22 Jun 2015

Sorok Dadah dalam payudara

PAOLA disoal siasat polis ketika ditahan di lapangan terbang Bogota

Seorang wanita ditahan di lapangan terbang di sini kelmarin selepas cuba menyeludup cecair kokain seberat 1.5 kilogram yang disembunyikan dalam implan payudaranya, kata polis semalam.

Jurucakap polis, Diego Rosero berkata, Paola Deyanira Sabillon, 22, ditahan kerana kelihatan mencurigakan dan cemas ketika tiba di lapangan terbang itu.

Katanya, wanita yang berasal dari Honduras berkenaan cuba menaiki satu penerbangan menuju ke Barcelona, Sepanyol.

“Polis membuat pemeriksaan pada badan dan barangan wanita itu, tetapi tidak menjumpai sesuatu yang meragukan.

“Bagaimanapun, selepas membuat imbasan X-ray kami menemui kesan pembedahan baru pada payudara wanita itu.

“Selepas disoal siasat wanita itu mengaku implan dalam payudaranya mengandungi sejenis cecair dan dia mahu membawa cecair itu ke Barcelona,” katanya.

Paola memberitahu pembedahan untuk memasukkan implan mengandungi cecair dadah ke dalam payudaranya itu dibuat di sebuah klinik di Pereira, barat Colombia.

“Wanita itu kini dirawat di hospital akibat jangkitan kuman pada payudaranya,” katanya.

Sumber

14 Jun 2015

Wanita berkain batik di JPJ jadi viral

  • Gambar dimuat naik Suzanne di akaun Facebook miliknya. Gambar kanan: Tatacara pakaian pelawat JPJ.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita tidak berpuas hati apabila disuruh memakai kain sarung sebelum dibenarkan berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Wanita yang dikenali sebagai Suzanne itu menyatakan ketidakpuasan hati menerusi akaun Facebook miliknya yang menyebabkan perkara itu menjadi viral.

Menurut Suzanne, dia mengunjungi pejabat JPJ bagi urusan perpindahan milik kenderaan yang dijualnya.

Suzanne yang memakai baju berwarna merah jambu dan skirt merah mendakwa didekati seorang kakitangan JPJ di belakang kaunter mengambil nombor giliran dan diberi sehelai kain batik.

Dakwanya, dia seterusnya diberitahu agar memakai kain itu atau tidak akan dilayan.

“Saya memakai pakaian seperti ini, tidak sopankah?

“Hanya perlu duduk di hadapan cermin kaunter yang mana hanya bahagian-bahagian hadapan badan saya saja yang dilihat oleh pegawai berkenaan. Saya tidak tahu sama ada ingin ketawa atau menangis,” katanya dalam status yang dimuat naik.

Wanita itu kemudiannya memuat naik tiga keping gambar yang menunjukkan luar premis, sebelum memakai kain batik dan dua lagi ketika berada dalam bangunan dan menjalankan urusan.

Difahamkan, kejadian berlaku di pejabat JPJ Wangsa Maju.

JPJ dalam satu kenyataan memohon maaf kepada wanita tersebut selain memberitahu tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

“JPJ ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika mereka tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

“Pihak JPJ berasa amat kesal dengan kejadian ini dan memohon maaf,” kata kenyataan itu lagi.


SH

Port Mak Ngah Skodeng !