerah Bintang Popular 2013.

Pengacara program Melodi itu tersenarai dalam lima kategori yang dipertandingkan iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular.

Selain itu bagi kategori dalam talian, Zizan tersenarai dalam dua kategori iaitu Gandingan Di Layar Serasi bersama Siti Saleha dan Artis Berpengaruh Di Laman Media.

Kelmarin bertempat di Hotel Royal Chulan, pengumuman lima finalis bagi 22 kategori termasuk dalam talian telah dijalankan.

Selain menampilkan nama-nama besar, kali ini anugerah berprestij ini turut memperlihatkan bakat-bakat baharu yang terpilih dalam lima pencalonan terbaik antaranya Nomad (Artis Baru Lelaki Popular), Chacha Maembong (Artis Baru Wanita Popular), Raja Ilya (Pelakon TV Wanita Popular), Pekin Ibrahim (Pelakon Filem Lelaki Popular), Jihan Musa (Artis Komedi Wanita Popular) dan Nik Michael Imran (Pengacara TV Lelaki Popular).

Lebih menarik, sebanyak dua kategori baru dalam talian telah diperkenalkan iaitu Chef Selebriti Paling Popular dan Aksi Di Youtube Paling Popular menggantikan kategori Artis Asia Paling Popular dan Watak Animasi Tempatan Popular.

Mengetengahkan tema ’Magis Alam’, majlis pengiktirafan ini akan berlangsung pada 6 April 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands dan akan bersiaran menerusi TV3 dan Hot FM.

Peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka bermula 23 Januari hingga 11 Mac depan untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori sekali gus memilih Bintang Paling Popular 2013.


Kredit : Sinar

24 Januari 2014

Surat Perjanjian Perceraian Nurul Izzah Tersebar Di Facebook

Sebahagian isi kandungan surat perjanjian penyelesaian perceraian Nurul Izzah yang dimuatnaik di laman FB pada Jumaat.
PETALING JAYA: Sebahagian isi kandungan perjanjian penyelesaian perceraian dipercayai di antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Raja Salim tersebar luas di laman media sosial, Facebook pada Jumaat.
Isi kandungan perjanjian itu yang dimuatnaik oleh seorang pengguna di laman tersebut menunjukkan ia menyerupai draf surat oleh pejabat peguam.
Antara yang terkandung dalam perjanjian tersebut adalah mengenai persetujuan kedua-dua belah menyelesaikan isu perceraian, tuntutan selepas perceraian dan hadhanah anak-anak mereka secara damai.
Menurut surat perjanjian itu, mereka juga bersetuju kes tersebut diselesaikan tanpa membabitkan sebarang perbicaraan di mahkamah.
Dalam pada itu, pasangan tersebut juga didakwa telah membuat satu perjanjian mengenai beberapa perkara lain di mana ia akan berkuatkuasa dari tarikh perjanjian penyelesaian itu ditandatangani.
Bagaimanapun, kesahihan mengenai surat perjanjian itu tidak dapat dipastikan.
Pada Khamis, Nurul Izzah disahkan memfail penceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Pemeriksaan rekod mahkamah oleh The Star Online mendapati kes perceraian antara Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan suaminya itu wujud.
Nurul Izzah, 33, membuat tuntutan fasakh bagi membatalkan perkahwinannya dengan Raja Ahmad Shahrir , 35, pada akhir Disember tahun lalu.
Dalam kenyataan media bersama pada Khamis, Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Raja Salim meminta supaya mereka diberikan ruang peribadi untuk menyelesaikan isu itu.
"Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.
"Keluarga kami menjadi keutamaan," kata mereka pada Khamis.
Kredit : mStar Online

Port Mak Ngah Skodeng !